“TOLONGLAH jangan buat saya macam ni! Saya merayu pada awak. Tolonglah bertanggungjawab atas apa yang dah awak buat, Amar.” Aku merayu dan menangis mengharapkan hati batu lelaki itu akan cair.
“Heret dia keluar!” Angkuh lelaki itu memberi arahan kepada dua orang pengawal peribadinya yang sedang memegang kedua-dua belah tanganku.
“Amar! Saya merayu pada awak. Apa saya nak jawab pada mak saya di kampung tu? Saya ni mangsa… saya akan merana, Amar. Saya tak minta apa-apa daripada awak. Saya tak nak walau sesen pun duit awak. Saya hanya mahu awak bertanggungjawab ke atas saya.” Aku meletakkan maruahku serendah-rendahnya di kaki lelaki itu, namun dia langsung tidak peduli.
Amar memandangku seketika sebelum dia melangkah mendekatiku dan mendekatkan wajahnya ke telingaku.
“Kau dengar sini baik-baik! Kau ingat, aku ni orang biasa-biasa ke kena ikut cakap kau? Kau ingat semua orang percaya ke apa yang dah berlaku malam tadi? Kau tak ada bukti, kan? Aku pun taklah bodoh sangat nak masuk ke dalam jerat kau! Jadi, sebelum aku hilang sabar… lebih baik kau sorok muka kau ni daripada bertembung dengan aku sampai bila-bila.” Tajam matanya menikam wajahku.
Air mataku terus mengalir tanpa henti. Aku merintih di atas derita yang bukan aku cipta.
“Kalau saya mengandung macam mana?” soalku cemas.
Amar sedikit pun tidak mempamerkan wajah bersalah mahupun simpati. Ternyata hatinya terlalu keras dan sifat pentingkan diri yang kebal di dalam dirinya menjadikan dia terlalu sombong.
“Ada aku kisah kalau kau mengandung? Kau ada bukti ke yang budak tu nanti anak aku? Aku takkan sesekali bertanggungjawab terhadap kau atau budak tu nanti. Kau dengar tu baik-baik. Kalau susah sangat, kau gugurkan aje. Selesai masalah. Satu lagi… jangan kau berani nak laporkan pada pihak polis.
Kalau tak, aku akan canang pada media yang kau cuba perangkap aku demi memeras ugut duit aku. Masa tu… kalau mak kau mati terkejut, kau jangan salahkan aku!”
Kata-kata tidak beriman yang dilontarkan lelaki itu cukup membuatkan seluruh hatiku membencinya.
“Saya benci awak! Saya sumpah hidup awak takkan bahagia sampai awak mati. Nama Amar Taufiq akan menjadi manusia yang paling saya benci selagi saya bernyawa. Awak dengar sini baik-baik! Suatu hari nanti, awak akan datang melutut dan cium kaki saya ni minta maaf. Masa tu awak akan sedar, ego awak menjadi racun yang merosakkan jiwa dan diri awak.
Saya takkan maafkan perbuatan awak pada saya sampai bila-bila. Manusia yang kejam dan tak beriman macam awak tak layak untuk ditakdirkan menjadi seorang ayah. Hidup awak akan menderita sama seperti saya.”
Aku sedar yang kata-kataku itu langsung tidak mengusik hati lelaki itu. Sesungguhnya dugaan yang sedang aku pikul ini terlalu berat untuk aku hadapi seorang diri. Apakah yang harus aku lakukan? Kasihan pada emak yang akan turut terpalit rasa malu terhadap apa yang telah menimpaku.
“Keluar!”
Jerkahan lelaki itu mengiringi diriku yang diheret oleh dua orang pengawal peribadinya bagai seekor kucing kurap yang dicampak di tepi jalan. Sungguh, terasa nilai harga diri dan maruahku berada di bawah telapak kaki Amar Taufiq.
Tubuhku ditolak keluar dari bangunan itu. Aku terduduk kaku tanpa arah tujuan. Kebencian terhadap lelaki itu yang terlalu meluap-luap telah membentuk sebuah dendam yang tidak akan berpenghujung di dalam diriku. Aku menggenggam kejap kedua-dua belah tanganku sambil menahan amarah yang telah menguasai diri.
