Home Novel Cinta Sapu Tangan Biru
Sapu Tangan Biru
3/6/2014 14:42:53
62,723
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 2

Kecur air liur Dania sebaik siap menyajikan hidangan makan malam untuk keluarganya. Kembang kempis hidungnya menghidu bau ikan belanak kering goreng yang begitu memikat selera. Dia yang masih belum makan apa-apa sejak balik dari sekolah petang tadi menelan air liur.

“Hai, akak... takkan hidu ikan belanak masin sampai macam tu sekali?” tanya Iwan yang tiba-tiba muncul di dapur. Sempat matanya memerhati lauk yang terhidang di atas meja.

‘Bukannya lauk mewah pun!’ kata hati Iwan. Sekadar ikan belanak masin goreng, sambal belacan, telur dadar dan masak lemak petola bercampur fucuk serta suhun. Hairan pula dia melihat Dania yang begitu teruja dengan hidangannya itu. Macam ada burung unta golek!

“Akak dah masak nasi?” tanya Iwan sambil menggosok-gosok perutnya.

“Nasi baru mendidihlah, Iwan...” jawab Dania dengan suara meleret.

“Alah, Iwan dah laparlah, kak... Nasi sejuk tak ada ke?” soal Iwan sekali lagi.

“Hai, tengok lauk macam tu pun dah tak sabar-sabar nak makan? Maghrib tadi, kan Iwan baru makan mi segera yang akak masak?” soal Dania sambil menjuihkan bibirnya.

“Alah, mi segera tu selingan saja. Lagipun, Iwan suka masak lemak petola dan suhun tu. Bukannya akak tak tahu! Akak masak banyak tak? Iwan nak meratah dulu, sementara tunggu nasi kering, ya?” bodek Iwan. Manalah tahu kakaknya akan lembut hati dengan pujukannya.

“Alah, Iwan ni... nak meratah pulak dia. Akak masak sikit ajelah. Buah petolanya pun kecil,” jelas Dania sambil menunjukkan periuk kepada Iwan. Masak lemak petola yang berbaki sedikit sahaja lagi di dalam periuk itu, sengaja ditinggalkan untuk abang mereka, Ray.

Begitulah rutin hidup mereka sekeluarga sejak dari kecil. Semua makanan mesti dikongsi bersama walaupun secubit. Amalan itu memupuk perasaan kasih sayang dan mengikat kemesraan antara mereka.

“Akak nak simpan untuk Abang Raylah tu,” kata Iwan sambil menggaru-garu telinganya.

“Tahu pun. Kita makan aje yang akak dah hidangkan kat atas meja tu, tapi tunggu emak habis solat dulu, ya?” balas Dania sambil tersenyum kepada Iwan.

“Akak tu selalu lebihkan Abang Ray daripada Iwan,” komen Iwan. Dania menyengih. Memang dia selalu melebihkan Ray daripada segala sudut.

“Dah Iwan tak pandai nak pikat hati akak,” balas Dania mengusik adiknya itu. Wajah poyo adiknya itu dipandang dengan geli hati.“Tak macam Abang Ray,” sambungnya lirih.

“Eh... eh! Tak kuasa, Iwan. ” sanggah Iwan sambil ketawa. Dia sudah menarik kerusi dan duduk dekat meja makan.

“Apa yang digaduhkan dua beradik ni?” tanya emak yang tiba-tiba muncul di dapur. Fazidatul yang baru selesai menunaikan solat isyak segera menjengah ke dapur apabila mendengar suara dua beradik itu yang riuh.

“Kak Dania ni, mak! Sengaja nak menyakat Iwan,” adu Iwan.

“Ada-ada aje kau orang berdua ni,” kata Fazidatul sambil senyum meleret. Anak-anak yang telah diamanahkan oleh Tuhan kepadanya selalu menghiburkan hati dengan telatah mereka.

“Mak, Dania dah siapkan makan malam. Mak makan dengan Iwan ya?” beritahu Dania.

