Home Novel Thriller/Aksi Skuad Taring Nusa (Sudah Terbit)
Skuad Taring Nusa (Sudah Terbit)
Meja Editor
14/11/2023 15:05:04
6,853
Kategori: Novel
Genre: Thriller/Aksi
Senarai Bab
Bab 1

Kitango, North Cotabato, Mindanao
21 Ogos 2018

BOOM!

Sebutir bom mortar jatuh lantas meletup sebaik sahaja mencecah tanah. Bumi bergegar dan bingit. Tanah selut terpercik ke serata tempat. Asap letupan mula mengganggu pandangan mata.

Pandangan Skuad Taring Nusa agak terhad. Agak sukar untuk menyasarkan musuh yang semakin mendekati kedudukan mereka.

"Tuan, musuh pukul 3.00!" jerit Kapten Munzir apabila melihat kedudukan mereka sudah dikesan oleh musuh.

Mejar Aidan beralih tempat ke sebelah kanan. Turut mengambil tempat di sebelahnya ialah Kapten Munzir. Kapten Rafiq bergerak ke kiri manakala Leftenan Hariz mengambil kedudukan pertahanan di belakang.

Skuad Taring Nusa terpaksa mengambil kedudukan pertahanan. Bersedia dengan sebarang kemungkinan yang akan mereka hadapi.

Sangkaan Mejar Aidan tepat, Masud Army Group (MAG) telah berjaya menjejaki mereka. Dari barisan hutan bersebelahan sawah padi, muncul berpuluh-puluh anggota bersenjata dari MAG.

Anggota Red Army pula muncul dari seberang jalan yang menjadi laluan rondaan mereka. Kali ini Skuad Taring Nusa akan berhadapan dengan dua kumpulan bersenjata yang agak terkenal dengan kekejaman dan keganasan yang membawa matlamat perjuangan masing-masing di Mindanao.

Boom!

Sebutir lagi bom mortar meletup sebaik sahaja menyentuh tanah. Kali ini berhampiran dengan kedudukan mereka.

Suara musuh daripada MAG dan Red Army riuh rendah kedengaran dari jauh. Barangkali untuk membangkitkan semangat juang mereka. Tambahan pula mereka telah tewas dalam pertempuran sebelum ini.

Musuh mula mara ke arah Skuad Taring Nusa. Tembakan daripada MAG dan Red Army mula menghujani mereka. Peluru bersimpang siur di atas kepala mereka. Masing-masing memegang erat senjata dan memandang satu sama lain.

"Taring Nusa! Mati itu pasti. Musuh terlalu ramai. Jimatkan peluru. Ingat, satu peluru satu musuh!" Mejar Aidan berpaling dan mula memetik picu M4 Carbine ke arah musuh dan menembak ke arah musuh tanpa teragak-agak.

"Taring Nusa!"

Kapten Rafiq, Kapten Munzir dan Leftenan Hariz pun mula membidik senjata mereka.

Beberapa orang musuh tumbang serta-merta apabila terkena tembakan yang dilepaskan oleh mereka.

"Tuan, unit mortar musuh pukul 5.00!" Leftenan Hariz menghalakan muncung senjata ke arah unit mortar musuh yang sedang mensasarkan mereka.

Kelihatan dua unit mortar telah diaturgerakkan oleh MAG untuk mendekati mereka. Beberapa anggota MAG mula menyelaraskan sasaran ke arah Skuad Taring Nusa yang sedang bertahan.

"Riz, kau habiskan unit mortar tu!" Mejar Aidan memberikan arahan tanpa menghentikan tembakannya.

"Kira selesai tuan!"

Leftenan Hariz melontarkan bom asap bagi melindungi pergerakannya dan mengelirukan musuh. Dia mula merangkak perlahan-lahan ke hadapan. Agak sukar untuk mencari lokasi yang sesuai bagi memusnahkan unit mortar musuh itu. Tambahan pula semakin ramai musuh yang mara dan menembak ke arah mereka.

