Sepatutnya
malam itu akan ada gerhana bulan. Cicak yang lalu lalang selang beberapa saat
itu tiba-tiba jatuh ke atas meja warna perak berkilat. Lalu, lamunan yang sudah
jauh ke tanah seberang itu pecah. Kelepek. Cicak seekor itu berjalan laju,
meninggalkan ekornya yang masih terloncat-loncat. Dengan malas, jari diangkat
menjentik ekor itu ke bawah meja. Esok sahajalah disapu, fikirnya.
Dalam
otaknya masih ligat dengan satu persoalan. Berfikir tentang sebab Babah tidak
izinkan dia menyambung PhD. Sudah dikhabarkan yang dia akan tetap tinggal di
rumah, menemani Babah. Bukan jauh mana universiti itu dengan rumahnya. Buka
pintu sudah terjongol atap perpustakaan.
Telefon bimbit
atas meja yang sedang bercaj diambil, membuka mesej perbualan bersama Babah
petang tadi. “Tak boleh. Ini final.”, taip Babah berserta tanda seru.
Tingkap
bilik yang dibuka luas itu membiarkan wajah bulan yang sudah separuh tertutup
terbias pada tingkap. Penat berfikir, dia mengangkat kaki atas kerusi dan
memeluk lutut. Leka dia perhatikan bulan itu tertutup. Ada cahaya yang mula
membesar terbentuk daripada biasan pada cermin. Semakin besar dan besar hingga
dia menjadi silau. Cahaya terang. Terang sekali sebelum dia membenam wajah
dalam pelukan pada lutut. Lama.
“Lara,
gosok gigi dulu.”, bahunya digoyang orang perlahan. Televisyen siaran rosak
dimatikan Babah. Babah menekan butang warna hitam besar pada televisyen lalu
televisyen menjadi gelap. Sunyi rumah itu.
Kemudian ada
bunyi kereta masuk ke halaman, diikuti lampu kuning terik. Lengannya diangkat
menutup muka. Terjuntai gelang sementara warna putih ‘Wetworld-Kid Ticket’ pada
pergelangan tangan. Dibacanya tulisan itu penuh keliru sebelum lampu terpadam.
Bunyi tapak kasut tumit tinggi menapak mendekati rumah. Ketak, ketuk, ketak,
ketuk. Pintu terbuka, terjengul tubuh seorang wanita. “Eh, Lara tak tidur lagi?
Tunggu Mama?”, pipi Lara dicium kiri dan kanan. Lara makin keliru. Siapa dia
ini?
“Lara tak
gosok gigi lagi.”, Babah muncul dari dapur. Tangannya masih mengelap piring.
Laju sekali. Lara melihat wajah Babah sekali imbas. Kumisnya masih ada, hitam
lebat. Rambutnya juga. “Jom. Mama hantar.”, wanita itu menggendong Lara selepas
memberi beg tangannya pada Babah yang masih mengelap piring. Dalam gendongan
itu, mereka melewati kawasan dapur yang masih terang. Babah melipat surat
khabar menjadi separuh saiz A4. Tetapi, Lara sempat mengintai. Babah banyak
membulat-bulat iklan dengan pen merah.
Dalam
terbuai-buai dalam gendongan, Lara melihat Babah mengelap tangan pada apron.
Wajahnya diraup beberapa kali, surat khabar diletak atas meja. Kemudian di tepi
sinki dan beralih pula ke dalam kabinet.
Lara disuruh
wanita itu berdiri atas kerusi plastik warna hijau kecil. Ada gambar Mickey
Mouse di situ. Dia menurut. Cermin dihadapan mata dipandang. Kemudian, dia
kaget. Kelopak matanya berkedip-kedip beberapa kali. Wajah dalam cermin
dipandang. Ini bukan wajahnya. Bukan! Rambutnya panjang. Bukan pendek.
Telinganya bertindik dengan subang bentuk bintang warna hitam. Kini, wajah
dihadapannya itu tidak ubah seperti wajah kanak-kanak umur lima tahun.