“Bolehlah, Dania. Perut emak pun dah lapar bila terhidu bau ikan belanak kering ni,” setuju Fazidatul lalu duduk di kerusi sebelah Iwan. Dania mencedokkan nasi ke dalam pinggan emak dan adiknya itu.

“Dania tak nak makan ke?” tanya Fazidatul pelik.

“Alah, akak tu mesti nak makan nasi dengan Abang Ray, mak!” sahut Iwan sambil mencapai mangkuk yang terisi dengan masak lemak petola.

“Alah, apa salahnya! Nanti kasihan Abang Ray makan tak berteman,” balas Dania tak mahu kalah.“Bukannya Iwan luak apa-apa,” sambungnya lagi sengaja hendak menyakat.

“Mana-manalah, akak. Tunggulah Abang Ray sampai tengah malam karang. Iwan nak makan dulu, sebab perut Iwan dah berkeroncong dari tadi. Jangan sampai akak menangis kelaparan sudahlah,” beritahu Iwan sambil mengusik. Abangnya yang bekerja sebagai pembantu Restoran Abang Ba selalu sampai ke rumah hampir tengah malam.

“Akak tetap akan tunggu Abang Ray walaupun dia balik subuh esok,” balas Dania. Dia menelan air liur apabila melihat emak dan Iwan makan dengan penuh selera, namun demi Ray, dia rela berlapar untuk beberapa jam lagi.

“Alah.... entah-entah akak dah berdengkur kat depan tu nanti,” kata Iwan sambil mengunyah makanannya. Dia mencapai lagi seekor ikan belanak masin. Bersulam dengan sambal belacan, lain macam pula seleranya pada malam itu.

“Pedasnya sambal belacan akak ni, tapi sedap!” puji Iwan. Lidahnya dijelir-jelirkan sambil mencungap. Dania ketawa melihat gelagat adiknya itu. Mengomelnya tak habis-habis.

Fazidatul tumpang ketawa. Dalam asyik bersembang dan bertekak dengan kakaknya pun, nasinya sudah habis sepinggan.

“Nah, tolong bubuh nasi tambah untuk Iwan,” katanya sambil menghulurkan pinggan.

“Iwan... Iwan! Pot-pet, pot-pet... nasi habis satu pinggan,” perli emaknya sambil menghulurkan gelas minuman kepada Iwan yang kepedasan sehingga mengalir air matanya.

“Entah, tak payah pun ada ayam golek atau unta terbaring kat meja tu kan, mak?” usik Dania sambil memuncungkan bibirnya menunjukkan kepada Iwan. Sengaja memperli.

Iwan buat muka selamba, terus menyuap nasi ke mulutnya.

Hampirtengah malam, Jasmin Alia tiba di depan Villa Kasih Wafa. Rumah milik keluarganya yang tersergam indah. Lama juga dia menunggu di dalam kereta, namun tiada tanda-tanda pagar akan dibuka.

“Hisy!” rengusnya sambil menampar stereng. Marah benar hatinya apabila pintu pagar villa tiga tingkat itu masih tertutup.

Tempikan hon BMWnya bertalu-talu memecah keheningan malam.“Hisy, ni yang aku pantang ni!” rungutnya. Sekali lagi hon ditekannya lama-lama. Nyaring dan panjang.

“Hisy, terhegeh-hegeh orang tua ni!” gerutunya apabila nampak Pak Man menarik pagar. “Kenapa lambat, Pak Man? Remote control mana?” soalnya kasar sambil menjeling.

Pak Man tidak menjawab, hanya tersengih. Dia sudah faham sangat dengan perangai anak majikannya itu. Jasmin yang berlagak dan sombong!

“Pak Man pekak ke tengah membuta?Terhegeh-hegehlah!” sergah Jasmin sambil menghentak-hentakkan kakinya.

“Maaflah, Jess...” beritahu Pak Man lembut.

“Besar sangatlah Pak Man punya maaf? Makan gaji buta aje!” tengking Jasmin langsung tidak tahu untuk menghormati orang tua.

“Nanti Jess suruh papa pecat Pak Man, baru padan muka!” marahnya bertali-tali.