“Kau harus kuat. Bangkit Hana! Tiada siapa yang akan bantu kau kalau bukan diri kau sendiri.” Perlahan-lahan aku bangun dan hala tujuanku adalah kampung halamanku.
MALAM itu sejurus aku sampai di rumah, aku disambut mesra oleh emak. Dia memelukku erat sementelah sudah hampir dua bulan aku tidak pulang menjenguknya. Seboleh mungkin aku menyembunyikan kedukaan yang sedang melanda diriku dengan mengukirkan senyuman yang manis dan berpura-pura seperti tiada apa-apa yang berlaku.
“Hana tak rindu mak ke lama sangat tak balik? Ni nak kenduri kahwin usu barulah nampak muka Hana. Kalau tak balik jugak, emak yang akan ke Kuala Lumpur tu.” Emak berkata seakan berjauh hati pula.
Segera aku merangkul tangannya.
“Hana rindu sangat pada mak. Setiap saat… setiap minit Hana pasti teringat pada emak. Cuma biasalah kursus perubatan bukan seperti kursus memasak. Hana kena banyak membaca buku, membuat kajian dan sentiasa ada perbincangan dengan rakan-rakan sekelas,” ujarku bagi memujuk hati emak.
Tiba-tiba ingatanku terbang mengingati peristiwa yang berlaku malam tadi. Spontan ada air mata yang bertakung di tubir mataku. Ingin aku luahkan pada emak, ingin aku mendakap emak dan meluahkan rasa sedihku. Ingin aku berlindung di sebalik emak agar aku dapat meraih kekuatan bagi menghadapi ujian yang berat ini. Namun, apakan daya. Seperti ada seketul batu yang menyekat kerongkongku.
Akhirnya, aku mengambil keputusan untuk memendam sahaja apa yang telah menimpa diriku. Aku juga tidak berani untuk melaporkan kepada pihak polis kerana terlalu banyak kemungkinan buruk yang aku takut hadapi terutama apabila melibatkan emosi emakku kelak. Aku cuba positifkan diri setenang-tenangnya dengan menyakinkan diri bahawa apa yang telah berlaku tidak mewujudkan sebarang pembentukan di dalam rahimku. Kalau aku mengandung, pasti aku tidak mampu untuk berdiri sendirian.
Keesokan harinya, majlis pernikahan dan persandingan mak usu berjalan dengan lancar. Kesemua ahli keluargaku turut berasa tempias kebahagiaan terutamanya di wajah mak lang.
Ketika aku sedang membantu mengelap pinggan dan cawan yang telah dibasuh di bawah khemah berdekatan pintu dapur, mak lang menghampiriku.
“Hana ada masalah ke? Mak lang tengok sejak semalam lagi Hana macam lain. Murung je muka tu. Kenapa ni? Tuan Amar ada marah Hana ke?” Soalan mak lang itu membuatkan tubuhku tiba-tiba terasa berbahang.
Aku menelan liur yang terasa pahit. Aku menyibukkan diri dengan terus mengelap pinggan dan mangkuk. Persoalan mak lang aku biarkan tergantung seketika sambil otakku ligat cuba mereka jawapan yang terbaik.
Mak lang tidak boleh tahu apa yang telah berlaku, tapi dalam masa yang sama aku mahu meyakinkan mak langku itu supaya berhenti kerja di rumah Amar, lelaki yang telah meragut maruah diriku.
“Hana!” panggil mak lang sekali lagi.
“Ya, mak lang. Maaf, Hana tak dengar sangat tadi.” Aku beralasan.
Mak lang menarik kerusi di sebelahku dan melabuhkan punggungnya. Aku pasti topik yang ingin mak lang bualkan pasti berkisar tentang aku menggantikannya sebagai tukang masak kepada Amar.
“Macam mana? Ada tertangkap ke dengan Tuan Amar?” soal mak lang seakan berbisik.
Aku diam. Tidak terkeluar sebarang jawapan.
“Hmm… Hana hanya memasak seperti yang mak lang suruh dan tak pernah terserempak dengan Tuan Amar sepanjang berada di rumah tu,” bohongku.
