Home Novel Cinta Khas Buat Suraya Anne!
Khas Buat Suraya Anne!
kamika
3/2/2022 09:59:01
9,451
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 16

"Abah! Nanti! Sekejap ye.. Yaya nak ambil gambar dulu. Nak bagi Hanis tengok. Mesti dia jealous tak dapat join." kata Suraya sambil tergelak kecil. Encik Fauzi tak jadi mencapai bingka labu yang diletakkan di dalam bekas makanan warna ungu itu. Dia yang masih berdiri cepat-cepat mengambil tempat ditengah-tengah. Dua kali swafoto dirakamkan dan dia terus duduk di situ di atas tikar mengkuang yang dijadikan sebagai alas dari pepasir pantai. Popia basah dan pisang goreng turut dijadikan bekalan perkelahan mereka pada petang itu. Dari pagi lagi Puan Norlin sudah mewar-warkan rancangan untuk berkelah. Seingatnya memang sudah lama benar mereka tidak melakukan aktiviti itu bersama-sama. Jam lima petang mereka bertolak dari rumah. Singgah sebentar disebuah gerai menjual goreng pisang. Bekalan yang disiapkan dirumah adalah bingka labu kegemaran abah. Manakala popia dan minuman dibeli ketika singgah membeli pisang goreng itu. Suraya mencapai seketul pisang goreng lalu dibawa ke mulut. Hujung minggu merupakan waktu terbaik meluangkan masa bersama keluarga. Tidak hanya mereka yang berkunjung ke situ malah, disepanjang pantai itu penuh dengan pengunjung yang lain. Ada yang sedang duduk berkelah seperti mereka bertiga, ada yang sedang berjalan dipesisiran pantai. Ombak sederhana besar tidak menjadi penghalang buat sebahagian yang lain untuk mandi-manda.

"Tengok tu, Yaya. Dulu masa Yaya kecil Yaya suka sangat kalau kena dukung macam tu."

Encik Fauzi berkata sambil jari telunjuk menunjuk ke suatu arah. Serentak Suraya dan Puan Norlin menoleh. Seorang kanak-kanak lelaki yang masih kecil sedang didukung dibahu seorang lelaki dewasa. Wajah mereka berdua girang sambil berlari anak. Manakala seorang wanita tertawa riang mengejar dibelakang. Dia menduga andai ketiga-tiga mereka itu ialah satu keluarga yang bahagia.

"Betul tu, abah. Kalau tak dapat dia bergayut

pada kaki abah hinggalah abah dukung dia." Muka Suraya merah padam.

"Abah! Mummy! Sampai hati.." ujarnya pura-pura marah. Encik Fauzi dan Puan Norlin makin galak ketawa membuatkan dia tak jadi nak merajuk. Dia turut tertawa.

"Masa tu Yaya umur berapa, abah?" Tanya Suraya ingin tahu. Alang-alang bercerita biarlah diceritakan kesemuanya. Rupa-rupanya masih banyak kenangan tentang dirinya ketika kecil yang belum diketahui.

"Dua tahun setengah." sahut Puan Norlin setelah dilihat Encik Fauzi seperti terkontang-kanting mengingati umur sebenar dirinya ketika itu.

"Iye. Abah dah ingat. Masa tu rambut Yaya panjangkan, mummy? Panjangnya nak cecah pinggang." kata Encik Fauzi pula. Puan Norlin mengangguk mengiyakan.

"Siapa saja yang tengok Yaya mesti geram. Comel sangat.. Rambut panjang, mata bulat, pipi pun bulat. Bila senyum dan ketawa lesung pipit kiri dan kanan." cerita Puan Norlin membuatkan dia tersipu. Puan Norlin mengelus lembut belakangnya. Menatap wajah buah hati penuh kasih. Agaknya memori sewaktu dia kecil sedang terlakar diminda ibunya itu.

"Sampaikan Aunty Lela nak jadikan Yaya anak angkat. Siap nak bawak balik tinggal dengan dia. Tapi abah dan mummy tak izinkan sebab Yaya seorang ajelah anak kami." tambah Encik Fauzi pula. Suraya membulatkan biji mata. Kali pertama mendengar rahsia hidupnya yang satu itu.

"Sebab tulah masa Yaya kecil Aunty Lela kerap datang ke rumah. Rindu dekat Yaya katanya."

"Laa.. Iyeke? Sampai macam tu sekali ye.." ujarnya seakan tidak percaya. Suraya menatap wajah bapa disisi. Encik Fauzi menganggukkan kepala. Dia tersenyum kecil.

