Harus diakui, sepanjang perjalanan kaki masing-masing terasa berat untuk melangkah. Ayatul kursi diulang-ulang main dari aplikasi Youtube. Masing-masing turut sama ikut membacanya. Mereka bertiga terhenti seketika di bahagian paling bawah apartment.Najwa terdongak ke atas. Dia tergamam melihat seseorang berambut panjang menutupi wajah sedang memerhati mereka dari bahagian bumbung. Najwa terus terduduk. Lemah seluruh tubuh. Terasa mahu pitam.
“Kenapa ni?” Manisah membantu Najwa bangun. Lembik dan tidak berdaya Najwa.
Mengenangkan kesanggupan kedua sahabatnya sanggup menemani dirinya, Najwa menggeleng demi menyembunyikan hal sebenar.
Mereka menapak satu persatu anak tangga sehinggalah tiba di aras rumah sepatutnya. Lampu koridor berkelip-kelip. Tidaklah pula begitu selama ini. Mendung membuatkan malam itu terasa sangat pekat gelapnya. Angin berhembus kencang. Masing-masing memeluk tubuh. Terasa mahu terkencing!
Mengigil-gigil tangan Manisah saat menyua gugusan kunci ke lubangnya. Akibat kecuaian sendiri, kunci itu terlepas dari pegangan. Saat Manisah mahu mengutipnya, dia bagai terlihat dengan ekor mata akan bayang-bayang gelap melintas tidak jauh dari mereka. Manisah beristighfar berulang kali.
Pintu berjaya dibuka. Gelap. Suis dipetik. Terang-benderang. Cuma, bau hapak menyengat seperti terlalu lama ditinggalkan meskipun mereka serumah sempat membersih dan mencuci rumah itu beberapa hari lepas.
“Cepat kau ambil. Kami tunggu di luar,” arah Fatimah.
“Alah… jomlah!”
“Pergi jelah!” Manisah naik berang. Siap bercekak pinggang.
Najwa terpaksa akur. Lambat-lambat membuka kasut. Komputer riba berada di dalam bilik.
“Cepat!” Gesa Manisah. Sudah melilau mata. Kemudian tersedar, dia tidak seharusnya begitu. Mana tahu ternampak sesuatu yang tidak sepatutnya! Boleh mengigau malam-malam.
Najwa berlari bagai lipas kudung. Dengan membaca Basmallah, dia membuka pintu bilik. Lampu dibuka. Terus ternampak beg komputer riba di atas meja. Diambilnya. Cepat-cepat menutup suis lampu dan pintu. Dia bergegas keluar.
“Jom… jom!” Gesa Najwa.
Mereka menutup kembali suis ruang tamu dan mengunci pintu. Laju sekali mereka menuruni tangga. Masing-masing mulai lega. Namun, pada anak tangga terakhir, langkah Najwa sumbang. Dia tergelincir. Tubuhnya melayang jatuh menyembah bumi. Dia mahu menjerit namun tidak keluar suaranya. Bisu.
Najwa tahu wajahnya tersembam pada permukaan keras lantai. Walaubagaimanapun, dia seseolah terbius daripada berasa sakit.
Najwa melihat telapak tangan. Pucat. Dia meraba-raba wajahnya kemudian melihat wajah sendiri pada cermin kereta. Dia menjerit sekuat hatinya! Panik. Wajah… penampilan bahkan suaranya bukanlah miliknya! Dia… seseolah terperangkap dalam jasad seorang wanita lain.
Najwa meliarkan pandangan. Masih berada di tempat yang sama. Cuma, Najwa berasa kawasan sekitar seperti bangunan dan gazebo seseolah kelihatan baru. Pendek kata, seperti mula-mula ia baru dibuka kepada penghuni.
Sunyi bagai tidak berpenghuni. Matahari tegak di atas kepala akan tetapi malap dan tidak berseri seperti selalu. Cahaya menerangi alam seakan-akan kabur. Dia sepertinya berada di zaman silam, menurutnya.
