LANGKAH
diatur menuju ke pejabat Tuan Malik. Rus
berdebar-debar apabila pagi-pagi begini bos nombor dua mahu berjumpa
dengannya. Ini pertama kali dia dipanggil Tuan Malik sejak berpindah ke ibu
pejabat. Sebelum ini, bosnya itu bertugas di cawangan utara.
“Laju
aje, nak ke mana tu, Rus?” tegur Kak Ina.
“Tuan
Malik panggil,” beritahu Rus sambil tersenyum.
“Good luck, dear!” ucap Kak Ina sambil
ibu jari tunjuk tanda bagus.
“Tuan
Malik ni, garang ke kak?” soal Rus inginkan kepastian.
Selalunya Mr. Yip yang akan memberi tugasan
kepadanya. Mr. Yip dan Tuan Malik merupakan rakan kongsi yang menubuhkan firma
arkitek ini. Masing-masing ada projek sendiri dan juga pengurus yang
menguruskannya.
“Tak payah nak tanya. Jumpa nanti, Rus
tahulah.” Kak Ina sengaja mahu berteka-teki.
“Saya
rasa berdebar ni. Takut dia suruh buat kerja yang saya tak reti.” Rus
menyatakan kerisauannya.
“Rus,
jangan sesekali kata tak reti. Angguk aje apa yang bos suruh. Kalau tak tahu,
lepas tu cepat-cepat rujuk dengan staf senior,” nasihat Kak Ina yang sudah
berbelas tahun bekerja di situ.
“Yalah. Saya
pergi dulu, kak.” Rus segera menuju ke pejabat Tuan Malik.
Tiba di
tingkat dua, kelihatan pintu bilik bosnya terbuka luas.
“Assalamualaikum...”
ucap Rus, menegur Tuan Malik yang serius membaca dan menyemak dokumen.
“Waalaikumussalam…”
jawab Tuan Malik kemudian memandang Rus yang tercegat di muka pintu biliknya.
“Masuk,” sambungnya.
Rus
segera masuk lalu duduk di kerusi di hadapan meja bosnya. Dia sudah bersedia
dengan buku nota dan pen di tangan.
“Saya
panggil ni sebab nak awak handle
projek kat UIA. Projek tu dah nak siap sebenarnya, tapi ada beberapa perkara
yang perlu diselesaikan.” Tuan Malik memulakan mukadimah tugasan yang akan
diberikan kepada gadis itu.
“Boleh
bos,” jawab Rus, bersemangat.
“Petang
ni kita pergi ke sana jumpa kontraktor. Sebelum tu, saya nak awak semak minit
mesyuarat yang lepas. Senaraikan kerja-kerja yang masih outstanding dan semak jugak tuntutan kontraktor untuk bayaran
projek ni.” Panjang sekali arahan Tuan Malik.
Rus mengangguk,
tanda faham apa yang patut dilakukan.
“Okey,
itu saja. Tunggu saya di lobi pukul empat nanti.”
Rus
bangun dan terus minta diri.
“Hmm…
macam mana adik manis?” tanya Kak Ina ketika Rus melintasi mejanya.
“Tak
sangka hari ini saya akan berdating dengan Tuan Malik kat Gombak,” gurau Rus.
Dia berasa lega kerana tiada apa yang perlu dirisaukan. Sebelum ini, dia tengok
Tuan Malik sering serius dan jarang tersenyum.
“Ni
mesti pasal projek kat UIA, kan?” duga Kak Ina.
“Haah.”
“Fail projek UIA ada kat kabinet kanan sekali.
Buka aje kabinet, Rus akan nampak fail tu kat rak atas. No kodnya UF 302,”
beritahu Kak Ina.
Rus
terkebil-kebil. Kak Ina dan bilik fail yang menyimpan beratus dokumen dipandang
silih berganti.
“Kenapa
Rus, ada benda yang tak kena ke?” Kak Ina bertanya sebaik melihat perubahan
pada wajah gadis itu.
