Home Novel Cinta BaYaNGaN GuRaUaN
Special Teaser 3

SPECIAL TEASER 3


SAAT kakinya melangkah ke ruang dapur villa, semua orang masih lagi bersembang di hadapan. Pinggan serta gelas yang berada dipegangannya diletakkan di atas singki. Bekas-bekas kotor yang digunakan semasa memasak tadi juga masih ada yang belum dibasuh. Pantas lengan baju disinsing sebelum dia memulas kepala paip dan mula mencuci. Duduk di hadapan pun tiada apa yang dilakukan. Jadi lebih baik dia membuat kerja di dapur ini.

“Kenapa tak tinggalkan je pinggan-pinggan tu kat sini?”

Sedikit tersentak Irish kala dikejutkan dengan suara itu. Mujur tidak terlepas pinggan yang sedang dibasuh. Perlahan dia menoleh bila merasakan ada kelibat seseorang berada di belakang. Kelihatan Tengku Harrys sudah tercegat berdiri sambil memegang pinggan dan gelas kotor di tangannya.

“Tak apa. Saya boleh basuh.”

“Semua ni?”

“Hmm.”

Irish berhenti melakukan kerja dan berpaling menghadap Tengku Harrys. Pinggan serta gelas yang berada di tangan lelaki itu diambil sebelum dia kembali menyambung tugasnya. Irish terus melakukan kerja tanpa menghiraukan Tengku Harrys di belakang. Sangkanya lelaki itu akan beredar dan keluar semula. Namun telahannya meleset sama sekali bila Tengku Harrys bergerak ke sisinya dan bersandar pada kabinet singki sambil berpeluk tubuh. Mata lelaki itu terus memerhatikan tangan Irish yang ligat melakukan kerja-kerja mencuci.

‘Hai! Kenapalah dia duduk kat sini? Kerusi kat belakang tu banyak je boleh duduk. Tak senang aku nak buat kerja macam ni,’ ngomel gadis itu dalam hati.

“Terus jelah buat kerja. Saya takkan kacau. Just duduk kat sini.”

Irish tersentak. Wajah lelaki itu dikerlingnya sekilas. ‘Tahu pulak dia aku membebel dalam hati ni, kan. Ishh!’

Tengku Harrys terus leka memerhati Irish yang seperti sudah biasa membuat kerja-kerja itu. Pinggan dan gelas yang telah dicuci kemudian diletakkan kembali di atas rak. Penuh teliti gadis itu menyempurnakannya.

“Pandai awak masak.”

“Hmm?” sekali lagi Irish tersentak. “Mana?”

“Ikan tu.”

“Mana Tengku tahu saya yang masak?”

“Reen.”

Irish terdiam. Tidak menduga hal itu akan sampai ke pengetahuan Tengku Harrys. Lelaki ini sahajakah yang tahu? Atau sudah tersebar pada yang lain-lain? ‘Hmm... Reen, Reen!’

“Bila lagi boleh masakkan untuk tunang awak ni?”

Irish mengerling Tengku Harrys lagi. Perkataan ‘tunang’ itu terasa janggal pula di pendengarannya. Sejak mengikat tali pertunangan tempoh hari memang istilah itu tidak lansung digunakan oleh mereka. Malah hingga ke saat ini masih sukar untuk percaya bahawa lelaki di sebelahnya ini sudah menjadi tunangannya.

“Tengku nak ke makan masakan saya?”

“Kenapa tanya macam tu?”

“Takut nanti Tengku tak boleh nak telan pulak.”

Tengku Harrys tersenyum kecil. Dia akui masakan Irish terasa sedap ditekaknya. Berapa kali juga dia menambah lauk ikan tadi tanpa mengambil tahu siapa yang memasaknya. Sehinggalah Tengku Hazreen memaklumkan perkara itu pada dia dan yang lain-lain di ruang hadapan sebentar tadi.

“Kalau tak boleh telan, tak adalah saya makan bertambah-tambah tadi. Atau awak yang tak sudi nak masakkan untuk saya?”

“Tak adalah.”

Then, cook for me. Dah kahwin nanti masakan awak jugak yang saya akan telan, kan?”

Irish semakin resah. Kali ini perkataan ‘kahwin’ pula yang disebut oleh lelaki itu.

“Ke awak dah plan nak cari maid once we get married?”

“Hmm? Eh, mana ada!” cepat-cepat Irish menjawab, cuba menyangkal dakwaan tersebut.

So... tak salah kalau pratikkan dari sekarang. Dan satu lagi. Panggilan Tengku tu.”

“Kenapa dengan panggilan tu?”

“Awak patut tukarnya dari sekarang.”

“Maksud Tengku?”

Calling me with my name. Or ‘abang’ as you did to my brother.”

‘Ah, sudah! Dia dah sentuh pasal panggilan pulak dah. Naya aku macam ni!’ detik hati Irish lantas tercari-cari ayat untuk membalas kata-kata Tengku Harrys.

“Kenapa tiba-tiba? Saya rasa panggilan Tengku tu okay je.”

In office might be okay. But out of there, I don’t think so. Like now. Macam mana kalau yang lain dengar awak panggil saya Tengku. Lagi-lagi lepas kita kahwin.”

Sekali lagi perkataan ‘kahwin’ itu keluar dari mulut Tengku Harrys. Bagai hendak meletup dada Irish mendengarnya. Dia sendiri tidak pasti mengapa. Yang pasti, jantungnya terasa berdegup laju setiap kali perkataan itu menyapa telinga.

“Or...,” ayat Tengku Harrys terhenti di situ. Anak matanya terus merenung wajah gadis di hadapan yang hanya membisu. “… you want call me ‘sayang’?”

Kali ini pinggan yang berada di tangan Irish benar-benar terlepas dari pegangannya. Entahkan pecah atau tidak pinggan itu di dalam sinki, dia tidak tahu. Namun bukan itu yang ditakutkannya sekarang ini. Tapi apa yang diucapkan oleh Tengku Harrys. Lansung Irish menoleh ke sisi, membalas renungan lelaki itu.

“Apa?” Irish mengecilkan matanya.

“Sayang.”

Serta-merta darah naik menyerbu hingga ke muka Irish. Kakinya juga terasa tidak mencecah ke lantai tiba-tiba. Benar atau tidak apa yang didengarnya ini? Atau dia yang sedang bermimpi?

Untuk seketika renungan kedua-duanya bertemu, hingga menghadirkan satu perasaan yang nyata sukar untuk diungkapkan bagaimana.


Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.