Home Novel Komedi/Romantik Komedi CINTA SANG PENYAMAR HATI
BAB 5 : JANJI SUDAH TERPATRI

BAB 5 : JANJI SUDAH TERPATRI

Kebisuan mengisi ruangan kosong di antara kami. Baik dia mahupun aku tiada siapa yang berani melontarkan sebarang kata-kata. Akhirnya aku nekad untuk memecahkan kebuntuan itu.

"Tengku, saya nak ucapkan berbanyak-banyak terima kasih atas pertolongan Tengku kali ni. Saya janji, sebaik sahaja saya dapat kerja, saya akan bayar balik. Tapi yang pasti bukan sekaliguslah, saya akan bayar secara ansuran. Anggaplah sekarang ni saya berhutang dengan Tengku." Lidah ini sedaya upaya ku lenturkan agar ayat-ayat yang keluar dari bibir ini manis dan enak sahaja bunyinya. Risau juga sekiranya mulut celuparku ini mengeluarkan kata-kata pedas yang bisa merobek jiwanya.

"Kalau nak kira macam tu, lagi lima belas tahun pun belum tentu hutang you tu akan langsai, wahai Cik Safira. I ada idea yang jauh lebih bernas dari itu." Wajah kacaknya semakin menyerlah apabila dia melemparkan sekuntum senyuman semanis gula batu. Tidak betah rasanya untuk aku menatap wajahnya dengan lebih lama. Silap-silap haribulan nanti daripada musuh ketat harus juga ia bertukar status menjadi pujaan hati pula.

"Tak payahlah nak berencik-encik dengan saya, Tengku. Boleh panggil saya Ira saja. Kalau Tengku ada cadangan yang lebih bernas apa kata Tengku utarakan sahaja di sini?" Berkerut-kerut wajahnya apabila mendengar susunan ayatku yang terlalu skema bagaikan

kami berdua berada di dalam kelas sastera sahaja rasanya.

"Baiklah Ira. You dengar sini baik-baik. I takkan minta you bayar balik satu sen pun pada I. For me money doesn't matter in this case. Tetapi oleh sebab I dah tolong you, jadi you juga kena tolong I." Seram pula hati ini apabila seraut wajah nakalnya terpancar di sebalik senyuman sinis itu.

"Tolong apa Tengku? Demi Tengku saya sanggup melakukan apa-apa sahaja." Terbeliak biji mata Tengku Aidil. Alamak! Mahu sahaja aku menampar mulutku sendiri kerana mengeluarkan ayat-ayat sebegitu.

"Betul ni? Apa-apa pun yang I arahkan, you sanggup untuk penuhi?" Akalku mula mencari alasan untuk menepis keceluparan mulutku sebentar tadi.

"Hmm, maksud saya tadi, apa-apa sahaja asalkan ianya tidak melanggar batas-batas agama, saya sudi untuk melakukannya." Tengku Aidil tertawa kecil mendengar penjelasanku. Terserlah sepasang lesung pipit pemanis yang menghiasi kedua-dua belah pipinya. Cukup sempurna sekali ciptaan Yang Maha Esa ini pada pandangan mataku.

“Ira, Ira. Ke situ pula fikiran you. Takkanlah I nak suruh you buat perkara-perkara yang tak senonoh pula? Pertolongan yang I pinta ini mudah dan senang sahaja. I nak you jadi girlfriend I.”

DUSH!! Degupan adrenalin jantungku kian kencang. Ini suatu lamaran atau suatu gurauan di malam hari?

"Dengar sini dulu. You jangan salah faham. Sebenarnya daddy dan mummy I nak

tunangkan I dengan perempuan yang I langsung tak suka. Jadi I nak minta you menyamar sebagai my girlfriend utk menggagalkan rancangan mummy dan daddy I."Terkedu aku seketika. Tidak ku sangka di zaman millenium ini masih ada lagi kes kahwin paksa seperti ini. Layak ke aku nak menyamar sebagai teman wanita dia ni? Perempuan brutal seantero dunia sepertiku di gandingkan dengan jejaka idaman Malaya sepertinya, aduh rasanya memang tidak secocok sama sekali. Tapi kalau setakat menyamar, tiada salah apa-apa pun rasanya. Kalau dia nak melamar aku secara rasmi sebagai teman wanitanya pun dengan berbesar hati aku akan menerimanya. Aik? Takkanlah semudah itu cintaku sudah mula berputik untuk dirinya!