Tiba-tiba bom mortar yang ketiga jatuh meletup dengan kuat. Kali ini hanya beberapa meter dari kawasan perlindungan mereka.

"Riz, kenapa lembap sangat ni? Tadi beria cakap kira boleh selesai! Come on, Riz!"

Mejar Aidan berang apabila melihat Leftenan Hariz masih belum menghapuskan unit mortar musuh yang sedang menembak ke arah mereka.

"Musuh terlalu ramai tuan. Kedudukan tak sesuai! Sangkut!" Leftenan Hariz cuba untuk mara lebih jauh. Peluru mortar musuh bila-bila masa boleh meragut nyawa mereka berempat.

Namun, malang menimpa. Tiba-tiba sebutir peluru musuh singgah pada pahanya. Darah merah mengalir keluar. Leftenan Hariz segera menekan luka tembakan itu.

"Tuan, saya dah kena cium!" jerit Leftenan Hariz. Dia mengerang kesakitan.

"Munzir, cover Hariz!" Mejar Aidan menepuk bahu Kapten Munzir.

Kapten Munzir terus bergegas merangkak untuk mendapatkan Leftenan Hariz. Dia menarik Leftenan Hariz kembali ke tempat perlindungan. Usai menarik Leftenan Hariz, bahunya pula terkena tembakan daripada musuh. Kapten Munzir mengaduh. Bahunya terasa perit. Darah mengalir perlahan-lahan membasahi seragam. Mujurlah luka tembakan tidak dalam dan menjejaskan salur darah utama. Dia cuba membetulkan kedudukan.

"Hariz dan Munzir dah kena tembak tuan!" jerit Kapten Rafiq sebaik sahaja melihat dua rakannya itu terbaring dan mengaduh.

Keadaan semakin gawat. Kedudukan musuh yang mara tidak kurang 200 meter dari kedudukan mereka bertahan. Tembakan bertalu-talu menghujani mereka dari kiri dan kanan. Pihak MAG dan Red Army langsung tidak mahu berikan peluang untuk mereka bernafas lega walau sekali.

Mejar Aidan melihat jam tangannya. Mengikut perkiraannya elemen bantuan udara akan tiba tiga minit lagi.

"Tiga minit lagi, bertahan semua!" jerit Mejar Aidan.

Masing-masing berbalas tembakan. Kedudukan Mejar Aidan dan pasukannya semakin genting. Pihak musuh nampaknya semakin mendekati tanpa sedikit pun rasa takut. Walau telah tercedera, Kapten Munzir dan Leftenan Hariz masih cuba melepaskan tembakan kepada musuh.

"Tuan, saya kehabisan peluru!"

Senjata Kapten Rafiq kehabisan peluru.

"Tuan, nah." Leftenan Hariz membaling kelopak yang berisi 30 butir peluru.

Tanpa lengah Kapten Rafiq mengambil peluru yang diberikan oleh Leftenan Hariz.

"I'm in."

Dia kembali melepaskan tembakan. Kali ini lebih berhati-hati bagi menjimatkan peluru. Akhirnya peluru yang diberikan oleh Leftenan Hariz juga telah kehabisan.

Dia mengeluarkan sepucuk pistol dan mula menembak semula. Musuh semakin menghampiri mereka. Tembakan pistolnya tidak berjaya menghalang kemaraan musuh.

"Tuan, saya hanya ada pistol dan satu kelopak peluru lagi tuan!"

Dia memberitahu Mejar Aidan.

"Tenang Rafiq. Sikit saja lagi. Aku yakin bantuan akan tiba," balas Mejar Aidan.

"Roger, tuan!"

Kapten Rafiq meneruskan tembakannya. Dua orang musuh berjaya ditembak olehnya.

Di udara, bunyi pesawat terbang sayup kedengaran oleh Skuad Taring Nusa.

