Home Novel Thriller/Aksi Rahsia Paling Rahsia (Sudah Terbit)
Rahsia Paling Rahsia (Sudah Terbit)
Meja Editor
10/10/2023 10:40:11
4,225
Kategori: Novel
Genre: Thriller/Aksi
Senarai Bab
Bab 1

AMIR yang wajahnya iras Kurt Donald Cobain (versi Melayu), dengan rambut lurus belah tengah separas bahu yang sering menutup wajah apabila dilanggar angin lalu terpaksa diselit ke telinga, tahu dan yakin yang dia sudah jatuh hati kepada gadis itu. Jatuh cinta yang benar-benar jatuh cinta. Bukan yang main-main.

Memang setiap kali dia balik malam, dia akan melalui jalan di tepi flat itu. Jalan yang Amir panggil "jalan pasar malam" kerana setiap Isnin ia akan ditutup bagi memberi ruang kepada peniaga pasar malam.

Bagi malam-malam lain, jalan itu lengang dan gadis yang wajahnya seperti Kim Jisoo versi bertudung (lebih innocent), akan ada di situ membantu ibunya menjual burger. Amir yang baru balik kerja akan singgah untuk membeli burger ayam biasa. Sekiranya ada duit lebih, barulah dia membeli burger ayam double special.

Sebenarnya, gadis itu baru tiga minggu di situ. Gerai burger itu pula baru dua bulan beroperasi. Pada mulanya, Amir singgah kerana nama gerai yang unik: Burger Mak Cik Gemuk. Namanya menarik perhatian dan seperti mengajak untuk dicuba. Memang mak cik yang menjual burger di situ agak berisi, tetapi belumlah boleh dikata gemuk. Masih terlihat biasa-biasa.

Amir kemudian menjadi pelanggan berulang kerana kena dengan lidahnya. Patti burger dibuat sendiri. Rasa ayam dan dagingnya memang kental. Bukan sekadar tepung dan perasa.

Tahap kesetiaan Amir naik lagi dengan menjadi pelanggan tetap kerana baiknya lidah empunya gerai yang bernama Mak Cik Salbiah. Sambil memasak burger, Mak Cik Salbiah akan berbual-bual dengan gaya ibu yang pengasih. Mak Cik Salbiah mudah memberikan nasihat yang menyejukkan hati.

Antara pesan yang Amir ingat daripada Mak Cik Salbiah ialah, 'Kita ni memang banyak dosa, tapi kita juga sebenarnya ada banyak peluang untuk tebus dosa dan dapat pahala. Otak kita asyik lihat banyaknya dosa tu je, sampai rasa hidup tak bermakna. Sesekali, lihat jugalah pahala dan taubat yang banyak kita boleh buat. Mak cik yakin, hidup kita akan rasa lapang balik.'

Amir asyik terkenang-kenang kerana sampai sekarang dia masih mengira-ngira peluang untuk berbuat pahala dan peluang bertaubat yang dia sia-siakan. Pedih.

Selain rasa burger yang kena dengan lidah Amir, harga burger juga boleh dikira sebagai bersahabat. Tidaklah terlalu murah, tidak juga terlalu mahal untuk sebiji burger dengan patti buatan sendiri. Namun tetaplah, apabila mahu makan burger di situ, Amir sudah merancang sejak semalam. Maknanya dia tidak akan makan tengah hari, dan sarapan pun cuma sekeping roti canai.

Akhirnya, daripada pelanggan berulang, Amir menjadi pelanggan setia kerana hal yang sederhana. Malam itu, Mak Cik Salbiah dibantu oleh seorang gadis yang apabila dilihat wajahnya yang innocent, terus dada terasa lapang. Segala kusut yang terkumpul sepanjang hari, lerai. Hati berasa tenang. Apatah lagi apabila gadis itu tersenyum walaupun dengan tudung yang layu muncungnya. Dia masih tetap terlihat memukau pada mata Amir. Pada malam itu juga, Amir isytiharkan dirinya sudah jatuh cinta kepada anak Mak Cik Salbiah.

Cuma, gadis itu pendiam. Tidak seperti ibunya yang rajin memberi nasihat. Sepanjang Amir di situ, jarang dia mendengar suaranya. Hanya ulangan-ulangan suara Mak Cik Salbiah memberi arahan.

Sejak itu, setiap malam Amir singgah. Dan dua minggu kemudian barulah Amir, selepas menyelit rambut panjangnya ke telinga, berani untuk bertanya, "Anak mak cik ni, nama siapa?"

"Hawa. Eh ... ingatkan Amir tahu."

Mak Cik Salbiah yang sedang menekan daging patti pada kuali panas, mengangkat wajah memandang Amir yang rambutnya kembali lerai mengacau pandangan.

