Home Novel Kisah Hidup Senaskhah Hidup (Sudah Terbit)
Senaskhah Hidup (Sudah Terbit)
Meja Editor
10/10/2023 10:45:08
4,796
Kategori: Novel
Genre: Kisah Hidup
Senarai Bab
Bab 1

3.24 petang. Riverside Cafe, WTCKL.

"TUAN ... orang dah berbaris panjang ni. Ramai yang marah-marah buku tak ada!"

Fidel mendengus. Sebelah tangan memegang telefon di telinga. Jam di tangan sebelah lagi, dilirik.

"Kau umumkan tak, petang ni signing untuk 200 buku je?"

Raden di dalam dewan, menjawab, "Dah, tuan. Tapi ni macam lebih 500 orang dah ada sini. Sampai ke luar orang beratur!"

Fidel memejamkan mata dengan dahi berkerut. Dia menarik nafas dalam-dalam dan menghembuskannya kuat.

"Kau beri nombor ke tidak?"

Raden terdiam seketika.

"Nombor apa?"

"Nombor giliran untuk dapatkan autograf."

"Oh ... kena beri ke?"

Suara Fidel naik satu oktaf. "Aku hantar kau pusing dunia, pergi ke pesta buku orang luar, apa kau belajar? Beri nombor! Orang datang nak jumpa novelis superstar, kau sanggup nak hadap mereka berebut serbu meja?"

"Oh ... macam pelancaran novel Andrea Hirata di Matraman dulu. Baik, baik, kami edarkan nombor tu sekarang."

Ikon merah ditekan. Gajet pintar itu dihempas ke atas meja. Sedikit bergegar cawan dengan piring yang mengalas. Fidel mendengus.

"Itu pun nak kena ajar!"

Dia kemudian menghirup kopi seteguk. Telefon diangkat semula lalu dia mendail nombor seseorang. Nama "Muaz Editor" tertera pada skrin.

"Ya, tuan ...."

"Apa hal buku belum sampai?"

"Sekarang masih binding ...."

"Berapa banyak lagi?"

"Dah ... 400 plus plus siap."

"Give me the exact number!" Suara Fidel meninggi.

"400 ... 486 ... 487, tuan!"

"Beri aku pukul berapa siap dan pukul berapa buku akan sampai di WTC."

"Pukul ... sekejap, tuan."

Fidel mendengus lagi. 'Lembab!'

"Sekarang pukul 3.30. Dijangka lagi sejam buku boleh sampai."

"Aku pegang cakap kau. Pukul 4.30 aku tahu buku dah sampai di booth."

"Eh ... pukul 5.00 tuan, play safe."

Fidel duduk tegak.

"Orang dah beratur. Kau nak orang lari? 4.30 mesti dah ada di booth!"

***

3.57 petang. Sarangspot (ruang aktiviti di reruai Sarang Publishing House), WTCKL.

RADEN memerhati Zurina dan beberapa petugas lain mengedarkan kertas bertulis nombor giliran kepada pembaca yang gigih berdiri sejak lebih sejam lalu. Sesekali dia menoleh ke laluan masuk dewan. Sesekali dia mengerling jam di tangan. Kemudian, dia berdeham lalu mikrofon dihidupkan semula.

"Ya ... tuan-tuan dan puan-puan. Kurang sejam lagi kita akan adakan sesi Meet & Greet dengan novelis superstar, Zarazeff, bersama novel terbarunya, Epik. Tuan puan yang mahu mendapatkan novel berserta autograf, pastikan berada dalam barisan dan dapatkan nombor giliran. Hanya 200 novel akan ditandatangani petang ini."

Zurina datang mendekati dan membisikkan sesuatu. Raden mengangguk lalu menyambung pengumuman.

"Dan sesi ini untuk novel Epik sahaja. Novel-novel beliau yang lain, mohon maaf ... tidak dibenarkan untuk ditandatangan." Dia menunduk sambil melekapkan tangan pada dada.

Terdengar rungutan beberapa orang yang sudah pun berada dalam barisan. Editor-editor bertugas mula ditanya pelbagai soalan. Ada yang keluar baris dengan wajah kecewa.

Seorang daripada mereka mengangkat tangan lalu bertanya, "Novel belum sampai. Bolehkah kami dapatkan autograf dulu sebelum bayar?"

