Home Novel Seram/Misteri POCONG BALIK RUMAH
POCONG BALIK RUMAH
30/9/2014 21:04:46
8,215
Kategori: Novel
Genre: Seram/Misteri
Senarai Bab
bab 4

Bab 4

KAMPUNG SERI ANDAK

Sahak menoleh kekiri dan kekanan. Tidak jadi dia hendak menyedut rokok yang terjepit dihujung jarinya.Serasanya dia baru saja seperti terdengar orang menjerit. Pun begitu dia tidak pasti samada yang jeritan sayup – sayup itu benar – benar wujud atau sekadar mainan perasaannya saja. Sahak dihurung rasa keliru. Malik dan Deraman masih lagi mencangkul seperti tadi. Seolah – olah tidak terganggu langsung dengan apa yang berlaku disekelilingnya. Liang yang digali semakin lama semakin dalam. Ketulan tanah dikiri dan kanan liang juga semakin membukit. Hampir – hampir saja dia tidak nampak kepala kedua sahabatnya itu.

Sahak berpusing – pusing lagi. Cuba mencari dari mana arah datang suara yang baru saja dia dengar tadi. Tetapi benarkah memang ada suara yang dia dengar tadi. Rasa tidak pasti memerangkap dirinya. Sejurus kemudian kepalanya digeleng – gelengkan. Puntung rokok yang terbakar dihujung jarinnya disedut dengan rakus. Menghembuskan asap yang kekuningan keudara. Lantas asap yang berkepul – kepul itu hilang disambar angin pagi.

Sahak melunjurkan kakinya. Urat – urat dikaki terasa tegang semacam. Kepala lututnya berbunyi tatkala dia membengkokkan kedua belah kakinya. Barulah dia merasa lega dan kakinya mula terasa ringan semula. Botol air mineral disebelah dicapai. Penutupnya dibuka dan dengan pantas dia menonggang botol kemulutnya. Berdeguk – deguk air masak masuk kekerongkongnya. Terik matahari pagi makin kuat menyengat kulit lengan dan mukanya. Biar pun berteduh dibawah pokok kemboja yang agak besar, namun ianya tidak mampu menghalau rasa bahang yang bertandang. Bunyi mata cangkul memamah tanah kedengaran jelas mencubit cuping telinganya. Angin yang datang sesekali menyejukkan tubuhnya yang sudah disimbahi dengan keringat.

Malik keluar dari dalam liang. Terus mencapai botol air lalu diteguknya dengan rakus. Sahak sekadar memerhatikan saja. Tinggal Deraman yang masih lagi mencangkul didalam liang. Sejenak Malik mendongak memerhatikan kearah langit yang cerah.

“ Panas hari ni,” ucapnya perlahan. Tidak ada tanda – tanda hari akan hujan. Tompok awan yang nampak berkepul – kepul berarak perlahan. Sahak tidak mempedulikan akan rakannya itu. Sebaliknya dia sibuk memikirkan akan hal tadi.

“ Lik,” Sahak memanggil. Malik yang baru saja hendak memasang api dihujung rokoknya terhenti. Bulat matanya memandang wajah Sahak.

“ Kau ada.... dengar tak.... tadi.”

“ Dengar apa?” pemetik api diletakkan disebelah botol air bersama – sama dengan kotak rokoknnya. Lalu Malik duduk bertenggung disebelah Sahak. Memerhatikan kearah tanah ditepi liang yang semakin meninggi.

“ Dengar bunyilah.”

Malik memandang hairan pada sahabatnya itu. “ Bunyi apa?”

Sahak tidak terus menjawap. Puntung rokok yang semakin pendek disedut lagi dengan rakus.

“ Bunyi suara orang.”

“ Suara orang? Siapa?”

Sahak menjuihkan bibirnya. Kemudian kedua belah bahunya diangkat. “ Aku tak tau la.... tapi.....”

“ Perasan kau aje tak,” celah Malik pantas.

“ Ntahlah Malik. Tapi serasa aku tadi memang aku pasti betul yang aku ada dengar....,” Sahak tidak menghabiskan kata – katanya. Kekeliruan memaksa dia bertindak seperti itu. Membiarkan kata – katanya tergantung sendiri.

