REYNA gelisah. Hari ini merupakan hari perjumpaan keluarga
besarnya. Dia ada sesuatu yang ingin disampaikan. Sesuatu tentang masa
depannya. “Mak Limah, mari Reyna bawakan keluar. Sedap bau masakan Mak Limah
hari ni.” Dia cuba beramah mesra dengan orang gajinya. Mak Limah merupakan
orang gaji yang paling lama bekerja dengan keluarganya.
Mak Limah agak hairan. ‘Kenapa tiba-tiba Cik Reyna baik sangat
hari ni? Rajin pulak tu.’ Pelbagai persoalan bermain difikirannya. Malangnya,
dia tidak dapat bertanya kerana kekurangan fizikalnya. Mak Limah bisu. Dia bisu
sejak mengalami demam panas semasa Puan Sarah melahirkan Reyna.
“Agak-agaknya papa tengah mimpi kot! Kenapa rajin sangat hari ni?
Selalunya kamulah orang yang paling malas. Kamu nak kahwin ke yang belajar
masuk dapur hari ni?” soal Syed Khairil.
“Memang pun!” Ringkas dan serius kedengaran nada suara Reyna. Dia
terus ke meja makan.
Syed Khairil menggeleng. ‘Betul ke tidak anak aku ni. Hisy,
pening kepala aku fikirkan budak ni!’
Reyna menyuap makanan perlahan-lahan. Seleranya mati
untuk malam ini. Satu persatu wajah ahli keluarganya dipandang. Selagi yang
terbuku di dalam hatinya tidak diluahkan, selagi itulah jiwanya resah. Sudu
garfu terus diletakkan. Dia mengumpul kekuatan untuk meluahkan isi hatinya.
“Mama, papa, atuk, umi dan babah, Reyna ada benda nak cakap sikit
malam ni,” suaranya.
“Cakap apa?” soal Puan Sarah.
Reyna mengambil nafas untuk meneruskan kata-katanya. “Dah lama
Reyna fikirkan hal ni. Reyna dah tak sanggup lagi tanggung beban ni lama-lama.
Reyna dah fikir masak-masak...” Dia berhenti sejenak. Serba-salah pula dia
melihat wajah mamanya.
“Reyna nak putuskan pertunangan Reyna dengan Ariel. Reyna tak nak
tanggung biawak hidup sepanjang hidup Reyna. Reyna tak nak ada suami cacat
macam dia. Menyusahkan hidup Reyna aje.”
“Apa kamu merepek ni?” tengking Puan Sarah.
Bagaikan bom meledak, suasana yang tadinya harmoni bertukar
menjadi panas. Reyna menarik nafas lega. Biarpun dia tahu dia bakal menghadapi
kemarahan mamanya, namun itu lebih baik daripada terus memendam perasaan
sendiri.
“Reyna rasa Reyna tak perlu ulang apa yang Reyna cakap. Sesiapa
pun tak ada hak nak tentukan hidup Reyna! Hidup Reyna adalah hak Reyna! Reyna
cuma nak mama pulangkan cincin ni pada Ariel. Lagipun siapa yang beria-ia nak
tunangkan Reyna dengan si cacat tak guna tu?”
Terbeliak mata Puan Sarah mendengar kata-kata Reyna. Kalau bukan
kerana jarak tempat duduk yang memisahkan mereka berdua ketika ini, sudah lama
anak itu ditamparnya.
“Hei, kamu lupa ke siapa yang beria-ia sukakan Ariel dulu? Kamu
jugak Reyna. Mentang-mentang Ariel dah cacat, kamu nak buang dia macam tu aje?
Sedar sikit siapa yang menyebabkan dia jadi macam tu? Kamu Reyna! Kalau bukan
dia nak selamatkan kamu, dia takkan ditimpa kemalangan!” Puan Sarah benar-benar
marah saat itu.
Reyna terdiam. Cerita mengenai kemalangan Ariel yang dibangkitkan
oleh mamanya sebentar tadi membuatkan dia tidak senang duduk. Peluh mula memercik
di dahinya.