"Sayangnya berlebihan. Sampai dibelikan pakaian dan mainan untuk Yaya, tau." celah Puan Norlin pula. Dia terkesima. Kenapa kedua orang tuanya tidak pernah menceritakan hal itu kepadanya? Memang diakui ramai Aunty Lela seorang yang baik hati tapi, tak sangka pula baiknya hati Aunty Lela berlebihan terhadap dirinya suatu masa dulu. Dan sehingga ke hari ini pun masih terasa sikap ambil berat Aunty Lela terhadapnya. Kadangkala ada saja juadah masakan yang dihantar ke rumah apabila mengetahui dia berada dikampung.

"Tapi, lepas tu barulah mummy faham. Aunty Lela nak sangat anak rupanya. Hampir sepuluh tahun selepas tu barulah Raj dilahirkan." kata Puan Norlin lagi mengakhiri kisah Aunty Lela itu. Kepalanya terangguk-angguk.

Apabila perut dirasakan sudah terisi diajak kedua orang tua berjalan-jalan menyusuri pinggiran. Tidak jauh. Kemudian, berpatah kembali.

"Abah, mummy.. Sebenarnya Yaya nak minta pendapat dan izin abah dan mummy." tuturnya usai mengemas. Ketika itu mereka duduk-duduk sahaja menikmati pemandangan matahari yang mula jatuh ke ufuk barat.

"Apa dia, Yaya?"

Puan Norlin terlebih dahulu menyahut.

"Sekarang ni Yaya dimasukkan ke dalam satu team yang memerlukan masa Yaya banyak diluar berbanding ofis." terangnya memulakan bicara.

"Team apa pulak?" celah Encik Fauzi ingin tahu.

"Drive Testing." jawabnya. Wajah kedua orang tua itu tampak bingung.

"Nama pun drive, kan? Jadi, sepanjang masa Yaya akan duduk dalam kereta yang bergerak untuk collect data dalam kawasan yang dah ditetapkan."

"Collect data?" soal Encik Fauzi. Dia mengangguk.

"Erm, collect data dari voice call yang dibuat menggunakan software tersendiri sepanjang drive test dilakukan. Kemudian, akan dianalisis oleh team yang lain pula untuk mengukur kekuatan signal yang tertangkap oleh handphone dan sebagainya." jelasnya panjang lebar. Kedua-duanya masih tampak bingung walaupun dia melihat kepala ibunya terangguk tadi. Ditarik sebuah senyuman.

"Kalau hasilnya elok?" Tanya Encik Fauzi. Penerangan anaknya dalam tugasan yang baharu itu menarik perhatiannya.

"Pass untuk commercial use. Cuma akan sentiasa di monitor dari semasa ke semasa."

"Kalau tak?" Soal Puan Norlin pula.

"Akan melalui proses troubleshooting. Data yang dikumpul akan disemak, dinilai bacaannya dan dikenal pasti yang mana satu punca. Contoh bila tengah bercakap di telefon tetapi tiba-tiba talian terputus.. Banyak kemungkinan yang boleh berlaku seperti masalah hardware di site, tiada signal, interference atau pun handover failure." ujarnya lagi. Wajah dua orang kesayangan buntu tetapi tetap tenang mendengar penjelasannya itu. Tak mengapalah. Asalkan mereka berdua memahami serba sedikit pun sudah memadai.

"Ermm.. Yaya boleh check network dekat kawasan ni?" Soal Encik Fauzi. Suraya anggukkan kepala.

"Tapi sikit aje sebab Yaya cuma ada phone Yaya je. Mari sini Yaya tunjukkan." sahutnya senang hati kerana dapat berkongsi antara slot tugas yang dilakukan. Telefon pintar di dalam slingbag dikeluarkan lalu aplikasi Speedtest disentuh dengan hujung jari. Encik Fauzi dan Puan Norlin merapati kedudukan.

"Abah dan mummy tengok ni. Latency, upload dan download." tuturnya menunjukkan skrin telefon yang dipegang kepada kedua orang tuanya.

"Nombor apa yang ditunjukkan tu?" tanya Encik Fauzi.

"Tempoh masa. Test yang Yaya buat sekarang ialah speedtest. Ianya untuk mengetahui berapa lama masa diambil untuk aplikasi atau server memberi respon."

"Jadi, ada masalah tak?" Tanya Puan Norlin sedari tadi hanya menjadi pemerhati.

"Kalau tengok bacaan kesemuanya dalam kadar optimum. Bermaksud internet dikawasan ni agak pantas." ujarnya. Encik Fauzi dan Puan Norlin sama-sama menganggukkan kepala. Seronok mendapat sedikit pengetahuan tentang pekerjaan anak mereka.

