Jari-jemariku
terus-terusan menari di atas butang-butang aksara, lantas menghasilkan gabungan
perkataan-perkataan membentuk kesinambungan dan watak-watak baru. Ya, watak
yang sengaja aku ciptakan dalam dunia yang tersendiri. Watak yang memiliki kisah
yang masing-masing memerlukan tafsiran yang bervariasi untuk menghidupkan
‘watak’ tersebut. Watak yang sebenarnya ‘bernyawa’.
WATAK 1 : SUTERA KASEH
Bisikan-bisikan itu mengganggu aku lagi! Ah, belum puaskah
bisikan-bisikan itu terus mengekori aku? Tiap saat, tiap waktu dan tiap ketika?
Hingga meletakkan aku ke dalam sebuah dilema dan keluhan yang begitu panjang?
“Siapa kau?”
Soalku lantang. Menagih jawapan yang aku tahu, tiada penghujungnya. Jawapan
yang tiada berkesudahan. Jawapan yang pasti membuatkan aku bingung sendiri.
“Aku adalah
kau dan kau adalah aku!” Mudah! Jawapan tersebut membuatkan aku merengus,
dengan rengusan yang aku sendiri keliru untuk tafsirkan bagaimana. Bisikan itu
tergelak pada penghujungnya. Gelakan yang membuatkan aku semakin terseksa dan
muak!
“Kau
menakutkan mereka-mereka di sekelilingku untuk mendampingiku!” Aku melepaskan
satu keluhan. Keluhan yang sama pastinya. Setiap kali aku dihadirkan dengan
mimpi-mimpi tentang perkara buruk yang bakal menimpaku atau, tentang
sahabat-sahabat yang mengkhianatiku, aku pada akhirnya akan terfikir, alangkah
bagusnya andai aku tidak tahu! Masakan tidak, kebenaran akan membuatkan aku
sakit sendiri! Apatah lagi ketika aku menerima anggukan dari mereka yang
mengiyakan setiap perbuatan-perbuatan tersebut, aku terasa hatiku dikelar-kelar
sendiri. Pedih! Sakit!
Bayangan?
Halusinasi? Ataukah cuma monolog yang aku cipta sendiri? Sejujurnya aku tidak
tahu.. Apa yang aku tahu, ini adalah aku. Kehidupan yang aneh dengan
bisikan-bisikan yang aneh!
Otakku ligat
berfikir, mungkin sahaja, bisikan ini akan berguna kepadaku andai aku seorang
detektif,lantas dengan mudahnya aku bisa menyelesaikan semua kes misteri tanpa
sebarang keraguan. Tetapi, hakikatnya tidak begitu. Diberi keupayaan untuk
‘menceroboh’ dan ‘menakhluki’ minda orang lain, mengetahui apa yang mereka
fikirkan dan mengenali seluruh kehidupan mereka dalam masa yang begitu singkat merupakan
satu ‘hukuman’. ‘Hukuman’ kerana dihimpit perasaan bersalah yang tidak mungkin
dapat dilunaskan sampai bila-bila sekalipun.
Tiada yang
bisa memahami aku, kerana pada tiap ketika aku cuba menjelaskan , mereka tidak
mungkin akan berusaha untuk mengerti. Bahkan, mereka memandangku sebagai
seorang yang ‘psiko’. Manusia yang aneh dengan idea dan tingkah yang aneh.
Bagaimana untuk membuatkan mereka mengerti?
Komputer
riba yang berada di dalam beg galasku, ku capai dengan sedikit berat. Perlu
atau tidak, untuk aku menceritakannya? Adakah insan yang akan peduli? Bahkan,
aku bukan siapa-siapa. Lantas, siapa aku untuk dipedulikan? Ahh,
bisikan-bisikan itu mengasak aku lagi. lantas, sebaik sahaja aku mengaktifkan
computer ribaku, aku mencipta watak ‘Sutera Kaseh’ dalam sebuah pentas
penceritaan bertajuk ‘Psiko’. Bisa sahaja, mereka-mereka akan mengerti. Dan,
bukan pengertian itu yang aku dambakan. Aku cuma menyingkap kehidupan seorang
gadis bernama ‘Sutera Kaseh’ dari sudut pandangan yang berbeza-beza. Terserah
kepada bagaimana pembaca menilai watak yang telah dihidupkan. Pastinya,mereka
akan mengutarakan andaian yang pelbagai. Andaian yang mengungkap 1001
pengertian yang berbeza. Biarkan sahaja! tugasku dan misiku sudah selesai,
menampilkan apa itu erti kehidupan kepada orang ramai!
