3 Disember 2012
12.00 Tengahari.
Kolej Kediaman Siswi.
Laporan : Seorang siswi Semester 3 dilaporkan dibunuh.
Gempar!
Pembunuhan seorang gadis dengan cara yang begitu mengerikan cukup memeranjatkan
warga kolej kediaman Blok B pada senja yang hening itu. Tapi, benarkah ini
perbuatan mereka yang layak digelar manusia? Tidak ada walau secebis belaskah
pembunuh berkenaan? Wajah mulus milik seorang gadis cantik disiat-siat halus
dengan menggunakan belati yang masih belum diketahui jenisnya. Beberapa orang
penuntut perempuan sudah teresak-esak menekup mulut. Tidak sanggup sekali
menyaksikan insiden berkenaan. Pada tubuh wanita berkenaan, terdapat
kesan-kesan lebam seolah-olah didera namun, tiada kesan tikaman. Namun, apa
yang paling perit untuk disaksikan adalah keadaan gadis tersebut yang kian lama
kian berubah fiziknya. Wajahnya, tubuhnya kian menyusut. Menyusut akibat kehilangan
air. Akibat dehidrasi! Sekali imbas, mayat seolah-olah sudah berusia 70-an. Hanya
tinggal rangka dan kulit semata-mata. Keji! Perbuatan siapakah? Ahli bedah
forensik sudah lama tiba di tempat kejadian. Pembunuh bukan calang-calang
orang! Intelektualnya begitu kreatif, melakukan pembunuhan dengan begitu licik
sekali, sehinggakan tidak akan pernah sesekali tercapai dek akal penuntut lain.
“Pembunuh
orang gila agaknya”
“Tak!
Masakan orang gila begitu cerdik! Dia psiko!”
“Sudah klise
bukan? Pembunuhan dengan cara kejam, pembunuh hanya inginkan perhatian.
Dambakan populariti! Seolah-oleh semakin kejam cara pembunuhannya, semakin
hebat dirinya. Salahkan sahaja mereka-mereka yang menggalakkan manusia
berinovatif! Nah, inilah hasilnya!”
Tohmahan
demi tohmahan dilemparkan oleh mereka-mereka yang menyaksikannya. Tidak
mengapa! Bukan mereka yang berada di tempat mangsa. Lalu, untuk apa mereka cuba
mengerti? Siren polis masih jua kedengaran. Seorang lelaki hanya memandang dari
jauh, semakin lama matanya semakin kabur. Setitik demi setitik air matanya
jatuh jua.
“Ku ingin
engkau menjadi milikku,
Aku akan mencintaimu..menjagamu selama hidupku,
Dan aku kan berjanji hanya kaulah yang ku sayangi,
Ku akan setia di sini.. Menemani..” Lagu ‘Ku Ingin Kamu’ dendangan Romance Band meniti perlahan-lahan di bibirnya.
7 Mac 2012
Kamarul Azam menukar-nukar siaran radio
beberapa kali. Ah! Bosan betul! Dirasakan tiada satu lagu pun yang bisa
menghiburkannya ketika ini. Laporan mengenai eksperimen yang dikendalikan oleh
Dr. Lily masih jua belum disentuhnya. Esaimen apatah lagi. Nah! Padan muka dia.
Siapa suruh bergelar siswa Fakuti Sains? Terpaksalah berhadapan dengan rutin
harian bergelar pelajar. Sudah nasib agaknya! Dia mengeluh-ngeluh sendiri.
“Rul,siapkan assignment aku eh?” Satu suara garau menyergahnya dari belakang. Kamarul Azam
terpinga-pinga seketika. Dilihatnya dari belakang, Hashim sudah
tersengih-sengih bagaikan kerang busuk.
“Ala, tapi assignment aku pun tak siap lagi lah, Hashim.” Dia membetul-betulkan cermin
matanya yang jatuh ke tulang hidung yang paling atas. Mata empat! Itu gelaran
mereka kepadanya. Namun, dia tidak kuasa melayan mereka. Lambat-laun, mereka
akan diam juga. Begitulah fikirnya. Lagi pula, bagaimana dia mampu melihat
tanpa bantuan benda alah tersebut. Hisham mencerlungnya tajam. Dia malas
membalasnya. Mahu tidak mahu, dia bersetuju sahaja. mungkin ramai akan
mengatakan dia seorang yang lemah, masakan mempertahankan diri sendiri sahaja
sudah tidak mampu? Tapi, dia tidak kisah, dia percaya pada karma. Perbuatan
baik akan dibalas baik,begitulah sebaliknya. Hashim tersengih-sengih lagi.
