Kembara Saham Akhirat
Jika kita
sudah biasa dengan kehidupan kota yang serba kalut dan mencabar, pastinya kita
akan mengidamkan kehidupan di desa yang tenang dan jauh dari hiruk pikuk kota.
Pada
pertengahan bulan Jun lalu, saya berkesempatan untuk mengikuti sebuah misi
kemanusiaan di Muadzam Shah bersama-sama rakan-rakan dari Islamic Relief
Malaysia (IRM). Misi yang dinamakan sebagai Kembara Saham Akhirat itu membawa
kami ke sebuah perkampungan Orang Asli yang jauh di pedalaman.
Kami
bertolak dari Pejabat IRM di Bandar Baru Bangi kira-kira jam 9 pagi menggunakan
kenderaan rasmi IRM. Terletak di Kampung Buluh Nipis, perjalanan mengambil masa
kira-kira setengah jam dari Bandar Muadzam Shah. Perasaan teruja menikmati
keindahan flora dan fauna di sepanjang jalan terbantut tatkala perjalanan
dirasakan terlalu panjang untuk sampai ke destinasi. Tiada seorang pun penduduk
yang ditemui. Di kiri dan kanan jalan pula dihiasi dengan pokok-pokok kelapa
sawit yang meliuk lentok ditiup angin. Dalam hati tertanya-tanya adakah ini
jalan yang betul? Mujurlah kami dipandu oleh kakitangan IRM yang berada lebih
awal di kampung tersebut untuk persediaan program yang dijalankan pada hari
tersebut.
Alhamdulillah,
kami tiba di Kampung Buluh Nipis apabila matahari telah tegak di atas kepala kira-kira
jam 1 tengahari. Masing-masing mengucapkan rasa syukur atas perjalanan yang
lancar dan selamat. Suasana di kampung itu begitu tenang dan sunyi walaupun
ramai orang kelihatan di situ. Saya melihat ramai anak-anak muda memenuhi
perkarangan Surau Kampung Buluh Nipis sedang melakukan gerak kerja yang pantas.
Majlis Berbuka Puasa
Hari itu,
buat pertama kalinya IRM menganjurkan majlis berbuka puasa bersama masyarakat
Orang Asli Kaum Jakun. Sebelum ini, jika ada penganjuran majlis seperti itu, ia
hanya melibatkan penerima-penerima manfaat di sekitar Lembah Klang sahaja.
Tetapi kali ini IRM mengambil pendekatan untuk membantu mereka yang berada di
luar Lembah Klang. Tambahan pula, Kampung Buluh Nipis telah dipilih oleh IRM
untuk dibangunkan di bawah Projek Pembangunan Komuniti. Jadi molek sangatlah
program sebegini dijalankan di situ.
Setelah
berbual-bual dengan Pengarah Program, barulah saya tahu yang anak-anak muda
tersebut ialah pelajar-pelajar dari Uniten, Muadzam Shah. Mereka sanggup
meluangkan masa hujung minggu yang sepatutnya diisi dengan menelaah pelajaran
dengan menghadiri aktiviti-aktiviti kesukarelawanan sebegini. Kami sempat
membantu mereka gotong-royong membersihkan kawasan surau seperti ruang solat,
bilik air, dewan dan kawasan sekitar. Walaupun mereka telah berada di situ
sejak pagi, tidak sedikitpun mereka menampakkan wajah letih mereka. Jika kita
suka dengan sesuatu yang kita buat, pasti kita tidak akan berasa penat malahan
puas dengan apa yanag kita lakukan.
Usai
gotong-royong, kami berehat sebentar dengan bersolat jemaah bersama penduduk
kampung. Penduduk kampung mula membanjiri kawasan Surau. Waktu itu, seramai 62
sukarelawan dan kakitangan IRM berpecah kepada 3 kumpulan. Satu kumpulan berada
di khemah untuk membantu ibu-ibu penduduk kampung membasuh ayam, menyiang ikan
dan menghidupkan kayu api. Manakala satu kumpulan lagi berkumpul di dewan untuk
menyediakan bahan-bahan memasak dan satu lagi melakukan aktiviti psikososial
bersama-sama anak-anak Orang Asli yang hadir seperti mewarna dan menyanyi.
