Home Novel Cinta Khas Buat Suraya Anne!
Khas Buat Suraya Anne!
kamika
3/2/2022 09:59:01
9,450
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 20

Jam 5.00 pagi Dr. Adrian bertolak pulang dari hospital ke studio untuk membersihkan diri dan menukar pakaian. Sebenarnya lelapnya malam tadi tidur-tidur ayam sahaja.

"Dia tetap nak ikut. Selesai urusan dikampung dia akan balik ke sini untuk jaga abahnya pula." maklum Hanis melalui panggilan telefon yang dibuat ketika dalam perjalanan kembali ke hospital. Dr. Adrian menekan pedal minyak. Menambah kelajuan. Semalam dia sempat bertukar nombor telefon sebelum gadis itu pulang ke rumah bakal mertuanya.

"Sekarang tengah buat apa?" Tanya Dr. Adrian melalui alat Bluetooth yang dilekatkan ditelinga.

"Tunggu post mortem. Belum siap lagi."

"Terus bawa ke kampung?"

"Tak. Akan dimandikan di masjid di sini dahulu. Dah selesai urusan baru bertolak." jelas Hanis lagi.

"Encik Fauzi macam mana?"

"Hari ni doktor nak lakukan CT scan. Tapi I dengar kalau tak ada apa-apa dalam masa terdekat abah dah boleh discharge." kata Hanis dihujung talian. Dr. Adrian mengucap syukur.

Setibanya diperkarangan bilik mayat, kelihatan Suraya, Hanis dan Irfan sedang menunggu di sebuah pondok rehat berdekatan. Suraya duduk dibirai dengan menjadikan tiang pondok sebagai tempat bersandar. Hanis disebelahnya. Manakala Irfan berdiri berhampiran mereka berdua. Kedatangannya disambut dengan sekilas pandang sebelum gadis itu kembali melihat buku kecil ditangan dengan mulut yang terkumat-kamit. Dr. Adrian memerhati. Senaskhah Surat Yasin dipegang. Gadis itu masih di dalam pakaian semalam. Wajahnya nampak lesu. Mata yang dalam itu kelihatan sedikit bengkak dan di bawahnya ada lebam yang agak samar tonanya.

"Semua dah breakfast ke?" Tanya Dr. Adrian saat Irfan didekati. Pemuda itu menggeleng.

"Nah. I ada belikan sarapan. I rasa better you all makan dulu. Masih banyak perkara perlu diuruskan selepas ini."

Dihulurkan sarapan yang dibeli dipertengahan jalan tadi kepada Hanis.

"Yaya, betul cakap bos kau tu. Banyak lagi urusan yang nak kena buat ni. Lagipun Irfan kena masuk kerja. Kita saja yang ada untuk uruskan." ujar Hanis lembut sambil meletakkan tangannya di atas bahu Suraya. Tanpa mengangkat wajah satu anggukan diberikan. Senang sedikit hati Dr. Adrian melihat keadaan Suraya pada pagi ini. Tiada pergerakan auto-mode itu.

"Yaya, sorry. Aku kena masuk kerja. Kau tahukan kerja aku macam mana. Tak boleh tinggal kalau tak ada pengganti. Inshaallah petang nanti aku cuba datang ziarah abah kau." tutur Irfan meminta diri. Suraya tidak menyahut. Masih dengan isyarat anggukan kepala sahaja. Dia memahami tanggungjawab berat yang digalas oleh jurutera pelabuhan itu.

"Thanks untuk breakfast ni. Sorry tak dapat join sama. Insyaallah lain waktu."