Raden mengangkat jari telunjuk ke atas. "Ya! Soalan yang baik daripada cik puan bertudung kelabu. Sebentar saja lagi, novel Epik akan tiba di Sarangspot, panas-panas dari ketuhar. Tuan puan perlu bayar dulu di kaunter F yang kami khaskan untuk novel ini sahaja. Kemudian berbaris semula, ikut nombor yang sudah kami berikan itu. Pastikan nombor itu tidak hilang ... ya ... hanya 200 pembaca bertuah akan dapat autograf petang ini."

Seorang lagi bertanya, "Kalau tak dapat hari ni, macam mana? Kami pun nak novel berautograf!"

"Ya! Satu lagi soalan terbaik daripada tuan muda yang memakai topi Spy X Family! Yang tak dapat nombor giliran, boleh beli dahulu novel Epik hari ini, dan datang semula esok. Insya-ALLAH, novelis kesayangan ramai, Zarazeff, akan berada di Sarangspot pada jam 11.00 pagi sehingga jam 1.00 petang, dan sekali lagi pada jam 3.00 hingga 5.00 petang. Dua sesi Zarazeff akan meluangkan masa, khusus buat para peminat tersayang!"

Muncul Izman dari entah mana, menepuk bahu Raden. "Sesi Zara pukul berapa?"

Raden tersentak. "Oh, pukul 5.00, tuan."

"Dia dah sampai?"

"Dalam lima minit lepas dia mesej Zurina, sedang cari parkir."

"Good. Nanti dia sampai, roger aku. Aku di Riverside dengan Fidel."

"Tuan ... buku dia belum sampai lagi. Tapi orang dah tunggu ni."

Izman memerhati suasana reruai.

"Kau buatlah kuiz ... beri buku-buku lama sebagai hadiah. Minta daripada Nizar. Tak pun ... ada sesiapa penulis lain sekarang?"

Raden memanjangkan leher.

"Ada ... ada Umar Fuady dan ... oh, oh, Kayla Ixora pun baru sampai."

"Good. Kau buatlah apa-apa aktiviti dengan mereka berdua. Asalkan orang tak lari ke booth lain."

***

4.02 petang. Vizion Print.

CHONG menghulurkan borang Delivery Order kepada Muaz.

"Nah, sain. Aku tulis sini, 1000 unit kau ambil hari ini. Baki lagi 9,500, orang aku terus hantar ke stor pagi esok."

Muaz mengangguk-angguk.

"Terima kasih, bos! Terima kasih!"

"Ya, ya ... lain kali, buku untuk pesta buku hantar awal dua, tiga bulan. Jangan macam ini lagi, boleh strok aku."

"Okey, bos. Okey, bos. Maaf!"

***

4.08 petang. Riverside, WTCKL.

ZARA melangkah masuk ke bilik VIP. Dia mengambil tempat di kerusi bertentangan dengan Fidel yang duduk di sebelah Izman, lalu menanggalkan kaca mata hitamnya.

"Kau ...." Dia memandang Fidel. "Flight kau ke Frankfurt malam ni ... buat apa lagi di sini?"

Fidel ketawa longgar sambil menumbuk-numbuk dada. "Pedihnya! Superstar halau aku, Man ...."

Tersengih Izman sambil mengangkat cawan berisi teh kosong.

"Flight dia 2.35 pagi. Sempat. Aku hantar dia ke KLIA terus dari sini nanti." Teh dihirup perlahan.

Zara mengangkat kening.

"Kau buat apa pergi Frankfurt tengah-tengah PBAKL ni? Bukannya ada book fair pun sekarang."

"Aku ke Leipzig dulu. Lepas tu, baru ke Frankfurt. Ada nak bincang sikit untuk Malaysia jadi Guest of Honour."

Berkerut dahi Zara.

"Kenapa pula kau yang kena pergi? Kau Presiden MABOPA ke?"

Izman menjongket-jongket kening. "Bakal. Bakal."

Fidel mendengus kecil. Tetapi tidak berkata apa-apa.

"Buku aku ... okey? Kau dah tengok?"

Fidel menggeleng. "Muaz seorang je dalam SPH yang dah tengok buku kau setakat ni."

"Maksud?"

"Belum sampai ke sini. Setengah jam tadi aku call, dia kata masih binding lagi. Di kilang lagi."

"I see ...." Zara melihat jam tangan. "Bolehlah aku makan dulu. Lapar, tak sempat makan tengah hari tadi."

Fidel tersenyum lalu memandang Izman. "Kau tengok, superstar punya levelCool je buku belum siap. Padahal sekejap lagi sesi autograf dia."