“Sudah! Sudah! Diam! Jangan bergaduh lagi. Reyna, cuba bagitahu
atuk, kenapa tiba-tiba kamu nak putus tunang dengan Ariel? Kamu dah ada orang
lain ke?” soal Tun Syed Hassan tenang.
Reyna menangguk perlahan. “Ya, tuk. Saya dah ada orang lain.
Orang tu sempurna fizikalnya. Reyna rasa dia mampu membahagiakan Reyna. Dia
sayangkan Reyna dan Reyna pun sayang sangat pada dia,” ujarnya selamba.
Tun Syed Hassan menarik nafas panjang, cuba bertenang dalam
menghadapi karenah cucunya kali ini.
“Kamu yakin dia sayangkan kamu bukan sebab kekayaan kamu?” Tun
Syed Hassan cuba berdiplomasi.
“Yakin sangat, tuk. Lagipun soal kekayaan tak jadi masalah sebab
dia pun orang berada,” balas Reyna.
Sarah bingkas bangun untuk mendapatkan Reyna. Perasaan marahnya tidak
dapat dibendung lagi. Mujur Syed Khairil sempat menahannya. Dia meronta-ronta
untuk dilepaskan.
“Sarah, duduk. Kita dengan dulu apa yang Reyna nak cakap. Semua
ni boleh bawa bincang,” tegur Tun Syed Hassan.
“Kenapa kamu lupa diri macam ni, Reyna? Mama tak pernah ajar kamu
jadi manusia yang tak kenang budi macam ni,” luah Puan Sarah, kecewa.
“Mama tak ada hak nak tentukan hidup Reyna!” bentak Reyna. Dia
tidak suka apabila hidupnya cuba ditentukan oleh orang lain.
“Terserah pada kamulah! Mama dah bosan dengan perangai kamu!
Ingat Reyna! Kamu akan menyesal suatu hari nanti. Kamu akan jilat kembali ludah
kamu!” marah Puan Sarah. Dia terus beredar dari situ. Sakit hatinya dengan
sikap Reyna.
Syed Khairil mengekori isterinya dari belakang. Bimbang jika ada sesuatu
yang buruk berlaku memandangkan isterinya amat marah saat itu.
PUAN SARAH menangis teresak-esak di dalam biliknya. Dia
benar-benar kecewa dengan Reyna. Secara jujurnya sebagai seorang ibu, dia
menginginkan anaknya mendapat teman hidup yang sempurna dan boleh membahagiakan
puteri kesayangannya itu. Kalau boleh, dia ingin Reyna bahagia dan gembira.
Namun, hatinya tidak mampu menerima hakikat jika Reyna ingin memutuskan
pertunangan dengan Ariel. Dia sayangkan Ariel seperti anaknya sendiri. Dia
tidak mahu gara-gara kejadian ini hubungan persahabatannya dengan Datin Farida
tercalar.
“Dahlah... jangan nangis lagi. Nanti kita bincang baik-baik
dengan Reyna. Mungkin dia ada masalah sampai-sampai dia cakap macam tu tadi,”
pujuk Syed Khairil.
“Salah saya ke, bang? Salah saya ke sebab terlalu berkeras dengan
dia?” soal Puan Sarah sambil mehanan esak tangis.
“Tak. Awak tak salah. Kadang-kadang kita perlu jugak berkeras
dengan dia. Reyna tu manja sangat sampai-sampai dia jadi keras kepala,” luah
Syed Khairil yang turut kesal dengan tindakan Reyna.
“Kalau saya tahu akan jadi macam ni, saya tak akan tunangkan dia
dengan Ariel. Saya tak akan buat janji dengan Farida.”
Air matanya disapu. Fikirannya benar-benar berserabut. ‘Macam
mana aku nak terangkan pada Farida tentang hal ni? Dia tentu kecewa sangat.
Reyna nak tinggalkan Ariel sebab ada orang lain. Macam mana janji aku dengan
Farida dulu? YA ALLAH tolonglah aku...”