Home Novel Cinta BISIKAN CINTA
BISIKAN CINTA
Chryst
29/7/2021 02:02:04
2,592
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 6

AKU berjalan keluar dahulu meninggalkan Auni dan Abang Ben di belakang. Rasa mahu berlari sekuat hati saja sekarang ini. Tidak tahan mahu ke tandas. Ketika menonton wayang tadi aku sudah rasa tanda-tanda mahu ke tandas, tapi tidak sanggup mahu meninggalkan tempat duduk. Babak menerujakan pula tu. Dari dalam wayang tadi Abang Ben sudah menyuruh aku ke tandas, aku saja yang tidak mahu.

Selesai saja urusan peribadi, kaki berlalu ke pintu keluar. Mata mencari kelibat mereka berdua, namun tiada.

Wajah bertukar masam apabila terlihat Abang Ben dan Auni melenggang berdua sambil berbual santai. Langsung tidak ingat pada yang sedang menunggu bagaikan patung di sini.

"Abang!" panggilku sedikit geram. Abang Ben tersengih-sengih macam kambing pula dari jauh.

"Dah lama ke Izza tunggu? Abang dengan Auni tunggu Izza dekat dalam panggung dari tadi." Tangannya menghulur kembali air Coke yang aku tinggalkan di dalam pawagam.

Nasiblah alasannya boleh diterima akal. Patik maafkan kelewatan tuan-tuan hamba kali ini, esok-esok tiada lagi ya!

"Izza marah abang ke? Sorry lah." Bahu aku dicuitnya. Seperti masa kecil-kecil dulu. Kalau aku merajuk, Abang Ben mesti mula memujuk dengan mencuit bahu.

Lemahlah begini! Sebab inilah aku mudah lembut hati dengan dia. Hati yang keras macam batu ini memang sentiasa ada soft spot untuk Ben Azir. Hish!

"Nasib muka abang hensem," ujarku. Jelingan maut kuberi tanda amaran pertama.

Abang Ben gelak pula. Sukalah bila dipuji puja. Tetapi memang dia hensem pun. Bak kata Auni, muka Abang Ben ini matang dan berkelelakian. Wajahnya punya aura kebapakan. Garang tetapi ada lembutnya. Mudah berkawan, selalu senyum. Kalau aku mahu bandingkan antara Elman dan Abang Ben, memang aku pilih Ben Azir sebagai pemenang. Ada banyak sebab....

Satu, Ben Azir seorang lelaki penyayang. Dia suka budak-budak. Elman? Aku tidak pasti.

Dua, Ben Azir lebih tua. Fikirannya lebih matang. Ketahanan mental Abang Ben pastilah yang terbaik pernah aku jumpa kerana dia mampu hidup sendirian di negara orang 10 tahun lamanya. Elman? Tidak pasti juga sebab dia belum melangkah ke alam pekerjaan yang menyesakkan dada lagi. Jadi aku tidak tahu ketahanan mentalnya.

Tiga, Ben Azir penyabar. Belum pernah sekali pun aku mendengar Abang Ben melantangkan suaranya selama 20 tahun aku hidup di bumi. Dia selalu berfikir sebelum bertindak dan apabila marah dia akan lebih banyak mendiamkan diri. Dari kecil, aku saja yang selalu cari pasal.

Empat, muka dia lagi hensem dari Elman semestinya. Elman putih. Abang Ben berkulit kecoklatan. Perempuan mana akan tolak lelaki kulit coklat, kan? Jadi Abang Ben menang lagi!

Lima, Abang Ben bukanlah seorang lelaki yang bertuankan sifat ego. Dia adalah seorang lelaki yang mudah meminta maaf dan mengakui kesalahan sendiri. Kerana itu juga dia sangat berhati-hati dalam setiap patah perkataan dan kelakuan. Elman? Tak perlu cakap. Kami selalu berbalah dan kebanyakannya memang berpunca dari ego kami berdua.

"Hensem pun orang tu tak sedar juga...."

Aku yang sedang jauh termenung jadi tersedar. Tidak dapat menangkap dengan jelas kata-katanya tadi.

"Apa dia abang cakap?"

"Tak ada apa. Abang cakap Izza jangan lupa belajar rajin-rajin," balasnya sambil tersenyum nakal.

Keningku kerutkan. Aku pasti bukan itu yang dikatanya tadi. Aku dengar tetapi tidak begitu yakin dengan apa yang aku dengar tadi.