Najwa tidak sedar matahari condong ke barat dengan sangat cepat. Sehinggalah hari bertukar senja. Dia terkejut!
“Aku harus pulang ke bilik!” Najwa sendiri terkejut dengan apa yang dituturkan. Meskipun begitu, dia tidak berjaya mengawal apa yang keluar dari mulutnya. Hanya suara hatinya sahaja meningkah tiap kata dan pergerakannya.
Najwa berlari-lari menuju ke blok paling hujung. Apabila dia berpaling ke kiri, dia ternampak bangunan pejabat kolej. Adakah…? Memang tidak syak, dia mendaki anak tangga bangunan kediaman bertentangan kolej sehingga ke aras paling atas.
Sekarang, dia benar-benar berada di depan pintu rumah yang menjadi rumahnya di dunia nyata. Rumah puaka yang tidak pernah membuatkan hidupnya aman. Ada sahaja gangguan.
‘Mungkin… dengan mengikut tiap pergerakan tubuh perempuan ini, aku akan mendapat jawapan. Aku nak tahu sebenarnya apa yang berlaku,’ detik hati kecilnya. Dia sudah mulai bertenang dan boleh menerima kejadian aneh itu.
Tidak semena-mena, Najwa terbatuk-batuk. Dadanya terasa sempit sehingga sukar bernafas. Tubuhnya melemah seseolah dia mempunyai penyakit.
Tiba-tiba pintu rumah itu dibuka seseorang dari dalam. Najwa terlihat perempuan seusianya, awal 20-an. Siap menolak bagasi.
“Nak balik kampung dah?” Laju mulut Najwa menyoal.
“Ya, Sarah. Tiket aku malam ni. Kau pula?”
‘Sarah? Jadi, nama pemilik tubuh ini ialah Sarah?’ Najwa seseolah dapat meneka.
“Sarah?” Kawannya memetik jari setelah dilihat dirinya mengelamun.
“Oh, aku esok pagi. Aku dah rindu mak dan adik aku. Tak sabar nak balik.” Najwa akui, perasaan tubuh wanita itu turut sama dirasai. Dia gembira dan mahu menangis dalam masa yang sama. Rindu pada kampung halaman. Sudah terbayang-bayang akannya sawah hijau terbentang.
“Aku pergi dulu, ya?”
“Ha... yalah. Hati-hati,” balas Najwa.
Sebaik sahaja kelibat kawannya itu menghilang, kaki pemilik tubuh yang ditumpangi Najwa melangkah masuk ke dalam rumah. Dia benar-benar menapak terus menuju ke bilik tidur yang turut menjadi biliknya dalam garis masa terkini.
Tidak banyak yang berubah dari segi susunan perabot. Tentu sekali kelihatan baru. Bauannya jua begitu. Dia digamit rasa untuk membuka laci meja belajar. Beberapa buku rujukan tersusun elok. Diselak-selak sehingga ke permukaan paling belakang.
Sampul coklat bersaiz A5. Dibelek-belek sejenak luarannya. Tebal isinya membuatkan dia gembira. Namun, saat terluah isinya, kegembiraan itu berkecai. Panik. Sedih. Harapannya hancur! Seharusnya isi sampul itu ialah wang hasil kerja sambilannya bukannya kepingan kertas A4 dipotong mengikut saiz wang! Terus terduduk dia dibuatnya. Air matanya menitik. Mulutnya terlopong besar seseolah tidak percaya.
“Tak mungkin… tak mungkin! Siapa yang curi duit aku?” Tiba-tiba terdetik bayangan makhluk berkepala botak berwarna hijau. “Tak… tak! Bukan! Toyol kalau nak curi wang… tak adanya nak tukar dengan kertas! Mesti orang dalam rumah ni juga!”
Najwa berdiri lalu mundar-mandir mencekak pinggang. Memikirkan tiap daripada rakan-rakan serumah yang boleh disyaki menjadi pencuri wangnya.
