Dia
menyisir-nyisir rambutnya. Melihat ke
dalam cermin sambil tersenyum. Memerhatikan refleksi dirinya yang terpapar,
kalau-kalau masih ada yang perlu diperkemaskan. Rambutnya yang sedikit ikal mayang
paras pinggang diuraikan lagi. Kemudian, dibelai-belai lembut.
“Tak payah
bercermin, awak dah cantiklah.” Satu suara lelaki menegurnya dari belakang. Mengelus-ngelus
rambutnya perlahan kemudian. Senyumannya yang baru sahaja menguntum tiba-tiba
sahaja mati. Dia mendengus. Menepis tangan yang cuba membelainya. Meletakkan
kembali sikat dan mula menapak pergi. Langsung tidak menoleh pada suara
berkenaan.
“Siapa saya
pada awak?” Soal lelaki itu. Kecewa dengan tindakannya yang seolah-olah
melarikan diri dari kehadirannya. Lantas, lelaki itu menghampirinya dari
belakang. Melingkarkan lengan kanannya pada badan wanita berkenaan.
Mengekspresikan rasa cinta yang tidak bertepi. Cinta yang paling dalam,
sedalam-dalamnya. Kali ini, perempuan itu memejamkan matanya. Rapat. Seakan ada
satu rasa yang dipendamnya ketika itu.
“Tolong
berhenti ganggu saya! Tolonglah pergi dari hidup saya..” Lirih benar suaranya
merayu. Hampir-hampir dia menangis mengungkapkan kenyataan berkenaan. Lelaki
tersebut melonggarkan pelukannya. Terasa pedih menerima ucapan tersebut.
“Tapi kenapa?
Apa salah saya? Apa kurang saya?” Bentak lelaki berkenaan. Perempuan itu
mengecilkan anak matanya. Memandang lelaki tersebut seketika, kemudian berlalu
pergi.
“Cuma,
jangan ganggu kehidupan saya! Pergi dari hidup saya! Saya berhak untuk ada
kehidupan macam orang lain. Saya berhak!” Teriak wanita itu sebelum daun pintu
dibanting kuat.
***
Gadis itu
bersendirian lagi. Memeluk lututnya sambil menangis. Apakah ada sesuatu yang
mencalar jiwanya lagi? Apakah ada sesuatu yang menyakitinya lagi? Kalau benar,
tindakan siapa? Tidak lama kali ini, dia mencapai bantal di sisinya. Ditekup
wajahnya dengan menggunakan bantal berkenaan. Teresak-esak dia menangis. Ada
butir-butir perkataan yang tidak jelas diucapkannya. Seakan-akan mengadu,
tetapi tidak pasti pada siapa. Lelaki itu hanya memandang dari jauh. Kalau
gadis itu memanggilnya untuk mengadu, dia akan sentiasa hadir. Kalau gadis itu
memerlukan dia, dia akan setia di sana, dia tidak akan pernah menjauh. Tapi,
kenapa? Kenapa wanita itu tidak pernah memerlukannya? Walaupun pada saat-saat
yang paling rapuh? Bukankah dia akan sentiasa melindungi, menyayangi dan
mencintai sepenuh hati? Itu janji setianya. Itu janji setianya!
“Ya Rabb,
aku pohon kekuatan dari-Mu. Aku pohon rahmat-Mu dan kasih-Mu. Ampunilah segala
dosa-dosaku andai aku menyakiti dan ampunilah segalah dosa-dosa mereka yang
menyakitiku kerana mereka tidak tahu bahawa mereka telah amat-amat menyakitiku.
Ya Allah, terlau sakit jiwaku ketika ini. Alangkah terseksanya perasaan ini, Ya
Rahman.”
Lelaki itu
tersenyum, dia suka akan gadis itu. Gadis itu terlalu kuat pada pandangannya.
