Home Novel Cinta BISIKAN CINTA
BISIKAN CINTA
Chryst
29/7/2021 02:02:04
2,593
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 9

HIRUPAN angin pagi yang mendamaikan. Seperti biasa, pagi-pagi lagi Umi sudah keluar ke tempat kerja. Mungkin malam nanti baru Umi pulang dan sepanjang itu, aku akan sendirian di rumah.

Kalau ketika kecil dulu aku tidak faham akan erti kesusahan Umi mencari nafkah buat menampung kehidupan kami dan aku pula selalu saja merungut setiap kali Umi perlu ke tempat kerja. Tetapi, semakin meningkat dewasa, aku semakin faham dan boleh menerima keadaan diri dan keluarga kami.

Pintu depan ku tutup. Aku menukar pakaian sebelum menapak ke rumah Laila. Tadi Laila ada menghubungi telefon rumah kami meminta aku datang untuk makan tengahari di sana.

Basikal buruk di bawah kolong rumah ku tarik keluar. Kaki melakukan tugas mereka, membawa aku ke rumah besar di atas atas bukit sana. Rumah Pakcik Kamil yang dulunya cuma terletak sebelah rumah kami. Selepas kewangan keluarga mereka meningkat dengan mendadaknya, Pakcik Kamil beli tanah atas bukit dan bina rumah besar mereka. Rumah lama? Mereka sewakan.

"Za! Bila kau balik?" jeritan dari Adilla, teman sekolah dahulu memperlahankan kayuhan di Kaki. Mulut menjerit kembali apabila basikal melepasi kebun getah milik ayah Adilla.

"Semalam!"

"Datang rumah ada kenduri hujung minggu! Ajak abang dengan Laila dengan semua orang sekali!" jeritan Adilla yang semakin perlahan itu dapat aku tangkap lantas mengangkat ibu jari padanya. Kayuhan laju semula.

Selepas melepasi selekoh paling bahaya di dalam kampung, mata sudah dapat menangkap bangunan rumah Pakcik Kamil yang tersergam indah dari jauh. Di dalam kampung ini, rumah Pakcik Kamil yang paling besar dan Pakcik Kamil sendiri pun orang yang dihormati orang kampung kerana dia yang mengambil alih tugas pembangunan tanah kampung ini yang dulunya hanya sebuah kampung kecil yang tidak punya tarikan apa-apa.

Kaki memberhentikan basikal di depan pagar. Tercungap-cungap nafas tatkala mendaki bukit rumah Pakcik Kamil.

Pintu pagar besar ku tarik sehingga terbuka sedikit.

"Assalamualaikum! Makcik Pakcik!" jeritku lalu menolak pintu besar rumah mereka seluas mungkin. Bibir terkunci rapat.

Keadaan tegang dan janggal di antara Pakcik Kamil, Makcik Rahayu, Laila, Meen, Maisarah juga Abang Ben. Semua berkerut dahi.

"Kenapa ni?"

Abang Ben bangun dari sofa. Mata tersenyum mesra.

"Tak ada apa, Za. Izza dah makan? Jom makan sekali," ajaknya lalu bergerak ke dapur. Selepas itu, seorang demi seorang bersurai. Mengekor Abang Ben ke dapur. Keadaan tegang tadi sudah bertukar ceria semula.

Aku cepat-cepat mengambil tempat di kerusi sebelah Laila yang asyik dengan telefon. Abang Ben menyenduk nasi ke pinggan kami berdua.

"Yes!"

"Oh... Suka ya? Tiap minggu mesti semua orang kena makan lauk kegemaran dia." Pakcik Kamil menggeleng kepala.

Aku tersenyum sedikit melebar. Sedap kut daging masak lemak cili api ini, lagi sedap kalau Makcik Rahayu yang masak. Sampai menjilat jari.

Tangan menyenduk masuk daging masak lemak ke dalam pinggan Pakcik Kamil. Sekadar mengambil hatinya.

"Makanlah." Suara Abang Ben di sebelah menegur Laila yang dari tadi tidak berhenti menekan-nekan skrin telefon.

Laila leka, langsung tidak mendengar teguran si abang. Dia menjerit marah pula bila Abang Ben tarik earphone di telinga.

"Abang!" Laila bengang.

"Makan dulu. Bagus sangatlah tu depan makanan pun nak main telefon lagi. Sumbat sajalah telefon tu dalam mulut."

Aku cuma mampu menahan telinga. Susah juga ada adik-beradik. Asyik bertengkar saja.

"Meen pun seorang lagi. Letaklah Amanda tu dalam cage. Gelilah! Tak selera abang nak makan."