“ Apa benda yang kau dengar sebenarnya ni. Jangan – jangan kau dengar suara orang ‘dalam tanah’ ni tak?” Malik mengekeh ketawa.

“ Ah.... engkau ni.Aku cakap yang betul, kau main – main pulak,” tempelak Sahak tidak puashati.

“ Eh.... mana tau,” sahut Malik yang berterusan ingin menyakat.

Sahak berpaling mengadap Malik. “ Kalau betul aku dapat dengar suara ‘orang dalam tanah’ ni, dah lama dah aku lari lintang – pukang kau tau,” bulu romanya berdiri tegak tanpa dipaksa. Seluruh tubuhnya juga diserang dengan rasa seram sejuk.

Malik membetulkan duduknya agar selesa. “ Yelah.... dah orang lain tak dengar. Yang dengar kau sorang aje. Mestilah pelik,” ujar Malik lagi. Peluh yang mendarat didahi dan bawah lehernya dikesat dengan tuala buruk. Bau masam mengasak kelubang hidungnya. Sahak diam seolah – olah tenggelam didalam arus fikirannya sendiri. Dia sebenarnya masih lagi memikirkan akan perkara tadi. Sekejap dia menoleh kearah masjid An – Nur. Masjid bercat putih itu tersergam didepan mata. Nampak sunyi.

“ Tapi kan dulu aku pernah dengar satu cerita. Sepupu aku yang duduk di Kota Tinggi pernah beritahu aku dulu,” dengan tidak semena - mena Malik bersuara lagi. Menghambat kesunyian yang berlabuh diantara mereka.

“ Cerita apa?” Sahak kembali menoleh pada Malik.

Malik berpusing kekiri dan kanan sebentar. Seolah – olah mengawasi sesuatu.

“ Cerita pasal ‘orang dalam tanah’ balik ke rumah.”

Kata – kata itu menyentap semangat Sahak. Hampir saja rokok dihujung jarinya jatuh ketanah. “ Kau ni dah tak ada cerita lain ke?” marah Sahak. Puntung rokok dicampakkan ketanah lalu diinjak – injaknya dengan kaki.

Malik melekek ketawa. “ Kenapa? Kau takut ke?”

Sahak menjuihkan lagi bibirnya. Botol air ditonggang lagi kemulutnya. “ Bukan aku takut tapi kau macam dah tak ada cerita lain pulak pagi ni,” ujar Sahak. Air yang meleleh ditepi bibirnya diseka dengan tangan. Rasa bahang siang makin mencucuk.

“ Tak adalah. Bukannya apa sekadar cerita aje. Tapi kalau ikut kata sepupu aku tu benda tu memang betul – betul jadi,” Malik mempertahakan ceritanya. Sahak menjeling dengan perasaan separuh marah.

“ Kau biar betul.”

Malik angguk. Wajahnya nampak serius. Menandakan yang lelaki itu tidak bergurau. “ Kau ingat aku bohong ke?” soal Malik dengan suara yang agak tegas.

“ Aku tak tuduh kau bohong tapi masalahnya kau ni boleh percaya ke,” sengaja Sahak menuturkan kata – kata itu untuk membangkitkan kemarahan temannya itu. Bukannya apa sekadar ingin menyakat. “ Aku rasa la kan.... sebelum arwah Hussein masuk dalam liang tu, kau dulu aku tendang masuk kedalam. Kau nak?” Malik berpura – pura marah dan kemudian keduanya meletuskan ketawa masing – masing.

“ Tapi apa yang aku cakapkan ni. Memang ada berlaku dulu kat Kota Tinggi,” Malik meneruskan kata – katanya.

“ Dia ada benda hantu raya tak?” Sahak cuba meneka.

“ Ntah.... yang tu aku tak pastilah. Tapi yang aku dengar memang kecoh dulu kat kampung sekitar tu,” sela Malik lagi.

“ Alah.... biasanya memang hantu rayalah tu. Mana ada benda lain lagi,” Sahak bermati – matian mempertahakan pendapatnya.