"Baiklah Tengku saya setuju. Jadi sekarang ini apakah langkah pertama yang harus saya lakukan?” Kemunculan Doktor Razak secara tiba-tiba terus membantutkan perbincangan kami.

“Cik Safira, dokumen dan segala proses-proses yang berkaitan akan mengambil masa untuk di siapkan. Rasanya Cik Safira boleh pulang dulu. Mungkin esok kita boleh berjumpa semula.”

“Tapi doktor, saya belum berjumpa dengan ibu saya lagi. Saya nak temankan dia malam ni.” Tak sampai hati rasanya aku meninggalkan ibunya terbujur kaku seorang diri di situ. Doktor Razak bagaikan memahami gelojak keresahan yang semakin menggila di dalam jiwaku ini.

“Maafkan saya, Cik Safira. Saya faham perasaan Cik Safira namun tak sesiapa pun dibenarkan untuk menunggu pesakit di unit ICU ni. Jangan risau, kami akan memastikan ibu Cik Safira diberi rawatan yg terbaik dari kami. Baiklah, saya nak minta diri dulu.” Nampaknya aku tidak punya pilihan lain selain berlalu pergi dari situ. Dengan wajah yang sugul aku mula melangkahkan kaki. Tidak semena-mena terasa tanganku direntap dari belakang. Tersentak aku seketika! Dan sepantas itu juga aku merentap semula tanganku dari genggaman tangannya.

“Ops, sori. I tak bermaksud apa-apa. You nak pergi ke mana ni? Dah lupa ke dengan perbincangan kita tadi?” Berkerut dahiku. Belum apa-apa lagi dia dah mula menunjukkan kuasa vetonya?

“Wahai Cik Ira ku sayang, kan tadi you dah setuju nak jadi girlfriend I? Perjanjian tu dah mula dikuatkuasakan serta-merta jadi mulai saat ini, you mesti ikut ke mana sahaja I pergi.” Amboi! Ini sudah lebih! Lirikan nakal dari sepasang matanya terus mendesup di jiwa. Pandangan mata yang bertaut di antara kami segera ku leraikan.

“Ok, tapi hari dah lewat malam ni. Takkanlah saya nak ikut Tengku balik ke rumah pula?”

Tawa Tengku Aidil meletus lagi.“Kalau nak ikut pun boleh, sangatlah di alu-alukan. Kecil tapak tangan, nyiru I tadahkan.” Makin dilayan makin menjadi pula. Kerlingan tajamku segera dapat ditangkap oleh Tengku Aidil.

“Janganlah risau, sayang. I bergurau saja. Sekarang secara rasminya tugasan pertama you adalah menemani I untuk makan. Perut I dah berkeroncong ni. Jom.” Dengan malas langkah kaki ini ku paksa agar melangkah mengikutinya. Sebaik sahaja punggung masing-masing mencecah sofa empuk di dalam kereta mewah ini, ianya mula bergerak meredah arus malam yang dingin ini. Fikiranku terawang-awang. Bagaikan bermimpi rasanya apabila dapat berdampingan dengan golongan kerabat diraja yang kacak lagi kaya. Berulang kali ku ingatkan hati ini agar jangan sesekali terlupa akan statusku sebagai sang penyamar hati sahaja.

Akhirnya kami sampai ke sebuah restoran mewah di Bukit Bintang. Sebaik sahaja turun dari kereta Tengku Aidil melangkah dengan penuh bergaya ke dalam restoran mewah itu. Aku pula terkial-kial seorang diri di luar. Dengan pakaian sempoi sebegini, layakkah aku menjejakkan kaki ke dalam restoran tersebut? Aku baru berkira-kira untuk melarikan diri dari situ namun kemunculan semula Tengku Aidil memusnahkan segala perancanganku. Tanpa sebarang kata jari-jemariku di regut dengan kasar. Aku cuba meronta namun genggaman tangannya sungguh kukuh dan tidak mungkin akan terlerai. Merah padam wajahku tatkala mata-mata pelanggan di situ merenung tajam adegan tarik-menarik di antara kami berdua. Tanganku ini hanya bebas dari cengkamannya apabila kami berdua sampai ke meja yang sudah di hias dengan begitu indah sekali. Di tariknya kerusi dan dengan sopan dia mempersilakan aku duduk. Geramnya di dalam hati ini hanya mampu ku cempung kemas-kemas di dalam dada. Pelayan yang datang tidak lama selepas itu hanya menambahkan lagi kekusutanku yang semakin menjalar. Apa tidaknya, menu yang dihulurkan kepadaku hanya tertulis nama-nama pelik yang tidak pernah ku dengari selama ini.

