AKU ANAK PENEROKA FELDA
Aku bersiap-siap selepas sarapan pagi di suatu hari untuk
mengikut ayah ke ladang kelapa sawit. Hari itu aku berasa teruja untuk ikut
bagi melihat dan merasai sendiri rutin ayah sebagai peneroka Felda. Ayah
menaiki motosikal jenis Honda lama yang seringkali juga semput kerana sudah ‘uzur’.
Bahagian ladang ayah berada di hujung peringkat 2 Felda Ulu
Belitong dan terdapat sebatang anak sungai buat ayah mengisi masa untuk rehat.
Setiap kali ayah menarik jatuh buah sawit menggunakan sabit panjang
berbatangkan buluh, aku akan bersedia juga untuk mengutip biji-biji sawit yang
berselerak di kawasan berhampiran. Sungguh, kulihat keringat yang mengalir keluar
di dahi ayah sebagai titisan berlian yang sangat berharga bagi kami sekeluarga.
Kami pulang setelah matahari telah terik di atas kepala kami.
Itu pengalaman lebih kurang 20 tahun yang lalu. Hari ini aku
bangga menjadi anak peneroka Felda. Membesar dengan hasil sawit yang turun
naik, mengajar aku erti untuk tidak putus asa dalam meneroka kehidupan
mendatang.
“Belajar rajin-rajin supaya tidak hidup susah macam ayah dan
emak,” pesan emak pada suatu hari sebelum ke sekolah. Emak dilahirkan setahun
sebelum negara mencapai kemerdekaan dan hanya mendapat pendidikan sehingga
darjah enam.
“Cakap dengan cikgu, bayaran yuran tangguh lagi bulan ini.”
Ayah memberitahu dalam nada yang sayu. Jelas terpancar dari riak wajah ayah
kegusaran hatinya kerana tidak cukup wang untuk membiayai pendidikan kami 10
beradik ketika itu.
Aku senyap. Sebagai anak peneroka, aku faham keperitan
mencari sesuap nasi apatah lagi untuk mendapat pendidikan yang berbayar. Jika
ada rombongan, pasti aku senyap kerana aku tahu tahap kewangan keluarga. Maka
aku hanya mendengar sahaja kawan-kawan bercerita perasaan seronok mereka dapat
mengikuti rombongan.
Di sekolah, para guru sudah maklum tentang kami beberapa
beradik yang selalu bertangguh yuran bulanan persekolahan. Tapi, mereka tidak
memaksa kami, kerana sudah faham kondisi kewangan kami sekeluarga. Apatah lagi,
kami selalu mencapai keputusan yang baik setiap kali peperiksaan. Ini cukup
bagi mereka memberi ihsan kepada kami meneruskan persekolahan.
Ayah melakukan pelbagai kerja sambilan lain seperti operator
kilang dan pengawal keselamatan bagi membiayai makan pakai kami sekeluarga.
Emak turut bekerja kilang bagi membantu ayah mencukupkan keperluan.
“Suatu hari aku akan berjaya dan buat emak ayah berbangga
denganku.” Bisik hatiku di suatu malam ketika melihat kelibat ayah yang
menyambut emak pulang pada jam 2 pagi selepas habis syif malam.
Keputusan SPM dumumkan dan aku mendapat keputusan yang
memuaskan dan layak untuk melanjutkan pelajaran ke IPTA. Emak dan ayah gembira
lalu membelanja ‘burger’ yang ketika itu pun kukira mahal. Tapi itu cukup
memberi memori yang kukuh tersemat dalam sanubari.
Aku bekerja sebagai operator di sebuah kilang di Kulai
sementara menunggu panggilan UPU. Upahnya kuguna untuk menampung perbelanjaan
melanjutkan pelajaran dan memberi sedikit kepada emak ayah. Aku puas.
Setelah berjuang selama beberapa tahun di Universiti Islam
Antarabangsa Malaysia, aku berjaya menamatkan pengajian dengan kedudukan yang
baik. Aku melakukan pelbagai kerja seperti pengasuh di taska dan sukarelawan di
Rumah Perlindungan Wanita Islam sebelum menjadi pendidik di sebuah kolej swasta
di Port Dickson dan membina kehidupan bekeluarga di sini.
“ Orang kampung pernah buat rombongan ke Port Dickson, tapi
baru hari ini ada kesempatan tengok pantai di sekitar Port Dickson. Dulu-dulu
nak ikut tak ada duit” Jelas ayah ketika adikku bawa emak ayah jalan-jalan di
Port Dickson.
Terima kasih ayah dan emak berhempas pulas membesarkan kami,
meredah hujan, mengikat perut bagi melunaskan kewajipan terbaik sebagai seorang
ibubapa. Kamulah hero kami sekeluarga sehingga anak-anakmu berjaya melakar
kehidupan yang terbaik.
Kesusahan yang dilalui oleh kalian tidak memusnahkan impian
anak-anak untuk mendapat pendidikan dunia dan akhirat. Hasil keberkatan titik
peluh kalian, kami membesar menjadi manusia.
“Ayah jangan susah hati lagi. Insya-Allah ayah sudah berjaya
menjadi ayah terbaik. Semua anak-anak ayah dah berjaya masuk universiti dan
sekolah tahfiz. Kami dapat menunaikan impian ayah menjejakkan kaki ke Tanah
Suci untuk menunaikan umrah. Kami akan selalu mendoakan ayah. Insya-Allah.”
Kata kakakku menenangkan ayah yang jatuh sakit. Aku pandang sepi. Kelihatan
kuat, tapi sakitnya dada menahan sebak.
Kini, ayah telah pergi ke pangkuan Ilahi meninggalkan harta ‘anak-anaknya’
yang pasti mendoakan kesejahteraan ayah di sana. Insya-Allah. Aku bangga
menjadi anak peneroka Felda kerana melaluinya aku kenal erti ketabahan,
kepercayaan, kekeluargaan dan kepentingan pendidikan walaupun miskin.
P/S: Al-Fatihah kepada Almarhum Mohd Tap bin Hason.
Peneroka Felda Ulu Belitong, Kluang, Johor.