Home Novel Komedi/Romantik Komedi 'Dia' My Love
'Dia' My Love
Zan Zarida
13/8/2016 23:49:49
308,454
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
Beli Sekarang
Bab 21

SETELAH memarkir motornya, Haji Rosman segera masuk ke dalam rumah. Perkara pertama yang ingin dia lakukan adalah mencari anaknya. Semalam, seharian anaknya berkurung dalam bilik. Selera makannya juga hilang, padahal isterinya telah memasak makanan kegemarannya. Jika isterinya tidak memaksa, memang tiada apa yang Rus jamah.

Seketika Haji Rosman merenung wajah murung Rus. Kemudian dia meletakkan kunci motor dan kupiahnya di atas almari kabinet. Dia yang baru pulang dari surau menghampiri anaknya yang duduk termenung. Televisyen terpasang, namun matanya memandang ke arah lain pula.

Sebenarnya, sejak Hajah Kalsum beritahu Rus yang dia akan dikahwinkan dengan Shah, Haji Rosman masih belum berpeluang bercakap dengannya. Tiba-tiba, dia berasa terlalu cepat masa berlalu. Tidak puas menjaga dan bermanja dengan satu-satunya anak perempuan kesayangan.

Terasa seperti baru semalam menghantarnya ke sekolah rendah. Seperti mahu kembali ke zaman anak itu baru belajar menunggang basikal dan mahu bermain sahaja. Begitulah hidup ini, bagaimana sayang sekalipun dengan anak, suatu hari nanti akan berpisah jua. Mereka juga akan ada kehidupan masing-masing, bekerja dan membina keluarga sendiri.

Ketika Haji Rosman duduk di sebelah Rus, anaknya itu hanya memandang dengan ekor mata. Tiada sapaan mahupun menyalam tangannya.

“Maafkan abah dan mak sebab selalu tak bagi Rus buat pilihan. Selalu nak Rus ikut cakap kita orang,” ucap Haji Rosman. Mendatar dan perlahan sahaja suaranya.

Tiada kata balas daripada Rus. Dia hanya tunduk dan cuba menahan air mata agar tidak tumpah. Kerana hormatkan orang tua, dia terpaksa menahan segala apa yang dirasa. Selalu terpaksa ketepikan keinginan di hati.

“Hidup ini hanya ada dua pilihan, sama ada memilih atau dipilih. Abah memang selalu pesan, kalau Rus yang memilih, pilihlah yang terbaik. Tapi apa yang berlaku sekarang, Rus yang dipilih dan abah harap anak abah jadi yang terbaik,” nasihat Haji Rosman.

“Nak jadi terbaik macam mana kalau Rus kena ikut cakap semua orang?” luah Rus dengan sedih. Saat ini air mata sudah bergenang dan tidak mampu ditahan. Laju dan semakin laju membasahi pipi.

“Shah yang nakkan Rus, bukan Che Jamaliah yang paksa dia ganti tempat Huzaif.” Haji Rosman mengulangi apa yang telah isterinya beritahu sebelum ini.

Bagi Haji Rosman, apabila anak muda itu berani datang berjumpa dengannya dan menyatakan hasrat hati, itu sudah cukup sebagai petunjuk. Lelaki yang baik akan terus berjumpa walinya dan bukannya sibuk tabur pesona sana sini semata-mata mahu mengambil hati dan tunjuk diri sangat baik.

“Tak boleh ke kita tolak aje? Abah janji apa dengan keluarga Che Jamaliah?” soal Rus sambil memandang abahnya.

“Abah tak janji apa-apa. Kadang-kadang perkara yang datang bukanlah kita suka, tapi itu yang terbaik untuk kita,” nasihat Haji Rosman lagi.

“Rus tak pernah pun berjumpa dengan Shah. Macam mana Rus nak hidup dengan dia?” luah Rus dengan sedih.

“Orang dulu-dulu pun hanya berjumpa semasa hari dia orang bernikah. Tak bercinta pun boleh aje hidup bahagia,” pujuk Haji Rosman.

“Dulu tu, lain!” bangkang Rus walau suaranya perlahan sahaja.

“Percayalah cakap abah, Rus akan bahagia dengan Shah. Dia seorang pemuda yang baik,” tutur Haji Rosman.