Aku terkesan raut sugul di wajah mak lang. Belum sempat aku bertanya, mak lang mengatakan sesuatu yang agak melegakan hatiku pada mulanya, namun ayat terakhir mak lang itu membuatkan darahku terasa berderau.
“Mak lang diberhentikan kerja. Tuan Amar kata dia dah tak perlukan khidmat tukang masak. Katanya lagi, dia dah nak kahwin dan akan tinggal di London bersama keluarganya,” ujar mak lang tenang.
Tubir mataku terasa pedih. Geramnya aku kerana lelaki itu sedang melarikan diri daripada kenyataan. Sudahlah aku dibiarkan tanpa rasa tanggungjawab dan aku juga dituduh sebagai dalang yang memerangkapnya. Kini, dia mahu melenyapkan diri dengan pergi jauh dari negara ini.
“Hana pun sebenarnya tak berasa suka mak lang kerja kat situ. Apa kata mak lang berniaga kecil-kecilan di depan rumah ni. Jual nasi lemak mak lang yang sedap tu. Nanti bila bisnes dah maju sikit, boleh bukak gerai atau warung pulak,” cadangku.
Mekar senyuman di wajah mak lang sewaktu aku mengajukan cadangan itu.
“Bagus jugak cadangan Hana ni. Mak lang pun memang ada simpan sikit duit. Bolehlah nak buat modal mulakan perniagaan. Kat Kuala Lumpur tu, mak lang sunyi tak ada kawan-kawan macam kat kampung ni. Lepas ni, ada ucu dengan mak Hana yang boleh jadi peneman mak lang.”
Aku mengangguk-angguk tanda menyokong cadangan mak lang. Kemudian, aku meminta diri untuk masuk ke dalam bilik dengan alasan mahu membersihkan diri walhal sebenarnya hatiku sedang hancur tatkala mendengar perkhabaran tadi. Amar Taufiq! Aku takkan maafkan kau hingga ke hujung nyawa.
Tiga bulan kemudian
Aku mundar- mandir di dalam bilik tidur. Kuku jari tangan sudah berapa kali aku gigit. Aku ketakutan. Sudah beberapa hari aku berasa tidak enak badan. Sejak tempoh itu juga setiap pagi aku berasa mual dan akan memuntahkan isi perut. Sebagai seorang pelajar perubatan, aku tahu apa yang sedang terjadi kepadaku.
Simptom morning sickness adalah tanda normal bagi seorang wanita yang sedang mengandung! Namun, beratus kali aku cuba menidakkan kenyataan itu. Usiaku masih muda, aku sedang menuntut pengajian perubatan untuk bergelar seorang doktor dan aku juga merupakan satu-satunya harapan emak.
Aku menangis teresak-esak. Alat penguji kehamilan di tangan aku campak ke arah pintu.
“Kenapa semua ni terjadi kepada aku? Apa salah aku? Apa dosa aku? Aku tak sanggup nak hadapi seorang diri.”
Sedaya upaya aku cuba sembunyikan kedukaan daripada pengetahuan emak dengan berlagak selamba. Malah, aku terpaksa membohongi emak yang universiti tempat aku menuntut sedang diubah suai dan semua pelajar diberi cuti selama tiga bulan menggantikan dua penggal cuti semestar.
Hakikatnya, aku sudah patah semangat untuk meneruskan pengajian. Setiap saat aku diasak dengan desakan emosi yang semakin hari semakin memakan hati. Aku benar-benar tertekan! Mengandung anak lelaki yang tidak aku kenali bukanlah satu pengakhiran yang aku impikan di dalam hidup.
Sepanjang tiga bulan ini, aku sering membayangkan masa depanku yang hancur punah. Hidup aku tidak bahagia. Aku tidak dapat mengejar cita-cita untuk bergelar seorang doktor dan yang paling menyedihkan, aku telah menconteng arang ke muka emak. Kelak apabila usia kandunganku meningkat pasti saiz perutku turut membesar. Ketika itu, pasti aku dan emak malah saudara-maraku akan menjadi topik bualan serta fitnah orang kampung.
“Amar! Lelaki tak guna! Aku benci kau!” Aku berteriak membayangkan Amar sedang berada di depan mataku.
