ENYUMAN mula terlukis di bibir
Lidya. Sesekali matanya merenung ke wajah Yanti, selepas itu bola matanya
terlontar kembali ke dada kertas yang tercetak dengan perkataan yang
menceritakan sebahagian daripada episod duka di dalam hidupnya.
Bulat mata Lidya merenung Yanti
yang berwajah bujur sirih itu sebaik sahaja pembacaannya sampai ke noktah
terakhir. Bola matanya bercahaya.
Yanti gembira kerana dapat
menggembirakan hati sahabatnya itu.
“Siapa
kata kau tak boleh mengarang? Kau boleh mengarang Yanti!” Lidya mengulangi
ungkapannya tadi sambil membetulkan sandaran belakangnya di kepala katil. Mungkin dia ingin mengulangi
pembacaannya dengan lebih selesa.
Hati
Yanti kembang kerana dipuji. “Betul ke Lidya? Kalau malam tu bolehlah aku
sambung cerita kau yang seterusnya.” Dia bersuara riang. Melihat Lidya berpuas
hati dengan karangannya, dia berasa karangannya yang tidak seberapa itu amat
bernilai sekali.
“Yanti,
aku harap aku sempat membaca tulisanmu sehingga ke akhirnya.” Lidya terbatuk
kecil.
Yanti
kembali memandang wajah Lidya. Lidya
menyembunyikan kesedihan di sebalik senyuman yang separuh terpaksa. “Sebelum
itu Lidya, macam mana dengan Syed Jefri tu? Dia ada contact kau tak?”
“Oh
ya, Yanti! Ada. Seperti yang dijanjikan, Syed Jefri ada contact aku tiga
hari selepas Wahid menelefon aku.” Lidya bercerita dengan nada ceria.
“Wow...
tak sangka aku. Rupanya kau ni ada banyak peminat selepas zaman sekolah, ya!”
Yanti cuba mengusik Lidya. Semenjak dari dulu lagi, Lidya memang selalu menjadi
mangsa usikan mereka di dalam kelas. Sikap Lidya yang lembut dan lurus bendul
itu membuatkan kadangkala ramai kawan-kawan ingin mengambil kesempatan untuk
menyakatnya.
“Syed
Jefri baik orangnya.” Sambung Lidya
lagi. Bibirnya mengukir senyuman. “Aku
pernah jumpa dia sekali selepas bersembang melalui telefon selama beberapa
bulan. Tapi, selepas itu dia pula kena bertukar ke Sabah! Perhubungan kami
sampai di situ sahaja.” Sekali lagi dia melarik senyuman di bibirnya.
“Habis
itu engkau tak ada simpan apa-apa perasaan kepada Syed Jefri ke?” Yanti cuba
menguji hati Lidya. Walaupun dia mengerti, bukan mudah Lidya menempatkan
sesiapa di hatinya.
Lidya
menggeleng. “Tak ada. Sedikit pun tidak. Aku hanya menganggapnya sebagai
seorang sahabat. Tidak lebih daripada itu.” Lidya bersuara perlahan. Ada
ketulusan di wajahnya.
“Ala...
apa salahnya kalau kau terus berkawan dengan dia. Jadikan sahabat karib.” Yanti
cuba menduga lagi.
Lidya
hanya tersenyum.
“Waktu
itu, aku dah ada seseorang,” senyuman Lidya semakin melebar sebaik sahaja
mengungkapkan ayat itu. Namun, senyuman
yang melebar itu tiba-tiba terhenti. Air
mukanya kembali muram. Matanya merona
merah.
“Pada
waktu itu...” Sambung Lidya lagi. Dia masih menyembunyikan siapa teman karibnya
daripada pengetahuan Yanti. “Tapi, nanti-nantilah baru aku ceritakan tentang
dia. Sekarang ni kita cerita pasal
Wahid.” Dia seolah dapat membaca fikiran Yanti yang ingin menyoal tentang
sahabat karibnya itu.
Yanti
mengangguk. “Lidya, apa kesudahannya perhubungan kau dengan Wahid? Boleh kau teruskan cerita tentangnya?” Dia
bagaikan tidak sabar untuk meneruskan karangannya mengenai Lidya.
“Ya!
