Najwa hanyut dengan kenangan lama watak wanita itu. Dia semakin terbiasa. Kini, dia berada di depan skrin komputer perpustakaan universiti. Hanya ada beberapa pelajar yang duduk santai sambil meluangkan masa menyiapkan kerja kursus. Dan dia? Dia membuka sebuah laman media sosial. Najwa terkagum sebentar. Macam dejavu dapat melihat media sosial kira-kira 10 tahun terbelakang secara nyata. Bola mata menari-nari melihat perkataan tertaip pada skrin carian media sosial. Nama pengguna seorang lelaki! Okey, apa kaitan dengan perempuan bernama Sarah?
‘Arif Kamal? Aku macam pernah kenal dengan nama tu. Aku lupa.’ Diam-diam Najwa menyimpan dalam ingatan.
Terpapar akaun pengguna yang ingin dicari. Lantas dibuka profil. Bagai mahu meletup jantungnya! Arif Kamal dan Raudhah bergambar berdua dengan kapsyen yang tersangat mengguris hati! Pakaian mereka sedondon seseolah sedang berada dalam suatu majlis penting. Berseri-seri wajah masing-masing. Dia sudah tidak sedap hati.
‘Pulang ke kampung untuk mengikatmu dengan tali pertunangan!’
Di situ juga dia mahu pengsan! Sebenarnya, dia sudah tidak tahu untuk berasa apa. Hatinya sudah hancur berkecai. Terdiam buat seketika. Tidak berkelip-kelip memandang foto paling menyampah dalam sejarah hidupnya! Benarkah itu bukan mimpi?
“Arif Kamal… kau dah melampau! Kata kau, akulah kekasihmu! Raudhah… kau pun sama! Biawak. Lidah bercabang. Nampak suci tapi berbisa!”
Najwa ikut sama emosi dengan si empunya badan. Dia mengetuk meja berulang kali. Pustakawan bertugas kebetulan masuk ke dalam bilik komputer, menegurnya agar tidak berbuat bising. Malangnya, teguran itu tidak disambut baik. Dia sengaja melanggar bahu pustakawan semasa keluar dari situ.
Mujur baki wang di akaun bank masih bersisa. Mungkin memang rezeki untuknya. Salah seorang rakan sekuliah tidak jadi pulang ke kampung. Tidaklah mereka berdua berasal dari tempat yang sama. Cumanya, destinasi perhentian tiket itu agak berhampiran dengan rumahnya. Bolehlah dia mencari pondok telefon, meminta adiknya mahupun pak ciknya mengambilnya di situ.
Semasa mengemas pakaian, dia digamit rasa ingin tahu untuk menyelongkar laci meja milik Raudhah. Terletak betul-betul bersebelahan meja belajarnya. Padanya, nampak biasa-biasa sahaja isi dalamannya sehinggalah dia terjumpa beberapa keping surat dan sampul yang dijadikan satu di dalam sebuah plastik jernih.
Surat daripada Arif Kamal kepada Raudhah! Berdasarkan kronologi tarikh, rupanya mereka telah berkasihan semenjak dari awal kemasukan! Macam mana boleh terjadi sedangkan dia dan lelaki itu memang pasangan kekasih? Raudhah perampas? Arif Kamal curang? Atau sebenarnya dia sendiri yang tertipu dengan lakonan hebat mereka?
Najwa membaca isi surat. Bagai mahu pecah jantungnya. Terus terduduk. Selama ini percintaan dia dengan Arif Kamal dusta belaka! Dia… atau lebih tepat Sarah dipergunakan demi membantu menyiapkan assignment! Betapa dia teringat, dia berjaga lewat malam hampir setiap hari untuk mengumpul bahan rujukan.
Tangga perpustakaan menjadi saksi dia mendakinya saban hari membawa buku-buku tebal yang semestinya berat benar! Maklumat terkumpul itu dikongsi bersama dengan lelaki itu.
Dalam erti kata lain, Arif Kamal hanya setia menanti bahan rujukan tanpa berusaha. Lelaki itu hanya terlihat seperti sedang berusaha walhal pelakon hebat yang selalu mengeluh sukarnya pelajaran di alam universiti!
Memang terasa dirinya bodoh selama ini percaya dengan sandiwara lelaki itu! Dalam surat itu, dia ditertawakan. Digelar badut berulang kali!
“Tak guna punya jantan! Aku tolong kau sampai tak cukup tidur! Aku tertekan. Belum campur lagi aku buat part-time kena marah bos. Kena marah lecturer sebab tertidur dalam kelas. Korang boleh buat aku macam ni! Memang bangsat!”
Najwa mengikut sahaja perbuatan empunya tubuh mengoyak kertas itu berkeping-keping! Dia menangis bersungguh-sungguh sehingga sukar bernafas. Tiba-tiba dia memegang dada. Sakitnya sukar digambarkan. Rasa macam mahu putus nyawa. Kepanikan hanya membuatkan dia semakin kurang oksigen. Dia rebah. Mulutnya terlopong. Mahu menjerit meminta tolong, suaranya tertahan. Pandangan matanya semakin kabur.
‘Aku… adakah hari ini hari terakhir aku?’ Najwa hairan, tega sekali hatinya terdetik sedemikian.
Akhirnya, matanya benar-benar terkatup dan nafasnya bagai terhenti.
“Najwa…” Mula-mula sayup-sayup kedengaran suara seseorang memanggilnya. “Najwa!” Kali ini lebih deras dan jelas.
Automatik Najwa terbuka mata seluas-luasnya. Langit hitam pekat tidak berbintang menjadi imej pertama yang berjaya singgah pada mata sebelum wajah Fatimah dan Manisah terjenguk-jenguk melihatnya.
Mereka membantu Najwa bangkit.
“Apa terjadi dekat aku?”
“Kau tiba-tiba terjatuh masa turun tangga tadi. Lepas tu kau pengsan. Mungkin akibat kesan hantukan,” beritahu Fatimah.
Najwa berasa pening-pening lalat. Cuba meraih memori terakhir sebelum sedar. Namun, memori asing milik seseorang masih segar dalam ingatan.
“Dah berapa lama aku pengsan?”
“5 ke 10 minit macam tu!’” Kata Fatimah.
“Aku rasa macam lama aku pengsan.”
Belum sempat mereka melanjutkan perbualan, rintik gerimis mulai membasahi mereka. Lama-lama bertukar deras. Mereka berlari-lari mencari tempat teduh. Namun, Najwa sempat menjenguk ke tingkat atas bangunan rumahnya. Bulu romanya tegak! Dia bagai terlihat seseorang dari tingkap rumah memerhati kelakuannya!