Home Novel Islamik The Missing Puzzles
The Missing Puzzles
Norsamila Samsudin
9/7/2019 18:53:52
3,632
Kategori: Novel
Genre: Islamik
Bab 4

SEBAIK kereta ayah membelok masuk ke perkarangan rumah, rasa menyampah aku semakin bertambah. Aku perasan yang sejak tadi ayah cuba berbual dengan aku sepanjang dia memandu, tapi aku hanya membeku. Perasaan dalaman aku memberontak. Memang hanya saat begini sahaja aku boleh tunjukkan ketidakpuasan aku pada ayah. Dia bukan selalu ada masa untuk aku.

"Qilah!"

Aku abaikan panggilan ayah. Aku sudah keluar dari kereta sebaik kereta berhenti. Aku tarik beg dan melangkah laju menghala ke pintu rumah. Sasaran aku hanya satu. Aku nak terus ke bilik aku dan mengunci diri. Aku tak mahu jumpa siapa-siapa terutama yang memegang gelaran 'tiri'.

Belum sempat aku memulas tombol pintu, pintu sudah terbuka. Seorang wanita bertudung labuh berwarna ungu muda, dengan blouse panjang bunga-bunga dan seluar polos hitam tanpa corak tersarung ditubuh, berdiri di depan muka pintu. Tersenyum pada aku!

"Assalammualaikum anak umi, Nur Aqilah Najwa," tanganku pantas ditarik dan tubuhku terus masuk ke dalam dakapannya. Aku kaget. Perlahan kutolak tubuhnya. Dia tidak terkejut.

"Anak umi sihat?" bicaranya lembut, selembut pandangan matanya yang memandang tepat ke dalam mataku, dengan raut wajah yang tetap tersenyum.

Palsu! Semuanya aku nampak palsu.

"Masuk bang," pelawanya lembut pada ayah sambil tangannya menyalami dan mencium tangan ayah. Wajah ayah, kulihat tenang dan ... bahagia.

"Jom, Qilah," lenganku dipaut dia, si ibu tiri yang pada aku sedang bermuka-muka.

Tahulah! Ini rumah aku. Tak payah nak paut-paut. Aku meloloskan lengan dari pautan lalu melangkah laju menuju ke tangga.

"Aqilah!" jeritan suara ayah tak kupeduli.

"Tak apa, bang. Dia perlukan masa." Aku dengar dia, si ibu tiriku berbicara.

Aku tersenyum, sinis. Berlakon! Mama yang melahirkan aku pun buang aku. Anggap aku macam anak patung, inikan pula kau si ibu tiri. Bicara manis, konon. Aku tak mudah percaya sesiapa sejak orang yang aku anggap manusia paling mulia pun mengenepikan aku. Langsung tak bertanyakan khabar aku.

Mama ...

Hanya satu sebutan nama yang akan jadi kenangan.

Ayah ...

Seorang lelaki yang menjalankan tanggungjawab zahiriah. Menyediakan keperluan duniawi tanpa pernah memikirkan jiwa rohani aku yang sunyi, sepi.

Aku benci!

Aku larikan kakiku memanjat anak tangga satu persatu sehinggalah sampai di tengah tangga. Sesusuk tubuh yang sedang berdiri mati, memandang pada aku. Aku mendongak.

"Aqilah?" sapanya tanpa senyum tetapi masih nampak manis.

Atas bawah kupandang dia sehinggakan dia jadi tidak selesa. Senyuman sinis kuberi sebelum aku meninggalkan dia tanpa bicara. Maaf, aku tak berminat untuk kenal mesra dengan kau wahai si abang tiri!

Pintu bilik kukunci. Aku menghempaskan diri di atas katil. Tersenyum pada siling. Puas! Ya. Aku puas bila aku dapat sakitkan hati ayah dengan sikap dingin yang kutunjukkan pada keduanya. Pada ibu dan abang tiriku. Aku dah kata, kan? Kalau ada yang makan hati, bukan salah aku. Aku tak nak balik, tak nak jumpa ... kau paksa. Hmm ... sekarang. Pandai-pandailah ...

Dan, tunggu. Ianya tidak akan berakhir di sini. Aku punya visi.

***

"MAKAN, Qilah. Umi masak semua ni untuk Qilah. Umi tak tahu lauk apa yang Qilah suka, jadi umi masak banyak jenis," Dia tersenyum sambil menceduk nasi ke dalam pingganku dan kemudian ke dalam pinggan ayah.