Penyerahan Bantuan Ramadan
Relief
Saya dan
rakan-rakan dari Jabatan Promosi IRM seperti biasa merakamkan kenangan-kenangan
terindah sepanjang kembara ini melalui gambar-gambar, video serta
catatan-catatan penting untuk digunakan pada masa akan datang. Kira-kira jam
3.30 petang Krew Malaysia Hari Ini (MHI) hadir untuk memberi sokongan kepada
program ini. Mereka juga mengambil bahan-bahan penting untuk dijadikan laporan
apabila pulang ke ibu kota kelak. Kami kemudiannya membawa Krew MHI ke dua rumah
penerima manfaat Orang Asli di kampung tersebut. Kehidupan mereka jauh berbeza
dengan apa yang kita kecapi di Bandar. Sangat daif. Bilik air mereka masih di
luar. Bumbung tempat tinggal mereka walaupun bertutup tetapi setiap kali hujan,
mereka bersedia menerima kehadiran air-air yang masuk melalui atap yang bocor.
Kami
berkongsi kisah ini dengan krew MHI supaya mereka dapat menghebahkan perkara
ini kepada seluruh rakyat Malaysia agar ada yang terbuka hati dan prihatin
terhadap kesusahan yang dilalui oleh mereka yang memerlukan ini.
Selepas
Asar, tibalah acara kemuncak yang ditunggu-tunggu. Seramai 101 buah keluarga
Orang Asli yang beragama Islam akan menerima pek bantuan makanan Ramadhan Reliefoleh IRM bagi menampung
bekalan harian mereka semasa bulan Ramadan. Sebelum itu, mereka juga menerima
pengisian rohani yang disampaikan oleh Tuan Kadi Hamdan dari Majlis Ugama Islam
dan Adat Resam Melayu Pahang. Saya melihat rata-rata mereka gembira dan
bersyukur dengan bantuan yang diterima ini.
Program
berakhir dengan majlis berbuka puasa bersama semua penduduk kampung. Kami
menikmati juadah dengan penuh selera! Maklumlah seharian menahan lapar dan
dahaga ditambah pula dengan melakukan kerja-kerja berat.
Mengenai Bangsa Jakun
Bangsa
Jakun (Orang Ulu), daripada suku kaum Melayu Asli (Melayu Proto) yang tinggal
di selatan Semenanjung, berasal dari Yunan (Selatan Cina). Mereka masih
mengamalkan animisme. Kehidupan mereka dipengaruhi oleh alam sekitar seperti
gunung, bukit, lembah, sungai, batu, gua dan sebagainya. Mereka percaya kampung
mereka akan dilanda bencana sekiranya ada di antara mereka yang melanggar
pantang larang.
Namun apa
yang saya lihat hari itu, mereka sangat rajin dan ramah. Walaupun berbeza agama
dan kepercayaan mereka dilihat hidup harmoni antara satu sama lain. Apa yang
menarik tentang mereka ialah mereka mempunyai anak-anak yang bijak dalam
permainan catur. Ini terbukti apabila sekolah mereka, Sekolah Kebangsaan Buluh
Nipis (SeKeBun) berjaya mengharumkan nama Pahang dan Malaysia dalam peringkat
negeri dan kebangsaan. Guru-guru di SeKeBun nampak akan potensi mereka untuk
berjaya dalam permainan catur ini. Sedikit demi sedikit bakat mereka digilap
sehinggalah kejayaan yang berjaya mereka kecapi hari ini. Secara tidak
langsung, ia menggalakkan murid-murid hadir ke sekolah tanpa perlu memaksa.
Kembara Saham Akhirat di Bukit Gantang
IRM
menganjurkan program yang sama seminggu selepas itu. Bezanya kali ini kami buat
di Rumah Anak Yatim Nur Hidayah dan mendapat sokongan dari Ikon Kemanusiaan IRM
seperti Raihan, Irma Hasmie dan Redza Shah.
Secara
jujurnya bagi saya, program sebegini agak baik jika diteruskan pada masa akan
datang dengan penglibatan lebih ramai pihak lain. Saya pulang dengan rasa puas
kerana dapat membantu mereka dan memberikan sedikit kegembiraan buat mereka.