Home Novel Cinta RINDU YANG TERTINGGAL
RINDU YANG TERTINGGAL
Dea Zoraya
4/10/2018 10:24:33
80,810
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 1



Berulang kali aku menekan suis loceng di tepi pintu pagar utama rumah agam itu, namun masih tiada sesiapa yang muncul untuk membukakan pintu pagar untukku. Aku memandang sekilas ke arah jam yang melekat di pergelangan tanganku yang telah mula beranjak ke angka sepuluh pagi. Beg plastik berisi seekor ayam, sekilo ala-ala dan seikat sayur bayam aku letakkan ke bawah. Peluh yang menitis di dahi aku kesat dengan belakang lenganku lalu telefon bimbit di dalam beg galas aku capai untuk mendail nombor seseorang.

“Assalamualaikum Mak Lang. Hana dah sampai depan rumah Tuan Amar sama seperti di dalam alamat yang Mak Lang bagi pada Hana semalam. Tapi dah berkali-kali Hana tekan loceng tak ada orang buka pintu pun,” aduku kepada Mak Lang yang merupakan tukang masak sebenar di dalam rumah besar ini.

Sebenarnya mulai hari ini Mak Lang memintaku untuk menggantikannya selama dua minggu sebagai tukang masak di dalam rumah ini kerana Mak Lang mahu pulang ke kampung bagi membantu menyiapkan persiapan kenduri adiknya iaitu Mak Usu aku yang akan berlangsung tidak lama lagi. Aku yang kebetulan sedang melanjutkan pelajaran di sebuah kolej perubatan yang terletak di Kuala Lumpur dimintanya untuk menggalas tanggungjawab memasak di rumah ini.

“Waalaikumsalam Hana. Alahai….sayang pergi tekan loceng tu kenapa? Kan semalam Mak Lang dah cakap masuk ikut pintu  belakang. Kunci rumah Mak Lang ada beri pada Hana kan?” ujar Mak Lang di hujung talian sebelah sana.

Aku menepuk dahiku. Aku  terlupa akan pesan-pesan Mak Lang kepadaku semalam. Pertama,  tuan rumah ini tidak boleh tahu yang aku menggantikan Mak Lang selama dua minggu sebagai tukang masak. Kedua, aku perlu menggunakan pintu belakang dan perlu berada di kawasan dapur sahaja hanya untuk tiga jam iaitu bermula pukul 10.00 pagi hingga 1.00 petang untuk memasak dan yang ketiga paling penting aku perlu memasak tiga jenis masakan kampung setiap hari yang menunya akan ditulis di satu papan putih kecil di sisi peti ais oleh rumah ini. Menurut Mak Lang lagi, hanya Tuan Amar sahaja yang berada di rumah ini kerana kedua orang tuanya iaitu Tuan Adam dan isterinya tinggal di London.

Kerja-kerja lain selain memasak aku tidak perlu lakukan kerana ada pekerja dari syarikat pembersihan akan datang pada setiap petang untuk membersihkan dan mengemas rumah ini. Kata Mak Lang lagi sepanjang bekerja di dalam rumah ini amat jarang sekali dia dapat bertembung dengan tuan rumah ini kerana pemuda itu gemar bersosial, dalam erti kata lain jarang melekat di rumah. Aku hanya mengangguk sahaja ketika Mak Lang membuka mulut bercerita tentang pemuda yang tidak aku kenali itu.

“Hana lupa pula pada pesanan-pesanan Mak Lang semalam tu. Hana masuk ke dalam rumah ni dulu ya. Mak Lang relax aje, tugasan kat sini biar Hana uruskan. Hana kan hebat…bakal doktor pakar suatu hari nanti. Kalau setakat potong-potong daging dan sayur-sayuran di dapur tu apalah sangat. Kacang ajelah.” Aku ketawa. Seperti biasalah personaliti ceriaku akan membuatkan orang disekelilingku turut merasai aura positif dariku. Cewah! Perasan.

“Terima kasih kerana sudi bantu ganti Mak Lang untuk memasak bagi Tuan Amar tu. Dia tu memang cerewet bab makan, dia  tak akan makan di luar. Seleranya pula masakan kampung. Bila mak Lang minta cuti lama untuk balik ke kampung, dia tak benarkan sebab katanya susah untuk dia cari makanan tengah hari nanti. Mujurlah ada kamu Hana yang pandai memasak, itu yang Mak Lang dapat idea untuk minta kamu gantikan Mak Lang memasak untuk Tuan Amar. Masakan kamu dengan Mak Lang kan rasanya lebih kurang sama.” Mak Lang turut ketawa di hujung sana.