Entahlah Yanti! Aku pun tidak tahu
mengapa harus menerima nasib yang sedemikian rupa.” Lidya menarik nafas panjang
dan mengeluh. “Mungkin ALLAH sengaja mengatur hidupku begitu!” Dia bersuara
perlahan. “Harus menempuh kesukaran demi kesukaran.” Dia menarik nafas panjang.
Yanti diam tidak menjawab. Dia cuba memberi sepenuh konsentrasi terhadap
cerita yang ingin disampaikan oleh Lidya.
“Selepas
pertunangan itu aku mula menyayangi Wahid.
Pada anggapanku, dia pun begitu juga kepadaku. Layanannya terhadapku
membuktikan segalanya. Ada satu ketika itu, Wahid tiba-tiba menghilangkan diri.
Hampir dua bulan.” Lidya bersuara sayu.
“Lelaki
kurang ajar! Tergamak dia buat begitu pada kau?” sampuk Yanti.Dia berasa geram dengan
perlakuan Wahid. “Ke mana dia pergi?” Lagi sekali dia berasa tidak sabar untuk
mendengar cerita tunangan Lidya itu. Pada anggapannya, Lidya telah terjerat
dengan lelaki yang tidak jujur. Lelaki yang telah mengambil kesempatan di atas
kelurusan hati, kejujuran dan kelembutan sahabatnya itu.
“Lelaki,
Yanti. Lelaki!” Lidya bersuara sayu. Matanya merenung jendela. Rona wajahnya kembali muram. Sesekali dia menggigit bibir yang kering.
Yanti
terus mencatat satu per satu cerita Lidya. Sambil bercerita, sesekali Lidya
menarik nafas panjang dan kadangkala dia mengeluh dengan keluhan yang amat
berat.
“Nasib
baik dia bertemu dengan engkau Lidya! Kalau dia bertemu dengan aku...”
Bersungguh-sungguh Yanti berkata.
“Yanti!
Kalau kau geram pada Wahid, nanti sewaktu kau mengarang, kau lepaskanlah rasa
geram kau itu.” Lidya tersenyum seketika melihat kesungguhan Yanti.
“Puan!
Waktu melawat dah berakhir! Pesakit perlukan rehat!” Seorang jururawat
mengingatkan Yanti yang masih asyik mencatat perkara-perkara penting di buku
yang disediakan khas untuk mencatit kisah Lidya.
“Baik!
Sebentar lagi saya pergi.” Yanti menoleh pada jururawat itu dan kemudian
memandang Lidya yang sudah merebahkan dirinya di atas tilam.
“Yanti!
Maafkan aku kerana membebankan kau dengan kemahuanku!” Lidya menghulurkan
tangannya kepada Yanti. “Aku harap,
segala ceritaku nanti boleh menjadi iktibar untuk orang lain,” suara Lidya perlahan. Wajahnya kembali muram. “Jangan cepat percaya
pada kaum lelaki. Kepercayaan yang kita hamburkan, balasannya luka yang amat
dalam!!!”
Lidya
seolah-olah prejudis dengan lelaki.Itulah yang difikirkan oleh Yanti. Mungkin pengalaman yang dilaluinya telah
menyebabkan Lidya beranggapan begitu.
Maaf, sekiranya aku menyusahkan kau, Yanti”
Sekali lagi tangan Yanti diusap-usap Lidya perlahan.
“Aku
tidak pernah rasa begitu Lidya. Aku gembira jika dapat melakukan sesuatu yang
boleh menghiburkan hati kau. Bukankah kita dah lama berkawan! Janganlah kau
memikirkan yang bukan-bukan pula,” ujar Yanti sambil membetulkan rambut Lidya
yang terjuntai di dahinya. Hujung
rambutnya itu hampir mencecah kolam matanya.
Lidya
tidak menjawab, sebaliknya hanya tersenyum mendengarkan kata-kata itu.
“Baiklah
Lidya! Malam ini jika aku tidak kepenatan, aku karangkan yang ini! Jika aku
penat melayan anak-anak dan tidak sempat, esok insya-ALLAH apabila semua
anak-anakku dah ke sekolah, aku akan karangkan juga. Kau jangan bimbang!” Yanti
memberi Lidya harapan. Dia tersenyum kerana akhirnya Lidya mengalah dan
menceritakan tentang sahabat karib yang dikatakannya itu.