"Abah tak sangka pekerjaan anak abah ni untuk kemudahan orang ramai. Abah ingatkan Yaya duduk di ofis aje." ucap Encik Fauzi. Setahu Encik Fauzi anaknya itu lebih banyak menghabiskan masa di pejabat berbanding tapak projek meskipun ketika Suraya menerima lantikan itu ada dinyatakan akan kesediaan untuk bertugas di tapak projek pada bila-bila masa yang ditentukan oleh syarikat.

"Itulah kami, abah. Antara silent service yang berkhidmat untuk orang awam. Ada diantara kami merupakan hero-hero yang tak didendang seperti team technician dan juga rigger."

"Mereka buat kerja apa, Yaya?" Celah Puan Norlin.

"Mummy nampak tower tu?" Soalnya lantas jari menunjuk ke arah sebuah bukit di belakang mereka. Di atas bukit itu terpacak sebatang menara telekomunikasi. Kedua orang tuanya berpaling. Angguk.

"Yaya teka tinggi tower tu lebih dari tiga puluh lima meter. Sewaktu site tu masih kosong, technician yang dipanggil surveyor akan melakukan site survey dan, antara tugasnya panjat dan ambil gambar 360 darjah dari ketinggian yang mahu diletakkan antena." ceritanya penuh semangat.

"Kalau puncak?" tanya Puan Norlin.

"Sampai ke puncak dia panjat."

"Uishhh! Tinggi tu.." kata Puan Norlin lagi. Suraya tersenyum tipis.

"Kemudian, kerja-kerja installation equipment dilakukan dan technician atau rigger akan mengangkut antena ke atas menggunakan kaedah takal. Rigger akan berada dikedudukan antena yang bakal dipasang di atas dan yang lain pula dibawah. Kerja yang berisiko tinggi dan kadangkala tak terikat dengan jadual masa." hurainya panjang lebar. Dilihat Encik Fauzi dan Puan Norlin berbalas pandang. Bapanya menggelengkan kepala beberapa kali. Mungkin berasa kagum. Juga gerun.

"Sebenarnya abah, dalam bidang RF, kami ibarat lebah. Tak kiralah sama ada berkerja sebagai rigger, buat report, driver, drive test, planning atau opti dan lain-lain, satu demi satu saling berkaitan untuk tujuan yang sama. Keselesaan dan kemudahan pengguna. Belum lagi Yaya ceritakan pengorbanan mereka yang meredah hutan atau masuk ke kawasan pedalaman demi memastikan tidak seorang tercicir dari mendapat kemudahan yang disediakan." tambahnya lagi supaya kedua orang tuanya tidak salah faham akan tugas mereka yang saling memerlukan antara satu dengan yang lain itu. Kalau mahu cerita memang panjang. Berlembar kertas andai ditulis. Tetapi, cukuplah tugasan dirinya seorang yang diambil tahu oleh kedua orang tuanya itu.

Encik Fauzi dan Puan Norlin sama-sama menganggukkan kepala. Menerima penjelasan dan pandangan anak mereka dengan berbesar hati.

"Betul kata Yaya tu. Masing-masing ada tuntutan sendiri terhadap tanggungjawab yang diberikan. Besar pengorbanan mereka sebenarnya kepada kita semua." ulas Encik Fauzi. Suraya tersenyum tipis.

"Tapi, apa masalahnya, Yaya? Abah tengok Yaya macam dah faham sangat dengan kerja Yaya tu."

"Inilah yang Yaya nak bagitahu, abah,"

Dia diam sebentar. Telefon pintar yang berada ditangan disimpan.

"Bila Yaya buat test, memang masa akan banyak dihabiskan diluar dari duduk di pejabat. Kadang-kadang Yaya akan buat test pada waktu siang. Kadang-kadang malam. Macam mana? Abah dan mummy izinkan tak?"

Dia melabuhkan pandangan. Silih berganti antara bapa dan ibunya. Encik Fauzi dan Puan Norlin bertukar jelingan.

"Apa kata abah, mummy ikut aje." getus Puan Norlin.

"Abah bukan tak izin. Tapi, kerja waktu malam tu macam bahaya. Keselamatan Yaya macam mana? Ada keluar outstation tak?" Tanya Encik Fauzi berunsur kebimbangan.

"Buat masa ni belum ada outstation. Abah, kalau nak tahu bila bertugas Yaya tak buat sendirian. Syarikat ada mengupah pemandu. Kadang-kadang Yaya bersama kawan dalam team buat kerja tu bersama-sama."