"Take cover!" jerit Mejar Aidan mengarahkan anggotanya berlindung.

Kawasan pertempuran ini bakal menjadi sasaran pengeboman.

Brooommm...

Boom!

Boom!

Boom!

Bumi Kitango digegarkan dengan beberapa letupan yang sangat kuat. Jeritan musuh bersahutan akibat terkena letupan bom yang tiba-tiba gugur dari langit.

Mejar Aidan mendongak ke langit. Dia menarik nafas lega. Sebuah pesawat tanpa pemandu (UAV) milik Malaysia yang digelar Naga Sakti baru sahaja melepasi kedudukan mereka. Elemen bantuan udara yang diharapkan tiba tepat pada masanya.

Naga Sakti membuat satu lagi pusingan dan seterusnya melepaskan tiga buah lagi misil pintar yang lebih dikenali sebagai Cakar Naga.

Boom!

Boom!

Boom!

Asap putih memenuhi kawasan pertempuran. Suara jeritan anggota MAG dan Red Army yang tercedera sangat kuat dan ngeri. Pada masa yang sama, tembakan musuh semakin surut. Skuad Taring Nusa menghentikan tembakan. Mereka masih berjaga-jaga dan memerhatikan keadaan sekitar.

Lima minit berlalu, suasana kelam kabut beransur reda. Asap dan debu yang berterbangan semakin hilang. Musuh nampaknya telah mula berundur. Mayat-mayat rakan mereka ditinggalkan begitu sahaja.

Mejar Aidan terus memerhatikan keadaan persekitaran. Dibimbangi ada penembak tepat yang masih bersembunyi dan menunggu peluang untuk membunuh mereka.

"Hariz, Sitrep!" Dia meminta laporan daripada Leftenan Hariz.

"Pertahanan belakang clear tuan!" Hariz memerhati musuh mula berundur dan menjauhi pertahanan mereka. Pahanya masih berdarah. Dia yakin luka tembakan itu tidaklah begitu teruk.

Setelah diyakini anggota pasukan MAG dan Red Army telah berundur, Mejar Aidan memandang ke arah Kapten Munzir dan Leftenan Hariz.

"Rafiq, bantu Munzir dan Hariz."

Kapten Rafiq mendapatkan Kapten Munzir dan Leftenan Hariz yang terkena tembakan. Dia membetulkan kedudukan sahabatnya yang tercedera serta cuba menghentikan pendarahan yang berlaku.

Rafiq dengan pantas mengeluarkan kit perubatan tempur. Dia menyuntik jarum ubat penahan sakit pada luka Kapten Munzir dan Leftenan Hariz. Dengan pantas juga dia mula membalut luka tembakan bagi memastikan darah berhenti mengalir.

"Riz, kau pegang kain pembalut ni. Aku nak guntingkan kain ni." Kapten Rafiq meminta bantuan Leftenan Hariz untuk dia menyiapkan balutan pada paha sahabatnya itu.

Kapten Munzir dan Leftenan Hariz benar-benar bernasib baik. Peluru tembakan musuh tidak terkena pada organ atau mana-mana anggota badan yang penting.

Mejar Aidan pula masih memerhatikan keadaan sekeliling. Dia tenang meneliti setiap ceruk penjuru. Dalam keadaan sebegini, musuh mungkin masih cuba mencari peluang untuk mara dan menyerang mereka.

Agak sukar untuk menentukan keadaan sudah benar-benar selamat. Hutan rimba di hadapannya agak tebal. Dia yakin, saki-baki MAG dan Red Army masih menunggu peluang untuk menyerang mereka.

***

Dua puluh minit telah berlalu. Suasana kelam-kabut akibat pertempuran sebentar tadi juga telah beransur reda. Naga Sakti masih berlegar-legar di udara. Musuh tampaknya benar-benar telah mula berundur.