Dr. Adrian angguk sambil menjabat tangan yang dihulurkan. Irfan beredar bersama kopi ditangan. Diiringi dengan lirikan daripada Hanis hingga lelaki itu menghilang. Hanis mempelawa Dr. Adrian makan. Ditolak sopan. Hanya minuman yang menjadi santapan. Dia mengambil tempat dihujung birai lagi satu. Menjadi pemerhati. Dilihat Hanis melayan kawan karibnya itu dengan penuh kesabaran. Suraya meletakkan naskhah yang dipegang di atas tembok dibelakangnya. Bekas nasi lemak dibuka dan dihulurkan kepada Suraya. Gadis itu menyambutnya. Kemudian dihulurkan sebatang sudu plastik. Diambil dan gadis itu mula menjamah sarapan bersama sahabat sejatinya itu. Mereka makan di dalam diam. Apabila selesai, mereka masih terpacak menunggu. Jam sudah menunjuk ke angka 7.30 pagi. Cuaca pagi itu cerah namun masih terasa kedinginan pagi. Hanis tiba-tiba bangun sebaik menyedari seorang staf kesihatan sedang menolak satu troli mayat yang lengkap ditutupi dengan sebuah penutup besi. Suraya dan Dr. Adrian mengikuti dari belakang. Tanpa menunggu lama Suraya terlebih dahulu mendekati troli mayat tersebut. Namun sedikit teragak-agak. Staf lelaki itu mengangguk dan segaris senyuman dipamer meyakinkan Suraya bahawa mayat yang ditolak itu ialah mayat ibunya yang sudah selesai menjalani proses post mortem. Telapak tangan dibawa menyentuh penutup besi yang sejuk itu. Mulutnya masih terkumat-kamit. Wajahnya nampak tenang tetapi tiada siapa tahu gejolak didada. Surah Yasin yang memang dalam hafalan diulang baca. Tidak dihiraukan perbincangan yang sedang berlaku.

"Okay, ini dokumen tadi. Kalau boleh buat beberapa salinan. Permit pengebumian ni cik serahkan kepada penjaga tanah kubur dan lagi satu untuk daftar kematian di JPN." ucap lelaki yang bertugas sebagai pembantu pegawai dijabatan forensik.

"Jadi sekarang kami kena buat apa, ya?" Soal Hanis.

"Disebabkan waris memilih untuk

menguruskan jenazah dengan menggunakan khidmat masjid berdekatan, jadi wakil dari Masjid Jamek yang akan ambil alih urusan seterusnya. Kami dah maklumkan kepada pihak mereka. Cik semua tunggulah. Sekejap lagi mereka akan sampai." jelas staf lelaki itu kemudian meminta izin untuk masuk ke pejabatnya.

"You tak kerja ke?" Tanya Hanis kepada Dr. Adrian.

"No. I cuti."

"You boleh ikut ke Melaka?"

"Sure, Hanis." sahut Dr. Adrian dengan segaris senyuman yang meyakinkan.

"Okay, okay. Kalau macam tu. Kita bincang apa yang perlu kita lakukan." cadang Hanis. Dr. Adrian angguk. Lega dengan sikap cekap dan mudah menyesuaikan diri gadis itu. Sepuluh minit berlalu sebuah van jenazah tiba. Staf lelaki yang membantu dalam pengurusan jenazah arwah Puan Norlin kembali mendapatkan mereka dan memperkenalkan Haji Omar selaku wakil dari pihak masjid. Seperti dirancang Suraya menaiki van jenazah tersebut yang akan dibawa ke masjid untuk urusan mandi, kafan dan solat sebelum dibawa pulang ke kampung. Haji Omar ramah orangnya. Menjelaskan dengan teliti urusan yang akan dilaksanakan dan bantuan yang boleh dilakukan oleh waris si mati bagi membantu arwah dalam perjalanan mereka ke alam seterusnya. Dia mendengar dengan khusyuk. Hasratnya tiada lain ketika itu melainkan untuk menghadiahkan amalan yang terbaik disaat jasad ibunya belum dikandung oleh tanah. Hadiah terakhir, saat dia mampu melihat jasad itu dengan kedua matanya. Juga hadiah terakhir, sebelum perpisahan itu dimeterai dengan bacaan talkin. Perjalanan singkat dari hospital ke Masjid Jamek kira-kira lima belas minit sahaja. Sepanjang perjalanan tidak berhenti hati mewiridkan selawat dengan harapan pahala yang diperlolehi ke atas ibadah itu dapat dihadiahkan kepada arwah. Tiba diperkarangan masjid, van jenazah itu terus berhenti berdekatan dengan sebuah bangunan kecil. Dia turun sebaik Haji Omar dan pembantunya itu turun. Tiga orang wanita sedia menunggu dihadapan bangunan kecil itu. Masing-masing mengenakan baju kurung yang dilapisi dengan apron plastik dan sarung tangan. Tidak jauh dari mereka masih ada beberapa orang lelaki yang turut menunggu. Barangkali ahli jawatan kuasa masjid. Setelah dikenalkan barulah Suraya tahu ketiga-tiga wanita itulah yang akan memandikan arwah sebentar lagi.

"Yaya.."

