Home Novel Cinta Khas Buat Suraya Anne!
Khas Buat Suraya Anne!
kamika
3/2/2022 09:59:01
9,448
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 4

Melalui kiriman mesej di dalam aplikasi WhatsApp yang diterima daripada Zamri, yang kini mesra disapa dengan panggilan Abang Zam, dia mendapat makluman tentang site visit yang bakal mereka lakukan pada jam 10.00 pagi nanti. Site itu terletak di Taman Greenwood. Jikalau pada minggu lalu dia lebih banyak terperap dipejabat sahaja, pagi itu dia hadir dengan mengenakan kemeja berlengan panjang berwarna putih serta sepasang jeans berpotongan loose dan shawl berwarna kelabu melilit dikepala.

"Hai, Hadi. Selamat pagi!"

Ceria lantunan suaranya mencerminkan perasaan teruja yang sedang dirai. Hadi cuma menganggukkan kepala. Langsung tidak menoleh. Teman sekerja itu sedang tekun menilik telefon pintarnya. Agak tipikal. Spontan minda teringatkan Hanis yang lebih banyak bermain dengan telefon pintar sejak akhir-akhir ini. Malangnya dia belum sempat menanyakan gadis itu akan hobi baru yang agak pelik itu. Kemudian sajalah dia bersemuka dan bersoal jawab dengan Hanis.

"Anne.. Dalam setengah jam lagi kita gerak."

Suara Zamri mencantas lamunan. Suraya menoleh ke arah lelaki berkulit sawo matang yang sedang duduk bersilang pangku sambil silih berganti memandang dirinya dan telefon pintar ditangan. Meski berusia dipenghujung lima puluhan lelaki itu kelihatan fit dengan tubuh badan yang tegap dan wajah yang macho. Kebanyakan staf teknikal mudah dikenali melalui cara pemakaian mereka. Hari itu Zamri mengenakan tshirt polo berwarna hitam dan sepasang jeans tona yang sama. Cekak rambut berwarna hitam berbingkai halus menghiasi kepalanya. Memakai cekak rambut dikalangan staf lelaki disyarikat sudah menjadi trend agaknya. Hampir setiap hari dia terserempak dengan staf lelaki yang berfesyen sebegitu. Dia memusingkan kerusi beroda lima itu untuk menyahut tetapi tidak sempat kerana lelaki itu sudah bangun dan beredar dengan beberapa orang staf yang lain. Jam dipergelangan tangan dikerling. Tepat jam 9.00 pagi.

"Diorang pergi breakfast. Kau dah makan?"

Barulah Hadi menegur. Suraya memusingkan kerusi ke arah Hadi pula. Meja kerjanya sudah berubah kedudukan. Kini, dia duduk disebelah lelaki itu. Ken dan Aidil dihadapan mereka berdua. Manakala Zamri pula dihujung sendirian. Tempatnya sebelum ini kosong. Dan bertentangan dengan Zamri pula terdapat dua buah stesen kerja yang belum berpenghuni. Kata Hadi bila-bila masa akan diisi. Nampaknya mereka bakal menerima ahli baru di dalam team itu.

"Belum. Tapi aku ada tapau nasi lemak ni. Makan dekat sini ajelah. Kau macam mana? Kenapa tak ikut diorang?"

"Hari ni aku puasa."

Gulp. Suraya menelan air liur. Patutkah dia berasa segan atas soalannya sebentar tadi atau pun mengenangkan amalan lelaki itu?

"Aku puasa ganti, lah. Sebelum ni aku pernah accident and warded. Betul-betul kena waktu bulan puasa. So, nak tak nak kenalah ganti, kan? Benda wajib." Seperti tahu-tahu saja apa yang bermain difikiran, Hadi menjelaskan. Suraya menarik satu senyuman. Sedikit serba salah, dia meminta izin untuk makan dihadapan lelaki itu. Lalu tiada lagi perbualan yang berlangsung. Sambil menjamah sarapan paginya dia meneropong isi ruang pejabat yang mula hingar dengan staf yang memenuhi stesen kerja masing-masing. Ada yang sedang bersarapan sepertinya ketika ini, ada yang sedang bermain dengan telefon dan ada juga yang sudah memulakan tugas.

