BAB 12
“Jadi, kau tak nak buat report polis ke Dija?”
Wajah Dija suram tanpa suara menjawab pertanyaan itu.
Marina menggeleng.
“Takkan kau nak biarkan saja perkara macam ni?” soal
Marina lagi.
“Yalah Dija. Baik Dija buat report polis. Boleh juga
pihak berkuasa membantu Dija. Takpun menyiasat perkara tersebut.” Kak Sal
menyampuk.
“Kata penyangak tu, kalau Dija buat report polis, dia
lagi cepat nak buat jahat dengan Dija,
kak...” kendur suara Dija.
“Dia ugut kau sampai macam tu sekali?” Marina kegeraman.
Dija mengangguk. “Aku ni perempuan. Kalau dia buat
betul-betul perkara tu, macamana? Tak ke kesian dengan mak ayah aku kat kampung sana?”
“Apa yang dia nak buat, Dija?” soal Kak Sal.
“Dia nak perkosa dan nak bunuh Dija, Kak Sal...” balas
Marina, pantas sebelum Dija sempat membuka mulut.
“Masya Allah...!” melopong Kak Sal bila mendengarkan
ungkapan itu. Sedikitpun dia tidak pernah menduganya. “Nak rogol dan nak
bunuh?”
Dija mengangguk lesu.
“Tulah pasal, Kak Sal. Dija teragak-agak jugak nak buat
laporan polis. Nanti, dia bertindak betul-betul terhadap Dija, macamana kak?”
soal Dija kecelaruan jelas terbayang di wajahnya. “Tak ke sedih mak ayah Dija
nanti.”
“Setan betul!”
“Ya Allah, selamatkanlah adikku ini daripada segala
bencara dunia dan akhirat. Peliharakanlah dia daripada kejahatan manusia dan
syaitan.” Kak Sal cepat-cepat menadah doa.
“Amin...!” Marina dan Dija mengaminkan serentak.
“Sekarang ni, aku nak tempat kerjapun susah, Rina.”
“Kau jangan risau. Aku boleh datang jemput dan hantar kau
untuk ke tempat kerja.” Balas Marina sambil matanya melekat ke wajah Dija.
“Betul tu, Dija. Biar Rina datang jemput dan hantarkan
Dija pulang. Kak Sal boleh pergi sendiri.” Sokong Kak Sal.
“Tapi, aku memang tak nak susahkan kau Rina.” Ujar Dija,
kendur.
“Hisyh, tak ada dalam kamus hidup aku, sahabat
menyusahkan sahabat sendiri. Kau tak usah nak risau sangat pasal tu. Aku akan
datang jemput dan hantar kau nanti.”
Dija diam seketika. Seperti memikirkan sesuatu.
“Dija, apa kata, kalau kita semua tinggal bersama?” tiba-tiba
Kak Sal mengeluarkan pendapat yang dirasakannya amat bernas.
Melopong mulut Dija. “Tinggal bersama?”
“Eh, ya tak ya, Dija. Kan bagus idea Kak Sal tu. Kenapa
dari duu kita tak fikirkan tentang ni? Kau tinggal aje dengan kami
bersama-sama. Ha, tentu kau selamat nanti. Taklah risaukan mamat penyangak tu
!” pantas pula Marina menyokong sebelum Dija sempat memberikan jawapannnya.
Dija buat muka. Dahinya berkerut-kerut.
“Ha, dah kenapa dengan kau ni Dija? Berkerut-kerut
macam nenek kedut seribu? Tak nak ke
tinggal dengan kita orang?” soal Marina bila dilihat wajah Dija seperti tidak
bersetuju.
“Aku....”
“Ha, cakap, kenapa?” desak Marina.
“Bukan Dija tak setuju, kak. Tapi...”
“Tapi, kenapa ni Dija?” soal Kak Sal tenang. Dia tidak
mahu mendesak Dija dengan cadangannya
itu.
“Bab kena tinggal bersama dengan Kak Sal dan Rina tu,
Dija kena fikir masak-masak. Dija...Dija...” tergagap-gagap Dija mencari
alasan.
“Eh, kenapa dengan kau ni Dija? Kenapa kau tak sanggup
nak tinggal dengan kami berdua?” soal Marina agak kurang puas hati.
“Sebenarnya, Dija memang tak boleh nak tinggal dengan Kak
Sal dan Rina buat masa sekarang ni.” ujar Dija.
“Eh, kenapa Dija? Apa masalah kau kalau tinggal dengan
kami berdua?”
“Kak Sal, Dija nak mintak maaf pasal tu. Dija memang tak
boleh nak tinggal bersama-sama dengan
Kak Sal berdua.”
“Tapi kenapa, Dija? Kau cakaplah kenapa?”
“Aku...aku...” Dija teragak-agak untuk bersuara.
Marina pula buat muka. Hairan dengan penolakan Dija.
“Aku tak boleh nak ceritakan apa sebabnya. Tapi, memang
tak boleh tinggal bersama kau.”
Kak Sal mengeluh. “Tak apalah, kalau Dija tak sanggup nak
tinggal dengan kami.”
“Dija bukan tak sanggup kak. Tapi...” kendur suara Dija.
Dia merenung kedua tangannya yang bersarung itu.
“Kenapa Dija?” suara Marina sedikit kendur.
Dija masih jua merenung kedua tangannya itu.