"Mana Auni?" Mata mencari Auni di belakang.

"Oh... Auni dekat situ. Tengah beli boba tea. Izza nak? Abang pergi belikan," tawarnya. Tanganku memberi isyarat 'tidak mahu'.

Tekak tidak terasa mahu kunyah boba. Lagipun, air Coke ditangan ini belum habis pun lagi.

Kami duduk menunggu Auni di bangku awam yang disediakan. Abang Ben menyeluk masuk tangan ke dalam kotak popcorn aku. Leka memerhati orang ramai yang sedang lalu lalang. Tenang saja.

"Tengok tu!" Abang Ben menunjuk ke arah seorang kanak-kanak yang sedang duduk mencangkung di tepi kedai mainan.

Dahi berkerut. Dalam kepala sudah terfikir kemana ibu bapanya. Sampai hati tinggal anak dekat situ seorang diri.

"Biar abang teka... Mesti Izza rasa budak tu kena tinggal, kan?"

Kepala mengangguk. Benar!

"Salah! Sebenarnya budak tu tak kena tinggal. Dia tengah protes!"

Bibirku mencebik. Tak boleh percaya langsung.

"Pandai-pandai aje. Mana abang tahu? Entah-entah budak hilang ke... Ish, Jomlah tolong." Punggung sudah siap sedia mahu bangun. Namun, tangan Abang Ben menghalang. Dia meminta aku duduk dan lihat dulu.

Kami berdua duduk diam memerhati dari jauh. 3 minit juga kami begitu. Nak masuk minit ke empat, aku sudah tidak boleh sabar.

"Mana ada. Abang ni... Jomlah!" ajakku tapi sekali lagi dia tarik tangan supaya duduk. Kali Ini tubuh Abang Ben sedikit mendekat. Tangannya menyilang melingkari pinggang tetapi tidak bersentuh. Cukup untuk membuat aku kejang di situ dan tidak berani mahu bangun lagi.

"Shh... Cuba tengok tu!" ujarnya. Tangannya menolak pipi comel aku ke arah budak tadi.

Kanak-kanak tadi sudah terbaring pula di atas jalan!

Mulut melopong dengan mata terbeliak. Budak Itu bukan setakat terbaring, dia boleh tenang tidur atas lantai jubin pusat membeli-belah ini. Bertubi-tubi persoalan masuk ke dalam kotak fikiran.

Betulkah tekaan Abang Ben tadi? Budak itu sedang protes?

Tiba-tiba seorang lelaki dengan bayi digendong di bahu datang membangunkan si kanak-kanak lelaki tadi. Tangannya menarik perlahan si anak masuk ke dalam kedai permainan. Kami sudah ketawa terbahak-bahak.

Kaki drama betul anak dia. Hati kental! Tenang dan tidak mudah putus asa, protes sampai terbaring-baring. Akhirnya si ayah mengaku kalah juga.

"Haish... Anak... Anak... Jangan anak kita buat perangai begitu juga sudahlah, Izza."

Matanya tidak lepas memandang gelagat budak kecil itu sedari tadi. Memang tidak pelik kalau Abang Ben mudah tertarik dengan babak anak kecil begini. Dia memang suka budak-budak. Lagipun umur seperti dia sudah layak kahwin dan beranak-pinak.

Auni datang dengan cawan Tealive-nya. Hairan melihat aksi kami berdua.

"Apa?" soalku dengan nada berlagak. Aku kenal pandangannya itu.

Kau jangan mahu jana idea yang macam-macam, Auni. Padam segala apa yang kau fikir sekarang!

Auni senyum nakal. Hujung bibirnya ternaik menampakkan gigi. Dan senyuman itu buat aku jadi serba tidak kena.

"Aku tengok kau dengan abang dari jauh. Macam pasangan kekasih yang sedang hangat bercinta. Bila dah dekat, erm... Sah pasangan kekasih yang sedang hangat bercinta!"

Kata-kata Auni buat jantung terasa mahu melompat keluar. Abang Ben disebelah pula hanya menyambut dengan ketawa terbahak-bahak. Paha Abang Ben aku pukul berkali-kali sehingga dia mengaduh. Puas!

•••

HARI ini sepatutnya aku sudah berjanji mahu bertemu dengan Elman di Foyer A, tetapi niat aku batalkan sebaik sahaja hanya beberapa langkah mahu sampai.

