Kami berempat makan bersama malam itu. Langkah pertama
rancangan malam ini berjaya seperti yang Firqin mahukan iaitu buat-buat kami
terserempak dengan Amera dan tunangnya. Amera memilih untuk duduk di sebuah meja yang terletak di
luar restoran yang berhampiran dengan pantai.
Aku lebih banyak diam dan hanya fokus menikmati stik daging di
dalam pingganku. Aku terus tunduk memencilkan diri. Kejadian tadi masih lagi
bermain-main di dalam benakku. Aku bagaikan tidak percaya Firqin kata ‘ I love
you’ kepadaku. Malahan sejujurnya pandangan matanya tadi yang menggusarkan hatiku
sebenarnya. Tak pernah aku rasa kekok dan tidak selesa seperti ini.
Aku hanya menjadi pendengar perbualan rancak di antara
Firqin dan Danial yang sesekali diselangi suara Amera. Topik perbualan mereka pula banyak berkisar
tentang kerjaya dan kehidupan
masing-masing. Yang langsung tiada kaitan denganku. Aku tak berminat untuk tahu
pun.
“Ariana, why are
you so quiet?”
Soal Danial kepadaku.
Aku mengangkat wajah. Lalu tersenyum. “Nothing. Sebab I tak ada sebab nak cakap apa-apa. Sorry....you all boleh teruskan
perbualan tadi.”
Aku terkesan Firqin memandangku tajam. Pasti dia mula bengang kerana aku tidak jalankan
peranan aku sebagai ‘bakal isterinya’ malam ini.
“Oh yea... sedap bukan stik tu. Favorite I juga.” Danial mula mengajakku berbual.
Aku mengangguk. “Sedap.” Balasku ringkas. Aku kembali
fokus menguis-nguis daging di dalam pinggan.
Tiba-tiba aku terasa kakiku ditendang. Aduh! Sakitnya.
Kenapa dengan lelaki ni? Main tendang-tendang pula. Aku menjeling Firqin geram.
Dia memberi isyarat mata kepadaku agar meneruskan rencana kami. Aku mengetap
bibir menahan sakit, menahan geram.
Aku kembali menyuap makanan ke dalam mulut. Sekali lagi
kakiku ditendang. Ini sudah lebih! Sepantas kilat aku memijak kaki kanannya
dengan tumit kasutku. Sekuat hati.
“Auch!” Lelaki itu terjerit. Spontan dia terbangun dari
kerusinya. Pergerakannya itu membuatkan gelas berisi air di atas meja tertumpah
ke atas baju Amera.
Lelaki itu mengusap-usap kakinya. Merah padam wajahnya
tahan sakit. Tahu sakitkan! Macam tu lah aku rasa. Ketika dia tersedar telah menyebabkan baju Amera terkena
air, dia segera meminta maaf. Aku hanya buat selamba. Tidak mempamerkan wajah
bersalah langsung.
“I am so sorry
Amera. I tak
sengaja. Tadi ada tikus bawah kaki I.” Katanya sambil matanya mengerling ke arahku.
“What? Tikus? Mana?” Amera mula
panik.
“No...tak ada. I bergurau aje.” Firqin menenangkan Amera.
Amera bangun untuk membersihkan kesan air di bajunya.
Firqin segera menarikkan kerusi buat Amera.
“I teman you.” Ujarnya tanpa sedikit pun meminta
kebenaran dari Danial, tunang Amera.
Danial pula aku lihat nampak biasa saja. Tiada riak
cemburu atau minat untuk ambil berat pada tunangnya. Sepatutnya dialah yang harus
temankan Amera ke washroom.
Aku semakin kekok
duduk berdua dengan Danial. Aku tak tahu nak bualkan tentang apa berdua dengan lelaki itu.
Lalu aku hanya diam sambil berpura-pura melihat sesuatu di dalam telefon
bimbitku.
“Dah lama you kenal Firqin?” Danial menyoal. Mungkin dia
tak tahu nak mulakan topik apa agaknya.
“Emmmm.....tak juga. Baru aje kenal. Kenapa ya you
tanya?” Balasku.
Danial ketawa. “Tak ada apa-apa. I cuma tertanya-tanya
macam mana dia boleh kenal wanita secantik you ni. Are you a stewardess?”