“Ni cepat
gosok gigi. Basuh muka, basuh kaki, lepastu masuk tidur.”, arah wanita itu.
Dengan penuh rasa keliru itu, Lara masih menggosok gigi. Membiarkan air yang
keluar laju daripada pili dibuka wanita itu, dikumpul dalam cawan perak
berkilat. Wanita itu melihat wajah dalam cermin. Bibirnya merah bergincu,
tudung bawalnya berselimpang ke bahu dengan kerongsang warna biru muda. Lara
melihat ke bawah pula. Tubuh wanita itu ramping dengan baju kebaya warna kuning
berbunga biru tersarung. Pada pergelangan tangan ada dua utas gelang tangan
emas yang besar. Mesti mahal ni, sempat dia berbisik dalam hati. Saat wanita
itu membuka tudungnya dia melihat rambut wanita itu terurai lembut jatuh atas
bahu dan kemudian lepas ke bawah. Wanita itu cukup cantik. Gayanya sangat kemas
dan profesional. Dia ibarat sukar didekati, tidak percaya Lara yang wanita itu
menggendongnya tadi.
Oh ya! Dia
membahasakan dirinya Mama tadi. Jangan-jangan itulah ‘puan besar’ yang
kadang-kadang Babah sebut dalam bicaranya. Inikah ‘puan besar’ yang membawa
perubahan ‘besar’ hidup Babah kini? Inikah orangnya? Inikah emaknya?
“Dah siap?
Jom, Mama letih ni.”. Lara angguk sahaja. Wanita itu ralit memerhati diri di
cermin tadi. Sampai dia tidak perasan yang Lara tidak membasuh kaki. Sedang
selalunya Babah akan pastikan dia gosok gigi, membasuh muka, buang air kecil
dan membasuh kaki sebelum tidur. Wanita itu tidak seperti Babah. Dia cuai!
Saat dia
berjalan dipimpin ‘puan besar’, dia dapat mendengar perbualan singkat wanita
itu dengan Babah. “I’ll talk to you later. I’ll put her on bed first.”,
kata ‘puan besar’.
“I have
nothing to discuss. Please stop it!”, nada Babah sedikit meninggi.
“You stop
it. You don’t want her to know, aren’t you?”, ‘puan besar’ mengugut.
Tiba di bilik,
Lara sayu sekali. Ini bilik lamanya. Katil saiz bujang itu masih ada. Dengan
kereta warna merah sebesar Lara terletak di tepi katil. Di satu sudut, ada
almari dua pintu warna hijau bergambar dua ekor arnab putih tertulis ‘Happy
Friends’ dengan tulisan besar berwarna kuning. Ada cap tangan comot-comot
dengan warna biru, putih, merah, dan coklat pada pintu almari itu. Entah
kenapa, mata Lara berkaca-kaca. Bersebelahan dengan katil, ada meja tulis kayu
dengan beberapa buku cerita atas rak. Ada juga, papan hijau atas meja. Beberapa
batang kapur warna-warni terpatah-patah berserakan atas meja. Dalam bakul
sampah bawah meja pula kertas-kertas melambak sehingga terkeluar dan
mengelilingi bakul sampah, bagai anak pokok pisang. Bawah katilnya ada
kotak-kotak kasut bersusun. Dia tahu setiap isi kotak-kotak itu. Dia cukup
tahu. Rindunya pada bilik itu rupanya sebegitu hebat.
“Tidur. Mama
ada kerja.”, dia berbaring perlahan. Mengapa ya, dia tidak merindui wanita ini
sebagaimana dia merindui biliknya ini? Lampu bilik padam dan pintu tertutup
rapat. Dalam gelap, ada beberapa pelekat glow-in-the-dark bentuk
geometri pada dinding. Itu hadiah ‘atuk rumah besar’ kepadanya waktu dia ke
eropah. Cantiknya!
Lara cuba
menutup matanya. Dia tahu kini, dia terperangkap dalam tubuh lima tahunnya.
