Home Novel Cinta Kita Terpaksa Bermusuhan
Kita Terpaksa Bermusuhan
Maryani Zailani
11/11/2022 11:01:07
24,702
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Senarai Bab
Bab 1

Mereka sudah berdiri di luar sebuah bilik bacaan. Butler itu membukakan pintu, mereka masuk ke dalamnya. Mawar terkejut apabila butler itu menutup pintu bilik dengan kuat dan kasar sebelum meninggalkan dia dan Kidman di situ. 

Beberapa kayu dijilat api dalam kawasan pendiangan. Hairan kerana tidak menyangka suhu di kawasan setempat membuatkan penghuninya menghidupkan pendiangan api. Biarpun aneh, Mawar berasa selesa dengan suhu bilik itu. Sedikit sebanyak dia tidak mengigil-gigil seperti di luar tadi.

Seterusnya, rak-rak berasaskan kayu dipenuhi buku terletak rapat dengan dinding, sama seperti kebanyakan rumah besar sebegitu. Barulah tersedar ada seseorang sedang duduk di atas sofa membelakangi kedudukan mereka. Kelihatannya seperti sedang membaca sesebuah buku dengan khyusuk sehingga tidak menyedari sedang didatangi tetamu.

“Mr.x?” Tegur Mawar dengan berhati-hati, terintai-intai untuk melihat wajahnya. Mereka tidak pernah bersua dan tidak pernah melihat wajah antara satu sama lain.

Seseorang itu menoleh sedikit. Mawar dan Kidman melihat seseorang itu memakai topi jenis Panama.

“Dah lama saya tunggu kedatangan awak berdua,” suaranya garau.

Berdebar-debar pula Mawar dan Kidman. Mawar lagilah, rasa ingin pecah jantungnya lantaran gemuruh secara tiba-tiba. Perasaan yang aneh untuk urusan mereka hari ini.

Sebaik sahaja dia berdiri dan memperlihatkan wajahnya, mereka berdua tergamam dan hampir menjerit. Apa tidaknya, wajah lelaki itu dibungkus sepenuhnya dengan kain kasa, kain yang selalunya digunakan untuk membalut luka, turut berkaca mata hitam, skarft coklat meliliti leher dan berbaju tebal seumpama berada di negara yang dilanda musim sejuk.


Permainan sudah dimulakan. Mawar memulakan langkah pertama, menggerakkan buah catur Pawn berwarna putih ke petak c4. Mr.x dengan buah catur Pawn hitam tidak berfikir lama, menggerakkan Pawn ke petak e6.

Kidman hanya memerhati, sesekali menyedut rokoknya. Dia tidak berapa minat untuk bermain permainan tersebut dan tentu juga tidak berapa mahir. Baginya, itu suatu permainan yang bosan dan tidak produktif. Dia lebih menggemari acara lasak seperti menunggang kuda dan memburu pada waktu lapang.

Sebelum permainan bermula tadi, Mr.x menceritakan kisah dirinya dalam keadaan wajah berbalut begitu. Menurutnya, dia mengalami kemalangan jalan raya beberapa minggu lepas. Kenderaannya remuk berlanggaran penghadang jalan. Kaca cermin berkecai menusuk hampir seluruh wajah lalu mencacatkannya. Maka, rawatan pembentukan semula struktur muka terpaksa dilakukan.

Di tengah-tengah permainan begini, Mawar mengeluh, penceritaan itu terasa seperti sebuah kisah dongeng menurutnya. Tega-tega dia tidak percaya kisah itu. Seharusnya, perkara itu tidak diambil pusing. Cuma, dia mengingatkan dirinya harus berhati-hati dengan susuk misteri di depannya. Dia berharap permainan ini akan segera berakhir. Kali pertama dalam melakukan urusan, dia berasa tidak selesa dan kurang bicara.

“Awak gemar bermain catur?” Soalan itu mengembalikan Mawar ke alam nyata. 

“Ya… sikit-sikit,” jawab secara tidak pasti sambil menggerakkan Knight ke petak c3 tanpa perancangan. Bermain untuk memuaskan hati pelanggan, tidak kisah kalah mahu pun menang.

“Puan tentu tahu… catur mengajar tentang strategi untuk memperoleh kemenangan. Macam Sun Tzu kata, sesuatu tanpa strategi ialah suatu yang sia-sia,” beritahunya tanpa segan lalu menggerakkan Pawn ke d5.

Tidak tahu mengapa Mawar tidak selesa dengan maklumat itu. Lidahnya pula kelu untuk berkata apa-apa. Mungkin hari masih awal pagi, dia sedikit sebanyak sukar untuk menghadam dengan lebih terperinci info terbabit. Jarinya menggerakkan Pawn ke d4. 