Aku tergelak. “No, I am not.”
“Kalaulah I dulu yang terjumpa you...mesti I bertuah
kan.” Dia memandangku. Pandangannya lain macam betul.
Aku hanya sekadar tersenyum. Dalam hati mula berprasangka
terhadap Danial. Kenapa sikapnya tiba-tiba berubah?
Aku mencapai gelas, terasa dahaga. Namun alangkah
terkejutnya aku apabila selamba saja Danial memegang tanganku.
Pantas aku menarik tanganku. “Apa ni Danial?” Aku mula
meninggikan suara.
Danial melepaskan keluhan. “Look Ariana.... terus terang I katakan yang I dah jatuh cinta pada
you. On the first sight. So can we meet
again Ariana?”
Terasa nak terkeluar balik isi di dalam perutku apabila
mendengar pengakuan berani seperti itu. Hello? Kenapa aku terjumpa dengan
lelaki-lelaki yang minta pelik-pelik hari ni?
Aku memandang Danial tajam. “Are you lost your mind, Danial? You tunang Amera. You dan dia nak
kahwin tak lama lagi. Tolong jangan buat benda pelik-pelik boleh.” Merona merah
wajahku menahan marah. Aku memang pantang dengan lelaki seperti ini, satu
spesis dengan Si Burhan.
Sesekali mataku mengerling ke arah Firqin yang aku lihat
sedang berbual dengan Amera di bahagian dalam restoran. Nampak serius, entah
apalah yang mereka bualkan. Mahu saja aku memanggilnya.
“I tahu Ariana. Tapi apa daya I kalau I jatuh cinta pada
you. I tak pernah rasa macam ni. Dengan
Amera pun I tak pernah rasa jantung I nak terkeluar macam I rasa sekarang. Tak
sama perasaan ketika I pandang you.”
“Jom kita lari!” Tiba-tiba dia mencengkam pergelangan
tanganku.
Aku panik. Terkejut. Takut apabila tiba-tiba Danial buat
begitu. Aku cuba melawan dengan menarik tanganku, tapi cengkaman tangannya
lebih kuat. Dia mula mengheret tanganku untuk mengikutinya.
“Danial, lepaskan I!” Aku berteriak. Namun semakin kuat
Danial mencengkam lenganku. Sakitnya apabila aku dikasari begitu. Danial memang
gila.
“Lepaskan, I menjerit nanti.” Aku mengugutnya. Tetapi
Danial tidak ambil peduli.
Mataku tercari-cari kelibat Firqin. Aku tidak tahu untuk
lakukan apa ketika itu, lantas aku berteriak memanggil nama Firqin supaya dia
datang membantuku.
“Firqin! Tolong I please!”
Kuat aku menjerit. Namun aku semakin panik apabila Danial menerkup mulutku dan
mencengkam pinggangku.
Dalam keadaan panik sebegitu tanpa berfikir lagi aku
terus menghentak kasut tumit tinggiku ke atas kasutnya. Terlepas saja cengkaman
tangannya dari lenganku, aku terus menumbuk bahagian ulu hatinya. Danial
melutut. Mengerang kesakitan.Aku pantas mencabut kasutku terus aku layangkan ke
pipi kanannya. Danial tersungkur di atas pasir.
Tiba-tiba Firqin merampas kasut itu dari tanganku. Aku
menoleh.
Amera terus mendapatkan tunangnya. “Are you crazy?” Amera memarahiku. Dia mengusap-usap pipi Danial
yang bengkak. “Sayang...you okay? Darah...” Amera mengesat luka di pipi
tunangnya itu.
“Apa salah Danial? Ariana I dah agak you mesti nak goda
Danial. Sejak dari awal lagi tadi I dah perasan, I dah tahu perempuan macam you
ni jual muka untuk dapatkan lelaki kaya! Tak guna!” Amera menghinaku.
Marahku sudah tidak dapat aku bendung. Aku mendekati
Amera dan mencengkam kolar bajunya. Dia terdorong berdiri.
“Apa kau cakap tadi? Ulang balik!” Teriakku. Hilang
sabar.
Firqin mendekati. “Ariana...awak gila ke?”