Gelagat dua orang manusia yang terlalu mesra dalam pandangan mataku itu meniup pelbagai prasangka buruk. Elman dengan mudahnya membiarkan gadis entah siapa-siapa menyentuh tangannya dan aku tidak suka!

Tubuh berpaling dan berlalu ke arah bertentangan apabila suara Elman memanggil. Terlalu banyak persoalan dan sangkaan-sangkaan buruk yang menerpa masuk ke dalam minda. Wajah dan status Elman yang menjadi kegilaan ramai di universiti ini buat aku agak ragu-ragu dengan keputusan menerima salam cintanya.

Sesampai sahaja di hadapan pustaka, tangan terus mencampak beg di bahu ke dalam loker. Tanpa menunggu, kaki ku atur masuk ke dalam. Niat cuma mahu lari dari Elman dan pustaka adalah tempat paling mudah untuk aku bersembunyi.

Aku mendaki naik ke tingkat dua, bahagian paling banyak rak buku dan juga tempat paling ramai pelajar membaca. Kalau di tingkat satu selalunya agak bising kerana ramai pelajar akan buat kerja berkumpulan bersama-sama. Tingkat dua pula lebih terjaga. Ada pegawai perpustakaan yang bertugas memastikan pelajar tidak bising di tingkat ini.

Sekali lalu, tangan mencapai saja mana-mana buku terdekat dan duduk di meja membaca individu di hujung dinding. Tidak mahu diganggu sesiapa tatkala hatiku sedang panas dan membara. Teks mesej dari Abang Ben aku balas ala kadar. Hanya menyatakan padanya bahawa aku tiada mood dan aku sedang panas hati. Tidak mahu diganggu dan terganggu dia pula nanti.

'Tak baik sangka buruk. Tanyalah dulu. -Ben Azir'

Nak tanya apa lagi? Aku nampak pakai mata kepala aku, bukan pakai punggung. Asyik-asyik kena tanya tanya tanya! Apa Abang Ben ingat aku ini wartawan ke nak tanya-tanya segala.

'Abang jangan sampai Izza block nombor abang! -Izza'

Telefon ku letak di tepi. Helaian muka surat diselak. Mata tertancap pada karangan kata-kata penghargaan dari sang penulis. Satu apa tidak masuk dalam kepala.

Telefon pintar bergetar lagi. Kenapa Elman tak telefon aku? Sebab aku dah blocked nombor telefon dia awal-awal.

'Komunikasi, Kepercayaan, Kejujuran dan Kehormatan. -Ben Azir'

Balasan teks mesejnya kali ini buat aku tersenyum. Kepala sudah dapat membayangkan Abang Ben menyebut satu per satu patah perkataan ini dengan nada tegasnya. Suara garau yang boleh melembutkan hati perempuan itu. Haih... Manalah perempuan yang boleh meruntuhkan tembok hati Ben Azir ini....

Kerusi di sebelah ditarik oleh seseorang. Serentak itu aku menoleh. Tindakan refleks.

Wajah Elman tersenyum manis.

"Sayang...," bisiknya dari meja sebelah.

Aku buat tidak tahu. Ucapan sayangnya yang selama ini buat hati diusik rasa gembira, sekarang rasa seperti mahu baling saja buku ini melayang ke muka Elman.

"Sayang..." Dia panggil lagi.

Aku menjeling tajam sekilas. Wajah dia yang sedang tersenyum terus masam. Takut dengan jelingan aku. Baru kau tahu....

Sehelai kertas pula diletak di dihadapanku. Dengan kasar tangan mencapai kertas tersebut dan membaca isinya.

'Aku hanya bisa menuliskan mu puisi,

Untuk memujuk sekeping hati.

Yang ikhlas, kekasih.'

Kertas kecilnya aku gumpal dan baling semula ke meja sebelah. Mata Elman membulat. Dia mengangguk-angguk. Elman menulis lagi dan meletak lagi kertas di hadapan aku.

'Matamu basah umpama daun daun pagi ditempeli embun.

Hanya saja aku tak suka melihat itu menyesakkan dada,

Maukah kau cerita meluahkan yang kau rasa?'

Mata memandang Elman. Pandangannya meminta aku untuk berkata sesuatu.

"Tadi tu siapa?" Akhirnya aku yang mengalah. Argh!

Mengingatkan pesanan teks Abang Ben tadi, aku rasa ini adalah tindakan yang sewajarnya. Kalau tidak puas hati, aku kena tanya depan-depan terus.