Bantal aku capai dan terus baling ke lantai. Begitu juga dengan selimut dan cadar, aku tarik dan genggam bagi melepaskan rasa tertekan. Aku menangis semahunya mengenangi nasib diri yang malang.
Air mataku semakin lebat menuruni tubir mata tatkala mindaku kembali mengimbau kejadian malam kelmarin di mana aku cuba mencederakan urat nadiku dengan menggunakan mata gunting. Namun, laungan azan isyak yang datang dari arah surau berdekatan membuatkan aku tersedar yang aku telah jauh tersasar dalam emosi.
Aku terduduk di bucu katil sambil menangis teresak-esak. Tidak tahu apa yang sewajarnya aku lakukan. Aku tersepit antara mahu berdiam diri dan membesarkan anak yang bakal lahir ini sendiri atau pergi mencari dan menemui Amar sekali lagi dan merayunya agar bertanggungjawab. Namun, kedua-dua pilihan ini hanya membuatkan aku lebih derita.
“Hana!”
Teriakan emak dari arah pintu bilik yang terkuak mengejutkanku. Aku bingkas bangun. Pasti emak mengetahui sesuatu berita yang tidak baik. Aku meneka di dalam hati.
“Kau dah hilang akal ke teriak, menjerit macam orang gila? Mak dari halaman rumah tadi boleh dengar kau terpekik-pekik. Dah kenapa kau ni?” marah emak.
Aku yang terkejut akan kehadiran emak di muka pintu itu lantas segera menyeka sisa air mata. Biasanya waktu-waktu seperti ini, emak akan mengajar di sekolah menengah yang terletak di pekan. Entah mengapa, aku berasa tidak sedap hati akan kepulangan awal emak ke rumah pagi ini.
“Astaghfirullah… bersepah-sepah bilik ni. Hana! Mak tengok kau sejak kebelakangan ni perangai lain macam betul. Apa yang kau sorokkan daripada mak? Cakap sekarang sebelum mak naik darah. Kau tahu kan mak kalau dah naik hantu macam mana?” Emak masih lagi bercekak pinggang di muka pintu.
Aku sedia tahu akan ketegasan emak terutama cara mendidikku. Emak paling pantang apabila mengetahui aku membohonginya. Aku semakin ketakutan. Rasa kelu lidahku untuk menyusun bicara dan menerangkan kepada emak tentang tragedi yang telah menimpaku. Aku khuatir pengakuanku kelak akan menjejaskan emosi dan kesihatan emak sementelah emak disahkan menghidapi penyakit darah tinggi sejak dua tahun yang lalu.
Aku masih berdiri tegak di sisi bucu katil. Terasa seakan-akan sepuluh jari kakiku bagaikan dipaku ke lantai berbatu. Begitu juga mulutku ibarat dijahit rapat dan tidak bisa dirobek lagi. Hanya air mata mengalir tanpa aku dapat kawal lagi.
“Jawab Hana! Kenapa diam? Tadi, emak dapat call dari fakulti dan pihak pentadbiran maklumkan yang kau dah tiga bulan tak hadir kuliah! Kenapa bohong mak? Kenapa kau kata universiti diubah suai? Kenapa malukan mak?”
Aku terkesan wajah hiba emak walaupun di dalam amarah. Aku menggeleng-geleng. Tidak terkeluar walau sepatah perkataan daripada mulutku. Belum sempat aku mahu membuka langkah mendekati emak, emak terlebih dahulu bergerak mendekatiku.
Namun, baru dua tapak emak melangkah, emak berhenti dan tangannya terus mencapai sesuatu yang berada di bawah telapak kaki. Aku terkedu!
Alat penguji kehamilan yang aku baling tadi kini berada di tangan emak. Aku menelan liur. “
Mak…” Hanya sepatah perkataan yang terkeluar daripada mulutku.
“Ni… ni siapa punya?” soal mak dalam nada suara yang bergetaran.
Aku diam.
“Astaghfirullah… Ya ALLAH… kenapa buat mak macam ni, Hana?” Emak terduduk di lantai.
Aku mempercepatkan langkah mendekati emak, namun aku tersentak apabila tubuhku ditolak. Emak mula menangis teresak-esak kesedihan. Hatiku terasa dirobek dan dicincang halus tatkala melihat emak mengalirkan air mata.