***
WATAK
2 : BUNGA CENDERAWASIH
Aku menerima satu kejutan apabila
watak ‘Sutera Kaseh’ sebenarnya diberikan perhatian. Bermakna, pembaca mula
menganggap watak ‘Sutera Kaseh’ sebagai satu hiburan. Hiburan yang berbentuk realiti
pada dasarnya, meskipun bukan pada keseluruhannya. Kali ini, aku termenung.
Satu lagi misteri, aku cuba untuk rungkaikan. Misteri yang terhijab. Dan pada
waktu yang sama, aku sendiri masih lagi keliru dengan bayang-bayang aku
sendiri.
Senja itu, sebaik sahaja aku pulang
dari dunia ‘bunian’, aku diserang perasaan sayu yang teramat. Hampir 3 jam, aku
menangi dan meratap, tanpa diketahui apakah sebabnya. Mataku sudah tidak larat
mengeluarkan hatta setitis air mata sekalipun tetapi, tangisanku tidak mampu untuk
dihentikan sama sekali. Aku lantas melangkah ke kamar seorang sahabat, aku
jelaskan kepadanya, aku sudah tidak mampu lagi begini, dengan langkah yang
begitu longlai. Lantas, aku dibawa oleh warden asrama bertemu dengan seorang
ustaz.
“Ada
bunian yang ingin bawa kamu tinggal di dunianya. Tetapi, bunian ini baik! Dia
cuma berniat untuk menjaga kamu. Kamu ada beritahu kamu sudi untuk tinggal
bersama mereka?”
Aku
menggeleng lemah. Terbayang di ruang mataku, bagaimana pada senja itu, aku
didatangi seorang gadis berambut panjang, hitam melepasi paras pinggang, dengan
gaun putih bersih. Membawa aku memasuki sebuah perkampungan. Perkampungan
bunian katanya. Tanah di sana halus, putih, bersih. Di kiri dan kanan hanya
dipenuhi hutan. Itu yang sempat aku ingati.
“Kakak,
kakak tinggallah di sini! Jomlah!” Dia mengajak aku untuk terus melangkah
namun, aku balas dengan gelengan kecil.
“Tak
boleh sayang, akak kena kembali ke dunia akak, sudah senja, akak perlu solat
maghrib. Sudah terlalu lewat, sayang.” Balasku kemudian. Gadis tersebut ku
tatap dengan penuh kasih.
“Ala,
tapi akak janji ya,akan datang ke sini semula? Dunia sana tak selamat untuk
akak. Mereka aka terus membenci akak, menyakiti akak.” Aku tidak memberikan
sebarang janji namun sempat aku lepaskan tangannya. Serta-merta aku terjaga
dari tidur, walhal sepanjang batas kesedaran aku, aku sebenarnya dalam keadaan
terjaga. Renik-renik peluh memercik di dahiku.
“Kalau
kamu bersetuju, kamu akan terus tinggal di sana dan tidak akan sesekali
kembali, hanya mimpi yang akan menjadi penghubung antara kamu dan dunia kita.”
Ujar ustaz tersebut lagi, mematikan lamunanku. Ah! Aku tidak mahu! Aku tahu,
bunian itu berniat untuk menjagaku namun, bukankah Allah pernah berfirman,
bahawasanya manusia itu adalah sebaik-baik kejadian? Lantas, biarlah manusia
hidup dalam kelompok manusia itu sendiri. Itu lebih baik. Selepas kejadian
tersebut, setiap kali aku diburu kesedihan, aku terasa ingin menjerit, “Aku nak
balik..” Namun, seketika aku terfikir, ke mana aku ingin pulang andai ini
adalah tempatku?
Sekali
lagi, aku ciptakan watak baru dengan nama ‘Bunga Cenderawasih’. Apa yang aku
tampilkan mungkin adalah karya dongengan semata-mata namun, ketahuilah
dongengan aang aku canangkan sesungguhnya berpaksi di atas sebuah kebenaran.
Kebenaran dan realiti yang aku alami dan memaksa aku berfikir sepanjang waktu!
Lelah! Benar, aku lelah! Tetapi, kudratku masih lagi bersisa, untukku berfikir
dan terus berfikir.
***
WATAK
3 : SUFIYYA
Terkadang
aku terfikir, makhluk apa yang menggangguku selama ini? Mungkinkah jin? Mungkin
sahaja.. Meskipun aku sendiri tidak mampu untuk merungkai misteri yang terus
membelenggu. Aku ingin lari jauh, jauh dari duniaku, jauh dari kehidupanku.