“ Yang tu sepupu aku tak cakap apa – apa pulak.”

“ Heh.... tak kan kau tak tau pasal hantu raya. Hantu tu kan ikut rupa tuan dia.”

“ Itu aku taulah, Tapi sepupu aku tak cakap pun yang orang dalam tanah tu ada membela ke tidak,” kadang – kadang sakit hati juga dia bercakap dengan Sahak. Macam sengaja buat tidak faham. Nak kata benak nanti takut dituduh melampau pulak, bisik hati kecil Malik.

“ Eh.... kau dengar ajelah cerita ku ni,” tungkas Malik seketika kemudian sengaja tidak mahu Sahak menyampuk lagi. Kalau hendak bertekak dengan rakannya itu serasanya sampai subuh besok pun belum tahu selesai lagi. Sahak tidak menyahut. Sebaliknya dia menonggang lagi air masak didalam botol mineral yang dibawanya.

“ Satu hari tu ada orang kampung dekat – dekat dengan sepupu aku di Kota Tinggi tu meninggal. Macam biasa waris dengan orang kampung uruskan mayat dia,” Malik membuka mulutnya. “ Orang tu sakit apa?” tiba – tiba Sahak mencelah lagi.

“ Err.... yang tu aku tak tanya pulak dengan sepupu aku tu,”sahut Malik. Sahak menjuihkan bibirnya. Tidak menghiraukan akan Deraman yang hanya tinggal sendiri didalam liang.

“ Macam biasa bila dah siap tu, dia orang pun bawak ke kubur dan tanam. Mula – mula semuanya okay.”

“ Hah.... lepas tu apa jadi?” ternyata Sahak mula berminat. Nisan yang berceracak ditanah perkuburan itu direnungnya seketika.

“ Lepas dia orang tanam tak jadik apa – apa.”

“ Apa bendalah kau ni. Buat suspen aku aje,” Sahak mencebik.

“ Kau boleh diam tak. Biar aku cerita dulu,” sanggah Malik. Dia memang pantang kalau orang menyampuk bila dia sedang seronok bercerita.

“ Yelah.... tadi kau jugak yang cakap ‘orang dalam tanah’ tu balik rumah,” sela Sahak lagi. Kakinya dilunjurkan kedepan.

“ Belum lagi. Malam tu dia orang buat majlis tahlil macam biasa. Benda ni jadik bila orang kampung dah balik ke rumah masing – masing.” Sambung Malik. Kali ini Sahak terdiam seribu bahasa. Memikirkan akan sambungan cerita didalam mindanya.

“ Apa jadik bila dia orang balik rumah?”

“ Hah....,” Malik merapatkan dirinya dengan Sahak sambil sepasang matanya dibeliakkan. “ Ni yang aku nak cakapkan dengan engkau.”

“ Eh.... kau cerita ajelah,” pantas Sahak mengesa.

“ Malam tu masa majlis tahlil salah seorang yang hadir ialah tok Imam kampung. Dia yang uruskan jenazah tu waktu siang.” Sahak tidak memberikan sebarang reaksi. Matanya merenung Malik dengan wajah kosong. Hatinya mula berdebar – debar. Bagaikan dipalu dari dalam.

“ Macam orang lain jugak, lepas majlis tahlil tu dia balik ker umah dia.” Sahak masih menunggu. Terkebil – kebil matanya ibarat cicak tertelan kapur.

“ Lebih kurang pukul sebelas malam Imam tu dengar ada orang ketuk pintu rumah dia,” sambung Malik perlahan – lahan. Sengaja buat begitu agar Sahak terus tertanya – tanya.

“ Kau tau sapa yang ketuk pintu rumah dia?”

“ Orang dalam tanah tu ke?” Sahak menelan rengkungnya yang terasa kering dan kesat secara tiba – tiba.

“ Bukan.... anak dia. Baru balik dari warung sebab lepas tahlil tadi dia singgah mengeteh,” Malik ketawa.

“ Kau.... kalau aku tampar karang satu hapah pun tak dapat!” Sahak memekik kuat. Sakit hati bila dimain – main begitu.