"Eh, apesal kau lewat sangat mula berkerja? Lambatlah saving kau nak penuh macam ni."

Hadi tiba-tiba bersuara setelah agak lama masing-masing membisu.

'Ciss! Sempat lagi.'

Tetapi tercetus pula ketawa kecil. Mujurlah soalan itu ditanyakan ketika titisan terakhir minuman itu masuk ke mulut. Kalau tak mungkin dah tersedak tadi.

"Aku masuk form 6."

"Oh."

Sekali lagi sepi tanpa bicara.

“Okay, Anne. Dah ready?” Soal Zamri ketika dia kembali dari pantry untuk mencuci tangan. Sorotan matanya jatuh kepada meja Ken dan Aidil yang sudah agak lama kosong. Menurut Abang Zam, Ken berada di ibu pejabat hanya kerana dua tujuan; Menghantar claim atau diarahkan sendiri oleh Mr. Lee untuk kembali. Jikalau tidak, pemuda Cina itu akan sentiasa berada diselatan tanah air. Aidil pula berada di sana setelah mendapat arahan daripada Mr. Lee.

"Yup."

“Good.”

Tersengih sebaik mendapat pujian ringkas itu.

“Tools?” Tanya Zamri lagi. Dia menepuk beg laptop yang berisi tool dan devices untuk melakukan kerja-kerja di site.

“Very very good. Jom!"

Suraya angguk.

"Mr. Lee baru gerak dengan beberapa orang bos. Diorang mesti pergi minum dulu tu.” cerita Zamri ketika mereka tiba diparkir dibahagian basement. Alarm pacuan empat roda ditekan dan dia memasukkan beg yang digalas dibahagian belakang tempat duduk. Usai menutup pintu dan berpaling, Zamri sudah berada dibelakangnya dengan tangan menghulurkan segugus kunci.

"Boleh drive, kan?"

Terperanjat. Juga cuak. Langsung tidak terfikir dengan tindakan lelaki itu namun, dia tetap menganggukkan kepala.

"Saya yang drive?" Soalnya biar terang lagi bersuluh kunci itu sedang disorong dekat dengannya dan hanya mereka berdua sahaja yang berada disitu ketika itu. Zamri mengangkat kedua belah kening. Kunci masih berbuai ditangannya. Walau berasa sedikit hairan disambut jua gugusan itu lantas tempat duduk pemandu dikuasai olehnya.

"Betul ni saya drive?"

Dia menanya buat kesekian kali sebelum enjin dihidupkan.

"Sama aje macam kereta biasa. Cuma yang ni besar dan tinggi. Relaks je."

Darah gemuruh datang menyapa. Agak gementar kerana harus memandu sebuah kenderaan yang belum pernah dipandu sebelum ini. Namun melihatkan reaksi Zamri yang selamba dan keinginan untuk membuktikan keupayaan diri, dia gagahkan diri menghidupkan enjin kenderaan itu. Sedikit terketar tangannya saat menyentuh tombol gear sebelum perlahan-lahan tombol automatik itu ditukar dan pedal minyak ditekan. Sepanjang perjalanan menuju ke sebuah site di Gombak yang mengambil masa hampir setengah jam menggunakan bantuan navigasi dari Google Maps itu dadanya tidak henti melompat bintang. Bimbang seandainya berlaku sebarang kesilapan dalam pemanduan yang berakhir dengan tragedi.

'Ya Tuhanku, mohon dijauhkan..'

Tetapi, safe and sound. Hampir tiba ke destinasi. Toyota menyusuri perlahan lorong yang membelah di antara deretan beberapa buah blok bangunan kedai yang sepi. Zamri mengarahkannya supaya memberhentikan kenderaan di hadapan sebuah lot yang belum beroperasi dimana terdapat dua orang lelaki sedang duduk seperti sedang menantikan kehadiran mereka. Siap mematikan enjin dan memikul beg dibahu, Zamri menghulurkan sebiji safety helmet berwarna putih. Lelaki itu pula sudah siap memakainya. Tanpa sebarang kata mereka berdua maju mendekati kedua orang pemuda itu.