Kerana, pada sesungguh-sungguhnya, aku sendiri tidak mengerti tentang duniaku.
Menjadi buruan bisikan-bisikan dan mimpi-mimpi yang aneh.
Watak
“Sufiyya” aku hidupkan dalam siri penceritaan ‘Soulmate’. Mungkin terserah
kepada pembaca untuk menilai, mensinteksis atau menganalisis dengan cara
masing-masing. Bingung sudah aku memikirkan jawapannya. Aku mengimbas kembali
kisahku, pada detik aku diperkenalkan dengan cinta seorang insan. Cinta pertama
untukku! Cintanya kadang menjadikan hidupku kucar-kacir, kerana sering
‘diganggu’. Ya, itulah kebenaran. Hubungan kami jarang bertahan dalam tempoh
kebahagiaan yang lama kerana, secara tiba-tiba akan berlaku peristiwa yang
tidak dijangka dan situasi di luar kawalan. Aku tahu, mungkin semuanya adalah
gara-gara ‘makhluk’ tersebut.
Jujur
aku katakan, niat sebenar aku berdampingan dengannya adalah untuk melarikan
diri dari ‘makhluk’ tersebut. Namun, silap aku juga, aku meletakkan seluruh
kepercayaan dan cintaku padanya. Mungkin sahaja kerana dia meyakinkan diriku dengan
melamarku menjadi teman hidupnya. Bahkan, kesanggupannya kadang-kala menjadikan
aku diselubungi keharuan. Masih terimbas dalam memoriku, tika aku menitiskan
air mata kerana terlalu gembira. Bukankah itu yang sepatutnya membuatkan aku
lebih terseksa? Kerana, aku telah menganggapnya sebagai cinta matiku!
Entah
bagaimana, angin tiada, ribut pun tiada, satu hari aku dikejutkan dengan
keputusan darinya yang meminta kami berpisah dengan alasan dia tidak pernah
punyai perasaan yang sama terhadapku. Sejujurnya, duniaku terasa berputar,
gelap seketika. Lantas, aku redhakan sahaja, kerana Allah Maha Mengetahui apa
yang paling terbaik untukku. Lagi pula,
aku berpendapat, seandainya dia bukan jodohku, buatlah apa sahaja, nescaya kami
tidak akan mungkin bisa bersama dan begitu juga sebaliknya. Namun, kelukaan dan
kekecewaan yang aku alami terlalu dalam, terlalu dalam sehinggakan aku mula
tidak mampu berfikir dengan waras. Tepat jam 3 pagi, masih ku ingat bagaimana
aku mengambil pisau buah dan cuba memotong pergelangan tanganku sendiri. Terasa
tiada erti lagi untuk aku teruskan hidup. Namun, ada ‘bisikan’ yang membuatkan
aku tersedar. Tersedar bahawasanya aku berda di luar kawalanku. Lantas, sewaktu
melangkah mengambil wudhuk, aku meraung sekuat-kuat hatiku! Dan sebagaimana
yang Sufiyya terpaksa alami sebagai watak yang aku hidupkan, begitu jugalah
penceritaan pada dunia yang sebenarnya. Penuh dengan persoalan tanpa jawapan.
Aku tahu itu!
***
WATAK
4 : KAMARUL AZAM
Lagu dendangan Romance
Band, ‘Ku Ingin Kamu’, lagu yang pernah aku tujukan buatnya satu ketika
dahulu, ketika hati kami masih lagi bersatu, di bawah syair-syair dan
janji-janji yang nyata melekakan kami dari tujuan hidup yang sebenar. Meskipun
begitu, kami ‘menjaga’ batasan dengan sebaik-baiknya. Lantaran itulah, kami
bertekad untuk mengikat hubungan kami dengan cara yang halal meskipun baru
sahaja berkenalan. Aku faham bagaimana rasanya mencintai dengan sesungguhnya
dan kemudiannya dikecewakan. Dan aku juga cukup mengerti bagaimana pada tika
sesuatu kebenaran itu hanya terbongkar melalui mimpi, dan bukan dari mulunya
sendiri bahawasanya dia sebenarnya bakal tunangan orang.
Lantas aku hidupkan watak Kamarul Azam, sebagai
seorang lelaki yang sentiasa dikecewakan. Kamarul Azam, dengan watak yang
sentisa berubah-ubah kerana dilema ‘split
personality’ yang dialaminya. Aku dikatakan mengalami perihal yang sama.