“ Nanti dulu, cerita aku belum habis lagi ni,” Malik menyambung semula ceritanya. Sahak mempamerkan riak wajah kosong. Separuh dari minatnya sudah hilang dek kerana gurauan Malik tadi.

“ Malam tu Imam tu tidur agak lewat sikit. Masa dia nak masuk dalam bilik sekali lagi dia terdengar ada orang ketuk pintu rumah dia. Heran jugak dia bila ada orang datang kerumahnya malam – malam buta. Tapi bukan perkara luar biasa pun sebab sebelum ni memang ada orang kampung datang ketuk rumah dia sebab hal – hal tertentu.”

Diketika yang sama sesusuk tubuh berbungkus putih kelihatan melompat perlahan – lahan keluar dari dalam perut masjid. Lembaga berbungkus putih itu terus menghala kearah belakang masjid. Bunjut diatas kepalanya melambai – lambai tatkala dia melompat – lompat meninggalkan kawasan masjid An Nur.

“ Dengar cerita malam tu Imam kampung tu rasa macam tak sedap hati. Tak macam selalu. Bunyi orang ketuk tu pulak bertalu – talu. Macam nak pecah pintu rumah Imam tu,” sambung Malik lagi.

“ Mahu tak mahu Imam tu pun bukaklah pintu. Sebaik aje dia bukak Imam tu terkejut. Pucat muka dia. Melopong dia bila tengok siapa yang datang.”

Sahak menelan air liurnya. Tekaknya terasa kering dengan tiba – tiba. Ketika dia mencapai botol air masak jelas tangannya mula mengigil. Mindanya dapat membayangkan apa yang bakal diucapkan oleh Malik.

“ Kau tau siapa yang datang kerumah dia malam – malam buta tu?” Sahak tidak manyahut soalan rakannya itu.

“ Orang yang dia tanam siang tadi berdiri depan pintu. Siap dengan kain kapan sekali,” terang Malik dengan suara separuh berbisik. Nadanya juga kedengaran tegas. Sempat juga dia meliarkan bola matanya kekiri dan kekanan. Tidak tentu arah Sahak menonggang air masak kedalam mulutnya. Tangannya mengigil makin kuat.

“ Kain kapan bahagian muka dia tertutup tapi dia kenal memang yang pocong yang berdiri depan dia tu ialah orang yang dia tanam siang tadi.”

“ Macam mana pulak dia boleh tau. Muka pun tak nampak?” soal Sahak. Baginya ada yang tidak kena dengan cerita yang sedang disampaikan oleh Malik.

“ Sebab pocong tu bersuara. Dia bercakap dengan Imam tu,” sengaja Malik membeliakkan biji matanya besar – besar. Bunyi tanah dicangkul sudah tidak kedengaran lagi.

“ Imam tu kenal benar dengan suara mayat tu. Memang sebijik suara orang yang dia tanam siang tadi,” sekali lagi Malik menyambung sambil menekan suaranya. Bersunguh – sunguh dia mahu Sahak percaya dengan cerita yang keluar dari mulutnya ketika itu.

“ Dia cakap apa dengan Imam tu?”

“ Dia dengar yang mayat depan dia cakap....”

“ Tolong....,” kedengaran satu suara lain menyusul.

“ Hah! Lebih kurang macam tu lah,” cantik pula Malik mengiyakannya. Kepalanya siap dianggukkan sekali. Sahak merenung wajah bujur sirih milik Malik.

“ Tolong apa?” dia bertanya lagi kemudiannya.

“ Tolong bukak kan,” suara tadi menyusul lagi.

Kali ini Sahak memandang Malik lama – lama. Ada kepelikan terjadi didepan matanya ketika itu. Dia hairan bagaimana Malik mampu bersuara tanpa mengerakkan bibirnya walau sedikit pun.

Dengan dahi berkerut seribu Sahak bertanya lagi. “ Tolong apa?”

“ Tolong bukak kan....”

Sah! Malik menjawap pertanyaan itu tanpa membuka mulutnya. “ Macam mana kau buat?” Sahak menyoal.