Amanda yang membelit lengan Haimeen itu kami pandang. Bahu Abang Ben menggeliut. Haimeen buat tidak dengar. Aku pun tidak rasa ada salahnya Amanda di sini. Comel aje. Amanda langsung tidak bertindak agresif. Abang Ben ini semua salah di mata dia kalau dia tak berkenan.

"Amanda tak pernah gigit Meen ke?" tanyaku berteman rasa ingin tahu.

Haimeen mengangguk.

"Pernah aje, Za. Tapi tak sakit sangat pun. Spesis ini tak ada bisa. Dia gigit kalau lapar aje!"

Ketika perkataan 'aje' dilontar, Haimeen hadapkan Amanda ke muka Abang Ben. Terlompat juga abang sulung itu dibuatnya.

Aku sudah tergelak besar di dalam hati. Tidak sampai hati mahu gelak di mulut bila tengok muka yang sudah masam dan bengang itu.

Amanda turun dari tangan Haimeen dan melingkar ke depan di atas meja. Abang Ben yang baru mahu menyuap nasi ke dalam mulut terus terbangun dan berdiri di belakang kerusi aku.

"Baby... Jangan jalan jauh sangat dari biy, okay?" Haimeen bernada manja. Mata setia memandang Amanda.

"Ei! Meen! Angkatlah dia... Abang nak makanlah!" Abang Ben menjerit kegelian. Habis bahu aku yang menjadi sasaran tolak tariknya menahan geli.

Haimeen tarik ular kesayangannya kembali ke tangan. Bibir mencium kepala Amanda dari belakang. Tetapi Abang Ben tetap tidak mahu duduk di kerusinya. Akhirnya aku yang bangun.

"Abang duduk sini. Za duduk di depan Meen," tawarku.

Cepat-cepat dia duduk. Bibirku mencebik. Penakut!

"Bayangkan kalau Meen letak Amanda atas katil abang?"

Mata Abang Ben menjeling memberi amaran. Aku pula dalam diam memberi isyarat mata bersetuju dengan rancangan Meen.

"Za...." Terperasankan isyarat mataku, Abang Ben beri amaran pada aku pula.

Ada saya kisah? Bukan saya yang takut ular!

Lidah kami berdua jelir kepada Abang Ben.

"Apa lah yang abang anti sangat dengan Amanda ni. Cuba abang tatap dia betul-betul. Kan comel... Macam bidadari." Haimeen berkata dengan penuh perasaan.

Ular betina itu lagi lawa dari perempuan betul katanya. Walaupun aku geram jugalah dengan kata-katanya itu, tetapi aku akui juga yang Amanda memang comel. Lawa. Ular pun lagi lawa dari aku.

"That's stupid! Itu ular aje pun. Dan semua ular sama! Kalau lapar, dia orang boleh makan orang tau." Menggeliang-geliut tubuh Abang Ben melihat aksi Haimeen dan Amanda yang sudah macam pasangan kekasih.

Aku menepuk dahi melihat reaksi terlebih-lebih Abang Ben. Takkanlah ular sepanjang lengan aku itu boleh telan abang yang besar gedabak begini. Alahai... Tak logiklah abang!

"Abang dah semakin tak rasional. Memanglah dia boleh telan abang tapi Amanda sentiasa boleh pilih... Dan dia akan pilih untuk tak telan abang. Buat penat aje susah-payah cuba telan abang padahal Meen bagi dia makan lagi sedap." Haimeen berseloroh.

Abang Ben tetap tidak percaya juga pada Amanda.

"... Lagipun, daripada dia telan abang. Baik dia telan Meen ni." Terkekek-kekek Haimeen ketawa pula.

Abang Ben memang over betul. Aku pasti Haimeen jaga Amanda dengan baik. Ikut kata Haimeen sebelum ini, Amanda merupakan ular kaptif. Memang dibesarkan di dalam kurungan. Sikap agresif Amanda tidak aktif sangat. Lihat sajalah cage Amanda dalam bilik Haimeen. Bagainkan istana cantiknya. Lawa bukan main. Siap ada alat kawalan suhu bagai. Ranting dan daun-daun yang Meen hias di dalam cage sudah macam habitat asal Amanda sebagai Green Tree Python.

Bilik Haimeen memang eksotik. Apalagi kalau dia letak Amanda dalam cage vivarium tu. Cantik sungguh Amanda bergantung atas ranting pokok dalam cage.

"Apa lah yang ayah fikir bila ayah izinkan Meen simpan ular ni, Ben pun tak faham. Siap tempah besar gedabak cage Amanda dalam bilik Meen. Seramlah!"

Bibirku memuncung. Berkerut-kerut dahi.