Pak Man menghindar dari situ cepat-cepat untuk mengelak telinga dan hatinya terus disakiti.

“Apa yang dirungutkan ni?” tegur Datin Julaidah sebaik Jasmin masuk ke dalam rumah. Anak gadis itu sudah menghenyakkan tubuhnya di atas sofa empuk di ruang tamu.“Malam-malam buta membebel...” kata Datin Julaidah melirih sambil duduk di sisi Jasmin.

“Mama...” panggil Jasmin manja. Dia terus memeluk mamanya. Kepala dilentukkan di atas bahu wanita itu, bagai kanak-kanak berumur empat tahun saja perangainya. Sedangkan usianya sudah mencecah 20 tahun. Perasaan marah yang menggunung tadi, segera terhakis.

“Alah, mama... macam manalah Jess tak membebel. Lama Jess tunggu kat depan pagar tu, tau. Pak Man tu lambat dan terhegeh-hegeh,” adunya dengan memek muka mengada-ngada. Rambut yang terurai dipintal-pintal.

“Alah, tadi mama dan Pak Man dah cuba buka dari sini! Entahlah, Jess... agaknya kabel rosak kot. Pasal itulah alat kawalan jauh tak boleh nak digunakan,” terang Datin Julaidah lembut.

“Tapi... buat apa Jess marah Pak Man. Dia tu orang tua. Jess kena hormatinya walaupun dia bekerja dengan kita...” Sempat lagi Datin Julaidah memberi nasihat kepada anak gadisnya itu.

“Alah, kan dah tahu Jess nak balik? Pak Man bukalah pagar tu awal-awal. Tak payah tunggu Jess sampai, baru terhegeh-hegeh,” balas Jasmin. Masih belum berpuas hati.

Datin Julaidah ketawa kecil. “Nak buka pagar rumah awal-awal? Nanti perompak masuk ke dalam rumah, habis dengan mama diangkut sekali. Jess nak?” tanya Datin Julaidah.

Jasmin memuncungkan bibirnya. “Nanti mama beritahulah papa suruh cari orang baiki pagar tu...” katanya pula. Cuba menghalang mamanya daripada terus berleter.

“Papa dah tidur ke, ma?” tanya Jasmin. Papanya, Datuk Wahab salah seorang ahli perniagaan yang disegani di ibu kota.

“Dah lama papa tidur, Jess. Pukul sepuluh tadi, dia dah lena. Penat sangat agaknya,” jawab Datin Julaidah sambil senyum meleret. Bola matanya sempat singgah pada gaun yang dipakai Jasmin.

“Kenapa baju ni kotor, sayang?” soalnya lembut. Spontan tangannya mengusap-ngusap tempat yang kotor itu. Masih terasa lembabnya.

“Alah, mama! Pasal tulah Jess naik angin hari ni, ma! Habis rosak baju ni. Kotornya mesti tak boleh tanggal, kan?” rengeknya manja. Wajah pemuda yang menumpahkan air kopi di atas bajunya tadi terbayang-bayang.

“Kenapa?” tanya Datin Julaidah, masih tidak puas hati. Dia cuba meneka punca yang menyebabkan gaun anak kesayangannya kotor dan bertompok.

“Jess singgah makan di sebuah restoran kat Tanjung Malim, tadi. Pekerja di restoran tu, tumpahkan air,” adu Jasmin. Bergenang pula air matanya apabila mengingatkan gaun kesayangan, pemberian kekasih hati. “Air kopi pulak tu...,” adunya lagi. “Dahlah baju ni hadiah daripada Iskandar,” beritahunya sambil merengek.

“Tak apa, Jess. Nanti mama beritahu Is, suruh dia ganti,” pujuk Datin Julaidah. “Jess punya pasal, nanti Is ganti 10 helai,” guraunya sambil ketawa kecil. Jasmin Alia memang anak manja. Rupa paras pula cantik. Iskandar teman lelakinya pun seorang yang kacak. Sepadan sahaja mereka, bagai pinang dibelah dua.

“Mama senyum-senyum kenapa ni?” soal Jasmin sambil mengusap-usap lengan mamanya.