Tadi, kalendar pada meja tepi katil tertulis tahun 1982. Sedang dia sebenarnya
sudah berusia 30 tahun. Dan dia tahu, sepatutnya malam itu akan ada gerhana
bulan dalam tahun 2007. Dia juga tahu tadi, dia sedang membaca surat tawaran
PhD di meja belajar warna perak berkilat. Tiba-tiba dia sudah sampai di sini,
rumah lama Babahnya ini. Mimpi buruk apa pula yang datang kali ini? Berfikir
yang dia akan kembali ke zamannya sebaik terjaga, Lara belaikan tubuhnya atas
tilam empuk itu. Menunggu matanya terpejam.
“Jangan ungkit
balik benda tu boleh tak! Awak yang nak tanggung saya dulu!”, ‘puan besar’
menjerit kuat.
Suasana
bungkam sunyi lagi. Agak lama sebelum ada bunyi kerusi berkeriut di luar bilik.
Lara bangkit dan duduk menyandar. Cahaya bentuk garisan bawah pintu direnung.
Berharap, ada bunyi yang akan masuk lagi.
“Saya dah
banyak berhabis untuk awak tau tak. Jagalah sikit maruah saya. Ayah awak asyik
tanya saya bila saya nak kerja. Awak pun tak percaya suami awak sendiri
sekarang ni...sabarlah. Sikit masa lagi, saya dapat kerja, awak
sambung...ya...”, suara Babah sayu dan lemah. Bagai berputus asa dan merayu.
“Saya dah tak
boleh tunggu. Ayah akan support waktu ni je. Kalau saya tak pergi
sekarang, peluang ni dah takkan datang lagi. Siapa yang tanggung kos, awak?
Awak kerja ke?”, sekali lagi ‘puan besar’ berkata-kata. Pedasnya kata-kata!
Sampai hati dia.
Babah sedang
cari kerja rupanya. Dia saja yang tidak tahu tentang ini dahulu.
“Kalau awak
tak bagi, saya keluar. Kita cerai. Awak boleh ambil Lara.”, ‘puan besar’
melontar peluru lagi.
Kali ini Lara
menggenggam erat jarinya. Jantungnya jadi laju. Dia tidak tahu tentang ini. Dia
memang tidak tahu yang emaknya sebenarnya tidak mahu kepadanya. Sebab itu Babah
yang mendapat hak jagaan. Dia memeluk lutut. Dia jadi buntu dan sedih.
“Awak cakap
apa ni! Eh ingat balik waktu kita kahwin dulu. Saya sanggup drop school
sebab nak tanggung awak. Awak tak ingat ke kenapa kita kahwin? Dulu awak cakap
sanggup susah senang dengan saya. Sekarang apa ni?”, Babah bersuara. Tinggi dan
kemudian menjadi mula bergetar.
“Ya, saya yang
bodoh waktu tu. Saya bodoh. Tuli.”, senyap lagi seterusnya.
“Sabiha...”,
Babah menutur lemah. Nama itu!
Kemudian,
terdengar bunyi ‘puan besar’ menangis. Mendayu-dayu suara tangisannya. Bagai
sudah terlalu lama menyimpan perasaan. Bagai melepaskan angin ganas dalam hati
keluar. Bagai air terjun Nicaragua menyimbah dasar tanpa belas.
Lara berperang
dengan dirinya. Dia mahu keluar dan memarahi mereka berdua kerana menipunya
selama ini. Tetapi, dia juga takut andai mereka tahu yang dia bukan Lara yang
berusia lima tahun. Dia memeluk lutut lagi, semakin erat.
“Sabiha, saya
janji. Saya akan jaga keluarga kita. Samad dah dapat kerja balik. Razak pun.
Sekejap lagi, saya pun mesti kena panggil kerja. Sabarlah...sekejap je lagi.”
