Aku menyudu sedikit sambal udang yang sedang mereneh di dalam kuali di atas dapur itu. Aku mengangguk apabila aku merasakan yang rasa sambal itu sudah cukup sempurna rasanya. Ada rasa masin dan cukup juga rasa pedasnya. Aku mencapai mangkuk kaca di atas rak pinggan lalu aku angkat udang masak sambal petai yang telah siap dimasak itu ke dalamnya.
“Terliur pulak aku tengok udang- udang gemuk dalam sambal ni. Makan sikit tak apa kot, tak luak pun Tuan Amar tu makan sorang-sorang.” Aku tersenyum sendiri sambil tanganku laju mencapai sebuah pinggan di atas rak lalu aku masukkan sesenduk nasi putih ke dalamnya.
Aku tidak sedar yang ketika itu sebenarnya tingkah laku aku sedang diperhatikan oleh seseorang yang sudah lama berdiri tegak di ruang tengah berdekatan meja makan.
“Arrrrgggghhhh!” Aku menjerit sambil pinggan di tangan aku bawa lari menuju ke arah singki. Pinggan itu aku letakkan lalu sebatang garfu di dalam singki aku capai dan aku halakan ke arah lelaki yang masih lagi berdiri tegak persis kayu itu.
“Kau buat apa di dalam rumah ni?” soalku dalam rasa takut.
“Arrrrggggghhhhh!” kali ini lelaki kacak a.k.a pencuri itu pula yang menjerit. Dia mencapai batang penyapu yang tersandar di sisi dinding lalu di halakan ke arahku.
“Kau hantu ke manusia?” soalnya di dalam nada suara yang terketar-ketar.
Aku memegang bahagian dadaku yang terasa turun naik tidak seirama itu. Di dalam fikiranku ketika itu sudah membuat pelbagai andaian antaranya lelaki itu adalah pencuri yang berjaya memecah masuk ke dalam rumah ini dan bila-bila masa sahaja dia akan mencederakan aku.
“Macam mana kau boleh masuk ke dalam rumah ni hah?” soalku sambil sebelah tanganku teraba-rasa mencari senjata untuk mempertahankan diri.
Mata lelaki itu tajam menikam wajahku. “Kau tu yang macam mana boleh masuk dalam rumah ni? Siap makan lagi. Tak tahu malu betul. Pencuri!” tuduhnya pula.
Aku menjarakkan diri tatkala aku melihat lelaki itu mula menghampiriku. Aku mencapai sebilah pisau yang tersangkut di sebelah singki. Aku halakan ke arah hadapan.
Terhenti langkah lelaki itu. “Wei…jangan main benda-benda tajam! Kau dah gila ke apa ni?” ujarnya. Suaranya dikendurkan.
Aku tidak kira. Saat itu aku telah bersedia untuk mempertahankan diri jikalau lelaki itu cuba menghampiriku ataupun cuba mengapa-apakan aku. Hanya kepada ALLAH aku berserah akan nasibku ketika itu. Namun begitu aku tak akan dengan mudah mengalah tanpa mempertahankan diri terlebih dahulu.
“Kau jangan berani dekat dengan aku ya pencuri.” Aku mengingatkannya.
Lelaki itu ketawa. “Mak cik oii…aku ni ada nampak macam pencuri ke? Kan aku dah kata pada kau semalam yang aku ni Hadi, kawan Amar. Kau tak faham-faham lagi ke?” katanya.
Berkerut dahiku memikirkan kata-kata lelaki itu. “Apa bukti kau ni kawan Tuan Amar?” soalku masih tidak mempercayainya.
Kali ini dahi lelaki itu pula yang berkerut. “Mak Cik Norli mana?” soalnya pula tanpa menjawab pertanyaanku.
Mak cik Norli? Itu nama Mak Lang. Kenapa pula pencuri ni tahu nama mak cik aku? Ah! biasalah pencuri kan ada 1001 akal pasti ini idea liciknya untuk memperdayakan aku.
“Mak cik Norli tak ada. Aku yang gantikan dia masak untuk Tuan Amar. Kau keluar dari sini sekarang kalau kau tak nak pisau ni melayang ya.” Ugutku lagi.