"Tuan, Munzir dan Hariz dah stabil. Mereka masih boleh bertahan," bisik Kapten Rafiq.

"Alhamdulillah. Syukur pada-MU, ya ALLAH."

Mejar Aidan sedikit lega. Anak buahnya terselamat dalam pertempuran sengit sebentar tadi. Namun hakikat sebenarnya mereka masih belum selamat lagi. Sudah dua kali mereka gagal ke Rendezvous Point (RV) dalam tempoh masa yang ditetapkan. Masa semakin suntuk. Mereka perlu keluar dari bumi Mindanao secepat mungkin.

Kegagalan bergerak keluar secepat mungkin akan meletakkan nyawa mereka dalam bahaya. Mereka ibarat sebiji telur yang sedang berada di hujung tanduk. Malaikat maut boleh memberi salam bila-bila masa.

***

"JADI kamu semua adalah Skuad Taring Nusa?"

Mejar Aidan tersentak. Dia menghalakan senjata ke arah suara lelaki yang tiba-tiba kedengaran dari belukar tidak jauh daripada mereka.

Kapten Rafiq dan Leftenan Hariz memberikan reaksi yang pantas dengan mengangkat senjata masing-masing. Leftenan Hariz bangkit dan melutut. Kesakitan akibat tembakan tidak dihiraukannya.

Seorang lelaki yang lengkap berpakaian seragam tentera bewarna gelap keluar dari arah belakang mereka. Di tangannya ada sepucuk AK47 yang agak istimewa dan bewarna emas. Seragam yang serba hitam hanya dihiasi dengan sebutir pin berbentuk parang berwarna emas yang dilekat pada kolar baju.

Lelaki itu hanya tersenyum. Senjata yang ada sekadar diletakkan di bahu. Tangannya diangkat sebagai isyarat kehadirannya adalah sebagai kawan. Bukannya sebagai musuh.

"Black Guard?" Mulut Mejar Aidan pantas meluncurkan pertanyaan selepas yakin lelaki yang baru muncul itu bukanlah ancaman buat mereka.

"Kapten Oliverez." Lelaki berkenaan tersenyum seraya menghulurkan tangan.

"Mejar Aidan." Mejar Aidan menyambut tangan Kapten Oliverez.

Selepas bersalam, Mejar Aidan memberikan isyarat kepada anggotanya untuk menurunkan senjata yang diacu kepada Kapten Oliverez.

"Sudah lama kamu ikut kami?" tanya Leftenan Hariz.

Dia masih menghalakan senjatanya ke arah Kapten Oliverez.

"Beberapa jam yang lalu, sebaik sahaja Skuad Taring Nusa bertempur di perkampungan Kitango sehinggalah pertempuran sebentar tadi." Oliverez membalas.

"Riz, turun senjata Riz. Pasukan sahabat. Take it easy." Mejar Aidan menepuk bahu Leftenan Hariz dengan tangan kanan manakala tangan kirinya menyentuh senjata Leftenan Hariz.

Dia faham, pertempuran tadisedikit sebanyak telah mempengaruhi keadaan mental Leftenan Hariz. Berada di bumi asing. Agak sukar untuk mempercayai sesiapa pun. Sebaik sahaja Leftenan Hariz menurunkan senjata, Mejar Aidan memandang Kapten Oliverez.

"Kamu seorang saja?"

Kehadiran Oliverez tanpa dikesan sangat menghairankannya.

"Ya, aku seorang saja," balas Kapten Oliverez.

"Nampaknya ada antara kamu yang tercedera. Masih boleh bertahankah?" sambung Kapten Oliverez.

Dia kemudiannya menyeluk poket seluar dan mengeluarkan sebuah telefon satelit. Selepas beberapa saat, dia mula bercakap. Usai bercakap di telefon, dia memandang Leftenan Hariz yang tercedera.

