CUTI raya kali ini dihabiskan di
Kuala Selangor sahaja. Dia dan adiknya balik menziarahi satu-satunya mak
saudara yang ada. Sejak mama mereka kembali ke rahmatullah lima tahun yang
lalu, dengan Chik Teh mereka bermanja dan menumpang kasih.
“Apa yang abang menungkan?” tanya
adiknya sambil mengambil tempat di sofa.
Petang-petang begini, tiada aktiviti
lain yang dapat dilakukan melainkan berborak dan melepak di hadapan televisyen.
Pada sebelah pagi, memang ramai tetamu kecil yang berkunjung ke rumah. Tidak
menang tangan adiknya melayan mereka.
“Ada la…”
“Apa dia? Tak syok la kalau tak nak kongsi
dengan adik.” Ayat biasa yang sering adiknya tuturkan untuk mengorek rahsia
abangnya.
“I get to know someone…” beritahunya
dengan ceria. Ketika ini wajahnya bercahaya dan berseri-seri bak bulan purnama.
“Okey…” Adiknya
tersenyum-senyum. Dia dapat meneka perasaan abangnya. Pasti sahaja sudah
terusik gara-gara seorang gadis.
“She
has the charismatic that I adore,” beritahunya lagi. Entah kenapa dia tidak
berasa segan langsung untuk menceritakan apa yang dirasa ketika ini. Selalunya
bab hati dan perasaan jadi rahsia sendiri.
“Wow! Confirm she has the look that capture your heart,” usik adiknya
yang semakin teruja dengan cerita yang dia sampaikan.
“Sebenarnya hati abang dah
tergolek-golek kerana dia,” akuinya lagi. Senyuman turut menguntum di bibirnya.
Kali ini dia berasa sangat gembira dapat berkongsi cerita dengan adik
kesayangan.
“She
melt your heart which has been frozen?” duga adiknya yang seronok sekali
mengetahuinya. Dia juga beranjak lalu duduk rapat sebelah abangnya.
“Yup. Malangnya dia milik orang lain,”
keluhnya sedikit hampa. Senyuman di bibir turut mati.
“Abang jangan cari pasal!” Adiknya mengingatkan.
Dia juga tidak senang duduk. Baru mahu berkongsi kegembiraan, sudah terpaksa
dilupakan.
“Tak ada la sampai macam tu. Dia tak
pandang abang pun.”
“Kalau macam tu, minta kat ALLAH supaya
ditemukan dengan gadis lain sepertinya. Tak pun semoga dia ada kembar yang
masih solo.” Adiknya segera memberi kata semangat agar abangnya tidak kecewa.
“Itu harapan paling tak syok!”
tungkasnya. Dia mahukan gadis itu, bukan orang lain yang persis dirinya.
“Habis tu, takkan abang nak dia jugak?”
soal adiknya, terkejut.
“Andai ini adalah peluang terakhir,
abang akan pastikan dia tetap jadi milik abang jugak,” ujarnya dengan yakin dan
penuh semangat.
Dia nekad tidak mahu berpaling.
Alang-alang sudah terhidang di hadapan mata, baiklah cepat-cepat dia rebut.
Tidak kisah andai terpaksa bekerja keras dan minta bantuan orang lain untuk
menjayakan misinya. Apa yang penting, gadis itu dapat disunting menjadi suri
hatinya. Selagi tidak tercapai, dia akan terus berusaha.
“Abang ni… tak baik tau, merebut sesuatu
yang dah jadi milik orang. Tambah berdosa andai meruntuh masjid,” nasihat
adiknya.
“Abang bukan nak meruntuh masjid, tapi
nak rebut peluang bina masjid!”
“Amboi, lain macam aje bunyinya!” usik
si adik.
“Abang serius dan bukan main-main,” tegasnya
dengan lantang. Impian memiliki gadis itu akan dia utamakan berbanding perkara
lain.
“Adik memang yakin abang boleh jadi imam
yang bagus, tapi carilah makmum lain yang masih tiada yang punya,” usul
adiknya.
“Tapi abang nak dia jugak…” tuturnya.
Wajah gadis itu kembali bermain di mata.
Sudah beberapa malam juga tidurnya tidak lena. Kadang-kadang, ketika bekerja
pun dia boleh teringatkan gadis itu. Nampak sangat dirinya sudah gila bayang!