“Faisal, Naim. Ni aku kenalkan staf baru. Korang jangan kacau dia lebih-lebih ye.” ucap Zamri berbaur amaran tatkala mendekati mereka.

"Anne, yang ni rigger. Yang tu CME. Dua-dua dari AceAir. Rigger untuk standby kalau antena perlukan adjustments macam azimuth change, tilting, height.. Budak CME ni pulak datang nak serah kunci aje."

Terangguk-anguk kepala Suraya tanda faham.

“Hai. Saya Anne.”

Satu senyuman kecil melirik dibibir.

“Oo.., saya O. Yang ni pulak P.” sahut salah seorang daripada mereka berdua. Kedua-duanya tergelak besar. Walaupun berasa sedikit tersinggung kerana dipermainkan, dia tidak dapat menahan gelak dengan jenaka yang dibuat oleh lelaki yang memakai kaca mata yang bertugas sebagai staf CME atau Civil, Mechanical dan Electrical itu.

“Hadap ajelah diorang ni.” sampuk Zamri seperti sudah terlebih faham akan sikap mereka itu. Keduanya hanya tersengih. Lelaki yang bernama Naim menyerahkan segugus anak kunci kepada Zamri. Zamri mengetuai kumpulan itu mula memasuki premis melalui sebuah pintu menggunakan kunci yang baru diperolehi sebentar tadi. Pergerakan mereka mendahului dirinya yang sengaja dilambatkan. Memberi peluang kepada yang lebih berpengalaman untuk ke depan dahulu. Keempat-empat mereka mendaki anak tangga untuk naik ke tingkat tiga. Untuk sampai ke sebuah penthouse di bahagian bumbung pula, mereka harus memanjat sebuah tangga besi yang agak usang. Ketika tiba giliran Suraya, dengan penuh berhati-hati dia memanjat satu per satu tangga besi yang terjulur ke bawah itu. Setiap langkah diambil dengan cermat. Kemalangan boleh terjadi dimana-mana.

"Familiar?" Tanya Zamri sebaik mereka tiba di atas bumbung kedai yang landai dan luas itu. Dia memerhati keadaan sekitar. Cuaca yang sesekali redup memberi kelegaan namun, ketika matahari kembali terik, bahang yang dipancarkan mampu melebatkan renik peluh didahi. Senyum. Ketika menjalani latihan industri dahulu, dia tidak berkesempatan melakukan site visit kerana belum memperoleh lesen untuk masuk ke site. Meskipun begitu, dia mengenali suasana ketika itu menerusi gambar-gambar yang direkodkan di dalam laporan yang diteliti sebelum ini. Kepala dianggukan sedikit.

"Sebenarnya kita tak ada tugas nak dibuat pun. Mr. Lee yang arahkan abang bawak Anne ke sini. Tapi, kalau Anne nak try buat static test apa salahnya." kata Zamri lagi sambil mata memandang ke arah sebatang pole dengan sebuah panel antena 4G terpasang padanya. Dua buah yang lain berada disektor masing-masing bagi mendapatkan lingkungan coverage pada sudut 360° darjah.

"Jadi, apa tujuan kita naik ke sini?" Soal Suraya hairan. Penat juga mendaki anak tangga tu semua. Dah sampai ke atas tak ada kerja yang boleh dibuat? Zamri tersengih sambil bercekak pinggang.

"Warm up."

"Hah..?"

Direnung Zamri yang sibuk melepaskan pandangan ke sekeliling rooftop itu. Tiada riak senda.

"Jom. Turun."

"Hahhh??"

Bukan main kuat dia bersuara hinggakan dua orang kontraktor itu berpaling. Sesi panaskan badan yang agak luar biasa dan sedikit ekstrim. Seperti tadi, dengan penuh waspada dia mengekori langkah Zamri untuk turun ke bawah seterusnya kembali ke pacuan empat roda. Tercungap-cungap dia mengejar lelah ketika lelaki itu menekan alarm, membuka pintu, duduk dan menghidupkan enjin.