Aku menjelingnya. “Memang saya gila! Sejak dari awal lagi
permainan awak cipta ni memang gila. Tapi dia ni dah buat saya bertambah
lebih gila.” Semakin kuat aku mencengkam kolarnya.
Wajah Amera nampak pucat. Tangannya cuba menarik
tanganku dari lehernya.
“Ariana sudah!” Firqin tiba-tiba menengkingku.
Apahal pulak dia nak tengking aku! Ini dah
melampau. Orang lain yang buat salah, aku yang kena pulak.
“Kau minta maaf dulu baru aku lepas.” Aku memandang tepat
mata Amera.
Muka Amera bertukar merah. Dia terbatuk-batuk beberapa
kali. Amacam rasa kena cekik? Tak sayang mulut, ini padahnya cari pasal dengan
aku.
“Siapa perempuan tak guna? Siapa jual muka goda lelaki?
Kau ulang sekali lagi.” Aku memandang tepat mata Amera.
Aku tak akan lepaskan Amera begitu saja. Siapa dia untuk
menghina aku. Kalau perempuan sepert ini idaman Firqin, lelaki itu memang buta.
Buta hati menilai seseorang seperti Amera ni.
Firqin memegang lenganku. Berusaha melepaskan tanganku
dari Amera. Danial pengecut tu hanya berani jadi pemerhati je. Lelaki tak guna.
Kutukku.
“Ariana lepaskan Amera. Dia tak boleh bernafas tu.”Firqin memarahiku.
Aku tidak mengedahkan omongan Firqin.
“Kau tanya dulu pada lelaki tak guna tu apa dia buat kat
aku tadi? Ada sebab aku hentak dia dengan kasut.” Aku menjeling Danial geram.
Aku terkejut apabila aku terasa tubuhku didorong
kuat. Badanku terhempas di atas pasir. Sakitnya. Aku memandang Firqin. Sampai
hati dia menolak aku. Aku rasa ingin menangis. Aku seakan tidak percaya dia
buat begitu terhadapku.
Aku ketawa. Terasa bodoh kerana terlibat dalam
permainannya. Tajam matanya memandangku. Kenapa? Marah kerana aku mengapa-apakan
perempuan yang dia sayang? Aku mengetap bibirku menahan geram, menahan rasa hiba yang tiba-tiba datang. Aku rasa terkilan
dengan tindakannya itu.
Amera segera mendapatkan kembali Danial. “Gila.. you
berdua sama aje. Gila! Sorang gila merayu nak dapatkan cinta , sorang lagi gila menggatal. You Firqin jangan kacau hidup I lagi, hubungan kita dah lama
berakhir. I tak minat pada you lagi. Jangan fikir kita akan bersama balik. Hal tu tak akan jadi. Jadi baik you jaga girlfriend gila you ni aje. You
know what, I makin benci pada you
sebab perempuan ni.” Amera melepaskan geram sebelum melangkah pergi memapah
kekasihnya.
Perlahan-lahan aku cuba bangun. Kaki kiriku terasa sakit.
Mungkin terseliuh ketika aku ditolak tadi. Aku cuba tahan sakit. Aku mengesat
kesan pasir di kedua-dua belah siku. Aku terkesan siku kananku berdarah.
Terdapat calar terkena pasir tadi.
Firqin diam. Namun matanya tidak lepas memandang kelibat
Amera sehingga mereka berdua keluar dari sana. Aku dah malas nak fikir apa-apa. Perlahan-lahan aku jalan
terincut-incut meninggalkanya. Sakit di kaki cuba aku tahan.
Tiba-tiba aku rasa tangan kananku dicengkam dari
belakang. Badanku terpusing. Tajam mata Firqin menikam wajahku. Wajahnya nampak
benar-benar marah.Bukan dia seorang saja yang tengah marah masa tu, aku
sepatutnya yang lebih berhak bersuara, berhak marah ketika itu.
Wajahnya berubah ketika matanya tertancap ke arah
pergelangan tanganku yang nampak lebam. Lebam kerana dikasari Danial tadi. Hilang
riak bengis di wajahnya. Perlahan-lahan dia melepaskan cengkaman tangannya dari
lenganku.