“Abang yakin seratus peratus dia adalah
jodoh abang?” soal adiknya sambil memegang kejap lengannya.
“Bukan setakat yakin seratus peratus,
tapi lima ratus peratus!” tekannya.
“Sudahlah! Sampai sekarang pun abang masih
tak ada girlfriend. Lagi nak cakap
besar!” kutuk adiknya pula.
“Sebelum ni memang tak ada, tapi
sekarang dah muncul kat depan mata,” balasnya.
“Mana? Mana?” Sengaja adiknya berlagak
seperti tercari-cari.
“Di sini,” beritahunya sambil tapak tangan
menepuk dadanya beberapa kali.
Adiknya menggeleng melihat gelagatnya.
Tidak menyangka abangnya akan jatuh cinta lagi. Pasti sahaja gadis itu
mempunyai keistimewaan yang luar biasa.
Ketika ini matanya sudah terpejam. ‘Izinkan
saya jaga hati dan diri awak…’ bisiknya sambil membayangkan gadis itu berada di
hadapannya.
“Amboi, dah sampai mana abang berangan?”
Tiba-tiba adiknya menepuk kuat bahunya.
“Etiopia…” Nama negara di benua Afrika
pula yang disebut!
“Tak mau la Etiopia, sana panas dan tak best!” balas adiknya pula.
“Kat sanalah best, tak ada sesiapa yang nak kacau.” Ada sahaja idea untuk
mempertahankan jawapannya.
“Kalau nak bercinta, kena pergi ke
tempat yang sejuk dan nyaman. Tak pun pergi ke negara yang ada banyak bunga,
barulah hati si gadis mudah dipikat.”
“Gadis itu sendiri merupakan sekuntum
bunga yang mengharum…” pujinya.
“Perh! Biar betul abang ni? Atau otak
abang sudah mereng disebabkan seorang gadis?” Adiknya seakan tidak percaya
dengan bicaranya.
“Abang masih waras, okey? Dia gadis yang
istimewa dan lain dari yang lain,” pantas dia menjawab.
Bukan senang dia hendak berjumpa dengan
gadis yang boleh buat hatinya tersentuh hanya kerana perkara yang kecil sahaja.
Meskipun gadis itu kategori cantik menawan, namun keperibadiannya lebih memikat
hatinya.
“Lain macam mana pulak? Semua perempuan
sama aje, yang berbeza cuma hati dan akal.” Adiknya berasa tidak puas hati pula
mendengarnya.
“Itulah yang membezakan dia dengan gadis
lain, termasuk adik abang ni!”
“Jadi, dia lebih baik dari adik la?” Si
adik sudah bernada tidak gembira.
“Adik tetap kesayangan abang walau siapa
pun yang bertakhta di hati ini,” balasnya agar adiknya itu tidak berkecil hati.
“Ya sangatlah tu.” Kini adiknya
mencebik.
“Janganlah merajuk. Rasanya bukan abang aje
yang suka kat dia, adik pun pasti akan suka.”
“Ada gambar dia tak?” Tiba-tiba adiknya
mahu tahu pula.
“Malangnya tak ada…” keluhnya. Dia juga
turut berasa kesal kerana tidak terfikir mahu mengambil gambar gadis itu ketika
di hadapan mata.
“Alah, abang ni potong stim betul! Baru
nak berangan keluar shoppingdengan
dia.”
“Adik ni ingat shopping aje!”
“Terapi...”
“Terapi yang membazir duit!” perli
abangnya.
“Abang lelaki, apa tau?” balasnya sambil
berpaling dari memandang abangnya.
“Buat apa penat-penat cari duit, kalau
akhirnya dihabiskan dengan membeli-belah? Kalau beli barang yang sentiasa
dipakai tak apa jugak.” Dia memberi kata nasihatnya kepada adik tersayang.
“Whatever!”
Jawapan yang selalu diberikan apabila tidak tahu hendak membalas kata-kata
abangnya.
“Adik tolong abang, ya?” pintanya dengan
wajah kasihan. Dia amat mengharapkan bantuan adiknya.
“Tengoklah macam mana…” jawab adiknya.
Sengaja buat tidak kisah.
“Dia cantik macam adik jugak,” pancingnya.
“Okeylah, okeylah!” Akhirnya adiknya
bersetuju juga untuk membantunya.
“Macam tulah adik abang! I love you,” ucapnya seperti selalu.
“I
love you too…”