“ Buat apa?” pantas Malik bertanya kembali.

“ Bercakap tanpa bukak mulut.”

“ Aku tak cakap apa – apa pun,” sangkal Malik.

Bagaikan dijahit, kedua – dua mulut mereka terkunci rapat. Malik tenung Sahak. Sahak pula pandang Malik. Mata masing – masing mengarah pada liang. Tidak pula kelihatan Deraman. Yang mereka dengar ketika itu bunyi cangkul berlaga dengan tanah menandakan Deraman masih lagi tekun bekerja seperti tadi.

“ Habis tu.... siapa yang jawap soalan aku tadi?” dengan dada yang berdebar – debar Sahak bertanya.

“ Tolong bukak kan....,” suara tadi mencelah lagi.

Perlahan – lahan Sahak dan Malik menoleh kearah belakang. Mata masing – masing terbelalak besar apabila menyaksikan ada sesusuk tubuh berbalut dengan kain putih sedang berdiri dibelakang. Mata mayat itu memandang kearah Malik dan Sahak silih berganti. Dengan suara perlahan mayat itu menyeru lagi “ Tolong bukak kan....”

Serentak dengan itu Malik dan Sahak sama – sama tumbang ketanah dengan tidak sedarkan diri. Biji mata masing – masing terbeliak besar dan mulut pula tercopong luas!

Didalam liang, Deraman menyeka peluhnya dengan tangan. Hangat matahari siang dirasakan semakin membahang. Dia mendongak sebentar cuba mencari kelibat dua rakannya. Namun tidak pula kelihatan. Entah apa yang sedang dibuat oleh Sahak dan Malik, dia tidak pasti. Yang dia tahu saat itu hanya dia sendirian saja menyiapkan liang.

“ Berapa lama lagi kau orang berdua nak rehat tu oiii,” dia memekik. Cangkul dipegang dengan kemas. Kakinya sudah berlumuran dengan tanah basah. Semakin dalam dia mengali semakin banyak pula air yang bertakung dibawah. Mujur saja tidak banyak. Jika tidak terpaksa pula dia mengunakan pam air untuk mengeringkan liang tersebut..

“ Tolong,” baru saja dia ingin menyambung semula kerjanya, Deraman terdengar suara lelaki menyeru dari atas. Kepalanya didongakan. Tidak pula kelihatan kepala Sahak atau pun Malik kelihatan diatas liang.

“ Tolong apa bendanya. Ni mari turun, tolong aku gali ni. Tak kan nak suruh aku buat sorang – sorang,” sengaja Deraman meninggikan suaranya. Dadanya berombak kencang.

“ Tolong.”

Deraman tidak peduli. Mata cangkul dibenamkan ketanah. Pantas dia melakukan kerjanya seperti biasa.

“ Tolong.”

“ Eh.... cepatlah. Jangan nak main – main pulak,” tempelak Deraman lagi dari dalam liang.

“ Tolong,” suara dari atas liang menyeru lagi. Kali ini Deraman berhenti. Kepalanya didongakkan lagi.

“ Nak tolong apa pulak korang ni?” marahnya.

“ Tolong bukak kan....,” dengan tidak semena – mena Deraman melihat ada kepala berbungkus putih terjongol dari atas liang. Matanya bulat memandang kearah Deraman.

“ Tolong bukak kan....,” rayu pocong diatas liang dengan perlahan.

Wajah Deraman bertukar pucat dengan tiba – tiba. Bulu roma ditengkuknya berdiri dengan sendiri. Matanya terbelalak besar. Dengan sisa – sisa tenaga yang ada lelaki itu terus melompat naik dari liang. Dan tanpa menoleh lagi kebelakang Deraman segera berlari selaju mungkin meninggalkan tanah perkuburan. Suaranya lantang membelah keheningan pagi kampung Seri Andak.

“ Hantu!!!”

