Elika memandang makanan yang dihidangkan oleh Gloria. Selepas menghidangkan makanan tersebut Gloria berdiri semula di hadapan Elika.
“Kau tak nak duduk?” soal Elika dengan kening berkerut.
“Kau gila? Aku pembantu kat sini,” balas Gloria sambil menjeling 2 orang pengawal yang berdiri tidak jauh dari mereka.
“Mana ada orang. Kau duduk lah. Aku tak makan kalau kau tak duduk,” kata Elika separuh mengugut dengan nada tegas.
“Ishh dia ni. Kalau pengawal tu lapor aku kat Varna, mati aku,” balas Gloria sambil menarik kerusi di sebelah gadis itu. Elika tergelak kecil.
“Kau ni penakut lah. Kau jangan risau. Pandai lah aku bodek dua orang mamat tu,” balasnya sambil mula mencapai buah epal yang telah dihiris.
“Pandai lah kau. Sekarang ni macam mana? Kau dah dua kali menang tak bertanding. Tak silap aku, ada tiga lagi ujian kau kena ikut. Kau jangan lah takutkan aku,” kata Gloria dengan riak wajah yang resah.
“Aku tak faham dengan si Firdaus tu. Kau tak rasa dia tu sengaja? Kot dia tahu kita ni bukan asal sini. Dia nak aku menang supaya aku jadi hamba macam kau kat sini. Hamba seumur hidup,” jawab Elika dengan wajah serius. Gloria menampar bahu gadis itu. Elika mula ketawa terbahak. Gloria memandang pengawal yang masih tegak berdiri di tempatnya. Dia menarik nafas lega. Gloria memandang semula Elika yang masih tergelak.
“Aku serius lah!” marahnya.
“Kau nak aku buat apa? Aku tak buat apa-apa pun menang. Aku sebenarnya terfikir nak undur diri. Tapi, aku risaukan mama dan Idham. Aku dengar sesiapa yang undur diri, keluarganya akan dibuang negeri. Kejam kan?” balas Elika sambil mendengus perlahan. Gloria mengeluh.
“Pasal perigi tu, kau ada tanya tak sesiapa kat dalam istana ni? Mana lah tahu mereka tahu pasal perigi tu,” soal Elika dengan kening terangkat. Gloria menggeleng.
“Aku dah tanya. Kau ingat aku duduk diam aje? Tapi mereka tak tahu pasal perigi tu. Malah mereka kata dalam negeri ni memang tak ada perigi pun,” jawab Gloria dengan senyuman hambar.
“Biar betul?” soal Elika agak terkejut. Gloria mengangguk yakin. Elika pula mengeluh. Dia mula buntu.
*****
Safiq menghampiri Firdaus yang sedang termenung di taman yang berhampiran dengan bilik tidurnya.
“Belum tidur?” soalnya dengan senyuman. Firdaus membalas senyuman lelaki itu.
“Daus tidak tahu abang sudah kembali. Abang sihat?” soalnya gembira dengan kepulangan abang kesayangannya itu.
“Maaf, abang terus jumpa ayah tadi. Sebab itu tidak sempat jumpa Daus. Macam mana dengan keadaan Daus?” soalnya prihatin.
“Semuanya dalam keadaan baik. Berapa lama cuti?” tanya Firdaus pula. Biasanya Idham hanya singgah sebentar di istana sebelum merantau semula.
“Mungkin selepas Daus kahwin,” jawab Safiq dengan senyuman nakal. Firdaus hanya tersenyum hambar.
“Sudah jumpa calon yang sesuai?” soal Safiq. Firdaus menggeleng.
“Belum? Tapi abang dengar Daus mula terpikat dengan anak gadis Idham. Bukan dulu Daus tidak suka dengan budak perempuan itu?” tanya Safiq semula separuh mengusik. Rasyid ada memberitahunya yang Firdaus ada membantu anak gadis Idham. Idham merupakan salah satu orang kepercayaan ayah mereka. Sejak kecil anak gadis Idham yang diberi nama Elika sering mengikut ke istana. Sejak bertemu dengan Firdaus, Elika mula mengikut adiknya itu ke mana sahaja. Malah budak kecil yang kini sudah dewasa itu sering memberitahunya yang dia akan mengawini Firdaus apabila mereka sudah dewasa nanti.
“Elika yang ni lain,” balas Firdaus dengan nada perlahan. Elika yang dikenalinya sejak kecil seorang yang sentiasa mahu sempurna di matanya. Namun Elika yang ditemuinya beberapa hari ini sangat berbeza. Banyak perkara yang tidak diketahui oleh gadis itu. Terangkat kening Safiq mendengar kata-kata lelaki itu.