'Fuuhhh..!'

Dia menghela panjang.

"Abang nak ke AceAir. Ada brief dekat sana. Agak-agak dalam satu jam lagi abang balik ke sini. Nanti Anne tunggu kalau-kalau nampak Mr. Lee, terus follow je Mr. Lee. Kalau nak try buat test boleh jugak. Tak faham, Anne boleh tanya dua orang tu." Pesan Zamri sebelum menukar gear. Dalam keadaan dirinya masih terpinga-pinga, dilihat kenderaan itu berlalu. Dia mengambil keputusan untuk mencari satu tempat duduk yang boleh dijadikan port untuknya membuat satu static test ke atas site tersebut. Safety helmet dikepala dibuka. Sejuk sikit kepalanya itu. Diperhati keadaan sekitar shoplot itu dengan teliti. Laluan jalan raya yang lebar namun lengang. Tiada apa-apa ditempat lapang itu kecuali beberapa buah kenderaan yang diparkir. Pokok hiasan pun boleh dikira dengan jari. Ternyata lot kedai itu merupakan sebuah lot yang baharu dibina. Hanya tiga buah kedai sahaja yang kelihatan beroperasi iaitu sebuah dobi layan diri, kedai makan dan sebuah kedai serbaneka. Lot dihujung shoplot itu pula seperti sebuah pejabat tetapi, ianya tertutup rapat. Antara kedai makan atau dobi, dia memilih untuk menumpang duduk dikedai dobi sahaja. Dobi layan diri itu kelihatan lengang. Sebuah bangku panjang yang terletak dibahagian hadapan kedai menjadi port lepak. Saat itu dia berkira-kira untuk melaksanakan tugasan secara sukarela itu sebelum beg itu dibiarkan sahaja dalam pelukannya. Safety helmet diletakkan di sisi. Bahaya. Dia tidak mahu membahayakan keselamatan diri dan juga barangan milik syarikat andai sesuatu yang buruk berlaku. Buat kesekian kali, dia hanya duduk termenung disitu. Mujurlah kedai makan yang berada bersebelahan kedai dobi itu kedengaran riuh. Tidaklah sunyi sangat suasana.

"Ehem.."

Dia mengangkat kepala yang tertunduk semenjak tadi. Hampir sahaja terlelap jikalau dibiarkan lebih lama begitu. Melalui ekor mata dia dapat melihat seorang lelaki tercegat berdiri di laluan pejalan kaki. Amaran waspada namun apabila dilihat lelaki itu seakan tercegat sahaja disitu dia kembali menundukkan wajah. Barangkali pengunjung kedai makan itu.

"Suraya.."

Dia terkedu.

'Orang tu panggil aku ke?'

Sekali lagi dia menoleh. Memerhatikan wajah tampan tetapi matanya berselindung dibalik sepasang kaca mata hitam.

'Siapa? Tak kenal, lah.'

"Excuse me. Encik salah orang ke?" Tanya Suraya dengan sopan. Pelukan ke atas beg itu ketat dan erat. Bimbang harta syarikat itu disamun.

'Mungkin betul-betul salah orang kot..'

"No, Suraya Anne."

Terpana. Nama penuhnya disebut. Ketika dirasakan lelaki itu melangkah dan berdiri tercegat dihadapannya, pelukan makin diperkemaskan dan wajah ditundukkan. Rentak irama jantung berubah.

'Siapa pulak ni?'

Dia mendongakkan wajah. Merona.

"It's me." tutur Dr. Adrian sambil menjatuhkan kaca mata yang dipakai. Jarak yang dangkal. Sedikit rasa kecewa namun, Dr. Adrian tidak menyalahkan gadis itu andai tidak mengenalinya. Kali terakhir mereka bertemu pada minggu lalu dihari pertama gadis itu melaporkan diri untuk berkerja. Dalam posisi membongkokkan badan agar paras mereka dalam kedudukan selari, wajah Suraya disoroti. Warna merah pudar yang menjelma seketika tadi sudah tiada. Dr. Adrian hairan bagaimana fenomena unik itu boleh muncul dan hilang dalam sekelip mata.