"Oh, macam tu.."

Encik Fauzi diam. Namun, semacam masih belum berpuas hati.

"Abah sebenarnya bimbang sebab Yaya orang perempuan. Berapa ramai perempuan dalam team Yaya?"

"Err.. Yaya sorang."

"Apa??" Sahut Encik Fauzi dan Puan Norlin serentak.

"Abang, macam mana ni?" Tanya Puan Norlin. Gusar. Encik Fauzi diam lagi. Reaksi mereka berdua benar-benar menggerunkan dirinya hinggakan mengundang debar. Malah dia mula terasa peluang untuk berada di dalam kumpulan itu makin menjauh.

"Siapa bos Yaya?"

"Untuk projek ni, Dr. Adrian." jawab Suraya. Encik Fauzi mengangguk.

"Yang annoying tu ke?" Celah Puan Norlin. Dia menahan gelak. Tidak jadi ketawa melihat wajah bapanya masih serius.

"Annoying?" Sahut Encik Fauzi menatap wajah isterinya meminta penjelasan.

"Semalam Yaya mengadu perihal bos dia. Tapi bila mummy tanya mummy tak nampak pulak apa yang annoying sangat tu. Saja je Yaya ni nak tunjuk ragam." cerita Puan Norlin sambil menggeleng-gelengkan kepala. Tawa yang dipendam tak mampu ditahan. Suraya ketawa kecil. Peha ibunya ditepuk lembut. Tak habis-habis dia dikenakan oleh ibunya itu.

"Boleh tak Yaya telefon bos Yaya tu?"

Mati tawa kecilnya itu.

"Apa? Kenapa pulak abah? Abah nak suruh Yaya berhenti kerja ke?" Soalnya cemas. Sudah! Tak sangka perkara yang dirasakan kecil mampu bertukar menjadi masalah besar pula.

"Dengar dulu cakap abah. Esok abah dan mummy hantar Yaya balik KL. Esok juga abah nak jumpa bos Yaya tu. Walau macam mana pun, Yaya anak abah dan abah lebih berhak untuk tahu dengan jelas tentang pekerjaan Yaya. Keselamatan Yaya jadi keutamaan abah. Sekarang Yaya telefon bos Yaya maklumkan tentang perjumpaan esok." ucap Encik Fauzi umpama satu arahan. Terkebil-kebil dia memandang orang tuanya. Kedua-duanya seperti sedang menanti dia melaksanakan perintah itu. Lambat-lambat telefon dikeluarkan. Nombor Dr. Adrian dicari lalu disentuh dengan sedikit rasa gemuruh. Pasti lelaki itu hairan kerana menerima panggilan daripadanya pada hujung minggu begitu. Beberapa saat menanti suara lelaki itu dapat didengari menyambut panggilannya.

"Suraya, are you okay?"

Sah. Seperti dijangka seharusnya lelaki itu kebimbangan.

"Assalamualaikum, Dr. Adrian. Saya okay. Tak ada apa-apa."

Sepi. Hanya sayup-sayup jawaban salam itu kedengaran.

"Erm, esok boleh tak kalau saya nak jumpa dengan Dr. Adrian?" katanya teragak-agak. Sepi lagi.

"Oh, that's fascinating, Suraya. Tapi, kenapa nak jumpa saya? Ada hal apa?" Soal Dr. Adrian hairan. Dia terkelu.

'Macam mana nak cakap ni?'

Dikerling dua wajah di sisi. Sedang memerhati semacam menunggu bahagian temujanji itu disahkan.

"S-sebenarnya bukan saya yang nak jumpa. Tapi.. A-abah saya."

Tergagap-gagap dia menjelaskan. Wajahnya memerah. Puan Norlin menggeleng melihat reaksi itu. Sekali lagi suasana sepi dihujung talian.

"Alright. I'll let you set up the time and place."

Suraya mengangguk meski sedar lelaki itu tidak dapat melihatnya. Talian diputuskan dan dia menarik lega.

"Yaya nampak takut je dengan bos tu. Orangnya tegas ke?" Tanya Encik Fauzi. Digelengkan kepala.

"Bukanlah, abah. Yaya tak takut tapi segan. Pertama kali dalam sejarah ayah staf nak interview bos. Yaya tak tahu apalah yang bos Yaya tu tengah fikir sekarang ni." tuturnya lemah. Lirikan dibawa menyoroti ke arah bola api gergasi yang makin hampir mencecah lazuardi. Makin berkurangan tempoh masa untuk bertemu itu makin berdebar pula dirinya.

Previous: Bab 15
Next: Bab 17

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.