“Abah sengaja cakap macam tu sebab nak pujuk Rus, kan?” soal Rus. Namun dalam hati, sedikit terusik dengan bicara abahnya.

“Semua persiapan telah dibuat, saudara-mara pun dah dijemput,” beritahu Haji Rosman dan berharap anaknya mengerti.

“Kita boleh teruskan aje kenduri, tapi kenduri doa selamatlah. Bukan kenduri kahwin,” balas Rus pula.

Bagi dirinya, berbagai alasan boleh sahaja diberi untuk menolak kerana pihak lelaki yang buat hal.

“Mana boleh macam tu? Shah sungguh-sungguh nak Rus jadi isteri dia,” pujuk Haji Rosman lagi.

“Susahlah Rus kalau macam ni…” keluhnya. Air mata yang bersisa diseka lagi.

“Rus sayangkan abah, kan?” Wajah anak kesayangan dipandang.

Pertanyaan Haji Rosman buat Rus bertambah sebak. Kini dia sambung menangis.

“Rus, hanya ini permintaan terakhir abah. Abah yakin Shah mampu bahagiakan Rus. Kali ini tolong percaya cakap abah.” Kepala anaknya diusap lembut, kemudian beralih ke bahunya pula.

“Dulu abah cakap macam tu jugak, tengok apa yang jadi?” ujar Rus dengan esakan.

“Betul, ALLAH dah tunjuk kesilapan abah. Tapi sekarang lain, ALLAH hantar lelaki yang lebih baik untuk anak abah,” ujar Haji Rosman.

“Abah selalu macam tu, penyudahnya Rus jugak yang jadi mangsa,” ucap Rus. Air matanya masih tidak berhenti mengalir.

“Tak baik Rus cakap macam tu. Semua bapa nak yang terbaik untuk anak dia. Begitu jugak dengan abah.”

“Rus yang akan hidup dengan Shah, bukan abah. Rus langsung tak kenal siapa dia!”

“Abah yakin Shah adalah yang terbaik untuk Rus. Dia memang tak macam Shah Jahan yang sanggup bina Taj Mahal untuk isteri tercinta. Tapi, dia sanggup bina rumah tangga dengan anak abah sebab dia yakin Rus adalah permaisuri yang dia cari. Itu sudah cukup bermakna bagi abah,” terang Haji Rosman.

“Bermakna apa abah, kalau hati Rus tak tenang?” soal Rus. Apa pun alasan yang abahnya berikan, tetap tidak membuat dia senang hati.

“Insya-ALLAH… abah sendiri dah solat istikharah. Abah yakin dengan petunjuk yang ALLAH berikan,” pujuk Haji Rosman lagi bagi meyakinkan anaknya.

“Petunjuk?” Dalam sedih Rus bertanya. Dia juga baru tersedar yang dirinya langsung tidak berdoa dan meminta petujuk ALLAH. Setiap masa asyik bersedih dan meratap nasib diri yang malang.

“Abah rasa tenang nak lepaskan Rus pada Shah. Sebab tu abah yakin dia boleh bahagiakan Rus. Percayalah, abah sayangkan anak abah dan takkan kahwinkan Rus dengan lelaki yang tak tentu hala.”

Sepi, tiada apa lagi yang mampu Rus katakan. Akhirnya dia bangun meninggalkan abahnya.


DALAM bilik, Rus sambung menangis semahu-mahunya. Wajahnya dia sembam ke bantal. Perasaan sedih dan kecewa bergumpal dalam hati.

Dia benar-benar buntu. Sudah lama dia berasa seperti terperangkap dalam diri. Salah dirinyakah yang tidak mahu melawan? Rasa seperti dirinya tiada yang peduli. Tiada siapa yang mahu tahu perasaan hatinya. Dia mahu jadi anak yang baik, namun sampai bila dia hanya menurut sahaja?

Ada ketikanya dia mahu membawa diri sahaja. Semoga ada yang muncul dan bawa dia jauh dari semua masalah. Dia mahu hidup gembira tanpa sesiapa mengatur hidupnya. Bebas memilih dan berbuat apa sahaja.

Sungguh, saat ini Rus berasa amat terpinggir. Seringkali keputusan penting dalam hidupnya bukan diri sendiri yang tentukan. Dia yang akan berkahwin, dia yang akan lalui semuanya. Keterpaksaan ini amat menyeksakan!

Previous: Bab 20
Next: Bab 22

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.