Menonong-nonong sahaja langkahnya bergerak menghampiri pintu sambil
bersiul-siul. Badrul Azam memandangnya sekilas sahaja. Itu pun, tidak lama
sebelum dia membuang pandangannya jauh ke luar jendela.
Sunyi!
Langit tampaknya seakan-akan begitu sunyi seredup pandangannya. Hanya sesekali
diliputi awan-awan putih yang menjengah namun, berlalu pada kesudahannya.
Memang begitu aturannya, mahu tidak mahu manusia perlu pasrah menerima hakikat,
hakikat bahawa tiada apa yang akan kekal. Hakikat bahawa lambat-laun akan
ditinggalkan jua. Namun, pasrahkah dia? Tidak! Ini tidak adil! Tidak harus
berlaku kepadanya. Sekurang-kurangnya bukan dia.
Sesekali
mengeluh, firman Allah dalam Surah al-Baqarah ayat 216 : "Boleh jadi kamu
membenci sesuatu padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi pula kamu menyukai
sesuatu , padahal ia amat buruk bagimu . Allah mengetahui sedang kamu tidak
mengetahui" menjengah . Allahu Akbar! Astaghfirullah! Dia tidak sepatutnya
memepersoalkan takdir. Allah pasti sudah mengatur satu kisah hidup yang paling
baik untuknya. Ustaz Zamri pernah berpesan, redha dengan apa yang Allah telah
tentukan untuk meraih redha Allah. Ustaz Zamri baik orangnya, tidak pernah
lekang dari memberi nasihat dan tunjuk ajar padanya. Dirinya diasuh dan dididik
dengan penuh ilmu agama, untuk bekalan akhirat, pesan Ustaz Zamri.
Kamarul Azam
perlahan-lahan membuka suis yang terletak bersebelahan dengan meja belajarnya.
Dia membuka perisian Microsoft Word. Sesekali menongkat dagu dan mula
menaip-naip sesuatu.
12 Disember 2012
Ketukan
bertalu-talu dari luar membuatkan Kamarul Azam bangkit dari tempat tidurnya,
katil bujang bercadarkan kain cotton berwarna biru. Dia terpisat-pisat sebelum
melangkah menghampiri pintu. Sebaik sahaja pintu bilik kolej kediamannya
terkuak, dua orang anggota polis lengkap beruniform, meluru ke arahnya. Kamarul
Azam sedikit terpinga-pinga sebelum tangannya digari.
“Ikut kami
ke balai..” Gesa salah seorang dari anggota polis berkenaan. Kamarul Azam akur
meskipun seribu satu persoalan tanpa jawapan mulai perlahan-lahan menerjah.
Tanpa segan silu menerobos hingga ke sel-sel otak yang tidak tercapai dek
akalnya untuk berfikir. Jujur, dia tidak
tahu mengapa dan apa kesalahan yang sudah dia lakukan. Ya Allah, bermimpikah
dia? Pandangannya kabur-kabur sahaja tatkala dibawa keluar. Mana tidaknya, dia
tidak sempat pun mencapai cermin mata miliknya di atas meja. Dia hanya
mendengar-dengar bunyi suara yang tidak begitu jelas butir percakapannya.
Sinaran flash kamera sekejap-kejap
mengenai anak matanya. Wajahnya ditundukkan. Tidak mampu menahan sinaran flash tersebut tanpa bantuan cermin
matanya.
“Encik,
benarkah ini pembunuh yang telah disabitkan dengan kesalahan membunuh seorang
siswi yang bernama Siti Shuhada Binti Aziz? Wajahnya tidak kelihatan seperti
seorang pembunuh.” Komen salah seorang wartawan seraya mengaju soalan ke arah
salah seorang aggota polis yang bertugas.