“Dija...” Kak Sal menepuk bahu Dija. “Ceritalah dengan
kami kalau Dija percayakan kami. Kak Sal dan Rina ni dah boleh dianggap seperti
saudara sendiri.”
“Sebenarnya, Dija ni ada penyakit, kak...” kendur lagi
suara Dija. Matanya mulai beralih ke wajah Kak Sal.
“Penyakit?” Marina dan Kak Sal bersuara serentak.
Dija mengangguk. “Tulah pasal, Dija kena pakai sarung
tangan dan sarung kaki ni kalau keluar rumah. Dija tak nak ada orang yang berjangkit dengan penyakit
Dija ni, kak.”
Marina dan Kak Sal saling berpandangan. Wajah kehairanan.
“Penyakit apa, Dija?” soal Marina, ingin tahu.
Dija menggeleng. “Aku sendiripun tak tahu. Doktorpun tak
tau nak cakap tentang penyakit aku ni. Setakat ni, dia orang mintak aku pakai
sarung tangan dan sarung kaki sebaik sahaja aku keluar dari rumah. Kalau tak,
bukan setakat aku yang bahay, malah boleh membahayakan orang lain jugak.”
Terang Dija. “Kalau dah pakai sarung-sarung ni, semua orang boleh selamat. Aku
selamat, teman-teman selamat malah sesiapa saja akan selamat.”
Marina dan Kak Sal sekali lagi saling berpandangan.
“Tulah sebabnya Dija kena tinggal sorang. Dija tak nak ada orang lain yang susah kerana Dija.
Dija tak nak orang lain dapat penyakit macam ni, kak.”
“Penyakit apa sebenarnya Dija?” soal Kak Sal sekali lagi.
Inginkan kepastian.
“Penyakit misteri, kak.”
“Penyakit misteri?”
Dija mengangguk.
“Sebab doktor
sendiripun tak boleh nak kesan apa penyakitnya. Sekarang ni Dija masih dalam rawatan. Tulah pasal Dija
nak jugak kerja kat Kuala Lumpur ni. Senang nak dapatkan rawatan daripada
doktor. Kat sini, ramai pakarnya. Kalau Dija tinggal kat kampung nak kena
datang jugak ke mari.” Balas Dija.
Kak Sal dan Marina nampak lebih bersimpati terhadap Dija.
“Kata doktor, kalau Dija pakai sarung tangan dan sarung
kaki macam ni, memang penyakit tu takkan berjangkit. Sebab tulah Dija selalu
pakai benda Allah ni , kak.” Ujar Dija.
Keduanya saling mengangguk.
“Bukan setakat kat tangan dan kaki, kak. Seluruh badan
Dija kena tutup. Kalau tak memang bahaya.” Terang Dija lagi.
“Tak boleh sembuh ke Dija?” soal Marina.
“Nilah aku tengah dapatkan rawatan daripada pakar kat
KL ni, Rina. Kata doktr tu, akan sembuh
jugak. Tunggu waktu dan ketikanya.” Jawab Dija.
“Ohhh, patutlah kau selalu macam ni.” Marina
mengangguk-angguk beberapa kali.
Dija mengangguk.
“Dulu, aku tak berani nak cakap pada kau dan Kak Sal.
Takut-takut kalau kau orang berdua tak nak kawan dengan aku lagi. Aku tak nak kehilangan kawan.” Sedih suara Dija.
“Dija...” Kak Sal meletakkan tangan di atas bahu Dija.
“Janganlah Dija risaukan hal tu. Kak Sal tak kisah walau apapun sakit Dija, Kak
Sal tetap akan teruskan ikatan persahabatan ni sampai bila-bila. Malah, Kak Sal
nak anggap Dija ni macam adik Kak Sal sendiri. Tak nak sebagai orang lain.”
“Akupun sama, Dija. Walaupun sekejap kenal dengan kau,
tapi aku dah rasa sayang sangat dengan kau. Lebih daripada kawan dah kau ni
bagi aku. Mungkin jugak macam Kak Sal cakap. Macam adik beradik.’
Dija mengangkat wajah. Ada setitis dua air jernih
tergenang di birai mata.
“Terima kasih Kak Sal. Terima kasih Rina. Akupun dah lama
rasakan perkara ni. Kak Sal macam kakak sendiri. Kau macam adik beradik sendiri.”
Kak Sal dan Marina mengangguk.
“Tapi, Dija minta sangat-sangat agar penyakit ini
dirahsiakan daripada semua teman sekerja dan juga orang lain, Kak Sal. Dija
malu. Dija takut jugak kalau kena buang kerja.”
“Kami janji takkan pecahkan rahsia ni, Dija.” Janji Kak
Sal.
“Aku janji jugak, Dija. Takkan bagitau sesiapapun.”
“Kata doktor, aku masih boleh bergaul dengan semua orang.
Syaratnya, mesti bersarung tangan dan bersarung kaki. Lagipun, doktor sedang
bagi rawatan intensif. Lama-lama nanti, penyakit ni boleh baik. Cuma tengok
waktu dan keadaan. Kalau dah baik nanti, aku nak tinggal dengan kau orang,
boleh tak?”
“Ohhhh, mestilah boleh dik...” jawab Kak Sal sambil
tersenyum.
“Boleh...memang boleh...” Marina pula bersuara senang.
“Terima kasih.”