“Shit!” Makinya entah untuk kali yang ke berapa. Arshah cuba mengejar. Tak semena-mena, sepasang tangan memegang kejap kakinya membuatkan dia hampir jatuh mencium jalan.
Arshah memandang ke bawah sebelum riak wajahnya berubah.
“Tolong selamatkan….” Nada suara perempuan itu cemas, hampir tidak kedengaran. Matanya yang separuh terbuka memandang sayu ke arah Arshah.
Tidak membuang masa, Arshah segera mencangkung di sebelah perempuan itu. Sehelai sapu tangan turut dikeluarkan dari poket kanan baju kemejanya. Wajah yang penuh dengan darah itu dilap dengan penuh berhati-hati. Sekadar untuk menampakkan wajah perempuan itu semula. Dia memang sengaja tidak menghubungi pihak polis. Sebelum meluru keluar dari kereta tadi. Dia sempat berpesan kepada Eman agar menghubungi pihak polis,bomba dan ambulans.
“….Bandar Villa Aman…”
“Bandar Villa Aman? Kenapa dengan tempat tu?” Arshah kerut dahi. Dia paling tak suka orang cakap separuh-separuh ni.
“Selamatkan dia…,” ulang perempuan itu lagi. Matanya kian layu. Pergelangan tangan Arshah disentuh perlahan.
“Hmmm? Yelah, tapi dia tu siapa? Saya nak kena selamatkan dia dari siapa? Cik ingat saya ni polis ke? Sekali pandang, terus boleh baca fikiran orang,” omel Arshah sambil tayang muka tak puas hati. Dia tak marah pun. Cuma rasa geram sikit je….
Kepala perempuan itu tiba-tiba berpaling ke arah Arshah. Dia tersenyum menyeringai hingga menampakkan barisan gigi depannya yang putih bersih. Bukannya Arshah tidak berasa kasihan melihat keadaan perempuan itu. Terbaring di tengah jalan dalam keadaan dirinya yang luka parah. Cuma, firasatnya kuat mengatakan yang dia perlu mendengar perempuan itu berbicara sampai habis sebelum dia mengalihkan perempuan itu ke tempat yang lebih selamat. Moga-moga lori tangki itu tidak meletup sebelum dia menyelamatkan mangsa-mangsa di sini. Sudahlah keadaan di tempat kejadian itu semakin huru-hara dan panik. Boleh pula dia sembang santai dengan perempuan yang tidak dikenali.
“Encik kan detektif.” Jari telunjuk kanannya menekan lembut dada bidang Arshah.
Mata Arshah terus bulat.
Ah, layankan jelah.
“Tugas seorang detektif adalah mencari maklumat dan menyiasat. Bukannya tangkap penjenayah.”
“Tujuan utama seorang penyiasat bukan ke untuk menyelamatkan orang?”
Arshah terus terdiam. Dia beralih ke tepi untuk memberi laluan kepada pegawai perubatan yang baru sahaja sampai di tempat kejadian.
“Adui…..” Arshah garu kepala. Lama juga dia ber ‘borak’ dengan perempuan itu. Sampai terlupa dengan niat asalnya untuk membantu mangsa-mangsa yang tercedera. Mujur tidak ada kebocoran serius yang berlaku pada lori tangki minyak tersebut. Hingga menyebabkan lori tangki itu meletup dan menyebabkan nyawanya turut berada diambang bahaya.