“Give me one charboiled steak with black pepper dan one orange juice. What about you Baby?” Baby? Nampaknya panggilanku juga sudah di naiktaraf! Menu apa yang patut aku minta agaknya? Redah sahajalah nampaknya.

“Saya nak nasi goreng kerabu dengan telur mata dan air suam satu.” Meletus hilai tawa pelayan dan Tengku Aidil. Aku pula terpinga-pinga bagaikan orang bodoh. Apa yang kelakar sangat dengan permintaanku itu?

“Ini restoran makanan western, cik. Menu yang ada di sini semuanya menu western sahaja.”

Hatiku di garu rasa pelik.“Restoran punyalah besar tapi menu nasi goreng pun tak ada? Mesti chef restoran ini tak cukup ilmu di dada lagi. Apa kata awak suruh chef restoran ini untuk menonton rancangan MasterChef Malaysia All Star setiap Sabtu hingga Selasa jam 9.00 malam, gerenti dia akan mahir dalam pelbagai masakan.” Luahan selambaku itu nyaris-nyaris membuatkan Tengku Aidil ketawa lagi buat kesekian kalinya namun jelingan tajamku segera membantutkan keinginannya.

“Tak apa waiter, you just give two set of charboiled steak with black pepper and two orange juice ya.” Mujurlah pelayan sudah berlalu dari situ jika tidak pasti dia dapat menyaksikan wajah lucu Tengku Aidil yang menyerigai bagaikan kerang busuk.

“Apa sengih-sengih? Tengku gelakkan saya ya? Itulah, siapa suruh Tengku bawa saya makan kat tempat canggih macam ni? Sekarang ni siapa yang malu, Tengku juga.” Ejekanku itu langsung tidak berbekas di hatinya malah mata galaknya terus-terusan merenungku tanpa henti-henti.

“Tak, I tak gelakkan you. I cuma suka tengok tingkah laku you. Selama ni kalau I keluar dengan perempuan, semuanya control cun dan plastik tapi you ni memang lain dari yg lain. Selamba dan sempoi, I sukalah.” Aku terus tertawa terbahak-bahak. Lucu pula kurasakan apabila Tengku Aidil memuji-muji perangaiku walhal hakikatnya...hanya Allah

sahaja yang tahu.

“I cakap benda yang betul tapi nampaknya you tak percayakan I. Terpulanglah pada you tapi apa yang I cakap tadi jujur dan ikhlas dari hati I.” Wajah Tengku Aidil yang bertukar kelat itu bertindak seperti suis penamat yang terus menghapuskan sisa-sisa gelak dari bibirku. Sentimental juga mamat ini. Sahlah dalam hatinya ada taman bunga yang sedang mekar berkembang.

“Saya minta maaf sebab gelakkan Tengku. Baiklah saya percayakan Tengku sebanyak 200 peratus.” Kali ini formulaku menjadi. Serta-merta terukir senyuman manis di bibir Tengku Aidil yang kemerah-merahan itu. Sejurus itu pelayan pun tiba dengan membawa pesanan dari kami. Perutku yang memang tidak di isi sejak dari tengahari tadi mula mengalunkan irama dondang sayang apabila aroma harum makanan itu menerjah masuk ke lubang hidupku. Tangan ini baru sahaja mahu mencicip steak itu tapi Tengku Aidil menjongket keningnya dengan segera. Dengan isyarat mata dia mengarahkan aku agar menggunakan garpu dan pisau yang telah di sediakan. Leceh betullah! Dengan hati yang berat ku capai jua garpu dan pisau tersebut. Aku cuba memotong steak itu namun ianya begitu liat. Ku tujah steak itu dengan sekuat hati sehingga bergegar meja kami berdua dibuatnya.