“Aku
pulang dulu,” ujarnya. Pipi Lidya yang
lesu dicium dua tiga kali.
Lidya
mengiringi pemergian Yanti dengan lambaian matanya.
YANTI berjalan laju-laju menuju ke tempat parkir
kereta. Setibanya di situ kelihatan
suami dan anak-anaknya telah menunggu.
Cuaca redup. Sinar matahari seolah
bersembunyi di balik awan.
“Ibu! Kenapa ibu lambat ni?” Si bongsu yang berusia
empat tahun merengek manja dan terus meminta untuk didukung.
Yanti
mengusap-ngusap rambut kerinting Farhan, anak bongsunya.
“
Sayang dah besarlah. Ibu tak larat lagi nak dukung!” Sungguh pun begitu, tidak sampai hati untuk
dia menghampakan hati si kecil itu.
“Hmm...
Yanti, macam mana dengan kawan Yanti tu?” Adib, suami Yanti menyoal sebaik
sahaja pinggul Yanti mencecah tempat
duduk di sebelahnya. Dia menghidupkan
enjin kereta sebaik sahaja dipastikan semua anak-anaknya telah berada di dalam
kereta.
Yanti
melihat ke ruang duduk belakang dan memastikan pintu kereta telah ditutup
dengan rapat. “Macam tu jugak, abang!” Dia menjawab perlahan tanpa memandang
Adib. Matanya masih asyik memerhatikan
anak-anak yang sedang berebut tempat duduk di belakang.
“Dia
sakit apa sebenarnya?” Mulut Adib masih ingin bertanya sambil matanya asyik
mengerling cermin pandang belakang yang di sisi kanan kereta.
“Kepalanya
baru scan tetapi tak dapat di kesan apa puncanya!” Yanti menerangkan.
“Apa
simpton-simptonnya?” tanya Adib tanpa menoleh kepada Yanti. Matanya tertumpu ke hadapan. Kenderaan yang
beratur di hadapan kereta mereka bergerak perlahan.
“Hmm...
selalu sakit kepala katanya. Macam kena korek dalam kepala otaknya jika rasa
sakitnya datang.”
“Ketumbuhan
dalam otak agaknya!” Adib cuba meneka.
“Hisy!
Abang ni, janganlah cakap macam tu! Doakan dia tak ada apa-apa
sudahlah!!!”Yanti sedikit merungut.
“Tak ada orang lain yang melawat dia ke?”
Yanti
tidak menjawab. Selama dia melawat Lidya di wad hampir tiga minggu ini, tidak
pernah pula bertembung dengan sesiapa yang datang melawat Lidya. “Keluarga yang
lain semua sibuk agaknya, bang,” jawabnya, cuba menutup mulut suaminya dari
menyoal bermacam-macam lagi.
“Sibuk
pun, takkanlah tak boleh luangkan waktu walaupun sehari untuk kawan awak tu,”
ujar Adib sambil matanya menjeling kepada Yanti.
“Lagipun,
mereka kan di negeri lain. Jauh!Entah ada atau tidak adik beradiknya lagi. Ibu bapanya
dah lama meninggal.” Yanti menyambung bicara.
“Macam
mana Yanti boleh kenal dengan dia?”
“Kawan lama, waktu sekolah dulu. Abang, sesekali ikutlah
saya pergi melawatnya.” Dia merenung suaminya yang tidak menoleh kepadanya
kerana asyik dengan pemanduannya.
“Hmm...
tak apalah Yanti. Abang tak mahu ganggu ketenangannya. Lagipun Yanti ada cerita
pada abang yang kawan Yanti tu sedang bercerita tentang seseorang yang amat
dikenanginya. Bimbang nanti kehadiran abang bersama Yanti akan menyebabkan dia
berasa tidak selesa,” tukas Adib dengan
suara perlahan.
“Ayah!
Ayah! Nak pergi ke taman permainan! Nak
main gelongsor...” Fareez, bersuara nyaring sambil memicit-micit tengkuk
ayahnya.
Yanti
yang memerhatikan hanya tersenyum.Fareez, anak sulungnya, berwajah bujur dan berkening
lebat. Anak yang comel dan petah.
“Tak
nak! Tadi ayah janji nak pergi makan KFC.”Alia pula mencelah. Suaranya
seakan merengek.
“Yalah!