“Buat masa
sekarang, pihak kami masih menyiasat. Mohon beri laluan.” Anggota polis yang
berpangkat koperal tersebut menjawab. Kamarul Azam sedikit tersentak. Riak
wajahnya benar-benar terperanjat. ‘Ya Rabb, bala apakah ini? Shu.. Shu… siapa
yang sanggup buat macam tu pada Shu? Kau dah tak ada, Shu? Shu.. Tak mungkin,’
hatinya merintih perlahan. Seingatnya, sudah lama benar dia tidak berjumpa
dengan gadis berkenaan. Ya, sejak kebenaran mengenai sesuatu sampai ke
pengetahuannya. Kalau diikutkan, hampir sahaja dia terjelepok menerima berita
tersebut. Namun, dia masih jua menggagahkan dirinya. Sedaya upaya dikuatkan
kudratnya yang masih bersisa. Untuk seketika, dia tidak dapat menerima hakikat.
Masakan! Masakan Syu pergi pada usia yang begitu muda? Ah, bukankah ajal dan
maut, semuanya urusan yang berada luar dari jangkaan manusia? Tapi, nanti! Siti
Shuhada dibunuh? Angkara siapa? Dan kini, adakah dia kambing hitam?
Langkahnya
menuntuni langkah anggota-anggota polis yang lain menuju ke kereta yang
sirennya masih menyala tatkala diasak-asak dari belakang. Segala-galanya berlaku begitu pantas sekali,
terlalu pantas sehinggakan dia tidak mampu berbuat apa-apa!
31 Mac 2012
“Andai
sahaja bisa hati menuturkan kata-kata yang paling indah, takkan pernah sesekali
terzahir dek perkataan betapa indahnya pekertimu yang menggugat kedamaian jiwa
ini..” Meluncur ayat tersebut satu persatu, umpama syair indah yang menyapa
gegendang telinga Kamarul Azam. Dia senang sekali, hatinya berbunga-bunga
indah. Dia kemudian menatap wajah Siti Shuhada yang merupakan salah seorang
pelajar Fakulti Pengajian Bahasa di Universiti tersebut.
“Ah, ada-ada
sahaja kamu, Shu.. Aku tidak seperti yang kamu gambarkan. Bahkan, kamu yang
tidak mampu melihat kekurangan pada diri aku. Hakikatnya, aku bukan sepertimu,
kasturi yang sentiasa mengharum, menebarkan ketenangan. Kalau benar sekalipun,
gandinganku hanya layak pada bunga tahi ayam sahaja.” Ujar Kamarul Azam
membuatkan gadis genit tersebut mengekek kecil. Sesekali, orang-orang lain yang
lalu-lalang menjeling ke arah kejelitaan gadis berkenaan. Kamarul Azam perasan
sekali akan hal itu. Bohong kalau tidak tercuit walau sedikit rasa cemburu yang
kian bercambah di dasar hatinya.
“Aku bukan
tidak melihat pada kekuranganmu, cuma kamu yang tidak pernah sedar akan
kelebihanmu. Bunga tahi ayam, meskipun berbau kurang menyenangkan, rupanya molek. Malah,
moleknya mungkin sahaja bisa mengalahkan kasturi. Benar bukan, Zam?” Siti Shuhada berhujah
pintar, meggunakan segala kemahirannya dalam menggubah bahasa. Kamarul Azam
tergeleng-geleng. Untuk berbahas, nyata sesekali dia tidak akan pernah dan
mampu menang. Siti Shuhada terlalu bijak mengatur hujah-hujahnya. Dia lain, dia
miliki kelebihan yang bukan semua wanita milikinya. Kelebihan yang mampu
membuatkan seorang lelaki cair, ditambah dengan kejelitaannya yang begitu
memukau. Kalau tidak, Siti Shuhada tidak akan menjadi gadis rebutan. Cuma,
gadis tersebut sahaja yang jual mahal. Memilih kaca jika dibandingkan dengan
permata. Begitulah yang sesekali terlintas di benak Kamarul Azam.