Tengku Aidil melihat gelagatku dengan penuh minat.“Kasihannya buah hati I ni, nak makan steak tak terpotong-potong dari tadi. Mari sini I suapkan.” Steak di hujung garpu itu sudah tersua di bibirku. Kata orang rezeki jangan di tolak jadi dengan selambanya bibirku ini terus menyambar steak tersebut dengan rakusnya. Terkedu seketika Tengku Aidil dek penangan ganasku.

“Tengku, saya menyamar sebagai girlfriend Tengku sahaja, tak adalah sampai kena kahwin kan?” Sengaja aku melemparkan soalan sarkastik itu kepadanya.

“Kalau dah terpaksa, apa salahnya. Lagipun kita sama-sama single lagi kan jadi apa salahnya?” Apa? Biar betul! Menggeletar tanganku apabila mendengarkan kata-kata Tengku Aidil itu. Secara tak sengaja pisau pemotong steak itu tercampak ke arah pelayan yang berdiri di sebelah kanan meja. Mujurlah pisau itu jatuh ke sebelah bahunya, kalau tidak nanti percuma sahaja aku di dakwa kerana mencederakan orang. Ku angkat tanganku kepada pelayan itu tanda ku memohon maaf. Lega hatiku ini apabila pelayan itu hanya menganggukkan kepalanya sambil tersenyum. Tengku Aidil hanya menggeleng-gelengkan kepala melihat gelagat aku itu.

“Eh, mana Tengku tahu saya ni single lagi. Entah-entah saya ni tunang orang ke, bini orang ke.”

“Kalau you ni tunang atau bini orang, takkanlah dah malam-malam macam ni you boleh keluar makan dengan I lagi, betul tak?” Terkena lagi aku dengan kata-kata Tengku Aidil itu.

“Ok Ira, sekarang I nak bagitahu you apa rancangan kita seterusnya. Mulai malam ni you akan tinggal dengan Linda, staf di Teguh Bina Sdn Bhd. I rasa you ada jumpa dia pagi tadi. Dia yang uruskan pasal interview tadi. I dah call dia tadi, lepas makan ni I hantar you balik ke rumah untuk ambil barang-barang keperluan, kemudian I hantar you ke rumah Linda.” Si cantik manis itu rupanya! Segera terbayang di benakku gelagatnya yg lemah lembut lagi bersopan-santun itu.

“Esok kita akan pergi shopping dengan Linda. Linda akan pilihkan baju,kasut dan beg yang sesuai setaraf dengan kedudukan you sebagai girlfriend I. Malam sabtu ni adalah ujian you yang pertama. Teguh Bina Sdn Bhd akan menganjurkan majlis makan malam dan sudah pasti daddy, mummy dan Netty akan berada di sana jadi you kena bersiap-sedia kerana I akan memperkenalkan you kepada mereka malam tu.”

Aku hanya terpaku mendengar arahan demi arahan dari mulut Tengku Aidil. Aku sendiri tak pasti sama ada aku sudah bersedia atau tidak untuk menggalas tanggungjawab yg besar begini. Aku sudah mula rasa tak keruan. Jantung ini mula berdegup kencang dan fikiranku mula bercelaru. Melihatkan aku berkeadaan resah sedemikian, Tengku Aidil cuba untuk mententeramkan aku.

“Ira, jangan risau. I takkan biarkan my mummy atau sesiapa pun buli you. Jangan risau Linda akan tolong you. Dia antara staf I yg boleh dipercayai.” Cubaan Tengku Aidil untuk menenangkan aku nampaknya tidak memberikan sebarang kesan. Percikan kerisauan masih jelas terpancar di riak wajah ini.

“Saya tak takut dibuli Tengku, silap-silap saya yang buli orang nanti. Cuma saya risau macam mana saya nak merealisasikan watak ala-ala warisan wanita melayu terakhir ni. Say ni dahlah ganas, kasar. Tengku sendiri pun menggelar saya sebagai perempuan gangster, kan?” Senyum manis segera tersimpul di wajah kacak Tengku Aidil.