“Mama teringatkan Is pulak. Lama tak jumpa dengan dia,” beritahu Datin Julaidah. Selalu juga Iskandar berkunjung ke rumah mereka. Emak Iskandar pula adik kepada teman karibnya, Puan Sarah. Anak Puan Sarah, Mukhriz pula bekerja di syarikat suaminya. Mukhirz sudah dua tahun menjadi pengurus anak syarikat Perkasa Holding milik suaminya, Wafa Construction Sdn. Bhd.

“Is pergi oversea,ma. Maybe next monthbaru dia balik,” beritahu Jasmin. “Kalau mama rindu pada Is, Jess lagi rindu kat dia tau,” jelasnya sambil melentukkan kepala ke dada mamanya. Cuba untuk bermanja.

“Is pergi oversea buat apa?” tanya Datin Julaidah. Setahunya, Iskandar sudah pun menghabiskan pengajiannya di peringkat sarjana di universiti tempatan.

“Urusan kerja dialah, mama...” jawab Jasmin, sengaja mereka cerita. Walhalnya Iskandar tidak memberitahunya begitu pun. “Semalam, dia telefon, Jess. Katanya, selepas dia balik dari overseananti, dia nak hantar rombongan meminang,” ceritanya pula.

“Eloklah...” setuju Datin Julaidah.

“Tapi, Jess tak naklah, ma! Jess ni muda lagi.” Jasmin mencebik. Tidak sanggup rasanya terikat dengan ikatan perkahwinan pada usia yang muda. Tambahan pula kalau terbeban dengan tanggungjawab seorang isteri.

“Habis tu, Jess nak tunggu bila lagi?” soal Datin Julaidah.

Jasmin mengeleng-ngelengkan kepalanya. “Jess tak suka pada nenek Is, mama. Cerewet sangat,” adu Jasmin. Sikap nenek Iskandar yang suka menegur cara dia berpakaian menyebabkan dia rimas.

“Kalau begitu, Jess berbincanglah elok-elok dengan Is. Beritahu dia, Jess nak tunda dua, tiga tahun lagi. Itupun kalau Is mahu,” cadang Datin Julaidah. “Lagipun, bukannya Jess nak kahwin dengan nenek Is,” ujar Datin Julaidah cuba bergurau. “Kalau dah bernikah esok, Is angkutlah Jess duduk di rumah lain. Bukan nak tinggal dengan neneknya,” sambung Datin Julaidah pula sekadar menduga.

Jasmin tidak menjawab. Iskandar pernah memberitahunya, yang dia tetap akan tinggal dengan keluarganya apabila dah sudah berkahwin kerana dia anak tunggal.

“Iskandar tu, mana boleh jauh dari celah ketiak nenek dan emak dia,” beritahu Jasmin. Bahu mamanya pula dicium-cium kecil. “Dia kata, neneknya mahu dia tinggal bersama di rumah itu juga, kalau dah berkahwin. ”Akhirnya, Jasmin berterus terang. Kala itu pipi mamanya pula yang menjadi mangsa bibirnya. Diciumnya dalam-dalam.

“Hah, sudahlah bermanjanya, Jess! Pergi naik mandi!” suruh Datin Julaidah. Runsing pula dengan kemesraan yang ditaburkan oleh anak gadisnya itu, bagaikan anak kucing yang baru lahir pula.

“Kalau Jess tak bermanja dengan mama, Jess nak bermanja dengan siapa lagi?” tanya Jasmin, segera bangun dari sofa. Walau hati ingin terus bermanja, dia terpaksa mengalah.

“Baju tu cepat-cepat rendam,” pesan Datin Julaidah kepada Jasmin yang sedang menaiki tangga.

“Yalah, mama,” jawab Jasmin tanpa menoleh. “Huh, ini semua budak malaun tu punya pasal! Kalau aku dapat jumpa kau lagi, siaplah!” Perasaan marahnya membuak semula. Lantas kakinya dihentak-hentak sewaktu menaiki tangga, melontar perasaan geram.

Previous: Bab 1
Next: Bab 3

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.