“Ganti Mak Cik Norli?” Terkejut benar lelaki itu nampaknya.
“Pergi!” tambahku lagi.
“Errr…jadi ayam masak kicap, ala-ala masak tumis dan lauk-lauk lain yang aku makan selama seminggu ni kau yang masak lah ya?” Lelaki itu menyoalku tentang masakan yang dijamahnya sejak seminggu lalu itu.
Aku menjelingnya. Di dalam hati aku sebenarnya sedang mengiyakan kata-kata lelaki jaraknya kurang lima meter dariku itu.
“Kenapa kau tanya?” soalku berlagak berani.
“Sebab aku ni kawan baik Amar tapi semalam kau tuduh aku ni nak menceroboh rumah kawan sendiri padahal rumah ni aku dah buat macam rumah aku sendiri. Tak pasal-pasal aku kena bawak ke balai polis.” Nada keras lelaki itu membuatkan aku menelan liur.
Aku meletakkan pisau di tangan ke dalam singki. Aku menelan air liur yang terasa pahit kerana aku menyedari yang aku sebenarnya sedang berhadapan dengan kawan Tuan Amar. Dalam erti kata lain aku telah tertangkap!
“Kau keluar. Aku tunggu kau kat depan rumah. Hal ni tak selesai lagi,” arahnya tiba-tiba.
“Cakap ajelah kat sini.” Aku menjawab.
Dia memandangku tajam. “Menjawab, menjawab. Kau nak kena tangkap basah dengan aku ke? Kalau nak sekarang jugak aku panggil orang surau.”
Tanpa menunggu sesaat lagi aku mencapai beg tanganku dan aku berlari keluar menggunakan pintu belakang.
Di hadapan rumah, di bawah pohon pinang aku dan Hadi bersabung mata. Aku kena tunjuk berani di hadapan lelaki sombong sepertinya. Barulah aku tidak akan dibuli walaupun sebenarnya ketika itu aku adalah pesalah. Bersalah kerana menceroboh rumah kawannya tanpa pengetahuanselama tempoh seminggu ini.
“Berani kau pandang aku tajam macam tu ya. Tunduk kan mata kau,” arahnya.
Aku menundukkan mataku untuk sesaat sebelum aku memandang wajahnya lebih tajam dari tadi.
“Menjeling, menjeling. Aku korek mata kau tu karang, nak? Kau buat apa dalam rumah Amar hah? Kejap… kejap jadi kau lah yang masak semua makanan tu selama seminggu ni? Weekkk…” Dia membuat aksi memuntahkan sesuatu yang membuatkan aku mengepal penumbukku geram.
“Kau jangan hina masakan aku ya. Kalau tak sedap kenapa kau makan sampai licin lauk-lauk yang aku masak selama seminggu ni. Eleh…cakap tak serupa bikin. Mengaku ajelah sedap aku masak. Berlagak betul kau ni kan!” Aku melawan.
Lelaki itu tiba-tiba ketawa sinis yang membuatkan aku terasa nak cubit-cubit bibirnya itu sampai bengkak. Geram betul aku dengan mulut lasernya itu yang sebijik macam burung murai jantan tercabut ekor.
“Kau nak rasa tak macam mana perasaan bila masuk lokap? Hari tu kau kenakan aku sampai aku kena tahan polis dengan tuduhan aku cuba memecah masuk rumah ni, sedangkan sekarang ni sebenarnya kau yang pecah masuk rumah kawan baik aku.” Lelaki itu mengugutku yang membuatkan aku berasa panik.
“Kau…kau nak buat apa? Aku tak ambil apa-apa barang pun dalam rumah kau ni. Aku datang untuk masak aje. Itu saja,” balasku berani. Aku mula khuatir apabila membayangkan diri sedang dikurung di dalam lokap. Tak sanggup apabila membayangkan aku menyarung baju oren tu!
“Siapa suruh kau masak?” soalnya lagi. Kedua-dua belah tangannya memeluk tubuh.
Aku melepaskan sebuah keluhan. Maaf Mak Lang, Hana tak ada niat untuk buat kita tertangkap. Hana tak sengaja. Aku berbisik di dalam diri.