Sesungguhnya saat-saat seperti inilah yang aku paling takuti. Aku merahsiakan apa yang telah terjadi kerana aku tidak mahu emak bersedih dan aku tidak menyangka yang emak mengetahuinya dengan cara begini.
Aku terkejut apabila emak mencapai bantal yang berada berdekatannya dan terus memukulku berkali-kali.
“Emak hantar kau belajar tinggi-tinggi… berhabis duit untuk kau, ni balasan kau pada mak ya!” teriak emak dalam esakan.
Aku hanya membiarkan perlakuan emak itu kerana aku sedar emak sedang melepaskan rasa kecewanya. Tentang penjelasan apa yang telah terjadi kepada diriku akan aku terangkan kepada emak kelak. Itu pun jika emak mahu mendengarnya.
“Kenapa malukan emak, Hana? Sebab inilah kau tak masuk kuliah berbulan-bulan, kan?” marah emak lagi, namun pukulan bantal di tubuhku sudah terhenti.
“Emak… Hana boleh jelaskan,” balasku dalam sendu.
“Kau cakap dengan emak, dalam perut kau tu anak siapa? Mak nak jumpa jantan tu hari ni jugak!”
Aku terdiam sebentar.
“Hana… Hana tak boleh beritahu emak.” Jawapan ini sahaja yang mampu aku fikrikan.
“Cakap Hana!” tengking emak lagi.
Aku menjerit kesakitan apabila emak menarik rambutku dan memukul-mukul belakang badanku.
“Apa salah emak… sanggup kau buat mak macam ni Hana. Anak tak kenang budi!” jerit emak dalam esakan.
Tidak lama selepas itu, aku terdengar suara pak long yang sedang menarik tangan emak menjauhiku.
“Kenapa kau ni, ngah… mengamuk macam ni? Nak bunuh Hana ke? Apa masalahnya sampai terpekik-pekik macam ni?” Pak long memujuk emak.
Emak mengesat air mata yang mengalir di pipinya. Setiap esakan emak itu bagaikan mencucuk-cucuk hatiku. Sakitnya terasa hingga ke dasar hati.
“Apa yang aku nak buat sekarang, long? Anak aku ni mengandung.”
Kedengaran esakan emak semakin jelas dan kuat.
“Astaghfirullah… betul ke, Hana?” soal pak long pula, namun dalam intonasi tenang.
“Ampunkan Hana. Hana boleh jelaskan pada emak apa yang berlaku. Hana tak salah.” Aku menangis sambil memeluk kedua-dua belah kaki emak.
“Jelaskan apa? Tadi mak tanya siapa lelaki tu, tapi kau diam. Apa yang kau nak sorokkan? Kau nak tengok mak ni kena serangan jantung baru kau nak menyesal ke?”
Aku menggeleng laju.
“Emak… jangan cakap macam tu, Hana tak nak kehilangan emak,” rayuku.
“Cuba Hana jelaskan apa yang dah jadi. Pak long dengan mak Hana akan dengar,” pujuk pak long.
Aku menelan liur sekali lagi dan mengumpul seluruh keberanian untuk mula membuka kisah dukaku yang malang.
“Hana… err… Hana kena rogol.” Usai aku meluahkannya, aku menangis dan meraung semahu-mahunya.
Kali ini barulah terasa benar dan aku menerimanya sebagai satu kenyataan yang tidak boleh aku undurkan lagi. Emak terduduk. Semakin kuat esakan emak dan tidak lama selepas itu, tubuhku dirangkul ke dalam pelukannya.
“Emak tahu anak emak tak jahat. Kesiannya anak aku. Kasihannya Hana.” Emak merintih.
“Hana minta maaf, emak… Hana tak tahu nak buat apa lepas hal tu terjadi. Hana diamkan daripada emak sebab Hana tak nak emak sedih. Hana tertekan sangat sampai Hana tak boleh fokus nak belajar. Tolong Hana, emak. Hana tak kuat nak hadapi dugaan ni.” Aku merintih sayu sambil menggenggam erat tangan emak.
Emak mencium ubun-ubunku.
“Emak ada kat sini. Emak akan sentiasa ada bersama Hana.”
Pujukan emak melegakan hatiku buat seketika.