Bab 5

Hairul bergegas masuk kedalam bilik. Almari pakaian dibuka dengan kasar. Melilau matanya mencari sesuatu. Baju hijau berbelang kuning dicapai lalu disarungkan ketubuhnya yang masih lagi lembab. Kemudian dia berdiri didepan cermin didalam bilik. Rambutnya yang bersimpanng siur disikat dengan pantas. Lantai kayu bergegar apabila dia melangkah keluar tidak lama kemudian.

Hairul turun kedapur. Segera dia menerpa kearah meja makan. Tudung saji diangkat. Tanpa berlengah lagi dia melabuhkan punggung dikerusi. Cawan kosong diisi kopi yang sudah pun sejuk. Tangannya mencapai pisang goreng lalu disuapkan kedalam mulutnya.

“ Nak kemana pulak engkau ni pagi – pagi ni hairul?” sedar – sedar suara ibunya mencecah telinganya. Hairul menoleh dan mendapati ibunya baru saja masuk melalui pintu dapur yang terdedah luas. Ditanganya terpegang bakul yang sudah pun kosong.

“ Nak ke sekolahlah mak.” Mulutnya mengunyah lagi.

“ Kau kan sekolah petang?”

“ Orang ada perjumpaan pemgakap pagi ni mak. Apa pasal mak tak kejutkan orang?” soal Hairul dengan rasa tidak puashati.

Ibunya terkejut. Bakul diletakkan ditepi mesin basuh. “ Kau tak cakap dengan mak. Mana lah mak tahu. Lain kali pesan awal – awal,” rungut ibunya. Wajahnnya sudah bertukar masam.

Hairul tidak menjawap. Pisang goreng disuap lagi kedalam mulut. Laju dia mengunyah. Esah memerhatikan saja perlakuan anak remajanya itu. “ Makan tu jangan gelojoh,” tegur Esah.

Hairul buat tidak dengar. Sebaik saja dia menelan pisang didalam mulut, segera dia mencapai cawan kopi. Dengan sekali teguk cawan ditangannya tidak bersisa lagi. Esah hanya menggeleng – gelengkan kepalanya. Tak ubah macam perangai abahnya juga, rungut perempuan itu.

“ Orang dah lambat ni mak. Kang tak pasal – pasal kena marah dengan cikgu,” Hairul sudah terbayang akan wajah cikgu Mokhtar yang masam mencuka. Kumis tebal yang melintang diatas bibirnya menambahkan lagi ‘kegarangan’ cikgu yang berasal dari utara itu.

“ Dah.... jangan nak bawak basikal laju – laju. Tau kau dah lambat tapi kayuh elok – elok sikit,” pesan Esah yang turut sama bangkit dari kerusi. Hairul berjalan mendekati pintu dapur. Sejenak dia berdiri disitu sambil melilaukan matanya.

“ Mak.”

“ Apa benda lagi ni?” tegur ibunya dari belakang.

“ Mak nampak tak kasut orang?” bola mata Hairul terus liar.

“ Kat situlah. Mana lagi.”

“ Tak ada ni?” Hairul pasti benar yang kasut sekolahnya tiada dirak ditepi pintu dapur. Hati mudanya mula mendidih. Selalu sangat hal seperti ini terjadi. Waktu orang dah lambat, macam – macam hal yang timbul. Lepas satu, satu seranahnya didalam hati.

“ Kau cari betul – betul. Pakai mata bukan pakai lutut,” rungut Esah pula. Turut sama meninjau mencari kasut sekolah anak lelakinya itu.

“ Tak ada ni mak,” suara Hairul makin tinggi. Lahar kemarahannya makin memuncak. Dia bertenggong ditepi rak kasut. Setiap kasut yang ada disitu direnungnya. “ Memang tak ada,”sambungnya lagi. Esah keluar turut sama mencari.

“ Ni bukan kasut sekolah engkau ni!” kasut yang bertindih dengan sepasang selipar dikuit ketepi. Hairul terus mencapai dan disarungkan kekaki. Esah memuncungkan bibirnya kedepan.

“ Bawak basikal pelan – pelan sikit Hairul!” sekali lagi Esah berpesan. Hairul yang sudah pun menunggang basikal berwarna biru hanya menganggukkan kepala tanpa menoleh kebelakang.