Yalah! Duduk diam-diam. Jangan nak
melompat-lompat di atas tempat duduk tu. Ke mana pun ayah boleh bawa.” Adib
memang seorang ayah yang penyayang tetapi kadangkala tegas. “Kita nak ke mana
dulu ni?” Dia meminta pandangan Yanti.
Yanti
tidak menjawab pertanyaan Adib sebaliknya memandang ke tempat duduk belakang.
Budak-budak itu sedang tersengih keriangan. “Hmm... Fareez, Alia, Farhan, kita
nak pergi mana dulu?” Dia meminta pandangan daripada mereka pula.
“KFC...”
Alia pantas menjawab sambil menjelirkan lidah kepada Fareez, abangnya.
“Setuju
tak?” Yanti bersuara kuat.
“Setuju!
Setuju!Setuju!”
Fareez dan Alia berlawan-lawan menyatakan persetujuan mereka.
“Okey!
Ayah pun setuju!” Adib juga bersuara kuat seperti budak-budak.
Begitulah kehidupan Yanti bersama dengan
keluarganya.Sentiasa ceria dan gembira. Walaupun ketiga-tiga mereka hanyalah
anak-anak angkat, dia bahagia dengan kasih sayang mereka dan Adib. Adib yang baru dua tahun dinikahi.
SELESAI makan malam, Yanti mengemaskan dapur dan melipat
kain. Selepas menidurkan anak-anak dan menyediakan segala keperluan Adib, dia
kembali mengadap komputer. Pukul 1.00
pagi baru dia mula mengarang, menyambung kembali cerita tentang Lidya.
Yanti
cuba meletakkan dirinya menjadi Lidya dan menyelami perasaannya. Bagaimana
rasanya apabila lelaki yang dikasihi menghilangkan diri tanpa khabar dan
berita? Peritkah rasanya? Dia memulakan
karangannya…
Kerinduan yang tidak
terlontar, menyebabkan hatiku merintih-rintih setiap waktu semenjak Wahid
menyepikan dirinya dariku. ‘Wahid, ke mana kau menghilang! Wahid tak telefon!
Tak hubungi Lidya terlalu lama! Lidya risau! Tak boleh tidur! Tak lalu makan!
Kenapa lakukan ini semua kepada Lidya!Kenapa?’
Aku menangis tersedu-sedu
seperti anak kecil. Memang benar. Aku benar-benar bagaikan layang-layang yang
terputus tali. Kesepian terhampar di hati bagaikan padang pasir yang maha luas.
Ingin menghubunginya, aku hanya memiliki nombor telefon pejabatnya sahaja.
Alamat rumahnya pun aku tidak pernah tanya dan simpan. Betapa bodohnya
aku.
Yang aku tahu Wahid, anak
yatim piatu berasal dari Melaka. Tempat tinggalnya pun aku tidak tahu. Aku
hanya tahu alamat tempat dia bekerja sahaja. Entah mengapa, apabila dia melamar
aku dan menjadi tunanganku, aku terlalu mempercayainya. Kepercayaan yang tidak
berbelah bahagi itu menyebabkan aku terlupa bertanya apa-apa yang sepatutnya
menjadi pengetahuanku.
Panggilan telefon daripada
Wahid, pada suatu hari seolah melontarkan satu isyarat baru di hatiku. Ada
sesuatu yang tidak kena dalam perhubungan kami. Hatiku kuat mengatakan itu.
Cuma aku tidak dapat menterjermahkan apakah yang cuba disampaikan oleh suara hatiku?
“Lidya, maafkan Wahid,
sayang! Wahid kemalangan! Sekarang Wahid
berada di Melaka.” Terdengar suara Wahid sayup-sayup. Serak-serak bunyinya.
“Kemalangan! Kenapa tak
beritahu Lidya! Sekarang ni Wahid di hospital atau di rumah? Cedera teruk
ke?” Tangisanku semakin kuat. Air mataku
semakin lebat. Aku menyoal Wahid dengan nada suara yang amat risau. Degupan
jantungku TUHAN sahaja yang tahu.
“Tak ada apa dah! Lidya
jangan risau! Bye!”
Gagang telefon diletakkannya
sebelum sempat aku meminta nombor telefon dan alamat rumahnya di Melaka serta
menanyakan beberapa soalan lagi. Aku buntu. Benar-benar buntu.Meskipun
sebelumnya aku selalu bersikap tenang dan bersabar di atas apa-apa perkara pun.