Abang Ben memang tidak tahu menghargai alam semula jadi. Yang dia tahu reka bangunan moden saja. Eleh.

"Cantiklah! Za pun nak bela juga kalau boleh. Tengoklah Amanda tu... Baik aje."

Haimeen mengangkat ibu jarinya sementara abang melopong memandang ke arahku dengan mata dibuka luas-luas. Makcik Rahayu menyokong Abang Ben. Dia pun tidak berapa sukakan ular Haimeen. Tetapi memandangkan majoriti setuju dan suka dengan kehadiran Amanda di dalam rumah ini. Jadi, majoriti win! Yang tidak suka, kena tahan sajalah.

"Ibu setiap malam periksa bilik Meen, takut-takut kalau Meen lupa kunci kandang tau." Makcik Rahayu pula memberi kata sokongan kepada anak sulungnya.

Abang Ben sudah tersenyum lebar bila ada orang sokong dia.

"Tapi ayah suka juga tengok Amanda. Lawa. Lagi-lagi kalau dia duduk diam berpaut pada lengan Meen begitu. Hilang terus rasa takut ayah pada ular."

Suapan aku terhenti. Leka melihat drama keluarga ini. Nampaknya Amanda semakin ramai peminat. Dengan mudah saja dia mencuri hati penghuni rumah ini dengan kecantikannya.

"HaNo! Teruskan rasa takut, ayah. Ular eat human."

Maisarah Azir yang dari tadi hanya membisu terus tergelak. Agaknya dia juga sudah tidak dapat mahu menahan rasa geli hati melihat perangai abang sulung mereka ini. Kata saja umur sudah mencecah 30-an, tapi perangainya kali ini langsung tidak menggambarkan jumlah umur yang sedang dipegang.

"Alah, abang ni over lah. Apa kata Abang Ben ambil ini sebagai cabaran untuk hilangkan rasa takut pada ular. Amanda will not harm you in any way. Relax...."

"Maybe she will, one dayMaybe dia tengah fikir saat yang tepat untuk makan kita semua. Atau maybe dia tunggu Meen bagi dia makan sampai dia besar lepas itu dia akan makan kita pula."

Aku tidak sangka begitu parahnya imaginasi Abang Ben. Ular yang lebih berganda kecil dari lengan dia itu yang difitnahnya!

"Meen dah set proper diet untuk Amanda lah. And I will make sure she does not go around to release her anger... Amanda ni muda lagilah abang. Kecil dan jinak...." Haimeen cepat-cepat menghabiskan nasi di dalam pinggannya.

Aku pula yang terlebih tumpu dengan apa Haimeen baru cakap. Abang Ben buat tak peduli. Yang dia tahu, dia mahu ular itu keluar dari rumah ini agaknya. Langsung tidak tergoda dengan kecantikan fizikal seekor Amanda.

"Tapi, bukan ke green tree python ni agresif Meen?" Kak Maisarah bersuara.

"Itu apa orang katalah. Tapi ikutkan Amanda ular captive breeding. Dah biasa kena handle pakai tangan dari kecil. Mula-mula tu Meen hesitated juga. Tapi bila tengok Amanda suka aje Meen pegang dia, Meen pun jatuh cinta...."

Abang Ben memuncungkan bibirnya. Dah jadi rupa apa dah aku tengok.

"Kalau Amanda buat pelik-pelik, abang akan direct call APM terus. Angkut si Amanda ini bawa pergi dari sini. Kalau jual dekat cina pun dapat duit. Cina pun dapat kenyang," ugut Abang Ben.

Haimeen menjauhkan Amanda dari penglihatan Abang Ben langsung berlari anak mendaki ke tingkat atas dan masuk ke dalam biliknya. Pintu dikunci rapat.

"Teruklah abang ni," komenku.

Memang aku rasa dia teruk pun. Tak patut dia ugut Haimeen begitu. Biarlah Haimeen dengan minatnya. Lagipun Haimeen masih muda. Eloklah dia suka haiwan exotic, manalah tahu nanti Haimeen Azir jadi pencinta alam semula jadi dan haiwan ke....

Ben Azir cuma mengangkat bahu.

Aku menggeleng. Nak cubit atau pukul, mak ayah dia ada pula. Nanti aku dituduh mencederakan anak sulung mereka pula.

Kami masing-masing menyambung sesi makan tengahari. Pakcik dan Makcik sibuk bertanya hal belajar aku dan Laila. Laila menjawab acuh tidak acuh saja pertanyaan ibu bapanya. Dia lagi leka melayan chat dengan entah siapa-siapa itu. Aku pula? Abang Ben tolong jawabkan. Dia kan kepoh.

"Ayah tanya Izza, bukan Ben."