“ Shu..kalau
sahaja aku pintal segala rasa-rasaku menjadi untaian sajak, nescaya takkan
pernah habis helaian-helaiannya, nescaya tinta akan kering jua pada
penghujungnya. Aku berasa terlalu beruntung mengenalimu, Syu. Bahkan, aku
merasakan aku adalah jejaka yang paling bertuah, kerana kau lebih memilih
diriku. Cuma, aku sangsi sekali, sangsi dengan dirimu, Syu..” Kamarul Azam
melepaskan satu keluhan. Siti Shuhada berkerut-kerut menerima pengucapan lelaki
tersebut.
“Sangsi?
Kenapa? Aku berbuat silapkah, Zam? Katakan sahaja, apa kamu tidak berkenan
padaku? Apa aku tidak layak untukmu Zam? Atau, kau sendiri sudah punya sang
bunga yang bertakhta di hatimu sekian lama, dan aku hanyalah perlabuhan yang
lambat laun akan ditinggalkan kesepian oleh sang peraih kapal? Begitukah Zam?”
Begitu sayu sekali nada suaranya. Riak wajahnya juga berubah kelat. Kamarul
Azam tersenyum.
“Tidak, Syu!
Cuma, aku bukan siapa-siapa. Kau berhak mendapat seseorang yang jauh lebih baik
dariku. Aku takut, aku takut seandainya setelah aku curahkan segala rasa
padamu, kau meninggalkan aku jua Syu, atas alasan aku tidak memiliki
kesempurnaan yang kau cari..” Kamarul Azam menjelaskan. Kali ini, Siti Shuhada
menghela nafas.
“Zam, aku
tidak mencari kesempurnaan. Aku mencari nakhoda untuk melayarkan bahtera, yang
mampu membimbing, menjadi ketua dengan segala buah-buah fikirannya, yang aku
yakin aku mampu. Andai kesempurnaan yang aku cari, nescaya tenggelamlah
bahteraku lantaran aku tidak akan pernah menemuinya sampai kiamat sekalipun.
Aku sudah memilihmu, dan aku akan meyakinkanmu dengan kesetiaanku. Belum
cukupkah Zam?” kali ini Kamarul Azam terdiam seketika. Merenung jauh ke
hadapan.
“Boleh kau
berjanji, Syu? Yang kau takkan pernah tinggalkan aku?” Siti Shuhada tertawa.
Sesekali, dia mengerling ke arah Kamarul Azam.
“Mohamad
Kamarul Azam, saya berjanji akan sentiasa menemani awak dalam setiap langkah
yang saya atur, dalam setiap nafas yang saya hela dan dalam setiap nadi yang
berdenyut. Tidak akan pernah saya meninggalkan awak sendirian sebab cinta
saya…”dia berhenti seketika. Jari jemarinya menjamah pepasiran pantai tempat
mereka berteleku, mengembil segenggam pasir dan melepaskan ke udara.
“..umpama
pepasir ni.. Tidak akan pernah terbilang.” Dia tersenyum. Kamarul Azam mulai
merasa matanya sudah berkaca-kaca namun, cepat-cepat dia menyembunyikannya. Dia
berdiri.
“Kalau
begitu Syu, cinta saya seluas lautan ni, tak ada penghujungnya dan tidak
bertepi. Sentiasa mengalir deras tanpa henti, dan sentiasa menjadi peneman
kepada pepasiran. Pepasiran… kamu tidak kesunyian.” Dia berteriak. Kemudian,
mereka sama-sama tergelak mesra. Cuaca cerah, secerah cinta mereka..
15 Disember 2012
“Encik,
mungkin ada kesilapan. Tak mungkin saya melakukan kesalahan di bawah Seksyen
364 Kanun Keseksaan dengan sabit kesalahan menculik untuk tujuan membunuh. Saya
masih waras. Lagipun, gadis yang terbunuh tu..dia..dia gadis yang paling saya
cintai segenap jiwa dan raga saya.” Kamarul Azam bersuara sayu saat dia disoal.
Itu pun setelah ditahan di dalam sel selama 3 hari. Anggota polis yang
menyoalnya merenungnya tajam. Tubuhnya ditopang dengan meletakkan kedua-dua
belah tangan di atas meja. Ahli pakar psikologi yang berada di sisi anggota
polis berkenaan hanya diam sahaja. dia memerhati. Cuba mencari tingkahlaku
kalau-kalau apa yang dipaparkan oleh Kamarul Azam adalah lakonan semata-mata.