“ Apa hal dengan si Wahab tu?” Aziz bersuara perlahan sambil memerhatikan kearah Wahab yang sedang menunggang motor kapcai dalam keadaan tergesa – gesa. Terhoyong – hayang macam orang mabuk. Yang lain – lain turut sama memerhatikan kearah Wahab.

“ Eh.... macam ada yang tak kena aje,” sahut Budin. Ketua kampung atau lebih dikenali dengan pangggilan ‘Tok Ketua’ dikalangan anak – anak buah dikampung turut sama menoleh. Paip yang tersepit dicelah bibirnya dilepaskan.

“ Tok!” Wahab melaung kuat dari atas motor. Ketika dia menongkat motor buruk ditepi parit Tok ketua mula merapatinya.

“ Tok!” wajah Wahab nampak pucat.

“ Kenapa dengan engkau ni Wahab?” soal Tok Ketua terlebih dulu. Wahab pula kelihatan berpeluh – peluh tidak ubah seperti baru saja menghabiskan larian seratus meter. Tangannya ditundingkan kesatu arah. Tok Ketua dan yang lain – lain tercangak – cangak sendiri. Tidak pasti apa yang cuba mahu diberitahu oleh anak arwah Hussein.

“ Kenapa dengan kamu ni Wahab. Cuba cerita,” Tok Ketua menepuk bahu lelaki itu dengan lembut. Berharap agar sentuhan itu dapat memulihkan semangat Wahab.

“ Tok!” Wahab masih lagi tercungap – cungap. Peluh didahi menitik makin lebat didahinya.

“ Bawak bertenang Wahab.... bawak bertenang,” Tok Ketua cuba mententeramkan lelaki itu lagi. Diserambi rumah orang sudah mula berkerumun. Yang ada didalam rumah juga sudah berasak keluar. Masing – masing memberi tumpuan pada anak lelaki sulung arwah Hussein.

“ Kenapa dengan engkau ni Wahab. Macam orang kena sampuk dengan hantu aje ni?” celah Aziz. Tidak pasti dengan apa yang berlaku. Apa yang ditahu pasti ada sesuatu yang tidak kena berlaku pada Wahab.

“ Dia orang tok.... dia orang....,” Wahab tidak mampu menghabiskan kata – katanya. Tangannya masih lagi ditundingkan kesatu arah. Perlakuannya itu membuatkan mereka yang lain diterkam dengan rasa keliru. Hati masing – masing dilanda dengan teka – teki.

“ Dia orang tok.... dia orang.”

“ Siapa yang kau cakapkan ni?” soal Tok Ketua pantas. Tepat dia memandang wajah bulat Wahab.

“ Sahak! Malik!”

Tok Ketua menoleh kearah mereka yang lain. “ Ni.... bawak bertenang. Apa kena pulak dengan si Sahak dengan si Malik ni. Dia orang dah siapkan liang ke?” suara Tok Ketua perlahan. Lembut.

Wahab geleng sambil menarik nafasnya dengan panjang.

“ Dah tu?” dahi Tok Ketua berkerut seribu. Yang lain – lain masih lagi tercangak – cangak macam rusa masuk kampung. Masing - masing menanti dengan penuh debar.

“ Dia orang pengsan, Tok!” serentak dengan itu biji mata masing – masing terbelalak besar. Mulut Tok Ketua juga terlopong besar.

“ Pengsan?” sebaik saja dia dapat mengawal emosinya, Tok Ketua bertanya. Peluh yang terbit secara tiba – tiba didahinya diseka dengan tangan. Matanya sekejap menjeling kearah beranda rumah yang masih lagi dipenuhi dengan orang kampung yang datang melawat. Masing – masing masih lagi memperkatakan apa yang baru mereka dengar dari mulut Wahab.

“ Macam mana ni Tok? Macam mana pulak si Sahak dengan si Malik ni boleh pengsan. Habis tu liang macam mana pulak,” pemuda yang berdiri disebelah Tok Ketua bersuara dengan cemas. Tok Ketua sekadar menjeling saja.

“ Engkau pasti Wahab yang si Malik dengan si Sahak tu pengsan?”