Sikap Wahid kebelakangan ini betul-betul mencabar ketabahanku. Tidak
semena-mena Wahid hilang dariku. Tidak menghubungi dan tidak dapat dihubungi.
Bagi Wahid, seolah-olah aku ini tidak bermakna
langsung padanya. Hanya TUHAN sahaja yang tahu betapa sedihnya perasaan hatiku
di waktu itu. Bakal suamiku mengalami kemalangan dan aku tidak dapat
melawatnya. Dalam keadaan hati yang meronta-ronta untuk menziarahinya, aku
ketiadaan maklumat.Nombor telefon rumah
tiada. Alamat rumah kampung pun begitu juga, tiada dalam simpananku.
Apa lagi yang dapat kulakukan
kecuali bersabar dan mengharap sesuatu yang ajaib daripada ALLAH. Aku resah dan
gelisah setiap waktu. Tanpa belaian kasih sayang, aku seolah sebatang pohon
yang semakin layu.
Untuk mengelakkan diri
daripada terus mengingati Wahid, aku menumpukan perhatian terhadap kerja.
Setiap hari aku bekerja lebih masa. Kepenatan kerana bekerja dapat membantuku
melupai Wahid, walaupun seketika. Sungguh pun begitu, kesedihan yang semakin
melebar di hati, terpamer juga di muka.
“Good morning!”
“Hello... Good morning!”
“Miss... Miss Lidyahani!!! Selamat Pagi!”
Sapaan lelaki itu yang berulang kali, tidak aku endahkan. Fikiranku hanyut entah ke mana. Jejari
menekan kekunci keyboard, mata memandang monitor, namun fikiran sesat di
belantara duka.
“Honey! Oii... sayang! Cik adik!Eh! Teruk dah kawan aku ni!” Tiba-tiba tangannya menepuk
meja.
Tepukan yang kuat itu
menyebabkan aku tersentak, lalu kembali ke alam nyata.
“Mike!!! Alamak... Sorry!
Sorry!.” Aku mengangkat kedua tanganku dan merapatkan ke hidung. Seolah
meminta ampun daripada Michael yang tersengih, berdiri di sisiku. Aku memuncungkan bibir ke arah sebuah kerusi
kosong di tepi dinding, mengisyaratkan pada Michael supaya dia mengambil kerusi
itu untuk duduk. Michael berbaju T hitam lengan pendek dan berjeans biru tua
pagi itu. Secocok dengan kulitnya yang cerah.
“Mengelamun jauh! Dah sampai
ke mana?” Michael bertanya dengan suara riang. Dia menarik kerusi yang aku
maksudkan lalu menghenyakkan punggungnya, duduk di kerusi itu. Dia menghulurkan beberapa dokumen kepadaku. “Honey!
Tolong cop invoice ni!!” Dia mengerling aku dengan ekor matanya.
Seolah tidak mempedulikan
kerlingannya itu, aku mengambil rubber stamp dan stamp-pad dari
dalam laci mejaku. “Bahagian receiving dah periksa barang ke belum
ni? Kuantiti cukup tak?” Aku meneliti
beberapa invoice sambil mataku memandang wajah Michael, inginkan
kepastian. Wajahku selamba tanpa secebis senyuman.
“Aiii! Dahlah, sayang.
Sebelum datang ke sini, QC Inspektor bahagian receiving pun dah
periksa.” Bibir Michael tersungging senyuman. Ekor matanya melirik kepadaku lagi.
“Hari ni macam mak nenek
pulak you ni!” Michael cuba bergurau.
Gurauannya tidak mendapat
layanan daripadaku kerana kotak fikirkan asyik mengenang Wahid. Dokumen-dokumen
yang dihulurkan oleh Michael, terus aku copkan untuk mengesahkan barang-barang
itu sudah di terima.
“Dah breakfast?”
Aku mengeleng-ngeleng kepala
tanpa suara. “Nah! Dah siap. Hantar invoice ni pada Anita! Atau letak
atas meja dia saja. Anita pergi minum!” Aku bersuara perlahan tanpa memandang
kepadanya. Mataku terus menumpu ke dada monitor sekali lagi.