“Raudhah?” Menyebut sepotong nama rakan sebilik. Ya, seseorang yang menegurnya tadi. Sepantas kilat, pandangan terarah semula ke meja belajar. Dia mencari pula kepingan tiket pulang ke kampung yang disimpan rapi dalam dompet.
Kali ini, dia teresak-esak menangis. Tiket itu hilang! Terus terduduk. Menarik-narik rambut.
“Tak mungkin!”
Sedang melayani perasaan, berdenting masuk pesanan ke dalam telefon bimbit Nokia. Air mata dilap kasar dengan hujung baju. Saat dibaca pesanan itu, terasa dunianya benar-benar gelap!
“Sarah, aku minta maaf. Aku terpaksa mengambil tiket bas kau. Aku tak sempat beli tiket tempohari. Tahu-tahu tiket habis dijual.”
Pesanan daripada Raudhah itu memang benar membuatkan dia tergamam. Dia terkebil-kebil. Kawan yang kejam!
Belum sempat menghadam mesej pertama, masuk lagi pesanan lain, “Aku pinjam dulu duit kau dalam sampul. Aku nak beli ole-ole untuk balik kampung. Nanti balik dari cuti sem, aku ganti duit dan tiket kau.”
“Setan! Kawan makan kawan! Dah tu… aku nak balik macam mana? Entah ada ke tak duit aku yang tinggal lagi ni!” Jeritnya sekuat hati. Dia mencampak telefon bimbit ke dinding sehingga pecah berderai. Di situ, dia sambung menangis sambil memeluk lutut.
Sedar tidak sedar, masa terus berjalan. Apabila dia mendongak kepala, hari beransur siang. Dia terkejut. Cahaya matahari pagi sudah menyirami wajahnya. Pantas dia berlari ke tingkap memerhati suasana luar.
“Memang benar-benar siang!”
Entah macam mana, kakinya laju berlari keluar dari rumah untuk menuruni tangga. Sempat menyauk dompet di atas meja.
Semasa di ruangan bawah bangunan, sayu hatinya melihat para pelajar beriak ceria bersama beg masing-masing menuju arah luar pagar. Mereka mempunyai satu matlamat ~ pulang ke kampung. Dan dia… masih di sini dan barangkali tidak ke mana-mana. Jatuh air terbayang wajah ibu dan adik tersayang.
Dalam masa yang sama, dia sudah berhenti di depan pondok telefon. Dikorek-korek bahagian duit syiling dalam dompet. Dapatlah kira-kira dalam RM 2 jumlah semuanya. Dimasukkan beberapa keping syiling. Kemudian, mendail nombor telefon rumah di kampung. Air matanya tidak pernah berhenti mengalir.
“Helo…” suara talian sebelah kedengaran membuatkan dia menekup kuat mulutnya agar tidak ketahuan dirinya sedang menangis.
“Helo. Kakak ni.”
“Mak! Kakak call!” Mendengar itu, semakin lebat air matanya. Terlalu berkaca-kaca sampaikan tidak dapat melihat dengan jelas setiap imej di hadapan.
“Helo, kakak!”
“Mak…” sebak, tidak mampu menyambung ayat.
“Kamu sampai sini bila? Mak baru nak siap sediakan bahan masak. Tadi baru siap bubur kacang hijau kesukaan kamu. Sekejap lagi, mak nak masak siput sedut masak lemak cili api. Adik kamu baru siap bersihkan tadi.”
“Kakak…” sukarnya mahu mengatakan hal sebenar.
Dia tidak mahu meragut kegembiraan sang ibu. Dia harus mencari jalan untuk pulang ke rumah.
“Kenapa kakak? Ada masalah?” Suara emaknya sudah kebimbangan membuatkan dia turut sama susah hati.
“Tak ada, mak.” Lekas dia memberitahu walaupun sebaliknya sedang berlaku.
“Hati-hati dalam perjalanan.”
“Ba… baik.” Tepat-tepat dia mengungkap kata-kata itu, panggilan tamat akibat kekurangan syiling.