Malam
bulan dipagar bintang kelihatan begitu indah menggamit perasaan. Angin bayu
laut dari ufuk timur yang bertiup sepoi-sepoi bahasa begitu sejuk sehingga
menusuk ke tulang hitam. Saat semua insan sedang enak melayari bahtera mimpi
masing-masing, penghuni rumah teres dua tingkat di pinggir kota ini masih lagi
belum melelapkan mata. Masih banyak urusan yang perlu diselesaikan.
Marissa
sudah menguap beberapa kali. Matanya sudah mengantuk. Di fikirannya hanyalah
tilam dan bantal empuk, menari-nari di ruang mata. Dia mengerling ke sebelah,
melihat mamanya yang masih lagi tekun membuat gubahan.
“Mama, banyak lagi ke kita nak buat
ni? Rissa dah mengantuklah ma. Sekarang ni dah pukul 1.30 pagi. Esok pagi-pagi
lagi Rissa nak kena hantarMirul pergi kuliah. Dah banyak kali Rissa tak dapat
tunaikan janji Rissa dengan dia. Kita sambung esoklah ma,” dia bersuara manja,
memujuk mamanya untuk berehat barang sepicing dua.
“Sikit je lagi, semua ni nak kena
siapkan cepat. Majlis tu dah esok lusa. Nak
tunggu esok-esok banyak lagi benda yang tak beres. Ni baru untuk satu majlis,
ada lagi dua majlis lepas tu. Kalau berlengah-lengah bila nak siap semua? Nak
pasang khemah lagi, pelamin lagi... banyak benda tau tak.” mamanya mula
membebel.
Marissa mengangguk, mengiakan
kata-kata mamanya.
“Dah
adat kita ni orang berniaga, kenalah cepat dan efisyen. Barulah orang tak serik
nak gunakan khidmat kita. Kalau tak,
sia-sia je usaha mama dengan papa selama ni. Kita ni wedding planner yang paling top
kat bandar ni!” sambung mamanya lagi.
“Tapi kalau buat dalam keadaan
tergesa-gesa pun, tak cantik jugak. Tengok ni, bunga dah senget-senget. Polistren
ni pun makin lama, makin kecik. Dah tak ada rupa. Ni hah, kain pasang, nak buat
bentuk angsa dah jadi rupa dinasour dah. Kalau diteruskan lagi rasanya binasa
kot,” dia cuba melawak sambil memancing simpati mamanya masih asyik menyiapkan
gubahan tepak sirih.
Sedikit
pun wanita itu tidak lari fokus, dengan teliti dia ‘menyolek’ par besi tembaga
berwarna emas itu dengan sentuhan kreativitinya. Manik-manik sebesar biji
kundang digamkan di sekeliling kian renda untuk menambahkan seri. Marissa
memang tabik spring kepada mamanya. Masih kuat mata coklat cair itu bertahan
sehingga ke dinihari sedangkan dia yang masih muda remaja sudah
tersengguk-sengguk menahan rasa mengantuk.
Begitulah
rutin harian mereka setiap kali tiba musim perkahwinan. Tidak menang tangan dan
tidak cukup tidur dibuatnya. Sudah sepuluh tahun mereka membuka perniagaan
berasaskan perkhidmatan perundingan perkahwinan dan catering ini. Bermula
daripada perniagaan kecil-kecilan yang hanya menyediakan perkhidmatan catering,
mereka mula berjinak-jinak membuka cabang perniagaan yang lain. Dari hari ke
hari, perniagaan mereka semakin mendapat tempat di hati penduduk sekitar dan
juga beberapa VVIP.
“Kalau Rissa nak rehat, rehatlah.
Tapi Rissa tidur kat sini je, temankan mama. Nanti mama dah siap gubah semua
ni, mama kejutkan Rissa.” Ujar mamanya. Kesian juga dia melihat anak
perempuannya itu sudah keletihan.
Marissa tersenyum senang. Laju dia mencapai
bantal kusyen yang ada di tepinya untuk mengalas kepala. Lega dan nikmat begitu
terasa. Tubuhnya sudah terlalu letih. Pagi bekerja, petang ke kuliah, malamnya
pula sibuk menyiapkan kerja-kerja gubahan ini.