“You ni kelakarlah. Just be yourself, then everythings will be fine. You buat macam biasa sahaja, I bukan suruh you untuk meniru sesiapa. Sekarang ni I cuma nak yakinkan my parent yg I dah ada pilihan hati I sendiri. Biarlah orang lain tak suka dengan keganasan you, yang penting I suka.“ GULP!! Dia suka? Hai Tengku Aidil, kenapalah ayat-ayat yang keluar dari mulutmu itu bagaikan mahu memerangkap hatiku ini?

Selesai makan kami terus bergerak ke rumahku. Aku hanya mengambil sedikit barang-barang asas keperluan sebelum perjalanan di teruskan ke rumah Linda. Sesampainya di sana, Linda yang sudah sedia maklum akan kehadiranku sudah siap menunggu di pintu rumahnya. Dengan perasaan malu-malu aku melangkah masuk ke dalam rumahnya. Namun keramahan Linda terus membangkitkan kemesraan di antara kami. Berbual dengan Linda bagaikan sudah bertahun lamanya aku mengenalinya. Melihatkan kami yang tidak kekok menimbulkan kelegaan di hati Tengku Aidil. Dia terus meminta diri lantas terus berlalu pergi dari situ. Namun entah mengapa kaki ini masih terpaku di muka pintu. Sayu pula hati ini bila melihat kelibatnya berlalu pergi dari situ.

“Amboi tenung sampai hilang dari pandangan mata nampak? Bertuah awak ni Safira, saya nampak Tengku Aidil memang betul-betul sukakan awak.” Meletus tawa kecil di bibir ini apabila mendengar terjahan Linda itu.

“Linda, awak jangan salah faham. Sebenarnya saya dan Tengku Aidil tak ada apa-apa hubungan,kami hanya berlakon sahaja.”

“Berlakon??” Jelas terpampang kebingungan di wajah gadis manis itu. Setelah aku menjelaskan segala-galanya barulah Linda mengerti dan memahami situasi yang sedang ku lalui. Memang benarlah kata Tengku Aidil, Linda memang seorang yang baik dan boleh dipercayai. Aku pun mengambil kesempatan untuk mengorek rahsia kekasih samaranku itu. Rupa-rupanya Tengku Natalia@Netty merupakan sepupu kepada Tengku Aidil dan memang keluarga mereka sudah merancang untuk menjodohkan mereka sejak mereka masih kecil lagi. Namun gaya hidup Netty yang agak sosial menyebabkan Tengku Aidil tidak dapat menerima kehadiran Netty dalam hidupnya. Tidak kusangka tragis juga kisah hidup kekasih samaranku ini.

“Ira, kalau saya nak tanya sesuatu, awak jangan marah ya?”

“Tanyalah buat apa saya nak marah.”

“Awak ada apa-apa hubungan dengan Tengku Amir ke?” Serta-merta terlintas di fikiranku jejaka kacak yang menghadangku di pintu siang tadi.

“Kenapa, kamu suka dengan Tengku Amir ya?” Linda tersipu-sipu malu.

“Linda, saya tak pernah menjejakkan kaki ke Teguh Bina dan pagi tadi merupakan kali pertama saya ke sana. Saya memang tak mengenali Tengku Amir.” Kata-kataku itu segera memercikkan reaksi kelegaan di wajah Linda.

“Tak adalah, cuma saya suka tengok muka dia. Persis pelakon Zain Saidin tu. Tapi takkanlah orang kaya dan kacak macam dia tu akan pandang perempuan macam saya ini.”

“Janganlah cakap begitu Linda. Manalah tahu suatu hari nanti dia akan terpikat dengan awak. Bak kata orang-orang tua, kalau sudah jodoh, tak ke mana.” Usikanku berjaya menguntumkan senyuman di bibirnya.

“Ada-ada sahajalah kamu ni Ira. Eh dah lewat malam ni, esok kan misi penting kita akan bermula. Jom kita masuk tidur.”

“Baik, boss.” Kami berdua melangkah beriringan menuju ke kamar tidur. Hatiku agak gusar memikirkan akan tugasanku sebagai kekasih Tengku Aidil. Dapatkah aku melaksanakan tugasan itu dengan sebaik mungkin nanti? Suka atau tidak aku terpaksa melaksanakan tugasan tersebut. Janji sudah di patri, kata-kata sudah di meterai hanya menunggu aku sebagai pelakon untuk menjiwai watak yang telah diberi.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.