“Mak Lang aku minta tolong gantikan dia selama dua minggu memasak di dalam rumah ni. Untuk kawan kau dengan kau sekalilah. Kawan baik kau tu tak bagi Mak Lang aku cuti sebab kawan kau tu kata susah nak cari makanan. Mengada-ngada betul dia tu, padahal Mc Donalds ada, KFC ada berlambak kat luar tu dia boleh cari makan. Tapi dia nak jugak suruh Mak Lang aku tu masak. Mak Lang aku tu beriya tau nak bantu persiapan majlis kahwin Mak Usu, tapi bila kawan kau tu tak luluskan cuti dia, terpaksalah kami buat rancangan ni,” kataku berterus-terang.
Hadi tidak jadi untuk membalas kata-kataku apabila matanya memandang ke arah sebuah kereta Volkwagen Polo berwarna merah yang tiba-tiba sahaja berhenti di hadapan kami. Dari cermin kereta itu aku dapat melihat dengan jelas seorang wanita berkaca mata hitam, rambut berwarna kuning sedang memandang ke arah kami berdua.
“Siapa nama kau?” soal lelaki yang bernama Hadi itu tiba-tiba yang membuatkan aku menoleh ke arahnya semula.
“Nama?” soalnya lagi sambil kedua-dua belah keningnya terangkat. Matanya tepat merenung anak mataku.
“Mawar Hana,” kataku.
Mata kami berdua teralih semula ke arah wanita yang sedang membuka pintu kereta itu. Wow! Membulat mataku memandang ke arah wanita itu. Pakaiannya jauh lebih seksi berbanding dengan cara pemakaianku. Entah mengapa aku tiba-tiba berasa malu melihat pemakaian wanita itu yang nampak terlalu menjolok mata tanpa sebarang sebab.
“Hadi…you tau tak mana Amar pergi tiga hari ni? I rindu sangat pada baby I tu,” mengada-ngada betul nada suara wanita itu memanggil kekasihnya.
“Baby? Wekkk….nak termuntah aku mendengarnya. Dah besar panjang macam tu dipanggil baby, ya ampun geli geleman.” Aku mengomel perlahan. Namun masih dapat didengari oleh Hadi apabila sebuah jelingan dihadiahkannya kepadaku.
Hadi aku lihat buat tak tahu sahaja dengan wanita cantik itu. Macam tak ada perasaan saja bila dia lihat perempuan cantik malah seksi itu sedang menggodanya. Lelaki ini normal ke tidak sebenarnya? Aku mula berprasangka.
Hadi memandang sekilas ke arahku. Wajah mencukanya masih terpamer jelas. “Zaharah…I tak tahu Amar pergi mana, kalau siang-siang macam ni dah tentu lah dia berada di ofis. I tak ada alasan pun untuk tolong Amar mengelak dari you cuma you tu je yang selalu mengelak dari I.”
“I minta maaf sebab jodoh kita tak lama dan I jatuh cinta pada Amar. You sendiri pernah kata sebelum ni yang you tak kisah I tinggalkan you dan bercinta dengan Amar kan?” Balas Zaharah pula.
Wow! Dah macam kisah telenovela pula aku dengar cerita tiga segi mereka. Aku malas nak berlama-lama di situ kerana hal yang sedang dibahaskan tiada kaitan langsung dengan diriku. Aku segera berjalan menuju ke pasar raya yang terletak di seberang jalan utama dengan kadar segera supaya aku dapat membeli bahan-bahan penyediaan chicken chop untuk parti Tuan Amar pada malam ini.
Langkahku terhenti seketika bila aku sampai di hadapan pintu masuk pasar raya dan sebuah dengusan aku lepaskan. “Tak faham aku dengan kerenah orang kaya ni, apa dapat kalau buat parti? Kan lebih elok buat kenduri doa selamat, lagi berkat. Ish…jangan ada minuman keras sudah malam ni…tak pasal-pasal dosa terpalit pada aku,” omelku dalam geram.