Elman mengangkat sebelah kening. Kepalanya cuba mengingat kembali.

"Tadi... Yang mana?"

Bibir mencebik. Yang mana? Macam ramai aje ya... Aku menuding ke arah tangan Elman yang diraba-raba sebentar tadi.

Elman mengangguk beberapa kali. Senyuman melebar.

"Tadi tu tak ada apa. Sumpah! Elman pun tak tahu kenapa dia pegang tangan Elman." Riak wajah Elman agak meyakinkan.

Kerusi aku pusing menghadapnya.

"Kenapa tak tepis?" Bisikanku agak keras kali ini, menyelitkan sekali rasa cemburu yang sudah menggunung.

"Takkanlah sayang nak Elman tepis tangan dia depan orang macam tu. Lagi pun, Elman pun tak sedar dia pegang tangan Elman masa tu. Betul sayang... Bila sayang tanya ni baru Elman terfikir. Lagipun tadi Elman ajar dia jalan kira. Memang langsung tak perasan." Tapak tangannya di angkat.

Mata dikecilkan. Cuba menilai kejujuran di sebalik pandangan matanya itu. Ah, memang aku ini cemburu orangnya. Bagi aku, kalau itu teman lelaki aku orang lain tidak boleh tenung pun! Tapi aku ini punya common sense juga. Takkanlah aku mahu bawa garfu kemana-mana dan cucuk mata setiap wanita yang tenung teman lelaki aku.

Tadi saja ku kira agak melampau. Selamba badak raba tangan Elman aku! Menyesal pula tak bawa garfu. Kalau tidak, mahu aku cucuk dua-dua ekor sekali!

Bibir masih tidak mampu untuk mengukir senyum.

"Elman janji lepas ni Elman tak buat lagi. I'll be more careful next time," janjinya.

"Kalau jadi lagi sekali... Kita putus!" Aku memberi kata penamat.

Mata Elman terbeliak. Bukan sengaja aku membuat keputusan sebegini tetapi aku lebih kenal diri sendiri. Aku mungkin seorang perempuan yang berkeyakinan, tetapi sebenarnya akan jadi langsung tidak yakin diri jika membabitkan hal cinta kerana selalu merasa aku belum cukup baik untuknya.

"Elman janji! Janganlah buat keputusan macam tu. Takutlah..." Kening Elman bertaut.

"Bukannya Za sengaja. Kalau Za tak cakap, entah-entah lagi galak Elman biar dipegang-pegang sana sini." Bibirku terjuih sedikit ke hadapan.

"Kalau Elman ni lelaki yang macam tu, dah lama dah Elman buat. Tak perlu tunggu ada girlfriend, Za... Tapi, Elman ini setia orangnya. Dan hanya Za saja dalam hati Elman. Mana-mana pergi pun, Za yang pertama Elman fikirkan." Elman cuba meyakinkan.

Aku tahu Elman jujur dan ikhlas tetapi hati perempuan pasti terselit juga walau sekecil zarah rasa curiga. Tambah lagi hubungan kami yang masih baru.

"Sayang lapar tak? Tadi kata nak makan." Sebungkus keropok roda kegemaran aku dikeluarkan dari sweater-nya. Jari diletak di bibir. Kami tergelak kecil.

Ini perangai pengerusi wakil pelajar ke? Bawa makanan masuk perpustakan.

"Sayang makan ni dulu. Elman kena pergi jumpa lecturer sekejap. Kejap je...," pintanya lalu memasukkan semula kerusi ke dalam meja.

Laju aku menyorokkan keropok pemberian Elman ke dalam poket sweater. Setiap kali mahu makan, tangan aku seluk masuk ke dalam poket. Elman pula sibuk berbincang itu ini dengan salah seorang pensyarah veteran di universiti kami.

Mungkin inilah strong-point Elman. Dia seorang ketua yang bagus dan kerana perwatakannya yang sangat menggambarkan imej seorang ketua itu membuatkan dia menjadi tumpuan para wanita, kecuali aku. Sebab aku ini separa sahaja sifat wanita. Separa lagi tidak dapat dikenalpasti. Alien kut.

Mata melekat kepada Elman Harith yang sedang leka berbual-bual dengan pensyarah. Hajat ke sini untuk membaca buku sudah beralih arah. Memerhati Elman lebih mengasyikkan dari membaca.

•••


Previous: Bab 5
Next: Bab 7

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Chryst