Dia tersentak. Baru perasan Hanis mengekori. Ditoleh ke belakang sekilas. Ternampak Dr. Adrian berdiri tidak jauh darinya. Setelah troli jenazah diturunkan dan ditolak ke dalam sebuah bilik yang dijadikan sebagai tempat mandi mayat, jemaah lelaki itu keluar. Bilik kecil itu mempunyai satu binaan simen yang dibina ditengah-tengahnya. Di atas binaan itu jasad ibunya diletakkan. Dikiri dan kanan terdapat almari dan meja panjang. Alatan untuk kegunaan memandikan jenazah tersedia.

"Siapa?" Tanya salah seorang wanita yang memakai kaca mata.

"Anak." sahut Suraya ringkas. Wanita itu senyum.

"Mari tolong. Hadiah terakhir untuk arwah."

Dipagut sayu namun dia dan Hanis menurut. Ketika kain putih yang membaluti wajah ibunya dibuka, air mata mula bergenang. Namun sudah tekad. Dia mahu mengabadikan saat-saat akhir bersama ibunya sebaik-baiknya. Lama wajah itu direnung. Tepu dengan kerinduan kerana jasad yang sedang ditatap itu sudah tidak bernyawa lagi. Sehelai kain batik lepas dialas ke atas jasad ibunya sementara kain putih itu ditarik perlahan-lahan dari membaluti tubuh arwah. Pancutan air yang sederhana dipancur keseluruhan jasad. Bibirnya dikemam melihatkan warna air yang mengalir berubah merah. Dia menarik nafas. Bau darah segar. Tapi bau itu pasti akan diingati selama ingatannya mahu mengingat. Hanis memegang lengan Suraya dengan kuat.

"Sorry, Yaya. Aku terpaksa keluar dulu." bisik Hanis ditelinga. Dia mengerti. Gadis itu seorang yang takutkan darah semenjak kecil. Bersungguh-sungguh dia memanjatkan doa memohon agar terus diberikan kekuatan dan ketabahan untuk berada disamping jasad ibunya itu. Dua orang wanita yang lain mula bersama-sama melakukan proses mengistinjakkan mayat. Pada mulanya dia memerhati sahaja namun wanita yang berkaca mata yang berdiri bertentangan dengannya meminta agar Suraya membantunya menampung kepala ibunya seketika untuk memudahkan kekotoran yang masih berbaki di dalam perut dapat dikeluarkan. Lebih kurang sepuluh minit barulah ianya selesai. Lalu, kapas dihulurkan kepadanya.

"Bersihkan muka ibu." arah wanita berkaca mata itu lembut. Dia mengambil. Teragak-agak. Di pandang wajah ibunya yang tertutup rapat matanya.

'Yaya sayang sangat dekat mummy.'

Hati kecilnya berbisik lantas kapas itu disapukan ke kelopak yang bertutup. Kanan dan kiri. Kemudian, dicapai putik kapas yang ada, dibasahkan lalu kelopak mata itu dibersihkan dengan penuh kelembutan. Telinga dan hidung arwah dibersihkan namun, dia meminta wanita dihadapannya untuk memeriksa kerja-kerjanya kerana dia tidak pasti andai usahanya itu betul atau tidak. Selesai kerja membersih, disirami jasad dari hujung rambut hingga ke hujung kaki dengan tiga kali siraman air mutlak. Lalu disiramkan tiga kali lagi disebelah kanan. Begitu juga sebelah kiri. Dimiringkan pula kanan dan kiri. Kesemuanya dilakukan untuk meratakan air ke tubuh. Kemudian menggunakan sabun jenis cecair disabunkan jasad arwah dari hujung rambut hingga ke hujung kaki. Dia menurut apa saja arahan yang diberikan oleh para tukang mandi jenazah. Disuruh gosok dia gosok. Disuruh bersihkan kotoran yang tertinggal dicelah kuku dia bersihkan. Apa saja dia buat demi ibunda tercinta. Terakhir sebelumnya, siraman air kapur barus sebanyak tiga kali lagi. Selesai. Kain batik lepas ditarik perlahan ketika sehelai kain yang baharu yang kering digantikan. Diberikan sehelai tuala kepada Suraya. Masing-masing mengelap jasad arwah hingga kering. Salah seorang dari wanita itu keluar sebelum kembali dengan membawa kain kapan yang siap dipotongkan dengan lapisan plastik terselit di antara lapisan kain itu. Troli mayat yang digunakan dihamparkan di atasnya dengan kain kapan tersebut. Beberapa jemaah lelaki dipanggil bagi membantu memindahkan mayat ke atas troli pula. Urusan mengkafankan dimulai. Suraya tercegat memerhati. Membiarkan mereka yang arif melakukan bahagian itu.

"Nak, mari. Nak cium ibu tak?"