Hampir sejam aku menghabiskan masa di pasar raya itu, aku kembali ke rumah Tuan Amar semula. Tanganku lincah menyediakan bahan-bahan untuk sos dan juga dalam masa yang sama aku menggoreng golden crispy chicken untuk hidangan tiga puluh orang. Dalam masa sama juga aku perlu mencari dan mengeluarkan pinggan mangkuk untuk penyediaan makanan. Di dalam hati rasa panas juga kerana tidak pasal-pasal aku dipaksa untuk menjadi tukang masak pula.
Jam menunjukkan pukul 7.00 malam. Hidangan seperti yang diminta Tuan Amar telah aku siapkan dan aku hidangkan di bahagian halaman bersebelahan dengan kolam renang seperti yang diminta Tuan Amar sejam yang lalu. Lelaki itu menelefonku sekali lagi dan disuruhnya aku mengangkat segala kelengkapan termasuk pinggan, cawan, sudu, garfu dan meja kerusi ke halaman hadapan. Aku sempat menggomel di dalam hati kerana terpaksa mengikut tunjuk lelaki itu. Aku bersabar dan menuruti kerana aku fikirkan soal periuk nasi Mak Lang. Kalau ikutkan hati mahu sahaja aku memujuk Mak Lang untuk berhenti dari bekerja dengan lelaki kurang ajar dan sombong ini.
Ketika aku sedang menyusun beberapa buah kerusi bersebelahan kolam, tidak semena-mena kakiku tersadung di kaki meja lalu tubuhku tersungkur ke atas rumput hijau di halaman rumah itu.
“Aduh…sakitnya.” Aku mengaduh sambil ibu jari kaki kiriku aku usap perlahan.
“Jadi kau lah orang gaji untuk dua minggu ni?” Sergahan yang datang dari arah belakang itu benar-benar mengejutkanku.
Aku pantas menoleh lalu anak mata berwarna Hazelku terus bertembung dengan anak mata hitam milik lelaki berwajah Korea seperti yang aku lihat di dalam bingkai gambar yang tersusun di atas kabinet di ruang makan di dalam rumah.
Tanpa aku pinta jantungku berdegup pantas tatkala mata tajam milik lelaki itu menikam wajahku lama. Aku segera bangun dan mengalihkan pandanganku dari wajah lelaki itu. Aku berasa tidak selesa apabila aku berasakan yang mata Tuan Amar masih lagi melekat di wajahku. Aku berdehem untuk menutup rasa cemas yang mula cuba menguasai diri dan dehemanku itu turut menyedarkan lelaki itu untuk kembali ke dunia realiti.
“Siapa nama kau?” Soal Tuan Amar kasar.
“Hana… tuan,” balasku dalam gugup.
“Is everything ready for tonight?” soalnya sambil dia berjalan menuju ke arah meja yang menempatkan beberapa hidangan utama untuk parti malam ini.
Aku mengangguk.
“Aku tak suruh kau angguk, aku suruh kau jawab!” Sergahan kali keduanya itu membuatkan aku menelan liur.
“Dah tuan. Err…jadi saya nak balik ke rumah sekarang,” balasku.
Lelaki itu kembali menatap wajahku. Aku berasa tidak selesa dengan pandangan tajam lelaki itu walaupun mungkin raut wajahnya itu diciptakan sedemikian sejak azali.
“Ada aku kata kau boleh balik? Kau pekak ke masa aku telefon kau tengah hari tadi? Kan aku suruh kau tunggu sampai parti ni habis. Ni semua nanti siapa nak kemas? Gaji kau aku bayar tau. Aku ni bos dan kau tu kuli, sedar diri tu sikit.” Sinis benar nada suara Tuan Amar memerliku.
“Okay tuan.” Pendek sahaja jawapanku kerana aku dapat mengagak lelaki di hadapanku ini keras hati orangnya.
Aku melangkah meninggalkannya untuk masuk semula ke dalam rumah. Namun baru tiga langkah aku berjalan, suara kasar itu menyengah telingaku semula.
“Kau nak ke mana tu? Aku tak habis cakap lagi ni,” ujarnya yang mula menjengkelkan hatiku.
“Jom kita solat Maghrib dah masuk waktu ni.” Aku kira jawapanku itu cukup untuk membuatkan wajah lelaki itu berubah merah.