***

4:22 petang. Ruang parkir WTCKL.

HELMI memeriksa nombor plat van berlogo Sarang Publishing House yang baru masuk ke ruang pemunggahan barang. Muaz yang duduk di sebelah pemandu, menjenguk ke luar tingkap.

"Sayalah, bang!"

Helmi mengecilkan mata, lalu tersenyum dan mengangkat tangan. Van itu berlalu. Dia kembali ke tempat duduk.

"Dah lewat petang pun masih ramai orang."

Mendengar suara itu, Helmi menoleh. Mior menghulurkan sebatang rokok, namun ditolak dengan baik.

"Hari gaji. Orang habis kerja terus ke sini agaknya."

Mior tidak membalas. Dia mengambil botol air di tepi dinding, lalu berkata, "Aku balik dulu. Cuti esok."

Tanpa menunggu respons, Mior beredar dari situ. Helmi terkebil-kebil.

***

4.59 petang. Sarangspot.

"TUAN-TUAN dan puan-puan ... yang dinanti sudah pun tiba! Novel terbaru Zarazeff, Epik, kini berada di reruai SPH ... panas-panas baru sampai dari kilang!"

Bergema tepukan gemuruh diselangi sorakan dan siulan daripada barisan pembaca yang menjalar ke luar dewan.

"Dan novelis kesayangan anda juga sudah bersedia di Sarangspot untuk tandatangan 200 naskhah bertuah pada hari ini!"

Sorakan sekali lagi bergema di Dewan Tun Razak 4. Di meja penulis, Zara duduk bermain-main dengan pen sambil mempamer wajah mesra.

"Zarazeff! Ya ALLAH, tak sangka dapat jumpa!"

"Kak Zara, tengok sini! Tengok sini!"

"Kak Zara! I love you!"

Duduk di sebelah kiri Zara, Suchi mengusap-usap tengkuk lalu berbisik, "Saya rasa, esok pun boleh habis cetakan pertama novel cik puan ni. Meremang saya tengok barisan panjang walaupun dah lewat petang macam ni!"

Muaz yang berdiri di hadapan meja, mencelah, "Kau ni. 5 juta followers di TikTok, 1.8 juta followers di Twitter, 2.2 juta lagi di Instagram. Takkanlah baru hari ni kau sedar betapa hebatnya novelis kita ni?"

"Tahu. Cuma, ini kan pertama kali saya bertugas di PBAKL. Ketar tangan saya ni!"

Tergelak Muaz melihat wajah Suchi yang gementar bercampur teruja.

"Itulah rasanya bekerja dengan superstar, Cik Puan Suchi!"

Zara hanya tersenyum-senyum mendengar perbualan dua editor itu, sambil sesekali berinteraksi membalas lambaian peminat.

Selesai Muaz menyusun novel Epik dengan penuh seni di hadapan meja Sarangspot, Raden yang mengendalikan mikrofon sejak tadi memberi isyarat. Zara mengangguk.

"Tuan-tuan dan puan-puan, semua sudah dapat nombor giliran? Mohon angkat nombor itu dan tunjukkan kepada saya."

Hampir serentak semua pembaca yang berbaris mengangkat kertas kecil yang diberikan oleh petugas reruai Sarang Publishing House.

"Bagus! Baiklah, kita akan mulakan sesi autograf dari nombor 1 hingga nombor 50. Nombor 51 ke atas boleh duduk dulu, ataupun tengok-tengok buku lain dulu sementara menunggu giliran. Pastikan semua sudah bayar novelnya terlebih dahulu, ya. Yang tak bayar, tak dapat autograf." Raden menggoyang-goyangkan jari telunjuk.

Staf-staf SPH berbaju merah memeriksa resit pembelian dan nombor giliran peminat yang berbaris. Beberapa pembaca berlari-lari ke kaunter F, kemudian berlari semula masuk ke dalam barisan.

Dan novelis bertaraf superstar, Zarazeff, mula menurunkan autograf pertama untuk novel ketujuhnya, Epik.

***

HELMI menyelit-nyelit pada celahan pengunjung yang berbaris panjang dari pintu dewan ke foyer Aras 4.

"Tumpang lalu ... tumpang lalu ...."

Sebaik lepas, dia menghembus nafas lega. Dia berhenti seketika, memandang barisan itu dari kanan ke kiri, lalu bertanya kepada lelaki berbaju merah dengan logo SPH yang sedang mengambil gambar.