“Tak lalu makan ke?” Michael
menyoal lagi.
Aku diam. Aku resah dengan
pertanyaan Michael. Bimbang dia dapat
meneka kemelut di jiwaku. Kemelut yang tidak mungkin terlerai, walau air mataku
sudah acap kali berderai.
“Jom temankan I.” Tidak jemu
pemuda berwajah bulat itu berbual denganku walaupun aku bersikap tak endah.
Aku mengeleng tanpa
memandangnya.
“Jomlah!Nanti boleh cerita pada I.” Suara Michael membujuk.
Sikap Michael yang pandai
serkap jarang itu kadangkala membuat aku tertewas. Namun hari ini, mungkin tidak. Aku
benar-benar tak ada selera untuk menjamah makanan sehari dua ini.
“Sorry, Mike. Hari ni
tak boleh! Lain kali, ya,” ujarku kepada pemuda itu. Rasa simpatiku terbenih apabila melihat dia
masih berdiri di muka pintu menanti jawapan atau tindakan daripadaku.
Seketika kemudian Michael
duduk kembali di sisiku. “Okey! Kalau tak mau tak apa.Tapi honey, hari ni last dayI datang ke sini
tau.” Dia bangun dari kerusi yang didudukinya lalu mencapai semua dokumen yang
aku hulurkan kepadanya.
“Alaa... janganlah merajuk
Mike!” Aku sedikit kerisauan dan berasa kehilangan.
Michael tidak menjawab. Dia
terus menolak daun pintu dan segera beredar dari pejabatku.
“Mike! You nak pergi mana?”
jeritku pada Michael yang sudah beredar daripada situ. Langkahan kakinya terlalu cepat. Tidak sampai berapa saat, kelibatnya sudah
hilang daripada pandangan mataku. Air
mataku seakan merembes.
DUA minggu
selepas Wahid menghubungi aku dari Melaka dan memberi perkhabaran kemalangan
yang menimpanya, Wahid mula bekerja dan menelefonku di pejabat.
“ Lidya! Malam ni Wahid
datang ambil, ya?Kita keluar makan sama, ya?”
kata Wahid. Pendek dan ringkas. Suaranya tidak seperti selalu.
Hatiku merasakan kelainannya. Aku juga sudah hilang
keceriaan.“Okeylah, Wahid datang pukul
9.00 malam. Lidya tunggu tempat biasa!” Aku bersuara hambar. Aku bagaikan tawar
hati.
MALAMNYA
Wahid datang setelah dua jam aku menunggunya.
Sebelum ini dia tidak pernah begitu. Janji pukul 9.00 malam, pukul 8.30
keretanya sudah tersadai di bawah pokok ketapang, di hadapan flat tempat aku
menginap.
“Maaflah, lambat! Enjin
kereta tak boleh start.”Wahid
memberi alasan sambil membukakan pintu kereta untukku. Aku terus duduk di sampingnya. Malam itu aku
memakai baju kurung batik maroon yang dibeli oleh Wahid sebelum ini.
“Mana tempat yang cedera tu?”
Aku membedek-bedek lengan Wahid.Masih
ada parutnya sepanjang dua inci melintang di atas lengan. Kulit sikunya sedikit
tersiat.
“Bila balik sini? Tiba-tiba
hilang! Beritahu kemalangan, lepas tu menghilang lagi! Lebih baik beritahu Lidya, Wahid dah mati!”
Aku meluahkan perasaan geram sambil menitiskan air mata. “Lidya risau!”
Ungkapku sambil menahan tangis.
“Lidya! Dahlah, tu. Kan Wahid
dah berada di sisi Lidya ni! Jangan risau lagi!” Wahid memujuk sambil mengesat
air mataku dengan ibu jarinya.
Aku teresak-esak.
“Wahid ada hal sikit nak
bincang dengan Lidya!Kita pergi restoran tu,
ya.” Wahid meneruskan bicaranya.
Suaranya begitu lembut.
Aku tidak menjawab.
Wahid membisu sahaja
sepanjang jalan menuju ke restoran yang dimaksudkannya.
“Ceritalah!” Aku memandang ke
wajah Wahid. Kami duduk di meja yang berhampiran dengan pokok bunga melur yang
di tanam di dalam tayar buruk. Ada beberapa kuntum bunga melur yang baru
mengembang. Sesekali keharuman melur menyentuh hidungku.