Aku tersenyum. “Amboi Mak Lang…puji Hana tinggi melambung ni mesti ada apa-apa ni. Haa…jangan kata nak carikan Hana jodoh pula ya. Hana ni baru dua puluh tahun tau. Cita-cita untuk menjadi doktor kena tercapai dulu, baru Hana akan kahwin.” Aku ketawa. Sengaja mengusik Mak Lang sebelum aku memutuskan talian.

Aku menjinjit semula dua plastik beg yang aku letakkan tadi dan aku mula berjalan menuju ke arah pintu belakang rumah besar itu. Aku tersenyum sambil mulutku mula bernyanyi-nyanyi kecil. Bait-bait lirik lagu Biarlah Rahsia nyanyian Dato’ Siti Nurhaliza satu-persatu meniti di bibirku.

Sampai sahaja di hadapan pintu belakang banglo mewah itu, aku memasukkan kunci yang berada di tangan ke dalam lubang kunci dan pintu itu terus terbuka. Walaupun aku sedia maklum yang rumah tiada penghuni waktu itu namun aku tetap memberikan salam. Maklumlah kita masuk ke rumah orang, dah biasa beri salam.

“Alamak….dapur diorang lagi cantik dari ruang tamu rumah aku lah. Kaya betul manusia yang tinggal dalam rumah ni,” ujarku dalam rasa kagum.

Plastik beg yang aku jinjit tadi aku letakkan di atas kabinet dapur bersebelahan singki. Aku memandang ke arah sekeliling dapur yang nampak sangat kemas dan tersusun itu. Kemudian aku melangkah perlahan menuju ke arah peti ais, lalu mataku terus tertuju ke arah satu papan tulis berwarna putih.

“Menu hari Selasa, ayam masak kicap, ala-ala masak tumis cili padi dan bayam goreng belacan.” Aku menyebut menu yang tertulis.

Mataku melilau mula mencari perkakasan yang diperlukan untuk memulakan masakan. Aku nampak apron yang tergantung di sisi kabinet,lalu aku capai dan segera aku gantungkan di leher. Tidak betah untuk aku mencari kuali, pisau, papan pemotong dan perkakasan memasak lain kerana aku telah biasa melakukan kerja-kerja masak di dapur sejak aku di darjah enam lagi.

Aku mahir memasak pun disebabkan oleh paksaan emak. Emak aku memang garang sehinggakan rakan-rakanku tidak berani untuk mengajak aku keluar bersiar-siar selepas waktu sekolah kerana mereka takutkan bebelan emak. Emak aku berasal dari Negeri Sembilan. Orang kata, orang Negeri ini memang kuat membebel. Kalau dah membebel tu, berjam-jam lamanya.Tapi teori tu aku rasa tak betul kerana bagiku semua mak memang gemar membebel.  Kalau dahulu aku protes juga bila Mak memaksa aku untuk memasak di setiap hujung minggu dan buat kerja rumah lain seperti membasuh kain, menyapu dan lipat kain sehinggakan aku rasa yang aku ini sedang didera menjadi orang gaji paksaan sahaja.

Namun apabila aku semakin meningkat dewasa aku mengerti didikan dan paksaan emak itulah yang membuatkan aku menjadi seorang wanita yang boleh berdikari. Jika aku bercerita dengan rakan-rakan sekelas tentang kehebatanku memasak di dapur, mereka semua seakan tidak percaya kerana kata mereka masakan wajahku yang nampak moden ini merupakan seorang yang cekap di dapur. Aku adalah Mawar Hana, berdarah kacukan Melayu-Irish. Emakku berasal dari Negeri Sembilan dan ayahku pula berasal dari Ireland namun sudah hampir sepuluh tahun aku tidak berjumpa dengan ayah kandungku itu setelah dia bercerai dengan emak.Sejak itu juga itu aku tinggal dengan emak di kampung kerana emak mengajar di salah sebuah sekolah menengah di sana sebagai guru Bahasa Inggeris.

Setelah memotong dan membasuh ayam,membilas ala-ala dan sayur bayam yang aku beli tadi aku memulakan proses memasak.