Memiliki dua personality dalam satu badan. Sesiapa sahaja yang mengenaliku,
akan memuntahkan komentar, bahawasanya aku bisa menjadi sesiapa sahaja dan
berubah menjadi orang lain dalam beberapa saat. Ya! Aku akui itu, dan aku juga
yakin tentang itu. Terkadang aku merasakan aku adalah insan yang paling
berlemah lembut dengan kemaafan yang terlalu mudah untuk dihulurkan. Namun,
dalam masa yang sama, jujur aku katakan, aku merupakan manusia paling ‘berhati
batu' yang terlalu sukar untuk menangis dan mempedulikan. Karakter Kamarul Azam
aku gemblengkan dengan begitu teliti sekali. Supaya menepati ciri-ciri yang aku
inginkan.
Kamarul Azam dalam kisah penceritaan ‘Kau Milikku’
mungkin sahaja hanya sebuah watak biasa. Namun, siapa tahu, kalau Kamarul Azam
sebenarnya memang wujud, dan berada di mana-mana sahaja sekarang. Siapa tahu?
***
WATAK
5 : VANIDAH
Watak
Vanidah merupakan watak yang paling ringan. Hanya cebisan-cebisan idea sahaja
yang berteraburan dalam minda dan melahirkan idea untuk menghidupkan Vee. Vee
yang mengalami obsesi. Obsesi yang melahirkan kecelaruan dalam menentukan
tindakan yang paling rasional. Watak Vee, sejujurnya tidak dapat aku kaitkan
dengan kehidupanku. Meskipun begitu, aku cuba garap Vee supaya mampu ‘hidup’
dengan sebaik-baiknya.
***
WATAK
6 : DUMMIES
Kali
ini, watak yang aku hidupkan, bukan watak manusia. Sebaliknya, watak tentang satu
anak patung yang membawa gambaran misteri. Misteri yang tidak terungkap.
Teringat kisah mengenai satu ketika, sewaktu aku sedang berusia 5 tahun, aku
merentasi satu jambatan yang menjadi penghubung antara rumahku dan sepupu yang
hanya dipisahkan oleh parit. Sewaktu aku merenung ke dalam parit tersebut,
keluar satu tangan sebesar peha orang dewasa, menamparku sehingga aku terjatuh.
Pipiku
bengkak pada malam tersebut dan aku dibawa ke hospital. Kejadian itu, tidak aku
ceritakan pada siapa-siapa sekalipun. Aku sisip kemas kerana terasa berat untuk
menceritakan, seakan terkunci sahaja ulas bibirku untuk mengatur bicara. Malam
itu, tidak mampu ku nyatakan waktu dengan tepat, aku sedang tidur bersebelahan
ibuku ketika ‘seseorang’ mengejutkanku. Seorang bayi, persis menyamai anak
patung bayi untuk permainan kanak-kanak. Dia mengajakku bermain. Sewaktuku soal
namanya, dia mahu aku memanggilnya dengan panggilan ‘Adik.’ Lantas pada malam
itu, kami sama-sama telah bermain bola sehingga Adik tiba-tiba hilang dari pandanganku.
Watak
anak patung itu aku sisipkan dalam kisah ‘Dummies’. Dummies yang hidup! Dummies
yang bernyawa. Dan.. Dummies yang mahukan perhatian.
***
Nah!
Jari-jemariku tiba-tiba sahaja berhenti menaip. Bukan kerana penat. Bukan jua
kerana malas. Namun, kerana sejak aku mengarang ‘watak-watak’ yang aku
hidupkan, aku terasa seakan-akan diekori. Malam pertama, aku bermimpikan
penjara zaman jepun. Malam kedua, aku bermimpikan bayi. Dan, begitulah
seterusnya. Misteri terus melingkariku. Aku membuat keputusan untuk tidak terus
‘menghidupkan’ watak-watak misteri buat sementara waktu. Apa yang pasti,
mimpi-mimpi tersebut akan aku rakamkan jua sebagai satu ‘watak’ dalam kisah
penceritaan yang berbeza pula bila tiba saat dan tikanya.
TAMAT
# Untuk mengetahui dan mengenali dengan
lebih lanjut ‘watak-watak’ yang telah dihidupkan penulis, pembaca boleh membaca karya
: PSIKO, BUNGA CENDERAWIH, SOULMATE, KAU MILIKKU, KAKI & DUMMIES di portal
ILHAM.