“Eh, Rissa! Kenapa tidur atas lantai
macam ni? Sejuk tu, nanti masuk angin. Pergi masuk tidur dalam bilik,”
Teguran
daripada Encik Johan mengejutkan mereka berdua. Mata Marissa terus terbuka
luas. Papanya sedang berjalan menuju ke mari. Di tangannya ada dua mug kopi.
Dia menghulurkan mug tersebut kepada anak isterinya kemudian perlahan-lahan
melabuhkan punggung di atas lantai berhampiran anak isterinya.
“Pergilah
masuk tidur dalam bilik,” ujar papanya sekali lagi.
“Tak pelah, Rissa nak temankan mama.
Kesian mama sorang-sorang siapkan semua ni. Nak bantu pun Rissa dah tak boleh
fokus,” tuturnya.
“Kalau
macam tu, Rissa masuk tidur dalam biliklah. Biar papa je yang temankan mama.
Lagipun papa nak kira-kira untuk bajet majlis lusa ni,” ujar Encik Johan sambil
tangannya ligat mencapai buku log kira-kira yang ada di atas meja kopi.
Tekun
dia meneliti perbelanjaan keluar dan masuk untuk majlis. Kalkulator dan pen
bergerak seiring. Meleret senyumannya melihat angka-angka yang keluar dari
skrin kalkulator Panasonic itu.
“Banyak
untung ke papa?” soal Marissa, tidak jadi dia hendak tidur pabila melihat
senyuman papanya.
“Tau-tau je Rissa ni! Alhamdulillah… rezeki
kita, untungnya berniaga dengan orang-orang kenamaan ni. Banyak yang masuk!”
ujar papanya teruja.
“Baguslah
kalau macam tu! Kalau macam tu lepas majlis ni bolehlah kita sekeluarga pergi
bercuti kan papa? Dah lama kita sekeluarga tak makan angin sama-sama kan?”
Marissa girang. Terus segar matanya yang mengantuk tadi.
“Tadi
kata mengantuk, nak tidur. Eh, sekarang ni segar bugar pulak mata tu ya? Kalau
macam tu jom sambung kerja,” sindir mamanya pula.
“Awak
ni, biarlah Rissa nak rehat dulu. Kesian budak ni penat. Dari tadi lagi tak
rehat. Awak pun rehatlah, nanti tak pasal-pasal awak pengsan pulak masa majlis
tu nanti. Tak ke haru jadinya?” tegur Encik Johan dalam gurauan.
Puan
Yunita tersengih, “sikit je lagi bang. Dalam dua dulang lagi. Saya nak siapkan
cepat-cepat, esok-esok taklah kalut. Kat butik tu bersusun-susun kerja yang
kita kena buat. Takkan awak lupa, hari yang sama kita ada lagi dua majlis. Tak
dikira esok dan lusanya lagi. Sekarang ni musim cuti sekolah, orang
berebut-rebut nak buat majlis kahwin,” ujarnya.
“Yalah,
saya tahu. Mana boleh lupa. Ni periuk nasi kita. Tapi esokkan boleh sambung kat
butik. Lagipun, kalau kita siapkan semua kerja ni, pekerja kita nak buat kerja
apa? Kita bayar gaji mereka takkanlah kita nak siapkan semuanya. Simpanlah
untuk mereka buat pulak,” Encik Johari bersuara lagi.
“Banyak
lagi bang kerja yang diaorang kena buat. Kat butik tu banyak lagi kerja-kerja
gubahan yang belum selesai. Saya dah bahagikan tugas masing-masing. Yang ini
bahagian saya sendiri. Jadi saya kena siapkan ikut dateline lah, bang. Kalau saya sendiri buat kerja last minute je, macam mana nak jadi
contoh pada pekerja lain supaya kerja ikut dateline?”
bersungguh dia mempertahankan pendapatanya sambil matanya asyik meneliti hasil
gubahan yang baru sahaja disiapkannya. Puas hatinya melihat hasil kerjanya kelihatan cantik dan
sempurna.