“Menu pertama ayam masak kicap. Mak kata kalau nak kuah ayam masak kicap sedap dan pekat, masukkan sedikit tepung jagung. Rempah-ratus yang digunakan juga kenalah lengkap. Kulit kayu manis,bunga lawang, ketumbar dan jintan halus mesti kena tumis dulu. Untuk ala-ala pula kena letak serai dan halia sedikit. Cili padi tu ketuk-ketuk aje. Tak perlu tumbuk hingga lumat. Anak tuan rumah ni suka masakan kampung kan, jadi aku pun masak cara kampung lah.” Aku membebel-bebel sendirian bagaikan chef di dalam kaca televisyen itu.

Selesai memasak aku menghidangkan lauk-pauk tersebut di atas meja makan di ruang tengah rumah. Nasi juga telah aku sendukkan ke dalam pinggan kaca. Aku mendongak memandang ke arah jam di dinding yang menunjukkan angka 12.50 tengah hari. Maknanya anak tuan rumah iniakan pulang kurang dari sepuluh minit sahaja lagi dan aku perlu segera mengemas dan keluar dari sini.

Namun pandanganku tiba-tiba melekat ke arah satu kabinet yang menempatkan banyak bingkai-bingkai gambar di atasnya.Wajah seseorang yang amat aku kenali ada di sana. Aku segera melangkah ke kabinet itu lalu satu bingkai gambar berwarna hitam aku capai.

“Sayangku…Aiman Reza! Muah…muah….muah.” Aku mencium berkali-kali gambar lelaki yang telah lama menjadi pujaan hatiku itu.

Lelaki bergelar pelakon popular itu merupakan pujaan hati setiap wanita yang ada di Malaysia, Brunei dan juga Indonesia. Aiman Reza artis paling popular masa kini yang menjadi bualan semua orang kerana bakatnya yang luar biasa di dalam bidang lakonan. Terutamanya filem aksi. Jolokan Tom Cruise Malaysia lah katakan. Kalaulah dia ada dihadapanku kini sekali dia tersenyum aku boleh tersembam jatuh ke bumi. Begitulah umpamanya kesan aura lelaki itu kepadaku. Kacak, tinggi, bergaya dan berpendidikan.

Aku tersengih-sengih sambil gambar lelaki itu aku usap-usap. Pandanganku teralih pula ke arah wajah seseorang yang sedang memeluk bahu Aiman Reza di dalam foto itu. Aku mengerdipkan mataku beberapa kali sebelum wajah lelaki asing itu aku tenung lama. Saat itu aku berasakan ada gendang yang sedang memukul-mukul dadaku. Senyuman indah terus terbit di bibirku tatkala wajah kacak itu berjaya membuatkan aku terpukau.

“Ya Habibi…hensemnya mamat muka Korea ni. Kalah Aiman Reza. Siapa dia ni? Yang pasti bukan pelakon. Apa hubungan dia dengan Aiman? Kenapa gambar Aiman ada di dalam rumah ini? Misteri ini harus aku rungkaikan. Mamat hensem ini siapa? Kenapa dia berjaya membuatkan jantung aku ni dup dap dup dap.” Aku memukul perlahan bahagian dadaku. Menasihati jantung supaya jangan lebih-lebih!

Bunyi deruan enjin yang memasuki halaman rumah membuatkan aku tersedar. “Alamak anak tuan rumah dah balik.”

Setelah meletakkan bingkai gambar itu aku segera mencapai beg tangan dan keluar melalui pintu belakang.

Aku lari lintang pukang kerana menurut Mak Lang, anak tuan rumah ni ada penyakit kulit yang boleh berjangkit. Mak Lang melarang aku untuk berada dekat dengan lelaki bernama Amar yang tidak aku ketahui wajahnya itu. Menurut Mak Lang lagi wajah Tuan Amar  itu juga amat hodoh dan menakutkan. Itu yang membuatkan aku menelan liur.

“Tapi siapa pula lelaki hensem tu ya? Kacak Aiman Reza pun jatuh ke tangga ke dua. Mungkin kawan Tuan Amar, anak tuan rumah ni kot?” Aku membuat andaian sendiri.

Tidak mengapa esok kan masih ada. Aku ada masa dua minggu lagi untuk menyiasat siapa lelaki hensem itu. Lagipun sekarang kan tengah cuti semester. Senyuman nakal meleret di bibirku.

Next: Bab 2

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.