“Kak Ina
macam tau-tau aje apa saya nak. Lepas tu siap boleh hafal nombor fail dan
kedudukannya sekali. Saya pulak, tetap bergantung pada buku log untuk mencari
fail projek tertentu.”
“Akak
dah biasa. Tiap-tiap hari menghadap benda yang sama,” ujar Kak Ina.
“Thanks Kak Ina.” Memang Rus tidak sangka
sungguh. Patutlah wanita itu merupakan orang penting syarikat ini.
PETANGNYA,
ketika perjumpaan dengan Encik Syafik, Rus lebih banyak mendengar dan
mencatatkan isu perbincangan serta tindakan yang perlu diambil.
Dari
pemeriksaan dan tinjauan yang dilakukan, kerja-kerja pembaikan landskap kejur sudah
hampir siap. Pada perjumpaan yang akan datang, Rus sendiri akan ke UIA untuk
memastikan kerja-kerja tersebut siap sepenuhnya.
Tadi, sewaktu
pergi ke UIA, Rus satu kereta dengan bosnya. Selesai perjumpaan, Tuan Malik mahu
menumpang kereta Encik Syafik untuk kembali semula ke pejabat. Rus pula dia
arahkan agar terus pulang ke rumah.
Rus memang sudah
keletihan. Perjumpaan tadi berlangsung sambil melawat dan memeriksa kerja-kerja
di site. Itu yang buat Rus mudah
berasa penat sebab kawasan pemeriksaan agak luas juga.
TIBA di
rumah, Nurul dan Amy sudah siap mandi dan melepak di hadapan televisyen. Rus
melepaskan lelah di sofa.
“Lambat
balik, Rus?” tanya Nurul.
“Biasalah
kalau dah ada kerja kat luar,” beritahu Rus kemudian memandang Amy pula.
Sejak
tadi, senyuman tidak pernah lekang di bibir gadis itu. Rus jadi tertanya-tanya
pula. Selalunya minah seorang ini tidak begini. Lainlah kalau menonton cerita
menarik dan lucu di kaca televisyen.
“Kau ni
apahal, asyik senyum dan sengih aje?” Akhirnya Rus terpaksa menegur.
“Ada
la…”
“Betul
tu, dari tadi senyum memanjang,” sampuk Nurul pula. Dia juga perasan gelagat
Amy yang terlebih gedik.
“Tadi aku terjumpa lelaki tu lagi,” beritahu
Amy dengan wajah ceria. Berseri-seri, kalah Sri Dewi Malam!
“Lelaki
misteri tu ke?” tanya Rus.
“Siapa
lagi? Dia aje pun jejaka idaman yang selalu aku jumpa seminggu sekali.”
“Lupa
pulak yang hari ni hari Jumaat. Patutlah kau asyik senyum memanjang,” ujar
Nurul pula.
“Pelik,
kan? Hari-hari lain kenapa lelaki tu tak muncul, ya?” tutur Amy sambil menggaru
dagunya.
“Kau dah
selidik ke belum?” Rus sekadar bertanya. Dia juga sering tumpang sekaki dengan
cerita lelaki idaman Amy itu. Sudah beberapa kali juga sahabatnya itu bercerita
fasalnya. Dalam tidak mahu dengar, terpaksa juga dia tadah telinga.
“Tentulah
aku selidik. Nak jadikan calon tu…” Amy tersenyum lebar.
“Amboi,
belum apa-apa dah nak jadikan calon?” Tiba-tiba Rus mahu mengusik pula.
“Kau
asyik sibuk tanya jejaka idaman aku aje. Putera kayangan kau pulak, apa
cerita?” soal Amy, geram. Sampai ke hari ini, Rus masih berhutang cerita dengan
dia. Sentiasa sahaja gadis itu beralasan.
“Dah
putera kayangan, balik ke negeri kayangan dialah!” Pantas sahaja Rus memberi
jawapan selamat.