“Dahlah,
mama. Rissa tolong mama siapkan cepat-cepat, ya? Nanti bila dah siap kita boleh
rehat dengan tenang,” celah Marissa tiba-tiba.
“Macam
tulah anak mama! Tak mudah putus semangat dan letih. Kalau macam nilah gayanya,
hujung bulan nanti mama bagi bonus,” dalam senyuman Puan Yunita bersuara, memberikan
pujian untuk menaikkan semangat anaknya.
Marissa
tersengih kelat. Faham benar maksud pujian mamanya sebentar tadi. Tidak tenang
dia untuk berehat selagi semua kerja-kerja tidak siap. Sesekali dia mengeliat
untuk membetulkan urat sarafnya yang dirasakan agak bersimpul. Rambutnya yang
panjang itu disanggul tinggi supaya tidak berserabai dan terjurai menganggu
kerja-kerjanya. Kain pasang fabrik sutera rona hijau lembut yang diletakkan di
dalam beg kertas itu diambilnya untuk digubah dijadikan bunga teratai.
“Banyak untung kita bulan ni. Nampak
gayanya lepas bila semuanya dah selesai, bolehlah kita pergi bercuti. Rissa
denganMirul ada kuliah lagi ke bulan depan?” Encik Johan bersuara memecahkan
keheningan suasana malam.
Mendengar soalan papapnya,
cepat-cepat dia menggelengkan kepala. “Minggu depan Rissa dah viva untuk tesis
akhir, jadi lepas tu dah tak ada apa-apa lagi. Tinggal nak konvo jelah.Mirul
pun rasanya dah mula cuti,” balasnya laju.
“Baguslah kalau macam tu. Tepat
sangatlah timingnya. So, ke mana kita?” soal Encik Johan.
“Dubai?” jawab Marissa dalam soalan,
mengharapkan papanya mengiakan.
“Bercuti dalam negara dahlah.. tak
payah nak membazir sangat,” tingkah mamanya.
Marissa memuncungkan bibirnya, tidak
puas hati dengan jawapan mamanya. “Ala, baru je nak merasa bercuti luar negara.
Sekali-sekala bolehlah, ma.” Pujuknya.
“Duit tu banyak lagi nak pakai
sayang oii... daripada habiskan kat tempat orang baik kita laburkan kat tempat
kita sendiri,” sanggah mamanya lagi.
“Hmm… tapi barang-barang kat sana
murah-murah dan lawa-lawa, tak sama dengan tempat kita.” Ujar Marissa.
“Memanglah murah, tapi dengan cukai
penerbangan lagi, caj itu caj ini, sama jelah.”
Encik Johan menggeleng kepala
mendengar perbualan anak isterinya. Ada-ada sahaja yang tidak sebulu. Dia faham
dengan niat anak isterinya. Isterinya cuba berjimat untuk ekonomi keluarga
sementara anaknya tidak pernah merasa semua itu. Hidup mereka susah selama ini.
Usahkan hendak melancong di luar negara, untuk makan sehari-hari pun dia
terpaksa membanting tulang empat keratnya untuk mendapatkan sesuap nasi.
Menyedari kesusahan itu,dia sebagai ketua keluarga berusaha sekeras mungkin
untuk memastikan hidup mereka senang.
Masih
diingat lagi bagaimana dia berjuang untuk meneruskan kehidupan keluarganya
setelah kembalinya dia daripada bumi Jerman. Ketika sampai di sini, dia hanya
sehelai sepinggang dan tidak punya apa-apa. Segala certificate yang dimiliknya tidak sempat dibawa pulang, menjadikan
dirinya susah untuk meminta pekerjaan yang sesuai dengan kelayakannya. Pelbagai
kerja dilakukannya. Daripada seorang engineer, dia pernah menjadi kuli.
“Sudah-sudahlah Nita, Rissa… In sha
ALLAH duit kita cukup untuk pergi melancong ke luar negara. Jangan fikir sangat
pasal duit. Duit tu kita boleh cari, yang penting sekarang ni kita usaha.