"Ada apa ni?"

Muaz menoleh. "Penulis terkenal, bang. Bukunya baru sampai, orang beratur nak autograf. Saya editor dia." Dadanya ditepuk-tepuk.

Helmi mengangguk-angguk.

"Oh ... buku yang kau bawa dalam van tadi? Siapa?"

"Zarazeff."

"Orang apa tu?"

"Melayu, bang. Perempuan. Lawa."

"Oh ... dahsyat ya, peminat dia. Macam JK Rowling."

Muaz memandang Helmi atas ke bawah.

"Abang ... pak guard pun tahu JK Rowling?"

Helmi tersengih.

"Walaupun aku tak belajar tinggi, tapi aku suka baca buku."

Helmi menyertai Muaz mengambil gambar dengan kamera telefon masing-masing.

"Bagus ni, ada penulis Melayu macam ini. Aku tak kenal pun, tapi aku rasa bangga."

Bahu Muaz kemudiannya ditepuk, lalu tangan dihulur. "Okeylah ... apa nama kau pun aku tak tahu. Aku kena sambung kerjalah."

"Muaz, bang. Muaz."

Mereka bersalaman.

"Okey, aku nak ke Control Room. Malam ini OT, jaga CCTV. Jumpa lagi."

"Okey, bang. Jumpa lagi."

***

6.56 petang. Sarangspot.

"TERIMA kasih, selamat membaca."

"Terima kasih, Kak Zara! Ingat tau IG saya, Sweet_Seroja!" Gadis belasan tahun itu menyambut tangan Zara dan menciumnya. Dia berlalu dengan wajah girang.

"Next!"

Zara berbisik kepada Suchi, "Ini dah yang ke berapa?"

"181. Sikit lagi."

Dia angguk, lalu melempar senyuman kepada gadis seterusnya.

"Hai, nama siapa?"

"Krystal."

"Wow, macam nama K-Pop idol! Nak eja macam mana ...."

"You plagiat novel I."

Zara menjongket kening

"Ya?"

"You plagiat novel II tulis novel in my blogYou curi, buat macam novel you."

Wajah Zara berubah.

***

10.36 malam. WTCKL.

HELMI memerhati pergerakan keluar beberapa orang dari Dewan Tun Razak 4 melalui skrin.

"Oh, itu budak Muaz tadi."

Kelihatan Muaz berdiri senyap di sebelah lelaki berbaju kemeja dengan kedua-dua lengan dilipat ke siku. Lelaki itu membelakangi kamera, tidak nampak wajahnya. Sesekali dia bercekak pinggang, sesekali tangannya mengusap tengkuk.

Mereka bercakap dengan seorang perempuan berpakaian kasual, namun bergaya. CCTV canggih dapat merakam wajah sugul perempuan itu dengan jelas. Mereka seperti sedang bertengkar.

Helmi menggeleng dan membebel sendirian, "Orang kaya-kaya, orang pandai-pandai sekolah, macam itulah. Selalu bertekak."

Dia mengalih pandang ke skrin CCTV seterusnya. Matanya dikecilkan.

"Siapa pula tu?"

Kelibat lelaki kurus dengan tingkah mencurigakan, masuk ke salah satu bilik seminar yang sepatutnya sudah berkunci.

Tidak lama kemudian, lelaki itu keluar dan menghulurkan sesuatu kepada lelaki lain yang menunggu. Diamati wajah lelaki kedua itu. Hampir terlompat Helmi dari kerusi.

"Mior!"

***

2.43 pagi. Zon Merah Jabatan Kecemasan, Hospital Tuanku Ampuan Najihah.

"BP pesakit 90/60! Tekanan darah makin jatuh!"

Darah memancut-mancut keluar daripada hidung perempuan yang terbaring tidak sedarkan diri itu. Dahinya kebiruan, seperti dihentak oleh sesuatu yang keras.

Tiba-tiba dia muntah! Kelam-kabut kakitangan hospital membersihkan semuanya.

"BP makin jatuh, doktor!"

Dr. Syakirah pantas merespons, "Berapa kadar nadi pesakit?"

"Semakin perlahan, doktor. 60 denyutan seminit!"

Mendengar itu, terus Dr. Syakirah berkata, "Bila-bila masa saja jantungnya boleh terhenti. Masukkan darah 1 pint. Cepat!"