Lihat! Pada saat-saat yang begini pun wanita itu masih lagi mampu untuk kembali
pada Tuhannya. Dan itu, satu tarikan yang menjadikan wanita di hadapannya kini
berbeza dari wanita-wanita lain. Dia percaya, andai dia berjaya memiliki cinta
gadis berkenaan, dia akan menerima cinta yang sebenar-benar cinta. Sebagaimana
cintanya wanita berkenaan pada Tuhannya dan sebagaimana teguhnya kesetiaan
wanita berkenaan. Dia memerhatikan sahaja wanita berkenaan yang kemudiannya
berdiri dalam keadaan terloleng-oleng. Barangkali pening akibat terlalu lama
menangis. Wanita itu mengambil wudhuk. Menganjurkan solat sunat 2 rakaat dan
melakukan sujud syukur. Melakukan sujud syukur tatkala diri tertimpa musibah?
Itu yang istimewa tentang gadis itu. Itu yang menjadikan cintanya makin lama
makin menggebu.
“Ceritakan
sahaja pada saya, kalau awak mahu. Saya tahu awak terseksa dengan apa yang
berlaku.” Sebaik sahaja gadis tersebut selesai berdoa, dia akhirnya bersuara.
Menghampiri gadis tersebut agar dapat bertentangan dengannya. Kemudian,
memegang dagu berkenaan sebelum perlakuannya dibalas dengan protes dan dengusan
kasar.
“Tidak!
Tidak akan sesekali. Saya sudah ada Allah untuk apa yang berlaku.. Saya tak
perlukan awak dan tidak akan pernah perlukan awak pun.” Sombong sekali gadis
itu menolaknya. Melipat-lipat telekung sembahyang dan segera beredar. Lelaki
itu senyum. Lambat-laun, dia cukup pasti bahawa gadis tersebut akan tetap
menerimanya jua.
***
Mungkin
benar sekali kata orang, langit redup bukan menandakan hujan akan turun menitiskan
tangis untuk selama-lamanya. Bahkan, tanpa diduga, lebatnya hujan berupaya
mengundang segaris pelangi untuk muncul sambil menata wajah gembira. Sejak
kebelakangan, lelaki itu sudah jarang melihat wanita itu bersendirian malah
sudah jarang sekali melihat dia menangis. Wajahnya hanya dihiasi tawa. babak
bahagia mula menyulam indah dalam tiap sisi hidupnya. Tapi, lelaki itu tahu
takdir untuk wanita berkenaan, dia tahu yang wanita itu akan bersedih lagi.
Sebab, dia tahu wanita yang kuat dan sabar akan sentiasa diuji.
“Awak dah
lupakan saya..” Keluh lelaki tersebut. Wanita itu hanya diam. Enggan mengulas.
Berpura-pura tidak mendengar. Berlakon seolah-olah dia tidak wujud. Wanita itu
hanya mengemas-ngemas mejanya tanpa mempedulikannya, seakan-akan dia tidak
pernah wujud. Seakan-akan dia tidak pernah mengisi kehidupan wanita berkenaan. Dia
mendekati wanita itu. Merentap pergelangan tangannya.
“Kenapa awak
masih percayakan mereka, belum cukupkah awak berasa kecewa disebabkan mereka?”
Gumamnya.
“Ke tepi!
Kenapa ganggu hidup saya lagi? Semua kesakitan saya, kesedihan saya, sebab
awak! Sebab awak! Kenapa ganggu hidup saya? Saya merayu, lepaskan saya. Biar
saya hidup bahagia. Benarkan saya bahagia…” Gadis itu menolaknya kasar.
Kemudian, terduduk dan memeluk lututnya. Lelaki itu mendengus lagi.
“Awak
terlalu sombong. Mereka tu akan terus menyakiti awak. Awak faham tak? Kenapa
terlalu susah untuk awak faham, kenapa terlalu susah untuk awak dengar? Mereka
tu tak ikhlas dengan awak. Mereka akn membenci awak juga, kenapa terlalu susah
untuk awak faham?”