Dia memandang sikuku yang terdapat kesan darah, sebelum
matanya beralih ke arah wajahku. Mungkin dia terkesan mataku yang berair. Aku memusingkan badan. Mula berjalan perlahan. Dia
kemudiannya menahanku.
“Ariana....awak okay ke? Okay ke kaki tu?” Lembut pula
dia melayaniku. Dia tak sedar ke siapa
penyebab aku jadi macam ni? Hatiku semakin terbakar.
Malas nak cerita panjang aku teruskan berjalan. Dia
menghalang dengan berhenti di depanku. Aku tidak memandang langsung wajahnya.
Membuang pandangan ke arah lain. Aku takut aku bertindak luar kawalan nanti.
“Salah awak juga, kenapa awak apa-apakan Amera tadi.”
Ujarnya.
Aku menghempas tas tangan ke atas pasir. Memandang
matanya. Cukup, aku dah tak boleh sabar.
“Encik! Salah saya ke? Encik nak cakap ini semua salah
saya? Encik langsung tak rasa bersalah ke tolak saya tadi! Saya perempuan tau
tak...kasar Encik buat saya macam tadi.” Marahku. Air mata memang tak mampu aku
nak bendung lagi. Sakit hati kerana terkilan dengan perbuatannya dan juga sakit
menahan kakiku yang terasa semakin berdenyut-denyut.
Lama dia memandangku. Matanya nampak bening. Tidak
mencerlung seperti tadi. Aku nampak mulutnya seperti ingin berkata sesuatu tapi
tidak terkeluar.
“Sepatutnya dari awal lagi saya tak nak terlibat dengan
lakonan gila ni. Tapi Encik ugut saya walaupun saya dah minta maaf. Encik
sedar tak Encik gunakan saya? Encik tak sedar tu sebab Encik gila pada
Amera. Tindakan Encik ni sebenarnya lebih lukakan banyak hati. Termasuk saya.
Saya tak pernah menyesal kenali seseorang baru dalam hidup saya. Ini kali
pertama. Mengenali Encik buatkan saya menyesal sampai bila-bila.” Aku mengesat
airmata di pipiku sebelum meneruskan melangkah. Entah mengapa aku rasa terkilan
sangat walau pun aku tidak mengenali lelaki itu.
Firqin menghalangku. “Enough!”
Aku memandang wajahnya sejenak sebelum aku terus berjalan.
“I am sorry
Ariana.” Ujar
lelaki itu.
Aku buat tidak endah. Buat tidak dengar.
“Ariana....saya minta maaf.” Katanya lagi.
“Simpan maaf awak tu bagi ikan kat laut tu makan.” Teriakku.
Namun entah mengapa airmataku tak nak berhenti mengalir.
Sedih kerana Danial melayaniku dengan buruk tadi? Atau
sedih kerana tindakan Firqin terhadapku tadi?
Aku menyesal. Sangat menyesal kerana terjebak dalam
kehidupan lelaki itu. Apa salahku bila senang-senang saja aku dihina oleh Amera
tadi, aku juga ada maruah yang aku berhak pertahankan. Apa salahku
mempertahankan diri, sampaikan hati lelaki itu tergamak menolakku. Apa salahku
dikurniakan wajah sempurna apabila aku dilayan sebegitu oleh Danial? Semua ini
langsung tidak adil bagiku.
“Ariana....” Sayu suara lelaki itu memanggilku. Namun aku
tidak endahkannya.
Aku terkedu apabila tiba-tiba lelaki itu memegang
kedua-dua belah tanganku.
“En...encik...” Tergagap aku memanggil namanya. Terkejut
dengan reaksinya yang spontan itu. Pantas aku menarik tanganku.
“Maaf saya tak sengaja pegang tangan awak. Ariana...saya
betul-betul minta maaf.” Lembut dia menuturkannya.
“Memang saya salah. Saya tak sedar saya tertolak awak
tadi. Saya tak sengaja. Please Ariana.....” Pengakuannya itu kedengaran jujur di telingaku.
Aku masih diam. Tapi di dalam hati aku sudah sedikit
terkesan dengan ucapan maafnya itu.
“Maaf kalau saya cederakan awak. Saya tak ada niat nak
buat macam tu. Saya hormatkan awak sebagai seorang wanita. Maaf saya terkasar
tadi.”