Leftenan Hariz meludah ke tanah. Dia geram dengan mamat Filipino ni. Hatinya menyumpah seranah. 'Tak patut betul mamat ni hanya duduk sembunyi saat mereka diserang sebentar tadi.'

Mejar Aidan memerhatikan gelagat Kapten Oliverez. Baginya Kapten Oliverez bukanlah calang-calang anggota Black Guard. Kehadiran Kapten Oliverez sepanjang misi berjalan langsung tidak mereka sedari.

"Ternyata legenda Black Guard yang aku dengar sebelum ini bukanlah sekadar omongan kosong." Mejar Aidan bersandar pada pokok.

Oliverez senyum. Black Guard satu nama yang baginya adalah beban yang agak berat untuk dia galas.

"Terpulang pada pendapat kamu. Namun Skuad Taring Nusa juga adalah legenda yang namanya sentiasa disebut kebelakangan ini."

Mejar Aidan membalas senyuman Oliverez.

Black Guard adalah pasukan khas yang ditubuhkan khusus untuk menjaga keselamatan Presiden Filipina dan Istana Malacanang. Pasukan khas ini mendapat arahan terus daripada Presiden dan juga Panglima Angkatan Tentera Filipina.

Telah ditubuhkan pada tahun 1899 oleh Jeneral Antonio Luna di bawah Angkatan Tentera Revolusi Filipina. Setelah tamat perperangan dengan Amerika Syarikat, Black Guard telah ditugaskan untuk bertanggungjawab kepada keselamatan Presiden Filipina hinggalah hari ini.

Namun, tugas Black Guard sebenarnya lebih darpadai itu. Mereka juga banyak terlibat dalam beberapa operasi rahsia baik dalam atau di luar negara. Disebabkan faktor kerahsiaan, hanya pihak-pihak tertentu sahaja yang tahu akan kewujudan Black Guard.

Tidak lama kemudian, dua buah helikopter Blackhawk bewarna hitam tiba. Agak aneh Helikopter Blakchawk kali ini. Badannya bewarna hitam dan tiada logo atau identiti pesawat sebagaimana pesawat tentera yang biasa

Sebuah helikopter Blakhawk telah mendarat manakala sebuah lagi masih berlegar-legar di udara dalam formasi mengawal persekitaran dan membuat pertahanan. Dua kru pesawat sudah bersedia dengan senjata bantuan senjata M134D Minigun masing-masing. Sesekali mereka melepaskan tembakan ke arah kawasan hutan apabila mendapati sesuatu yang mencurigakan.

Sebaik sahaja mendarat, tiga anggota Black Guard keluar dari pesawat dan berlari ke arah mereka.

Kapten Oliverez bercakap dengan anggota Black Guard yang baru mendarat itu. Dia kemudiannya kembali kepada Skuad Taring Nusa.

"Ayuh kita gerak sekarang. Malaysia sedang menunggu kepulangan kamu semua." Kapten Oliverez membantu memapah Leftenan Hariz. Kapten Munzir pula dipapah oleh anggota Black Guard yang lain.

Mejar Aidan menepuk bahu Kapten Rafiq yang sedang mengawalkeselamatan di sekitar dan mengarahkannya bergerak ke helikopter Blackhawk.Seterusnya dia pula yang mengambil alih tugas Kapten Rafiq dan terus memerhatikankeadaan sekeliling.


Sebaik sahaja semua anggota Skuad Taring Nusa dan Black Guard berada dalam isi perut helikopter Blackhawk, dia berpaling dan berlari menuju ke aras helikopter berkenaan. Kapten Oliverez bangkit dan menyambut tangan Mejar Aidan.

"Terima kasih," ucap Mejar Aidan yang memandang Kapten Oliverez dan mengambil tempat duduknya.

Dia berasa sangat lega apabila kedua-dua helikopter Blackhawk milik Black Guard itu mula terbang meninggalkan kawasan pertempuran.

Previous: Blurb
Next: Bab 2

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.