Dengan pergerakan pantas namun penuh hati-hati, Jururawat Selvi mencari-cari urat. Jumpa! Dia menyambung hujung tiub beg darah kepada saluran branula pada tangan kiri si pesakit yang penuh kesan lebam. Cecair merah gelap itu terus menitis laju melalui wayar, memasuki urat pesakit.

Doktor muda itu menyambung arahan, "Masukkan satu botol IV drip Gelafundin ke tangan sebelah lagi. Run fast!"

Bergegas Jururawat Mira cuba memasukkan cecair kekuningan dari botol melalui urat tangan kanan si pesakit. Tiba-tiba wajahnya bertukar cemas. Tangan itu sudah hampir terputus, kesan tetakan yang kuat.

"Tak jumpa urat, doktor! Semua collapse!"

"Cari di leher. Cepat!"

Akhirnya sambungan berjaya dilakukan. Berselirat segala macam wayar dan tiub pada tubuh perempuan malang itu.

Seketika kemudian, pintu Zon Merah terbuka. Dr. Iman berkejar masuk. Mulutnya seperti sedang mengunyah makanan, namun terus ditelan tanpa menunggu lumat. Sambil menumbuk-numbuk dada, dia melihat bacaan tekanan darah pesakit pada monitor.

73/41 mmHg.

Semakin menurun.

Sedang Selvi menyambungkan cardiac monitor ke tubuh pesakit perempuan itu, Dr. Iman memandang Dr. Syakirah lalu berkata, "Kita perlu mulakan inotropes."

Cadangan doktor senior itu disambut dengan anggukan.

Pintu terbuka sekali lagi. Dr. Hasni pula tiba di Zon Merah, terus menghampiri Dr. Syakirah.

"Terangkan situasi pesakit."

Dr. Syakirah menyampaikan butiran kes itu dengan teliti. Dr. Hasni mengangguk-angguk, lalu menghela nafas panjang.

"Ini kes rumit. Saya perlu rujuk pakar yang on call." Dia terus mendail.

Di bilik Pakar Sakit Puan, Prof. Azwan duduk mendengar laporan daripada Dr. Hasni melalui telefon. Wajahnya kelihatan begitu serius. Pen diketuk-ketuk ke meja.

Suara di corong bertanya, "Bagaimana, prof.?"

Jawab Prof. Azwan, "Bersedia untuk caesar. Kita cuba selamatkan kedua-duanya."

Di Zon Merah, suara Dr. Hasni bergetar. "Ibu mungkin boleh meninggal dunia bila-bila masa saja, prof. Keadaannya tak stabil."

Prof. Azwan diam. Seketika kemudian, dia merespons, "Jangan ambil risiko. Selamatkan anaknya. Kita akan buat caesar jika apa-apa berlaku kepada ibu."

"Baik."

"Segera hubungi pakar bius untuk tempah bilik pembedahan kecemasan. Pakar pediatrik perlu ada sekali nanti untuk sambut bayi lahir."

"Baik, prof."

Perbualan dimatikan.

Dr. Hasni melihat jam pada tangan.

"Keluarga pesakit dah sampai?"

Selvi menggeleng. "Suami, ahli keluarga, tak ada satu pun yang dapat dihubungi. Dah berkali-kali kami cuba."

Wajah Dr. Hasni berubah. Terkedu dia beberapa saat.

"Macam mana, doktor? Boleh ke kita teruskan pembedahan tanpa kebenaran keluarga?" Terserlah kerisauan pada wajah ketua jururawat itu.

"Tak ada pilihan. Kita akan minta kebenaran daripada dua pakar perunding. Tak apa, saya uruskan." Dr. Hasni terus bergegas keluar dari Zon Merah menuju ke bilik pembedahan.

***

3.10 pagi. WTCKL.

SULUHAN bar lampu dua kereta polis menjadikan suasana di hadapan bangunan WTCKL berkelip-kelip dengan warna biru.

"Encik datang ke balai, buat laporan. Bawa rakaman CCTV itu sekali."

Helmi mengangguk-angguk.

"Eh ... balai mana, tuan?"

"Chow Kit."

"Baiklah."


3.11 pagi. Janda Baik, Pahang.

'YA ALLAH, maafkan saya. Saya dah tak tahan lagi.'


3.19 pagi. Zon Merah Jabatan Kecemasan, Hospital Tuanku Ampuan Najihah.

SUASANA hingar-bingar, tiba-tiba senyap apabila penggera mesin pengawasan jantung berbunyi.

Mira berteriak, "Cardiac arrest!"