Agak lama aku berfikir sebelum perlahan-lahan aku
mengangguk. Firqin mengeluarkan sehelai sapu tangan dari kocek seluarnya. Kemudian
dia membersihkan kesan darah di sikuku sebelum dia menghulurkan sapu tangan itu
kepadaku.
“The end untuk
drama malam ni.” Firqin membuang pandangannya ke arah laut sebelum dia
berpaling ke arahku.
“Kita sudah tak saling berhutang lagi. Saya janji tak
akan dakwa awak atau apa-apakan awak. Awak tak usah risau. Tak ada sebab untuk
kita jumpa lagi selepas ni. Terima kasih banyak Ariana.” Dia senyum hambar.
Entah kenapa tidak tahu sebabnya, hatiku rasa sedih
mendengar kata-katanya itu. Tapi hanya
seketika aku rasa begitu sebelum nama Amera keluar dari mulutnya.
“Tapi awak kena minta maaf pada Amera.” Katanya yang
membuatkan aku kembali bengang.
“What? No way!” Bentakku. Memang tidak
mungkinlah aku nak minta maaf pada Si Amera tu.
“Awak berkasar dengan dia tadi kan?”
Aku mendengus geram. “Sebab dia hina saya. Encik dengar
sendiri tadi kan dia cakap saya ni perempuan jual diri, nak goda tunang dia
lah. Siapa pun tak boleh nak sabar bila dihina macam tu. Dia memang silap orang
bila cakap macam tu pada saya. Amera tu yang sepatutnya minta maaf pada saya,
bukan sebaliknya.” Aku melepaskan geram.
Aku hilang rasa untuk memaafkan lelaki itu apabila nama
Amera disebut-sebut. Aku tak faham kenapa lelaki ini sangat berusaha untuk
dapatkan kembali bekas teman wanitanya itu. Kalau akulah perangai macam tu awal-awal
aku dah reject. Tak sayang mulut
langsung. Buktinya tadi Amera bukan saja menghinaku malah dengan kasar dia memarahi Firqin agar menjauhinya.
Sepanjang perjalanan pulang ke hotel aku memilih untuk
mendimkan diri. Langsung aku tidak memandang wajah lelaki itu. Ketika kereta
yang dipandunya semakin mendekati kawasan terletaknya tempat penginapan kami,
dia memberhentikan kereta di hadapan sebuah farmasi.
Beberapa minit kemudian, Firqin kembali bersama plastik
kecil. Dia menghulurkan bungkusan itu kepadaku. Lama dia menunggu aku menyambut
huluran plastik itu. Mahu tidak mahu aku ambil juga dari tangannya.
Aku terus keluar dari kereta ketika Firqin memberhentikan
keretanya di hadapan hotel. Aku terus menutup pintu kereta tanpa
menoleh atau pun mengucapkan selamat malam kepadanya.
“Sekali lagi saya minta maaf, Ariana.” Laungnya yang
turut keluar dari tempat duduk pemandu.
“Nanti saya fikirkan.” Balasku selamba.
“Jangan lupa sapu ubat antiseptik tu Ariana. Kaki tu juga
awak jangan urut. Nanti makin melarat.” Pesannya lagi.
Aku tidak menoleh. Terus masuk ke dalam. Mahu segera
masuk ke dalam bilik. Lagi lama aku pandang wajah lelaki itu, makin bertambah
geram aku dibuatnya. Mana tidak geram, awalnya dia meminta maaf dariku, aku
ingat dia ikhlas. Tapi selepas itu disuruhnya pula aku minta maaf pada Amera.
Tambahan pula, dia tidak minta penjelasan daripadaku
tentang apa yang berlaku di antara aku dan Danial dan juga sebab aku memukul
Danial dengan kasutku. Dia hanya mementingkan Amera. Takut Amera tidak bernafas
ketika aku mencengkam leher perempuan tu.
Aku tidak cemburu. Jauh sekali! Cuma aku mahukan keadilan
itu saja. Bila Firqin sendiri memilih untuk tidak bertanya aku pula tidak akan
terhegeh-hegeh untuk bercerita tentang apa yang Danial lakukan kepadaku
sebenarnya.