Sebal. Debar dan bergetar tubuh tatkala jasad yang siap dikapankan didekati. Hanya wajahnya sahaja yang belum dilitupi. Wajah arwah direnungi sebelum kedua belah tangan mendakap jasad yang beku itu.

"Mummy, Yaya sayang dan rindukan mummy. Inshaallah kita akan berjumpa lagi ye, mummy." ucapnya lantas satu kucupan terakhir yang agak lama dijatuhkan ke dahi ibunya. Buat kali terakhir juga kepalanya diletakkan di atas dada ibunya. Didakap sepenuh hati jasad yang tidak lagi bernyawa itu. Hanya haruman kapur barus yang dihidu. Berakhir sudah haruman kasih ibu yang melingkari tubuh itu sepanjang dua puluh lima tahun hidupnya di dunia fana ini. Air mata yang tertahan tumpah ketika wajahnya diangkat. Diseka dengan hujung sweater yang dipakai. Kemudian dia memaksa sebuah senyuman diukirkan kepada tiga orang wanita yang sedang memandangnya sayu.

Sekali lagi jemaah lelaki dipanggil. Dia pula berhasrat untuk keluar kerana urusan seterusnya adalah untuk disolatkan jenazah pula. Ketika keluar alangkah terkejutnya tatkala mendapati wajah-wajah yang ditemui dipejabat sedang berkumpul disebuah pondok wakaf berhampiran.

"Anne.." seru Amy yang bergegas meluru ke arahnya. Satu pelukan erat diberikan. Begitu juga dengan Lisa dan Sharon yang turut ada menziarahinya.

"Takziah, Anne." ujar Amy dengan perasaan sayu. Dia mengukir segaris senyuman. Terharu dengan keprihatinan mereka semua.

"Aku basah ni. Tak payahlah peluk-peluk." katanya perlahan. Mereka sama-sama menggeleng.

"Alah, sikit je basah kau. Takpe. Mari, yang lain-lain datang nak jumpa kau tu." ujar Lisa pula. Mereka berjalan beriringan. Dia dapat melihat Mr. Lee dan teman dari tingkat enam. Kemudian beberapa teman dari tingkat tujuh. Malah ada di antara mereka yang tidak dia kenali. Masing-masing menghantar pandangan simpati kepadanya.

"Takziah, Anne. Banyak-banyakkan sabar dan berdoa. Aku nak masuk. Nak ikut solat jenazah." kata Hadi ketika menghampiri kemudian beredar bersama Aidil dan beberapa orang staf yang lain menuju ke dalam masjid. Suraya mencari Hanis yang sedang duduk di bawah pondok. Dihampiri lalu berlabuh disebelahnya.

"Anne, sorry for you lost."

Sambil mendongak dia menganggukkan kepala.

"Ada sedikit bantuan dari syarikat." ucap Mr. Lee sambil menghulurkan sekeping sampul surat berwarna putih kepada Suraya.

"Apa saja bantuan yang you perlukan you boleh maklumkan pada I. Kalau you segan Dr. Adrian ada. We'll try our best to help you out during this difficult time, okay."

"Terima kasih." sahutnya. Tidak banyak bicara dituturkan. Kerana dia tidak mampu mengendalikan perasaan terharunya dengan kehadiran mereka semua yang mengambil berat akan situasinya ketika itu. Kedengaran suara dari dalam masjid melaungkan bacaan solat yang sedang ditunaikan hampir ke penghujung. Doa dibacakan dan dia menadahkan kedua tangan bersama-sama memohon ke hadrat Ilahi akan rahmatNya tercurah kepada arwah. Ketika jenazah dimasukkan ke dalam van sekali lagi dia menghampiri kumpulan lawatan dari syarikatnya itu.

"Terima kasih semua sebab sanggup datang ke sini. Saya tak mampu balas budi baik semua yang ada." ucapnya kepada teman-teman yang berada berhampiran. Dengan perasaan yang bercampur baur dia masuk ke dalam van jenazah bagi menemani perjalanan terakhir arwah ibunya. Dari dalam van dia melihat Sharon, Amy dan Lisa menyapu air mata yang gugur. Hari itu bukan dia seorang yang bersedih dan berkabung. Rupa-rupanya masih ramai yang bisa berkongsi rasa itu meskipun mereka tidak mempunyai sebarang pertalian. Suraya tersenyum meskipun air mata terus mengalir tanpa diketahui bila ia akan berhenti.

Previous: Bab 19
Next: Bab 21

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.