Home Novel Fantasi Magnolia
Magnolia
Suhailah Selamat
4/2/2022 07:08:23
14,843
Kategori: Novel
Genre: Fantasi
Bab 5

“Saya…”Khaira terdiam. Matanya yang terbuka luas terus terkatup rapat. Rohnya bagaikan ditarik ke satu tempat. Memasuki jasad seseorang yang jelas sekali bukan dirinya!

            Khaira terpinga-pinga sambil memandang sekeliling yang kelihatan terlalu asing bagi dirinya. Suasana yang tadinya sunyi-sepi mula hingar-bingar dengan suara para tetamu yang hadir pada malamitu.

            “Tahniah, Khaira.” Tidak putus-putus dia menerima ucapan itu. Tapi, kenapa ucapan tahniah itu kedengaran tidak ikhlas. Diucapkan sekadar untuk menyedapkan hatinya. Khaira semakin bingung. Dinding bangunan hotel yang diperbuat daripada kaca tidak jauh di hadapan di tenung lama. Pantulan imej dirinya jelas kelihatan pada permukaan dinding kaca itu.

            Mulut Khaira sedikit ternganga. Seakan tidak percaya dengan apa yang dilihatnya. Gaun kembang berwarna ungu muda tersarung kemas ditubuh langsingnya. Malah, di tangannya pula sedang memegang sejambak bunga ros campuran pelbagai warna!

            “Si… Siapa yang kahwin ni? Aku ke?”soalnya sendirian dalam kebuntuan, separuh gugup. Tiba-tiba terasa lehernya bagaikan dililit oleh satu benang halus. Tersangat halus sehingga tidak boleh dilihat dengan mata kasar.

            Kebetulan pula Basit muncul di celah-celah orang ramai. Lelaki itu terus mengukir senyum tatkala pandangan mereka mula saling bertautan. Reaksi yang ditunjukkan Basit nampak berbeza sekali ketika Khaira mula-mula buka mata tadi.

            “Arghhh!”Tubuh Khaira terdorong ke belakang secara automatik sebelum terjatuh ke dalam kolam. Dia cuba naik ke dasar kolam. Namun, tali halus yang membelit lehernya semakin kuat menarik tubuhnya jauh ke dasar dalam kolam.

            Dada Khaira terasa sesak tanpaudara. Kerongkong dan hidungnya mula penuh dengan arus air yang menyebabkan gadis itu semakin sukar untuk bernafas. Dalam kesamaran, kedengaran agak kuat bunyi sesuatu terjatuh ke dalam air.

Dalam kesamaran, bayang-bayang Basit semakin kelihatan dan terus berenang laju mendapatkannya. Pergelangan tangan Khaira dicengkam kuat lalu ditarik ke atas.

“Hei,kau okay tak ni?” Sekali lagi, Basit menampar pipi mulus Khaira. Kali ini,tidak sekasar tadi.

Khaira tidak menyahut. Kepalanya perlahan-lahan menoleh ke sebelah kanan. Cermin meja solek dipandang dengan wajah yang kosong. Wajah di cermin itu bukan miliknya. Tubuhitu juga bukan miliknya. Tangan Khaira mula menyentuh permukaan lehernya.Diusap-usap bahagian sekitar itu yang masih terasa pedihnya.

Basit sekadar memerhati tanpa banyak tanya. Air liurnya ditelan berkali-kali. Dasar perempuan tak sedar diri! Ada hati nak goda aku! ngomelnya dalam hati. 

“Awak ada nampak apa-apa tak dekat leher saya ni?” Pandangannya masih dipusatkan pada cermin itu.

“Tak ada apa! Kenapa?”

“Tadi,ada orang cuba bunuh perempuan tu… Errr… Maksud saya, dia cuba bunuh saya!”Khaira mula mengalihkan pandangan ke arah Basit.  Matanya nampak tegas.  Mata yang jarang sekali dilihat oleh Basit. Sehingga menimbulkan sedikit keraguan di hatinya.

“Khaira,aku nak kau bagitau aku nama penuh kau. Aku nak dengar kau sebut dengan jelasdan terang!” tegas Basit. Dia mula sangsi dengan kewujudan gadis di hadapannya ini. Benarkah dia benar-benar Khaira, isteri ‘olok-olok’ masa kecil Basit sebelum gadis itu menjadi isterinya yang sah. Ataupun, luarannya sahaja yang nampak serupa dengan Khaira Nafisa. Tetapi, di dalam tubuh itu milik orang lain!

“Khaira Maryam,” jawab Khaira penuh yakin. Tanpa sebarang keraguan tentang dirinya biarpun jasadnya sudah bertukar rupa.

“Yeker?Bukan Khaira Nafisa?” Hujung bibir Basit mula terjungkit ke atas. Senyum penuh kemenangan. Tidak salah lagi andaiannya. 100 peratus tepat!

 

 #Bakal terbit

Previous: Bab 4
Next: Bab6

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.