"Tak tahu, mak cik." Amir cuba tersenyum lalu mengambil keputusan mengikat terus rambutnya ke belakang.

"Sini malam-malam, asal budak motor lalu je mesti jerit nama Hawa."

Amir mengangguk-angguk. Nampaknya Amir terlepas kejadian itu. Hawa pula hanya diam sambil menyapu Planta pada roti burger sebelum meletakkan bawang hiris dan daun salad. Pipi putihnya sudah nampak merah.

"Hawa tengah cuti semester," kata Mak Cik Salbiah.

Amir mengangguk lagi. Walaupun boleh sahaja dia terus bertanya kepada Hawa, tetapi entah mengapa hatinya terlalu berdebar-debar. Dia hanya berani bertanya kepada Mak Cik Salbiah.

"Dia ambil apa kat U?"

"Degree engineering. Dah semester lima."

"Enam la, mak," tingkah Hawa dan hati Amir menjadi sangat nyaman hanya dengan mendengar suara Hawa. Ibarat mendengar lagu-lagu daripada kumpulan 90-an kegemarannya, Iklim.

"Hah. Tuan punya badan dah jawab," kata Mak Cik Salbiah yang kini mula memecahkan telur pula di atas kuali leper.

Amir berdebar-debar. Dia hilang kata-kata dan hanya memerhatikan daging patti burger dibungkus dengan telur sebelum Mak Cik Salbiah meletakkannya ke atas roti yang sudah disediakan oleh Hawa. Hawa pantas meletak sos dan mayonis sebelum menindihnya lagi dengan roti. Burger itu dibalut dengan kertas berwarna coklat, dimasukkan ke dalam plastik lalu diserahkan kepada Amir yang masih berdegup jantungnya. Amir terus menghulurkan wang.

"Nama kau Amir ke Amar?" soal Mak Cik Salbiah sebaik melihat Hawa mengambil wang Amir. Ini kali kedua Mak Cik Salbiah bertanya. Kali pertama, dua minggu lepas. Jadi, memang wajar kalau Mak Cik Salbiah terlupa kerana pelanggannya bukan dia seorang.

"Amir, mak cik."

"Kerja apa, ya? Malam-malam baru balik."

"Jual ubat."

"Ooo ... farmasi ke? Bagus kerja tu."

"Bukan. Ubat-ubat tradisional je, mak cik."

"Ooo ...."

Selepas menarik 'O' yang panjang, Mak Cik Salbiah meneruskan kerja. Amir menarik nafas lega. Dia sangat bersyukur Mak Cik Salbiah tidak bertanya lanjut tentang kerja.

Baru Amir hendak pergi, Mak Cik Salbiah berkata, "Amir, harap kau tak fikir yang mak cik suruh anak tolong ni sebab nak tarik orang ramai datang. Jual anak, orang kata. Mak cik bukan macam tu. Mak cik cuma nak Hawa ni tahu susahnya cari duit. Sebab kita ni mudah ingat benda yang susah. Benda yang senang, senang juga kita lupa."

Lembut sahaja ayat Mak Cik Salbiah dan membuatkan Amir semakin berdebar.

"Eh, takkanlah saya fikir macam tu. Saya kagum sebab anak mak cik rajin tolong mak cik. Susah nak jumpa orang muda macam dia sekarang."

Amir sempat menjeling Hawa yang hanya tunduk memandang telefon bimbit.

"Bukan apa. Mak cik ada terdengar orang-orang kat sini kata, mak cik letak anak kat gerai ni sebagai pelaris. Padahal mereka tak tahu susah kita macam mana."

"Mak ... tak perlu kisah orang cakap apa, mak. Biarlah. ALLAH ada," kata Hawa.

Amir rasa tersepit. Walaupun dia rasa "istimewa" kerana Mak Cik Salbiah seperti meluahkan masalahnya, pada masa yang sama, dia tidak tahu apa yang perlu dibuat. Namun dia tahu, dia mesti berbuat sesuatu.

"Mak cik jangan risau. Bak kata orang lama, berakit-rakit dahulu, berenang-renang ke tepian. Berjual-jual burger dahulu, bersenang-senang kemudian."

Mak Cik Salbiah dan Hawa terus berkerut dahi mendengar kata-kata Amir. Amir menahan nafas. Adakah dia sudah tersalah cakap?

"Terima kasih, Mir," kata Mak Cik Salbiah, tersenyum. Amir lega kata-katanya diterima. Sempat dia menjeling Hawa yang semakin ke depan muncung tudungnya sehingga menutup dahi, tetapi masih sibuk dengan telefon bimbit.

Previous: Bab 0
Next: Bab 2

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.