Lain?
*****
Elika memandang kain putih yang kosong berbentuk segi empat tempat di hadapannya. Ada sebatang berus warna serta dakwat hitam di sebelah kain tersebut.
“Kita nak buat apa?” soal Elika pada Uyana yang duduk di sebelahnya.
“Kita akan melukis wajah putera hari ni. Semoga berjaya Elika,” ucap Uyana ikhlas. Elika tersenyum hambar. Dia memandang Gloria yang berdiri tidak jauh dari mereka. Gloria mengenyitkan matanya. Elika tersenyum lebar.
Betul kata Gloria. Buat apa aku nak bersusah payah untuk menang?
Nana yang baru saja sampai terus mengambil tempat di hadapan Elika. Dia dengan sengaja menendang dakwat yang berhampiran dengan Elika lalu tumpah pada kain putih milik gadis itu.
“Maaf,” ucapnya tanpa senyuman. Elika yang terkejut lalu menoleh ke arah Uyana.
“Nana, jangan lah macam itu. Kamu selalu ganggu Elika,” tegur Uyana dengan kening berkerut. Dia memang tidak suka dengan perangai gadis sombong itu.
“Kamu diam!” marah Nana sambil menjeling tajam ke arah Uyana.
“Tak apa. Saya okay. Em,. maksud saya, saya baik. Awak tak perlu risau,” celah Elika. Risau pula dia jika Uyana tidak memahami perkataannya.
“Semua berrsedia, putera sudah sampai,” kata Varna yang tiba-tiba muncul. Elika mengangkat ibu jarinya pada Uyana. Gadis itu mengangguk perlahan. Uyana simpati melihat kain putih milik gadis itu yang sudah berubah warna. Dalam ujian itu memang hanya sehelai kain saja yang akan diberikan. Jika ingin meminta lebih daripada satu maka peserta akan dianggap gagal. Elika memandang Firdaus yang baru sahaja sampai lalu duduk di hadapan mereka. Wajah lelaki itu tetap serius seperti sebelumnya. Elika memandang pula kain putihnya yang sudah bertukar warna.
Nasib baik Nana selamatkan aku. Kalau tak memang hancur muka putera tu aku kerjakan. Mana lah aku reti nak melukis.
Bisiknya dengan perasaan lega.
*****
Setelah dua jam berlalu maka setiap peserta diarahkan membawa lukisan tersebut untuk ditunjukkan kepada putera. Elika agak resah. Adakah dia akan dihukum kerana tidak melukis apa-apa?
Elika memandang Uyana yang baru sahaja selesai menunjukkan lukisannya. Kini gilirannya pula. Elika sempat memandang Gloria yang hanya tersenyum dari jauh memandangnya. Dia mendengus perlahan. Gloria mesti sedang gelakkan dia sekarang ni.
“Elika,” panggil Varna apabila melihat Elika yang masih duduk di tempatnya. Elika bangun perlahan. Bulat mata Varna melihat kain putih milik gadis itu. Elika hanya tersengih sebelum menuju ke arah Firdaus. Sampai sahaja di depan lelaki itu, Elika menghulurkan tangannya.
“Dekat sikit,” arah Firdaus. Elika memandang kedudukannya dengan lelaki itu.
Dekat kot!
Elika berjalan sedikit ke hadapan. Firdaus kini bangun dari kerusinya.
“Lagi,” arahnya semula. Terangkat kening Elika memandang lelaki itu.
Lagi? Gila apa? Nak aku jatuh dalam pelukannya? Issh!
Elika membebel dalam hati. Dengan berat hati, Elika melangkah ke hadapan sedikit lagi. Jarak tangannya beberapa inci saja boleh menyentuh dada lelaki itu. Firdaus merenung agak lama wajah gadis itu secara dekat. Memang Elika. Tapi mengapa dia rasa Elika di hadapannya itu adalah orang lain?
Elika agak berdebar dengan renungan lelaki itu.
“Esok saya tak nak datang lagi. Saya dah gagal. Saya tak lukis wajah awak pun,” katanya dengan berani. Tanpa sedar Firdaus tersenyum. Elika terkedu. Hatinya cair saat melihat senyuman lelaki itu.
“Jangan pernah berani buat keputusan sendiri. Awak akan tetap datang esok. Saya akan cari awak kalau awak hilang tiba-tiba,” kata Firdaus dengan nada tegas. Wajah lelaki itu kembali serius. Bulat mata Elika memandang lelaki itu.
Gila!