Dia sudah lama dalam bidang ini. Dia tahu persis kalau-kalau pesalah cuba untuk
berbohong. Malah, dia juga mahir untuk menggunakan kaedah psycho untuk membuatkan seseorang pesalah itu mengaku.
“Ehem..”
pakar psikologi itu berdehem. Dia duduk dengan tenang, berhadapan dengan
Kamarul Azam. Sesekali memerhati kalau-kalau tangannya berpeluh, atau kedudukan
bola mata Kamarul Azam berubah-ubah atau dia cuba mengubah kenyataan dan aliby, dia akan menggunakan kaedah probability untuk mengesan mana-mana
tingkahlaku yang dirasakan mampu untuk menyabitkan pesalah dengan jenayah yang
telah dilakukan olehnya. Tetapi, Kamarul Azam,dia tidak ada tanda-tanda
tersebut.
“Saya
dengar, awak berkrisis dengan mangsa, benar bukan?” soalnya. Kamarul Azam
tunduk. Terasa perit menusuk ke hulu hatinya. Ada sesuatu yang dirasakan
menikam-nikam perasaannya. Soalan tersebut benar-benar membunuh jiwanya yang
sudah lama mati.
“Benar!”
ujarnya sepatah.
“Kenapa?”
“Mungkin
jodoh kami tak ada.”
“Dia
tinggalkan awak untuk lelaki lain?”
“Cukup! Saya
tidak mahu mengenanginya.”
“Lantas,
awak membunuhnya?” Kamarul Azam mengangkat wajahnya.
“Tidak! Saya
sudah lama memaafkannya, saya percaya dengan Qada’ dan Qadha. Saya orang Islam, saya percaya dengan ketentuan takdir. Apa yang berlaku, sudah menjadi aturan
Allah dan saya tidak berhak menyoal. Lagipun, saya bahagia melihat dia
bahagia.”
“Tapi, dia
tidak berhak menyeksa kamu. Mempermain-mainkan perasaan kamu.”
Diam.
Kamarul Azam diam, dia merenung jauh. Seolah-oleh berlaku satu renjatan
elektrik, dia diam.
“Hidup
mempermainkan kamu dengan kejam. Hidup telah menyeksa kamu. Dan perempuan itu,
dia ragut kebahagiaan kamu, dia berpura-pura pada kamu. Dia berhak dibunuh! Dia
patut merasakan sakit yang kamu rasakan!” Semakin rancak pakar psikologi
tersebut melancarkan jeratnya tatkala melihat Kamarul Azam mula memberi reaksi
positif.
“ Ya.. dia
berhak dibunuh. Dia patut merasakan sakit yang Kamarul Azam rasakan..” Kali
ini, umpama dipukau, Kamarul Azam mengulangi semula ayat yang diucapkan oleh
pakar psikologi tersebut.
“Jadi
Kamarul Azam telah membunuhnya?”
“Haha..
Padan muka kau betina! Tu semua salah kau, jangan salahkan aku. Aku takkan
bunuh kau kalau kau tak bunuh aku dulu, kalau kau tak bunuh jiwa aku..” kali
ini, masing-masing terperanjat, Kamarul Azam sudah berubah seratus peratus
menjadi orang lain kini. Mereka sebenarnya sudah yakin bahawa mereka tersalah
menahan orang. Mereka baru sahaja yakin bahawa Kamarul Azam bukan pembunuhnya.
Tapi kini, apa sudah jadi? Kenapa sebenarnya?
31 November 2012
“Tolong..Tolong!
Lepaskan saya! Saya merayu, encik.” Siti Shuhada merayu pada seorang lelaki
yang berpakaian hitam, dengan memakai topeng muka berwarna hitam juga. Lelaki
tersebut hanya diam, pada tangannya terdapat sebilah pisau belati yang
dilekatkan pada wajah wanita berkenaan.
# Untuk mengetahui kesudahan kisah ini, pembaca boleh mendapatkan 'Antologi Jiwa Kacau di pasaran