“Maafkan saya,
Zam. Saya tak boleh. Akhirnya ayah terima saya balik. Lepas dia buang saya
dulu. Tak boleh Zam. Tak boleh. Saya kena buat PhD tu juga. Tak boleh tidak.”,
dalam tersekat-sekat, ‘puan besar’ mula berdiplomasi. Ayatnya sudah tidak
seperti peluru sesat dalam perang Amerika-Vietnam lagi.
“Awak suami
yang baik. Sangat baik. Saya yang tak baik untuk awak. Please, lets end it.
Saya hidup cara saya. Awak cara awak. Kita balik macam asal. Ok?”, ada bunyi
kerusi berkeriut lagi. Kali ini bunyi kerusi berkeriut itu tidak sekasar yang
pertama tadi.
Lama Lara
merenung cahaya segaris bawah pintu itu. Menanti jawapan Babah.
“Saya cintakan
awak. Sangat cintakan awak.”, lafaz Babah.
Kerusi
berkeriut lagi. Dan suara lelaki dan wanita menangis kedengaran. Berpadu
bersama. Tertahan-tahan dan lemah bunyinya. Waktu itu, Lara memberanikan diri
membuka pintunya sedikit. Sedikit sahaja. Dia lihat, Babah dan Mama berpelukan.
Erat sekali dan wajah masing-masing terbenam pada bahu antara mereka. Lara
menutup pintu dihadapannya. Mencuri pandang wajah Mama yang cantik.
Lara baring
dan menarik selimut. Kemudian, pintu terbuka. Bayang Mama masuk mendekati.
Mencium dahinya lama. Terhidu olehnya harum bau Mama. “Lara jaga Babah
baik-baik sayang. Mama tak pandai jaga Babah.”, lalu Mama pergi.
Selang
beberapa minit, ada bunyi kereta dan lampu kuning terang terbias di tepi
tingkap bilik. Mulanya kuat dan kemudian semakin perlahan. Jauh dan menghilang
terus.
Sebaik Lara
menyeka air mata yang lesu jatuh pada pipi, pintunya terbuka lagi. Kali ini dia
tahu itu Babah. Dia menanti Babah datang ke arahnya. Babah berjalan
perlahan-lahan dan duduk di sisi katilnya secara membelakangi. Kemudian, Lara
nampak bahu Babah turun naik, sambil diiringi bunyi teresak-esak. Lara hanya
membiarkan Babah begitu. Babah sedang sakit. Selsema hati.
“Jangan
tinggalkan Babah, Lara.”, Babah berkata-kata perlahan sambil mengusap rambut
halus Lara yang terjuntai di dahi. Tangan Babah lembap dan sejuk. Sejuk terasa
pada kulit muka Lara.
Itu kali
pertama dia melihat Babah menangis. Lelaki yang hebat di gelanggang debat
mahkamah itu rupanya pernah jadi selemah ini. Pernah jadi serendah ini. Pernah
kecewa sebegini. Hanya Lara yang tidak tahu selama ini. Lara memejam matanya
rapat-rapat. Begitu rapat sehingga dirasakan dahinya berdenyut-denyut dan ada
cahaya yang begitu silau datang dalam pejam. Begitu silau sehinggakan dia
menjadi begitu pening. Cahaya itu terang.
Seekor cicak
berbunyi dari atas siling. Kuat sekali. Bagai mahu mengawan. Dari atas kerusi,
Lara sedang memeluk lutut. Matanya dipisat-pisat. Dia tertidur. Telefon bimbit
dicapai. Melihat tarikh. Di luar bilik, remang-remang oren gerhana bulan mula
terlihat di antara jeriji tingkap. Cantik sekali! Secantik Sabiha. Sabiha.
Mama.
Matanya
berkerdip beberapa kali. Telefon bimbit dicapai lagi. Nombor seseorang
dihubungi. Lama dia menunggu baru ada yang menyahut.
“Babah. Lara
takkan tinggalkan Babah macam Sabiha.”, dan di hujung talian, Babah senyap dan
kedengaran nafasnya menjadi berat. Babahnya yang dulu masih sama rupanya.
Dan bulan yang
di luar itu sudah tertutup gelap.