"Oh. Dr. Adrian.." seru Suraya agak perlahan. Dada mula bergementar. Peristiwa dibilik mesyuarat bernombor dua terawang diminda. Malu.

"What happened?" tanya Dr. Adrian masih belum puas menatap wajah mulus dihadapannya. Cantik dengan tiga biji tahi lalat kecil yang sejajar di atas tulang pipi di bawah mata kirinya. Tiada balasan. Suraya diam bungkam. Bukan ingin menyibuk tapi, kalau sudah berkerja dibawah satu syarikat yang sama, menjadi tanggungjawab Dr. Adrian untuk mengetahui alasan gadis itu yang jelas berseorangan di kawasan itu.

"Are you alright?" soal Dr. Adrian. Dikawal suaranya agak tidak kedengaran cemas. Kali ini satu anggukan diberi. Lega. Suraya mengangkat wajah. Tetapi sebentar. Malu agaknya melihat dia masih tetap dengan posisi begitu.

"Doktor, terima kasih. Saya okay. Zamri ada di AceAir. Saya duduk sini sebab nak tunggu Mr. Lee datang." jelas Suraya sebab dia berada disitu.

"It's Adrian."

"Oh, sorry, Dr. Adrian.." sahutnya mengimbas wajah Dr. Adrian sepintas lalu. Dapat dilihat tiada lagi kaca mata hitam itu. Dipegang ditangan.

"Call me Adrian." balas Dr. Adrian. Keinginan untuk bergaul dengan gadis itu tanpa batasan formaliti membuak didada.

Suraya menelan air liur.

'Tengah bagi pick up line ke?'

Kemudian satu nafas yang dalam ditarik. Baru menyedari belum habis tubuhnya melepaskan penat dengan beban yang dibawa bersama. Terasa lenguh bahunya akibat memikul beg yang agak sarat dengan tools itu ketika mendaki berpuluh anak tangga. Juga turun. Tanpa menghiraukan jarak sejengkal yang memisahkan mereka, dia bangun. Tiada sedikit pun rasa bersalah ketika Dr. Adrian terpaksa mengundur dan membetulkan kedudukan atas tindakan spontannya itu. Sambil membetulkan beg dibahu kanannya dia berkata;

"I'm sorry, Dr. Adrian. With all due respect, I think I want to be alone."

Sehabis lembut bicaranya. Tindakan Zamri sahaja berjaya mengganggu emosi dan fizikal kini, datang pula seorang lelaki narsistik merumitkan keadaan.

"Maaf kalau buat you tak selesa, Suraya Anne. Tapi I tak boleh biarkan you sendirian. Mr. Lee dah lama sampai." tutur Dr. Adrian dalam lagak yang budiman. Sejenak fikirannya melayang teringatkan kata-kata Irene sebelum ini dan pesanan Zamri ketika berada dipejabat tadi. Mulutnya sedikit terbuka. Kemudian ditutup. Mata yang terbuka luas dilabuhkan tepat kepada sepasang mata yang jernih itu.

"Bos..," ucapnya lemah.

"I'm sorry. I'm so sorry."

Segan. Kepala menunduk ke bawah. Dia kesal dan mengakui kesilapannya. Dipandang kosong sneakers hitam dikaki dan sport shoes yang juga berwarna hitam milik lelaki itu. Sepi.

"Urm, kalau macam tu marilah, boss!" ucapnya dalam ceria yang dibuat-buat. Safety helmet dicapai. Melihatkan Dr. Adrian masih kaku, dia melangkah terlebih dahulu. Namun dua tiga langkah yang diambil, dia dipukul rasa terkejut apabila bahunya terasa ringan. Disambar dan digalas selamba.

Previous: Bab 3
Next: Bab 5

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.