Ingatanku segera melayang pada mama. Tak pernah aku tengok mama sendukkan nasi untuk ayah. Selalunya ayah yang sendukkan nasi untuk mama. Dan mama akan mendongak merenung wajah ayah dengan senyuman dan ucapan 'I luv you'. Ayah akan membalas dengan ciuman di dahi mama.

Aku, bertepuk tangan dan ketawa riang. Yalah, apa yang aku tahu pada usia lima tahun. Semuanya nampak indah dan membahagiakan. Tidak pernah terlintas yang semua itu hanya akan jadi kenangan semata. Tiada ulangan.

"Qilah ..."

Kenangan indah yang amat menyakitkan untuk aku imbas semula. Aku menahan tangis. Aku rindu ... terlalu rindu akan semua itu.

"Qilah ..."

Aku tersentak.

"Kenapa Qilah menangis?"

Cepat tanganku menyeka cecair jernih di pipi. Dan, aku dapat melihat mata ayah, ibu, dan abang tiriku sedang memandang pada aku.

"Tak ada apa," balasku sedikit kasar. Lauk Asam Pedas Ikan Pari aku ceduk tanpa mempedulikan mata-mata yang memandang. Ayam goreng panas-panas yang ada di depan mata aku sambar dan terus kugigit.

"Baca doa dulu, Qilah ..." suara ayah mencecah ke telinga. Sejak bila? Aku hanya membalas dengan jelingan. Sejak bila kau pandai doa-doa ni? Aku abaikan. Ayah menunduk sambil tangannya mengais-ngais nasi putih dalam pinggan. Terkesan dengan sikap aku yang langsung tidak ambil pusing tegurannya. Mungkin juga malu dengan ahli keluarga baru yang masing-masing terdiam melihat tingkahku terhadap ayah.

""Bismillahirrahmannirahim. Allahumma baarik llanaa fiima razaqtanaa waqinaa adzaa ban-naar. Amin."

Terhenti suapan dan gigitan ayam goreng di tangan. Bola mataku naik melihat seraut wajah tenang abang tiriku. Dan aku mengerling pula melihat wajah ayah. Tersenyum, sambil tangan diraup ke muka mengaminkan doa anak baru dia!

"Biar Am cedok sendiri umi," Ahmad Amsyar - abang tiriku mencapai senduk dari wanita yang dia panggil umi. Dan, ibu tiriku tersenyum sambil tangannya mesra menyentuh bahu anak bujang yang sentiasa nampak tenang walau tanpa senyuman.

Aku meneruskan suapan. Sambal belacan kuceduk. Ayam goreng di pinggan kucubit-cubit, geram. Dan kucicahkan carikan ayam itu di sambal belacan dan kusuap ke mulut. Dada rasa sakit melihat semua orang tersenyum-senyum sesama mereka. Mesra sangat-sangat!

Aku ni? Ibarat orang luar yang menumpang di meja makan. Rasa keseorangan walaupun dikelilingi mereka yang bergelar 'keluarga'. Perasaan kepunyaan sebagai ahli keluarga langsung aku tak rasa. Segalanya ... jauh.

"Makan ya sayang. Umi masak banyak ni. Qilah pilih mana yang Qilah suka."

Sayang? Aku buat tak faham. Tak rasa langsung 'sayang' tu dalam jiwa aku. Entah kenapa aku tidak tersentuh. Makin rasa jauh. Aku ni hanya anak tiri. Tak payahlah nak ber'sayang-sayang'. Janggal sangat bunyinya. Huh! Aku tersenyum sinis pada nasi yang sudah banyak luaknya. Letihlah tengok orang berlakon lebih-lebih ni ...

Aku basuh tangan dan tinggalkan nasi yang masih berbaki. Hilang selera makan aku.

"Qilah ... dah ke?" ibu tiriku menyapa.

Aku buat tak layan. Pinggan kotor aku tinggalkan begitu sahaja. Aku perasan yang ayah menghela nafas. Bahu ayah disentuh si ibu tiri sambil menggeleng. Melarang ayah dari berkata apa-apa padaku.

Abang tiriku hanya memandang dengan ekor mata. Hah! Nak kutuk aku anak derhakalah tu. Suka hati. Aku tak nak peduli apa pandangan kau pada aku. Kau dahlah ambil ayah aku, curi perhatian, kasih sayang dan sekarang? Nak kutuk aku? Tak payahlah ... cukup-cukuplah dera perasaan aku.

Kau bernasib baik sebab dia ada masa untuk makan bersama saat kau melangkah masuk ke rumah beku ini. Aku? Aku tersenyum, pahit. Sakit.

Previous: Bab 3
Next: Bab 5

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Norsamila Samsudin