“Saya
faham.. Dan semua ni sebab awak! Sebab awak!” Gadis itu memukul-mukul dada
lelaki berkenaan. Kemudian, menyembamkan wajahnya pada katil dan
menangis-nangis. Alangkah terseksanya! Lelaki itu tahu tentang sejarah hidup
wanita berkenaan, terpaksa menghadapi kehilangan demi kehilangan setiap insan
yang dikasihinya, dikhianati oleh insan yang paling dipercayainya, dan
ditinggalkan ada saat-saat yang paling rapuh. Cuma, dia tidak faham mengapa
wanita tersebut enggan mempercayainya? Enggan menerimanya? Padahal cintanya
suci, cintanya benar-benar tulus dan ikhlas. Cintanya nyata melebihi cinta
insan-insan yang lain. Tapi, kenapa? Kenapa wanita ini hanya tahu memberikan
kasih sayang pada insan lain yang sememangnya tidak mempedulikannya? Jauh di
dalam, dia berasa sakit. Sakit melihat kesakitan yangditanggung oleh wanita
berkenaan. Meski wanita itu tidak pernah menerimanya sebagai sebahagian dari
hidupnya.
“Awak dah
menyakiti semua insan yang saya sayangi..” Ujar wanita tersebut tiba-tiba.
Menjeling tajam ke arah lelaki berkenaan.
“Saya
menyakiti mereka kerana mereka menyakiti awak. Bukankah saya sudah bersumpah,
yang saya akan sentiasa menjadi pelindung untuk awak? Saya tak akan benarkan
sesiapa pun meyakiti awak. Saya tak nak mereka melukakan awak lagi..”
“Awak siapa
untuk menentukan siapa yang salah? Kenapa awak menyakiti mereka? Kenapa?
Kenapa?” Wanita tersebut kelihatan cukup kecewa dengan lelaki berkenaan. Lelaki
tersebut tidak menjawab walau sepatah. Biarkan sahaja mereka! Mereka tidak
berhak membuat orang yang paling dicintainya menangis! Lantaran itu, dia
bersumpah, sesiapa sahaja yang menyakiti gadis berkenaan akan mendapat balasan
yang sama. Kesakitan yang sama, atau mungkin sahaja lebih teruk lagi daripada
apa yang terpaksa gadis tersebut rasakan.
Tapi, dia
tidak mengerti tentang manusia yang satu itu. Dia tidak mengerti mengapa mesti
wanita tersebut menghalangnya. Mengapa mesti wanita itu tetap menyalahkan
dirinya untuk apa yang menimpa orang lain? Mengapa mesti wanita itu menyakiti
dirinya sendiri? Dia tahu, senyuman di bibir gadis itu kembali terukir tatkala
mula berkenalan dengan seseorang. Jejaka yang begitu mudah melafazkan janji
setia. Tapi, setia jejaka itu takkan mungkin sama dengan setianya. Malah,
terlalu jauh sekali bezanya, ibarat langit dan bumi. Bukankah sumpah manusia
itu terlalu mudah terlafaz, dan terlalu mudah jua terlerai?
Perkenalan
singkat gadis berkenaan dengan jejaka lain itu ternyata membawa impak yang
sangat besar untuknya. Dia tahu, wanita itu sudah mula mempercayai lelaki
berkenaan. Dia tahu, wanita itu sudah mula menyayangi bahkan mencintai lelaki
berkenaan. Wanita tersebut mula mempertaruhkan seluruh hati dan cintanya pada
insan itu. Dia nampak dan sentiasa perhatikan perubahan tingkah laku wanita
berkenaan. Ya.. wanita itu sudah mula berubah.
“Dia akan
mengecewakan awak. Percayalah!” Bisiknya pada satu malam. Wanita itu sedikit
marah. Tidak senang menerima pengucapannya barangkali.
“Tak
bolehkah awak berhenti mengganggu hidup saya? Biarkan saya nikmati kebahagiaan
ini untuk sesaat..”
“Awak akan
terseksa tanpa saya. Awak tak kuat tanpa saya. Saya kekuatan awak. Saya
pelindung awak. Hidup awak, hidup saya juga. Saya adalah diri awak. Jiwa kita
bersatu.” Ucap lelaki berkenaan. Menyedarkan wanita itu tentang satu hakikat.
Hakikat yang cuba untuk dia nafikan selama ini.
“Siapa cakap?