Berlainan dengan Kidman, maklumat itu dianggap bulat-bulat sebagai cara-cara untuk mencapai sesuatu dalam hidup. Ya, sesuatu tanpa strategi tidak akan ke mana. Macam kegiatan haram mereka, kerana strategi yang diatur rapi, sampai ke hari ini mereka tetap tidak kecundang.

“Permainan yang hebat tentu dimainkan untuk orang mempunyai pemikiran hebat jugakan,” sampuk Kidman dengan niat untuk nampak bijak dan disambut dengan tawa sinis Mr.X. 

Mawar semakin sangsi dengan lelaki itu.

“Tapi, you know… ending permainan akan menjadi berbeza tiap kali kita bermain. We never know the ending. Macam hidup kita... daripada berada di atas, dalam sekelip mata boleh berada di bawah ibarat putaran roda.”

Lagilah kata-kata Mr.x membuatkan Mawar penasaran dengan maksudnya.

Keadaan sepi seketika. Masing-masing senyap dan fokus dengan mengira langkah yang perlu diambil seterusnya. Mawar menjadi lebih teliti dan tidak seperti tadi. Dia menggerakkan buahnya caturnya setelah berfikir masak-masak. Permainan menjadi sengit apabila masing-masing saling perangkap-memerangkap.

Kidman menjadi teruja tiba-tiba. Berpeluh-peluh menunggu pemenangnya, menjangkakan permainan itu akan berakhir dalam masa singkat. Ternyata, jangkaan itu melesit kerana mereka sudah bermain melebihi satu jam. Sudah habis sekotak rokok menemani Kidman menyaksikan perlawanan sengit itu.

Tiba suatu keadaan, King milik Mawar terperangkap. Dia sudah kehabisan gerak. Mawar tahu, di sebalik wajah Mr.x berbalut, dia seakan mampu membayangkan lelaki itu tersenyum sinis. Dia berdengus kuat, tidak mampu menerima kekalahan sedangkan tadinya tidak kisah langsung mengenai keputusan akhir.

Tangannya terasa ringan untuk menepis papan catur, namun sedaya upaya Mawar mencuba untuk bersabar dan menyembunyikan kekecewaan. Tergetar-getar dia menguntum senyuman, berang yang cuba dikawal. Sesunguhnya, dia benci akan kekalahan.

Mr.x mengangkat buah Queen miliknya pada petak d5 yang memerangkap King Mawar di petak h1. Dia mencium Queen, simbolik meraikan kemenangannya. Mawar tidak dapat menyangkal, merasa meluat dengan tindakan lelaki itu.

“Bagaimana kalau strategi itu menemui kegagalan pada suatu masa?” 

Mawar berasa diperli cukup-cukup ketika itu di atas kekalahan dalam permainan catur. Kidman tersengih-sengih melihat wajah putih Mawar memerah menahan marah, tunggu masa untuk meletup sahaja.

Mawar berdehem-dehem perlahan dan berharap nada suaranya tidak kedengaran seperti marah dan tersinggung dengan kekalahan yang dihadapi dalam permainan itu. Dia dalam persalinan suit merah hati, membetul-betulkan suit dengan menarik hujungnya.

“Well… rancang kembali strategi tersebut. Istilah putus asa seharusnya tidak wujud kalau ingin berjaya,” balasnya, sedaya-upaya bersikap professional.

“Oh, yakah? Kalau tersalah langkah itu pula tidak disedari… bagaimana?”

“Tuan provoke saya?” Pantas Mawar membalas, dibuat-buat ketawa untuk mencuba menahan amarah walau nyata kelihatan pada riak wajah.

Kidman dari bawah meja menyinggung kaki Mawar, dia memberi isyarat mata agar perempuan itu tidak segera melenting. Teruskan mengikuti rentak perbualan Mr.x agar urus niaga itu berjalan lancar. Paling penting, mengelakkan perbuatan yang boleh menyebabkan Mr.x turn-off atau membatalkan urus niaga mereka. Jika itu berlaku, suatu kerugian buat mereka berdua.

“Apa pendapat puan mengenai seorang wanita yang membohongi kekasih hatinya? Awak tahu… mempermain-mainkan sifat murni sang kekasih. Seperti sepandai-pandai tupai melompat akhirnya jauh ke tanah jua.”

Terus terbeliak mata Mawar. Memang seperti ditampar-tampar berulang kali dengan kata-kata berbisa Mr.x. Situasi seperti yang sedang berlaku kepada dirinya. Mencanak naik bar kemarahannya. Langsung tidak mampu berpura-pura senyum mahu pun ketawa.

“Mr.x… permainannya sudah tamat. Apa kata kalau kita teruskan kepada bisnes utama kita,” Kidman memotong Mawar yang mahu membalas kata-kata Mr.x.

Kidman menggenggam kuat tangan Mawar untuk kekal tutup mulut, biar dia mengambil alih perbualan seterusnya.