Segera Dr. Syakirah menepuk-nepuk kedua-dua bahu pesakit dengan kuat.

"Puan! Puan!"

Perempuan itu tidak bergerak sedikit pun.

Dr. Syakirah menoleh ke skrin mesin pengawasan jantung. Matanya terbelalak.

"Pulseless VT!"

Pantas dia memulakan bantuan CPR dan berteriak, "Bawa defibrillator ke sini, sediakan alat intubation ... cepat!"

Dr. Iman memasukkan laryngoscope ke dalam tekak pesakit, kemudian disambung dengan tiub endotracheal.

Seorang jururawat lelaki berlari-lari menyorong mesin defibrillator dan terus dihidupkan.

Laju Dr. Iman memberi arahan, "Charge. 200 joules."

"Ready."

"Everybody clear!"

Kedua-dua pedal digeser, lantas Dr. Iman menekapkannya pada dada pesakit.

"Shock!"

Tubuh perempuan itu sedikit terangkat. Namun tetap tiada respons.

"Compression."

Bantuan CPR diteruskan. Nadi diperiksa. Masih tidak berdenyut. Ritma jantung masih tidak kembali.

Dr. Iman berkata, "Kita cuba lagi sekali. 200 joules."

"Ready."

"Shock!"

Sekali lagi tubuh itu terangkat.

Selvi menggeleng. "Denyut nadinya masih belum kembali, doktor."

Pada skrin, terpapar satu garisan lurus.

Dr. Iman mengesat peluh di dahi. Dia menghembus nafas dan berkata, "Teruskan CPR."

Sambil menekan dada pesakit, Dr. Syakirah menoleh ke arah Mira. "Jantung bayi macam mana?"

Mira melihat monitor CTG.

"Masih berdegup. Tapi makin perlahan."

Telefon bimbit Dr. Syakirah berdering. Suara Dr. Hasni kedengaran.

"Bawa pesakit ke OT sekarang!"

Pesakit perempuan bertubuh hampir biru itu dikejarkan masuk ke dewan pembedahan.

Lima belas minit kemudian, sayup-sayup kedengaran tangisan bayi yang lemah, seiring bunyi bip daripada vital signs monitor yang kini bernada panjang.

"Innalillahi wa inna ilaihi rajiun. Time of death, 4.06AM."

***

8.58 pagi. Balai Polis Chow Kit.

HELMI menggeliat di hadapan pintu balai, meregang-regangkan otot pinggang, kemudian melangkah menuju ke parkir motosikal. Dia mengeluarkan telefon daripada poket beg pinggang lalu menghidupkannya. Bunyi notifikasi masuk bertalu-talu.

"29 panggilan tidak dijawab? Banyaknya!"

Segera dia membuka senarai pemanggil. Tiba-tiba wajahnya berubah. Pantas salah satu nombor didail semula.

"Assalamualaikum, pak lang. Saya OT malam tadi, tutup telefon ...."

"...."

Helmi hampir terduduk. Cepat dia berpaut pada hendal motosikal.

"ALLAH ... ALLAH ...."

***

11.47 pagi. Kuala Pilah, Negeri Sembilan.

SEJURUS tiba di hadapan rumah, Helmi rebah bersama motosikal yang ditunggang. Berlari-lari orang yang ada di situ pergi mendapatkannya.

"Helmi ... Helmi ... mengucap, nak!"

Helmi yang diriba oleh Pak Lang Razi, membuka mata perlahan-lahan.

"Helmi ... pak lang ada sini. Mak lang ada sini."

Bola matanya digerakkan ke arah perempuan di sisi Pak Lang Razi.

"Saya dah tak ada keluarga ke, mak lang?"

Mak Lang Aisyah mengesat mata.

"Pak lang ... abah ... mak ... adik ... dah tak ada ke?"

Pak Lang Razi memaut erat bahu Helmi.

Serta-merta Helmi menunduk. Kepalanya dibenamkan ke lutut. Dia teresak-esak.

"Adik mengandung. Ya ALLAH, kasihannya adik aku ... adik ...."

Pak Lang Razi memeluk erat pemuda itu.

"Lama saya tak balik ... janji dengan abah, nak kerja kuat. Kumpul duit untuk hantar mak dan abah pergi haji. TUHAN tak izin, pak lang ... ya ALLAH ...."

Dari sebalik pohon mempelam berhampiran, sepasang mata memerhati tajam.

Previous: Bab 0
Next: Bab 2

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.