Untung bulan ni cukup untuk kita bawa anak-anak melancong,” ujar Encik Johan
menenangkan hati anak isterinya.
Marissa tersenyum senang. Gembira
dengan lampu hijau daripada papanya. Kini cuma menunggu persetujuan dari
mamanya sahaja.
“Hmm.. tak pelah kalau macam tu.
Nanti esok kita bincang lagi hal ni dengan Amirul sekali,” kata Puan Yunita.
Dia sebenarnya ingin juga melancong ke luar negara. Sudah lama dia tidak
merasai semua itu. Tapi dia tidak mahu mengharapkan lebih daripada itu kerana
tidak mahu membebankan suaminya.
“Yes!!!”
Marissa menjerit kegembiraan.
Impiannya hampir tercapai. Sudah lama dia mengimpikan untuk melancong ke luar
negara. Selalu dia dan adiknya berangan-angan untuk membuat percutian di negara
luar. Tidak kisahlah kalau bukan di Dubai sekali pun, asalkan di luar negara.
Dubai hanya rancangannya, tapi kalau adiknya ingin ke Machanster sekali pun dia
tidak kisah. Asalkan boleh bercuti, hilangkan stress yang menimbun di kepala!
“Rissa
syukur sangat dengan apa yang kita ada hari ni. Kalau diingat-ingatkan dulu,
Rissa tak pernah bermimpi untuk hidup senang macam ni. Dulu, Rissa tak pernah
rasa yang Rissa akan hidup sampai besar, dapat sekolah, dapat kawan… Rissa
ingat Ris..”
“Dahlah,
tak payah kenangkan cerita lama lagi. Benda dah lepas, buat apa nak ingat-ingat
lagi? ” mamanya meningkah cepat. Dia tidak mahu anaknya terus hidup dalam
kenangan pahit. Dia sendiri cuba melupakan semua itu. Tidak sanggup dia
mengenangkan peristiwa itu.
“Errr…
maaf, Rissa tak berniat nak buat mama sedih.” Menyedari kesilapan bicaranya,
Marissa meminta maaf.
“Tak
pelah… mama tak sedih pun. Cuma mama jadi teringat pada atuk kamu,” Puan Yunita
bersuara perlahan, menelan rasa sebak di hati.
“Atuk
kamu tak jahat sebenarnya. Dialah orang yang paling baik pada papa. Dia banyak
bantu papa sepanjang berada di sana. Dia tak pernah beza-bezakan pekerjanya.
Walaupun papa bukan orang tempatan, tapi dia tak pernah diskriminasikan papa.
Dia sangat prihatin,” Encik Johan bersuara, meredakan suasana yang tegang. Dia
tidak mahu anaknya terus-terusan menganggap datuknya seorang yang jahat.
“Mama rindu pada dia?” soal Marissa,
menduga hati mamanya.
Puan Yunita tersenyum, lantas
mengusap lembut ubun-ubun anaknya. “Rasa rindu tu mesti ada dalam diri setiap
anak. Sama macam Rissa sayangkan papa, mama pun sayangkan atuk,” jelasnya.
“Kalau macam tu kita pergi sana. Nak
tak?” tanya Marissa.
“Susah sayang…” balas Puan Yunita.
“Kalau kita rasa susah, susahlah.
Kalau kita rasa senang, benda susah pun jadi senang.” Ujar Marissa, kecewa
dengan dalih mamanya.
Puan Yunita menunduk. “Rissa, kalau
dah siap pergilah masuk tidur. Mama pun dah nak masuk rehat ni,” dalih mamanya
tidak mahu memanjangkan cerita. Dia terus menyimpan peralatan yang digunakan ke
dalam beg khas.
“Mama, nanti Rissa cuba pujuk Mirul
ya? Kalau dia ok, nanti kita pergi sana ya?” Marissa masih lagi tidak berpuas
hati. Entah mengapa dia berasa rindu dengan masa silamnya, rindu kepada
datuknya.
Puan Yunita mengangguk sekadar
melegakan hati anak itu. Marissa tersenyum senang.