“Selalunya,
dia orang ni mesti tinggalkan sesuatu, jangan nak sembunyi kat kita orang
pulak,” ujar Amy.
“Memang
ada pun…” Rus sudah tersenyum-senyum. Susah betul dia hendak melayan Amy yang
macam tahu-tahu sahaja apa yang dia alami.
“Apa
dia, apa dia?” Serentak Amy dan Nurul bertanya. Tidak sabar mereka hendak tahu.
“Kenangan…”
jawab Rus kemudian ketawa berdekah-dekah. Seronok dapat kenakan rakan
serumahnya.
“Aku
hempuk jugalah kau ni!” marah Amy.
“Setiap
pertemuan pasti berakhir dengan perpisahan. Ada rezeki dapatlah berjumpa
semula,” sambung Rus setelah reda tawanya.
“Kau tu
yang lembap. Patutnya bertukar-tukar kad nama. Ni, jangankan nombor telefon,
nama pun tak tahu!” perli Amy.
“Tak ada
keperluan pun untuk aku buat semua tu. Kau dah lupa ke yang aku ni tunang
Huzaif?” balas Rus. Namun, dalam hatinya berbicara lain pula.
Sekilas
dia memandang jarinya yang kosong. Cincin tunangnya hanya dipakai ketika balik
kampung sahaja. Alangkah bagusnya andai tunangnya itu tidak wujud dalam alam
maya ini?
“Tapi
kan, aku memang tak percaya dengan kau. Mustahil kau tak tahu apa-apa langsung
pasal mat salih tu.” Amy masih mahu mengorek cerita.
“Jujurnya,
kalau terjumpa sekali lagi, aku pun tak boleh nak cam,” jawab Rus dengan wajah
selamba. Rahsia di hati biarlah tidak dikongsi dengan sesiapa.
“Wei,
kau ingat kita orang ni budak sekolah tadika ke? Pandailah kau nak kelentong!” marah
Amy.
“Betul tu! Setiap orang ada identiti dan wajah
masing-masing walaupun rambut dia orang sama warna,” tekan Nurul pula.
Dia juga
tidak berpuas hati dengan alasan Rus. Memang penipu gedanglah sampai tidak
boleh mengecam lelaki itu. Bukannya setiap hari berjumpa mat salih dalam tren.
“Ni
mesti kau ada sembunyikan apa-apa, kan?” Amy masih dengan sifat curiganya.
“Hish,
tak adalah!” Pantas sahaja Rus menyangkalnya.
“Tak
ada, tak ada! Nanti diam-diam, lelaki tu dah bersemayam kat hati kau tu,” ujar
Nurul pula.
“Kat
hati aku ni tak ada sofa yang cantik untuk dia. Dah putera kayangan, mesti dia
nak kerusi yang empuk.”
“Tapi
tetap ada ruang kosong untuk dia, kan?” duga Amy lagi.
“Kau ni…
tak habis-habis nak serkap jarang!”
“Aku
bukan serkap jarang, aku cakap apa yang betul. Setakat hati kau tu, bukan susah
aku nak baca. Petik jari aje aku dah tahu sama ada kau tengah berduka atau
gembira,” balas Amy dengan gaya-gayanya sekali.
“Kau, kalau
berhujah memang berdegar melontar bicara. Padahal cakap aje pandai! Bila
ditimpa masalah, terpaksa kawan-kawan jugak yang tolong,” perli Rus pula.
“Kalau
ada masalah, aku memang selalu cakap kat orang lain sebab tak suka pendam
sendiri. Sekurang-kurangnya hati aku jadi lega walau kawan-kawan tak dapat nak
bantu sangat,” balasnya.
“Okeylah,
aku nak mandi dulu,” beritahu Rus lalu bangun.
“Kalau
dah nak mengelak, pandai aje kau lari, ya?” perli Amy yang faham sangat
perangai gadis itu.
Rus
hanya tersenyum. Memang patut pun dia melarikan andai isu putera kayangan yang
mahu mereka korek. Rahsia Kerajaan Langkasuka tu!