Sekali lagi Wahab menganggukkan kepalanya. Tok Ketua menunduk. Ada sesuatu berlegar didalam tempurung kepalanya ketika itu. Kemudian dia dongak semula. “ Macam mana dengan si Deraman?”

“ Hah? Deraman?” soal Wahab keliru.

“ Yelah.... selalunya memang dia orang bertiga yang gali liang kalau ada orang mati dalam kampung ni,” tekan Tok Ketua. Rahang dipipinya kelihatan bergerak – gerak.

“ Deraman tak pulak saya nampak dikubur.”

Jawapan itu membuatkan Tok Ketua terdiam.

Tok Ketua akhirnnya mengarahkan beberapa orang lelaki mengikutnya ke tanah kubur. Wahab pula disuruh tinggal dirumah. Tok Ketua memilih untuk membonceng salah seorang dari anak – anak muda yang ada disitu.

“ Tu Motor dia orang ada kat situ, tok,” salah seorang dari anak muda yang mengekorinya berteriak sewaktu mereka hampir dekat dengan tanah perkuburan.

Tok Ketua sendiri melihat ketiga – tiga motor buruk milik Sahak, Deraman dan Malik memang ada disitu. Terpakir kemas dibawah pohon rambutan tidak jauh dari tanah wakaf. Semakin dia dekat tubuh Malik dan Sahak makin jelas ditubir matanya.

“ Tu Tok!” seorang lagi memekik kuat tatkala melihat Malik dan Sahak terbaring kaku diatas tanah dibawah pohon kemboja yang agak besar.

Mereka segera turun dari motor dan mendekati liang. Benar seperti apa yang dikhabarkkan oleh Wahab. Malik dan Sahak terbaring kaku diatas tanah dengan mata terbelalak besar dan mulut pula tercopong besar.

“ Apa kena dengan dia orang ni Tok?” salah seorang dari mereka bertanya. Dahi masing – masing berkerut seribu. Masing – masing cuba memikirkan apa yang telah berlaku pada Sahak dan Malik. Dari riak wajah kedua mereka, anak – anak muda itu mengandaikan ada sesuatu yang cukup menakutkan telah menimpa kedua mereka.

“ Lain macam aje ni tok?” yang seorang lagi menyampuk. Tok Ketua menjeling. Tidak pasti dengan apa yang tersirat disebalik fikiran anak muda itu.

“ Apa maksud engkau ni?” dia akhirnya bertanya.

“ Tak lah.... tengok keadaan di Malik dengan si Sahak ni, lain macam aje ni,” keluh anak muda itu lagi. Serentak dengan itu bulu roma ditengkuknya berdiri dengan sendiri. Ketika itu juga dia merasakan seperti ada mata ghaib sedang memerhatikan kearahnya. Seluruh tubuhnya diselimuti dengan rasa seram sejuk.

“ Engkau jangan cakap benda yang bukan – bukan,” marah Tok ketua. Namun suaranya tidak ditinggikan seperti selalu.

“ Belum tau lagi apa yang jadik dengan dia orang berdua ni,” sambung lelaki itu lagi. Diwaktu yang sama benaknya sendiri tidak dapat memikirkan apa sebenarnya yang telah berlaku.

Tok Ketua berpusing – pusing sebentar. Matanya melinggas seolah – olah sedang mencari sesuatu. Yang lain sekadar memerhatikan saja gelagat ketua kampung itu.

“ Tok cari apa?” salah seorang dari mereka bertanya.

Lelaki berkumis nipis itu tidak menjawap. Sebaliknya dia melangkah mendekati liang. Menjengah kebawah.

“ Tok cari apa ni Tok?” sekali lagi anak muda bertubuh kurus tadi bertanya. Pening juga kepala dia melihat kelakuan lelaki itu.

“ Kalau Malik dengan Sahak ada kat sini, mana perginya Deraman?” nyata soalan yang keluar dari mulut lelaki itu tidak mampu dijawap oleh anak – anak muda itu. Mereka hanya berpandangan sesama sendiri dan diam seribu bahasa.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.