“Wahid ada masalah.” Wahid
memegang tanganku. Air mukanya tidak sejernih selalu. Keruh dan bimbang.
“Ceritalah! Masalah apa?” Aku
merenungi matanya. Benakku cuba meneka
masalah yang sedang menyelubungi
tunanganku itu.
Wahid menundukkan mukanya.
“Wahid serba salah Lidya! Ditelan mati emak, diluah mati bapak. Seolah makan
buah kepayang! Di telan mabuk, di buang sayang.” Dia menjawab dengan suara yang
amat perlahan.
Ah! Lelaki ini!
Mula menunjukkan ciri-ciri yang paling aku benci. Takut dan tidak berani
membuat keputusan. “Habis tu, jika tak diluahkan, tidak ditelan, Wahid juga
nanti yang akan mati tercekik!” Aku berbisik perlahan, bimbang didengari
pelanggan restoran yang lain.
Aku dan Wahid senyap sebaik
sahaja pelayan restoran datang membawa hidangan yang dipesan.
“Wahid, sayang pada Lidya!
Tak ingin kita berpisah! Wahid tak
sanggup!” Dia bersuara sebak. Dia menyambung bicara sebaik sahaja pelayan
restoran beredar dari situ. Hatiku diburu resah dengan pengucapan Wahid.
“Berpisah? Mengapa sebutkan
hal itu? Lidya tidak suka!” Aku
memandang ke arah jalan raya yang lengang seketika.
Wahid tidak menjawab.
Perpisahan? Mengapa harus
timbul perkataan perpisahan? Aku
benar-benar tidak faham. Apa salahku sehingga Wahid menimbulkan soal
perpisahan? Bukankah ikatan ini dia yang menginginkannya? Dan kini mengapa
ingin menjemput perpisahan pula? Mengapa? Perasaanku terumbang ambing dengan
sikap Wahid. Wahid yang tiba-tiba berubah.
“Beginilah, bila bersedia
nanti, Wahid ceritakanlah kepada Lidya!
Lidya sedia terima.” Aku cuba menenangkan hatiku dengan memujuk
Wahid.
Wahid terus menggenggam
tanganku. Aku lihat ada air yang
menakungi kolam matanya. Lelaki ini menangis? Sudah tentu permasalahannya amat
berat. Membebankan jiwa, menyendatkan perasaan.
SELEPAS
malam itu, Wahid jarang-jarang lagi menghubungi aku.Lagi sekali aku diabaikan tanpa perhatiannya seperti
dulu. Apakah salah diri ini? Mengapa? Kenapa? Dulu dia yang menagih kasih, mengharapkan
perhatian. Kini apabila segalanya telah kulambakkan tanpa berbelah bagi,
mengapa ini semua harus terjadi. Wahid terus menyembunyikan permasalahannya
yang amat misteri itu.
Aku terkenang kembali mimpi
yang menghadiri tidurku sewaktu hari pertama cincin ikatan dari Wahid tersarung
di jari manisku. Sedang aku mengelamun, telefon di atas meja berdering.
“Helo! Lidya sayang!
Malam ini sayang free tak?
Wahid datang ambil selepas Maghrib, ya?”
Aku yang
baru balik dari pejabat dan agak kepenatan tercungap menjawab. “Okey. Jangan
lambat-lambat!” ujarku sambil meletakkan gagang telefon setelah mengucapkan
salam.
SEPERTI
yang dijanjikan, malam itu Wahid datang menjemputku. Tanpa sepatah kata, Wahid
di sebelahku memandu dengan tenang.
Aku hanya memerhatikannya
dengan ekor mataku. Memperhatikan
segala-galanya.
Aku terkejut apabila kereta
Wahid memasuki kawasanmotel berhampiran pinggir bandar. Wahid menarik tanganku supaya keluar dari
kereta dan mengekorinya menuju ke kaunter rumah penginapan itu untuk mengambil
kunci bilik.
“Bilik yang saya booking
petang tadi!” Wahid bersuara perlahan kepada gadis Cina yang bertugas di
kaunter. Gadis Cina berskirt pendek
sehingga menampakkan buah pinggulnya.
“Encik Wahid, ya?” soal Gadis
Cina itu sambil membuka sebuah buku tebal berkulit keras.