Bahkan, saya akan lebih bahagia tanpa awak!” Muktamad. Gadis itu benar-benar
yakin akan ucapannya. Lelaki itu terdiam. Dia tidak tahu untuk terus terasa
atau makan hati dengan sikap gadis berkenaan. Ah, bukankah dia sudah maklum
akan reaksi wanita berkenaan? Dia perlahan-lahan cuba menjauh dari hidup gadis
berkenaan. Mungkin dengan cara itu gadis itu akan sedar tentang kehilangannya.
Tetapi,untuk melepaskan gadis tersebut, tidak mungkin! Tidak mungkin sama
sekali! Sumpah setianya hanya satu. Tidak akan menjadi dua atau tiga.
“Lepaskan
sahaja saya..” Ujar wanita tersebut, akhirnya. Lelaki itu menghela nafas.
“Tidak akan
pernah walau sekali.” Jawabnya kemudian.
Biarkan
sahaja gadis itu menyulam cinta dengan insan bergelar manusia, manusia yang
tidak pernah bosan menyakiti. Manusia yang tidak pernah lelah membohongi dan
mengkhianati. Manusia yang sentiasa mengecewakan! Penuh dengan kepalsuan
semata-mata. Dan dia, dia hanya akan menjadi pemerhati. Apabila cinta itu mulai
rapuh kelak, dia tahu apa yang akan berlaku. Dan dia tahu, lambat-laun wanita
itu akan kecewa juga. Kerana itu, dia tidak akan pernah meninggalkannya.
***
“Kenapa
terlalu gembira? “ Soalnya apabila gadis itu menyanyi-nyanyi riang. Meletakkan
beg kuliah dan buku-buku ke atas meja dan menggeliat kecil sebaik sahaja pulang
dari kelas pada petang itu. Gadis itu memandangnya. Tersenyum.
“Dia akan
menikahi saya. Dia melamar saya untuk menjadi suri hidupnya, sebahagian dari jiwanya.
Bukankah itu sesuatu yang cukup baik?” Ujarnya riang. Jejaka itu hanya
memendangnya hambar. Tidak seperti hari-hari lain, ucapan kali ini terasa
sedikit janggal pada pendengaranya. Kenapa? Kenapa wanita itu menerimanya?
“Awak dah
mula mencintai dia.” Balasnya sepatah. Masakan sahaja dia tidak mampu membaca
mata satu-satuya wanita yang paling dicintainya.
“Bahkan
lebih dari itu.. Saya terlalu-lalu mencintai dia. Dan seluruh jiwa, raga saya
termaktub buat dia. Saya bersumpah, dia pemilik cinta saya yang hakiki andai itu
ketentuan Allah SWT untuk saya.” Kecewa. Lelaki itu hanya diam. Tidak mengapa.
Cintanya, cinta yang tiada bersyarat. Dia relakan segala-galanya. Dia tidak
pernah mengharapkan sesuatu pun. Dia hanya ingin menjadi pelindung, tempat
gadis itu berteduh dan bersandar pada saat-saar dia tidak mampu berdiri lagi.
“Awak tahu
awak akan kecewa..” Teriak lelaki berkenaan. Air mata wanita itu sudah mula
bergenang.
“Jangan
ganggu hidup saya, tak bolehkah? Berhenti dari ini semua. Saya mahu menjalani
kehidupan normal seperti wanita lain. Lepaskan sahaja saya! Lepaskan saya.”
“Saya tidak
meminta apa-pun dari awak bukan? Biarkan saya di sini, menjaga awak, untuk seumur
hayat awak..”
“Tak! Awak
mengharapkan kesetiaan dan cinta saya. Sesuatu yang tak mungkin awak miliki
untuk selama-lamanya. Saya haramkan setiap cinta saya walaupun setitik ke atas
awak. Dan saya tidak akan benarkan. Jangan pernah bermimpi.” Balas gadis
tersebut dalam tangis yang cuba untuk ditahan. Lelaki itu menghela nafas lagi,
kali ini nyata lebih dalam dan panjang.