Ambik tu! Ha... Sibuk lagi nak jawab untuk aku.

•••

"ILA!" Laila menjerit memanggil Adila yang sedang sibuk membantu ibunya di dapur rumah mereka.

Adila berhenti menyenduk kuah dan lauk ke dalam mangkuk. Tugasnya diserahkan kepada salah seorang makcik yang juga berada di dapur.

"Kau orang dah makan belum?"

Kami memandang ke arah ruang tamu luar rumahnya. Orang-orang lelaki sedang galak berborak. Tudung yang di sangkut di belakang pintu dapur Laila sarung ke kepala.

Aku dan Laila mengangguk. Kami berdua mengajak Adila untuk duduk berborak di bawah khemah. Sudah lama tidak lepak bertiga. Adila asyik sibuk membantu ayahnya di kebun dan membantu ibunya di pasar pula pada hujung minggu.

Adila memang terkenal dengan julukan 'wanita idaman' di dalam kampung ini. Dia seorang yang lemah-lembut juga tidak kisah melakukan kerja-kerja berat.

Kalau mahu dibandingkan Laila, aku dengan Adila, memang kami berdua tertinggal jauh di belakang.

"Ehem! Dengar cerita ada orang merisik kau ya, Ila?" Laila mengusik. Aku ternganga.

Entah dari mana Laila dengar cerita ini aku pun tak tahu. Ini mesti Makcik Rahayu and the gang.

Wajah Adila memerah. Betullah tekaan Laila itu ya! Wah....

Tanpa sedar, aku kagum. Sedikit cemburu juga kerana sehingga sekarang, masih tiada yang berani mahu merisik. Atau pun sebenarnya memang dari sekolah aku tiada peminat. Lainlah macam Adilla ini....

"Jadi... Kau terima ke?" Aku pula yang merasa teruja. Adilla ini muda lagi sudah ada orang berkenan. Aku pula entah bila. Tak mahu terlebih letak pengharapan.

Adilla menggeleng. Dia memandang aku dan Laila bergilir. Mulutnya terbuka mahu berkata sesuatu.

"Wah! Siapa yang kena risik ni?" Suara Abang Ben menyampuk dari belakang.

Abang Ben dengan baju melayu biru pekatnya dan Haimeen dengan baju melayu biru cair. Menganggu aje!

Laila mendengus geram.

"Abang ni kacaulah. Ini topik orang perempuan, jangan sibuk!" Kasar bunyinya namun begitu, aku tahu Abang Ben tidak akan berkecil hati. Dia gelak lagi adalah!

Abang Ben ketawa besar. Haimeen pun sama.

"Salah ke? Alah... Kongsilah dengan abang. Kan Meen, kan?" Dia meletakkan tangan di atas bahu adik bongsunya. Haimeen beriak bosan. Langsung tidak peduli dan tidak mahu ambil tahu.

"Meen rindu pada Amanda...," ujar Haimeen perlahan.

Kami bertiga diam. Tidak mahu melayan Abang Ben.

Pakcik Kamil memanggil Haimeen dan Abang Ben dari ruang tamu luar tempat kaum lelaki berkumpul. Keluhan panjang keluar dari bibir lelaki 30-an itu. Terpaksa juga dia sertai orang-orang tua di sana.

"Alah... Ayah ni... Abang pergi dulu, Izza." Abang Ben mengatur langkah perlahan, menarik sekali adik lelakinya bersama.

"Amanda...," omel Haimeen

"Enjoy!" Aku membalas dalam ketawa.

Abang Ben tersenyum manis memandang kami. Pandangan yang sukar aku tafsir. Ah! Entahlah! Aku malas mahu peduli. Tidak faham jiwa lelaki. Entah-entah memang lelaki suka merenung perempuan begitu. Test market....

Laila dan aku kembali tumpu kepada Adilla. Mata Adilla pula tumpu kepada orang lain.

"Ila..." Laila memanggil.

Tangan dilambai-lambai di hadapan muka Adilla. Tiada respons. Akhirnya kami sama-sama merenung ke arah yang sama Adilla tenung tidak sudah dari tadi.

Tekak terasa kering. Laila di sebelah aku lihat sedang menelan air liurnya. Kami saling berpandangan untuk sesaat sebelum kembali menatap wajah Adilla yang masih tidak berhenti merenung si lelaki.

"Ila! Kau suka Abang Ben ke?" Laila bertanya. Teragak-agak.

Serta-merta wajah Adila bertukar merah. Tertunduk malu.

Ah, mampus! Dalam banyak-banyak lelaki, lelaki yang satu itu juga yang berjaya menawan hatinya.

•••

Previous: Bab 8
Next: Bab 10

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Chryst