Home Novel Fantasi Kaisenjyo
Trivia

Hai semua, izinkan aku menyibuk di sini untuk menerangkan sedikit sebanyak misteri di sebalik perkara-perkara yang aku terapkan dalam novel Kaisenjyo ini. Harap dengan semua trivia ini pembacaan kalian akan jadi lebih menarik dan kalian terdorong untuk mengkaji sendiri kelak (harapnyalah).

Disebabkan Kaisenjyo adalah karya fiksyen maka aku telah mereka-reka banyak perkara. Jadi untuk mengelakkan dari dituduh memutarbelit fakta dan sejarah, aku kongsikan perkara-perkara tersebut di bawah (aku ada sentuh juga di bahagian prolog novel ini semua yang aku kelentong, jadi mungkin ada yang berulang di sini):


Furukawa – pekan ini digarap berdasarkan sebuah pekan kecil bernama Hida-Furukawa, terletak dalam Wilayah Gifu di Jepun. Aku tak pernah sampai ke sini (walaupun pernah naik tren JR Central merentas Gifu), jadi banyak elemen yang aku tokok tentang Furukawa.

 

Wilayah Gizen/ Shinagawa – berdasarkan wilayah Nagano sekarang. Aku ada sebut berkenaan onsen yang dilawati Kobato yang ada monyet salji itu. Ya, onsen itu (jigokudani) memang wujud dalam wilayah Nagano dan saban musim sejuk monyet muka merah ini akan turun berpesta dalam onsen di situ.

 

Wilayah Jooryoku/ Hidagawa – berdasarkan wilayah Gifu/ Hida (nama lama). Wilayah Gifu ini memang bergunung-ganang dan populasinya rendah.

 

Okuhida – Okuhida ialah nama satu lembah onsen yang terletak dalam wilayah Gifu. Aku gunakan nama ini sebagai nama keluarga Ryouji dan Hisamiko

 

Wilayah Kodama/ Yozehama – berdasarkan wilayah Toyama dan Niigata.

 

Wabak Taun Yozehama – wabak ini hanyalah dongengan dan aku sandarkan pada wabak hampir sama yang melanda penduduk Toyama sekitar awal abad ke-20, di mana sungai mereka dicemari bahan toksik dari perlombongan kadmium oleh syarikat Mitsui. Penduduk yang menggunakan air sungai itu diserang penyakit itai-itai, iaitu sejenis penyakit kulit disebabkan toksik itu.

 

Shogun Tetsugawa – berdasarkan Shogun Tokugawa yang pernah memerintah Jepun (menggunakan mandat Maharaja) selama dua ratus tahun dan memaksa dasar tutup pintu (sakoku).

 

Saisho Takanori – berdasarkan ‘samurai terakhir’ Saigo Takamori (bukan Tom Cruise ya!)

 

Shirasaka-no-kogen – lembah misteri ini aku garap berdasarkan satu tempat yang amat cantik di Switzerland bernama Lauterbrunnen dan juga satu tempat yang cantik di Jepun bernama Shirakawa-go (rumah-rumah bumbung jerami di sini menjadi prop untuk Shirasaka-no-Kogen).

 

Inotani – secara bahasanya bermaksud ‘lembah babi’. Inotani ini memang wujud namun ia hanyalah sebuah stesen tren di sempadan wilayah Gifu. Kalau kalian ambil tren JR West dari bandar Toyama ke Takayama, kalian perlu menukar tren di stesen Inotani sebelum meneruskan perjalanan dengan tren JR Central ke bandar Takayama di celah pergunungan Gifu. Cantik dengan hijau pokok-pokok dan gunung-ganang keliling beserta sungai yang jernih, dan cuaca sejuk, walaupun tengah-tengah musim panas.

 

Kawamoto  - berdasarkan satu tempat di Nagano bernama Matsumoto.

 

Daimyo Hamada – Watak ini sepenuhnya fiksyen. Watak daimyo jahat ini memang ada macam Ular Mino (Google sendiri Viper of Mino). Dalam sejarah memang ada pemimpin yang lakukan massacre atau pembunuhan besar-besaran terhadap penduduk kawasannya sendiri atas macam-macam alasan (penghapusan wabak, pembasmian etnik).

 

Kisennuma, Nambashi, Yokuma – antara tempat-tempat yang tak ada rujukan sebenar, yang aku sintesis sendiri dalam kepala.

 

Kesimpulannya, bolehlah dikatakan Jepun dalam novel aku ini adalah Jepun versi aku. Kalau nak tahu versi sebenar, bolehlah kaji sendiri berdasarkan trivia-trivia di atas. Selamat mengkaji!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh meddmenov