“ Bagaimana
jika awak kecewa lagi?” Terdiam, wanita itu hanya terdiam. Tidak! Dia yakin dia
tidak akan kecewa. Bukankah dia telah melakukan apa pun untuk meraih cinta
jejaka yang baru sahaja melamarnya itu? Dia ikhlas dan dia yakin, Allah Maha
Mengetahui akan keikhlasannya. Dia sendiri tidak pasti bagaimana cintanya bisa
bercambah degan begitu mudah, namun, dia tahu, dia tidak tersilap membuat
keputusan. Dia tahu, lelaki tersebut mampu membahagiakannya. Jerih sudah dia
melakukan istikharah dan dia yakin dengan pilihannya pada kali ini. Cuma, ada
sesuatu yang dia bimbangkan. Ada sesuatu yang dia paling takutkan. Bagaimana
jika perstiwa yang sama berulang? Bagaimana jika dia dikhianati lagi? dan,
bagaimana jika dia dibenci? Bagaimana jika musibah demi musibah menimpa insan
yang dia sayangi seperti sebelum-sebelumnya? Dia takut pada hal yang satu itu.
Seakan-akan ada sumpahan yang melingkari sisi kehidupannya.
“Bagaimana
jika awak dikecewakan lagi? Tegarkah awak? Bahkan, tegarkah saya, Suffiyya?”
Lelaki itu mengeluarkan apa yang berbuku di dadanya. Tidak! Dia tidak akan
kecewa. Dia yakin, ini jalan untuknya menuju bahagia. Apa yang dilakukannya,
semata-mata kerana Allah. Dia yakin dengan perkahwinannya nanti, dia mampu
mendidik diri dan hatinya menjadi insan yang lebih baik. Lagi pula, bukankah
kelak dia akan memiliki tempat berlindung dan bersandar harap? Ah, dia tidak
mengharapkan itu semua. Cukup, dia cuma tidak mahu bermain dengan
persoalan-persoalan yang seringkali menghantui mindanya. Dia hanya ingin
tamatkan segala-galanya. Permainan yang mendera jiwanya, permainan yang terlalu
menyeksakan!
“Berhenti
berdrama dan berpuitis. Percayalah! Apa pun yang awak katakan, apa pun yang
awak lakukan, takkan sesekali mengubah keputusan saya. Saya akan menikahinya.
Titik!” Begitu jelas gadis berkenaan memberitahu sesuatu, sesuatu yang sudah
dia ketahui dan dia tidak ingin tahu pun pada hakikatnya.
“Saya takkan
benarkan awak kecewa!!”
“Jadi,jangan
buat saya kecewa. Jangan sakitkan saya lagi.Lepaskan saya dan pergi!! Jangan
buat saya gila dengan sikap awak.”
“Jadi, awak
fikir, semua yang menimpa awak adalah disebabkan saya? Awak menyalahkan sayakah
Suffiyya?”
“Benar,
semua salah awak..” Wanita itu memuntahkan marah yang dipendamnya setelah
sekian lama. Segera lelaki itu menghampirinya.
“Suffiyya,”
dia berbisik halus pada teling wanita berkenaan. Memegang bahu wanita itu
kemudiannya.
“Awak tahu,
apa yang saya lakukan untuk awak bukan?” Soalnya lagi. Dalam nada berbisik yang
masih sama.
“Tidak!
Tidak, jangan sentuh saya lagi atau..”
“Atau saya
akan cederakan diri saya sendiri.. “ dia melepaskan diri dari pelukan lelaki
berkenaan, mencapai pisau di atas meja, dan mula mengugut. Lelaki itu cemas.
Namun, serta- merta dia mula tersedar akan sesuatu. Sesuatu yang tidak pernah
disedarinya selama ini.
***
“Perkahwinan
antara kita tak boleh berlangsung, Suffiyya.” Ujar jejaka itu pada satu petang.
Angin sepoi-sepoi bahasa bertiup perlahan.
Ya Rabb! Dugaan apakah lagi? Kenapa perkara yag paling ditakutinya
berlaku jua? Kenapa mesti jiwanya dibunuh lagi pada saat-saat seperti ini?