Laju Kidman mendekatkan bungkusan dibawa tadi ke Mr.x. Selalunya, pelanggan mereka pasti ingin bungkusan itu dibuka untuk dilihat keadaan lukisan. Baru sahaja mengeluarkan pisau untuk memotong tape yang ditampal, suara Mr.x membejatkan pergerakannya.

“Same goes to business. Apabila meletakkan wang sebagai keutamaan. Tindakan yang boleh membunuh pengkarya dalam tak sedar… bukan begitu Encik Kidman?” Lanjut Mr.x lagi, berlapik-lapik tetapi tajam menikam-nikam.

Kidman dan Mawar saling berpandangan, mulai tidak sedap hati dengan permainan kata-kata Mr.x.

Tangan Mawar senyap-senyap menjalar ke dalam poket suit, meraba seketika senjata api yang dibawa. Dia akan menggunakan senjata itu jikalau keadaan mendesak. Jika Mr.x berani-berani melanjutkan kata-katanya, dia tidak akan teragak-agak untuk memastikan peluru senjata apinya menembusi kepalanya hari ini. Senjatanya begitu tidak sabar untuk bertindak hari ini.

“Who are you?” Tanya Mawar, suaranya kedengaran mendesak.

Tidak semena-mena dia berasa mereka sedang dipermainkan.

Mr.x meletakkan siku di atas meja, mengurut dagu berbalut kain kasa lalu ketawa yang seakan mengejek mereka berdua.

“Seseorang yang awak berdua kenal… terlalu kenal sehingga mudah diperbodohkan selama ini.”

Mereka berdua terkejut, berdebar hebat dan meneka-neka siapa di sebalik balutan. Mungkin salah seorang daripada pelanggan penipuan mereka. Rasanya tidak mungkin kerana selama ini operasi mereka berjalan dengan lancar sekali.

Mr.x meletakkan kembali buah Queen di tempat tadi.

“Itu… dalam tu printing sahaja. Aku tahu itu,” nadanya kedengaran tenang tetapi berjaya memeranjatkan mereka berdua. Jari telunjuk menunjuk kotak yang dibawa mereka berdua.

Demi mendengar sahaja kata-kata itu, selaju kiraan 1, 2, 3 pantas Mawar berdiri lalu mengeluarkan senjata api lalu diacukan ke arah Mr.x.

Kejutan tidak berakhir di situ kerana semasa Mawar mengeluarkan senjatanya, Mr.x ternyata lagi laju daripadanya. Kini, mereka saling acu-mengacukan. Tidak ketinggalan Kidman mengarahkan senjatanya ke arah Mr.x. Masing-masing pegun untuk beberapa saat.

“Aku percaya kau sengaja membalut muka sendiri! Siapa kau dan apa yang kau nak?” Herdik wanita itu, dadanya turun naik. Merah padan terus mukanya menahan rasa bengang. 

Mr.x ketawa kuat-kuat setelah ditahan-tahan dari tadi. Herdikan Mawar berjaya membuatkan dia meleraikan balutan meliliti mukanya. Dia mencampak jauh cermin mata hitam ke lantai.

Mawar berderau kerana seakan mengenal sepasang mata itu, milik seperti seseorang yang terasa dekat di hati.

“Tak mungkin…” belum habis Mr.x meleraikan balutan, dia sudah berasa kalah.

Pegangan senjata api makin tidak kemas dan longgar sehingga hampir-hampir terjatuh ke lantai. Dalam dilema samada meletakkan senjata api atau tetap kekal berkeras untuk melepaskan tembakan.

Kain balutan dicampak ke atas lantai. Terkebil-kebil mereka melihatnya, kejutan demi kejutan sedikit sebanyak membawa terbang semangat mereka. Ya, memang lelaki yang dianggap sebagai Mr.x itu sangat-sangat dikenali mereka berdua. Hari ini, mereka berasa terperangkap sekali. 

Mawar dan Kidman bersuara serentak.

“Kau…” Besar kecil bola mata Kidman.

Dalam hati, Kidman tahu Mawar tidak akan tergamak membiarkan senjata apinya memuntahkan peluru lalu mengenai Mr.x. Jika sampai hal itu terjadi, nampaknya dia terpaksa mengambil langkah sendiri. Rahsia Mawar, rahsianya juga.

“Awak…” Automatik terketar-ketar tangannya memegang pistol tetapi tetap sahaja diacukan dengan perasaan serba salah. Dia benci dengan situasi ketika ini, meletakkan dirinya dalam keadaan serba salah. Bagai buah catur King miliknya tadi, bergerak ke kanan, mati. Ke kiri pun mati. 

“Checkmate!” Seperti yang diucapkan Mr.x, mereka merasa kalah sekali dan Mawar, mengerti sebab permainan itu dipinta.


Previous: PROLOG
Next: Bab 2

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.