Kenapa pembunuhan ini begitu kejam sekali? Ahh, hampir dia terjelepok, namun,
masih digagahi dirinya. Cuba mengukir senyuman.
“Tapi,
kenapa Syam? Syam ada masalah kah? Barangkali kita mampu selesaikannya
bersama-sama.” Tukasnya rasional. Lelaki itu sudah memandangnya dari jauh.
Tergeleng-geleng. Bukankah dia sudah tahu ini yang akan berlaku?
“Syam..Syam
dah ada pilihan lain. Syam tak cintakan Suffiyya. Syam minta maaf..” Perlahan,
namun cukup kuat untuk menghiris tangkai kalbunya.
“Habis tu,
selama ni, Syam?” Cuba ditahan tangis, suaranya sedikit bergetar.
“Selama ni,
Syam, Syam cuma keliru. Dan sekarang, Syam sedar.. Syam tak pernah cintakan
Suffiyya. Hati Syam dah termiliki. Syam minta maaf..” Semudah itukah? Semudah
itukah? Allah! Sakit sekali. Terlalu sakit. Masih cuba digagahkan dirinya,
dikumpul segala kudrat.
“Tidak
mengapalah, mungkin ini takdirnya kan?” Ujarnya sedikit pilu. Dia kemudian
berlalu. Langkahnya longlai. Dan dia tahu, ada seseorang yang memapahnya ketika
itu. Ada seseorang yang cuba menyembunyikan tangis yang sudah berjujuran di
pipinya agar tidak kelihatan. Mimpinya sudah hancur. Harapannya hancur sama
sekali. Dirobek dan dikhianati tanpa belas. Sakitkah? Ya, sakit sekali.
“Bukankah
saya sudah beritahu?” Marah lelaki berkenaan. Gadis itu sudah terbaring
longlai. Semangatnya sudah hilang! Separuh jiwanya sudah pergi! Dia hanya
menatap syiling, air mata belum jua berhenti mengalir dari tubir matanya.
“Kenapa
seksa diri sendiri lagi..”
“Diam!! Aku
tak perlukan kau.. Aku tak perlukan kau. Cuma pergi!! Terlalu susahkah? Terlalu
susahkah? Pergi dari kehidupan saya. Pergi!!” Amuk wanita berkenaan.
Benar-benar dikuasai emosi pada kali ini. Habis bantal-bantal di bilik
berkenaan berteraburan. Ya Allah, dengan cara apa lagi dapat dikurangkan rasa
sakit berkenaan? Dengan cara apa lagi?
“Hei, hei!
Pandang saya! Jangan seksa diri lagi, bolehkah?” Lelaki itu
menggoncang-goncangkan tubuh wanita berkenaan.
“Terasa
lebih baik saya mati daripada hidup begini.” Gadis tersebut mencapai pisau di
sisinya. Berkira-kira untuk memotong pergelangan tangannya.sesekali, fikirannya
menerawang. Barangkali kalau-kalau ada racun yang boleh diminumnya. Air sabun
barangkali? Fikirannya sudah benar-benar berkecamuk. Sudah benar-benar tidak
rasional. Ah,, pedulikan. Dia terlalu sakit, dan takkan ada apa yang mampu
mengubatinya ketika itu.
“Awak takkan
manghalang sayakah? “ soalnya apabila dilihat lelaki tersebut hanya memerhati.
Lelaki itu menggeleng-geleng.
“Kenapa?”
soalnya. “Awak nak saya mati?” Sambungnya hairan. Lelaki itu tersenyum
“Mungkin
dengan cara itu, kita dapat bersama, sayang.” Lelaki itu tersenyum sinis,
memegang tangan wanita berkenaan dan membantu untuk menghiris pergelangan
tangannya. Wanita itu memejamkan matanya. Astaghfirullah! Apa yang sedang
dilakukannya kini? Adakah dia ingin mengalah pada tipu daya kali ini, setelah
sekian lama dia bertahan. Tidak! Tidak mungkin!
#Untuk mengetahui kesudahan kisah ini, pembaca boleh mendapatkan 'Antologi Jiwa Kacau' di pasaran.