Home Novel Cinta AJARKAN AKU CINTA
AJARKAN AKU CINTA
Dea Zoraya
21/6/2019 15:16:27
65,710
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 17


Pagi itu aku sampai ke kafe dengan mood yang ceria. Aku mahu membuka lembaran baru tanpa ada sesiapa yang menggangu hatiku lagi. Masuk sahaja ke dalam kafe itu, aku menegur semua orang dengan nada yang ceria.

“Amboi...berserinya wajah hari ni. Ceria semacam aje abang tengok,” tegur Abang Naim yang sedang memasukkan kad perakam waktu kerja ke dalam mesin perakam.

Aku ketawa. “Saya rasa segar selepas pulang dari kampung. Dapat aura dari nenek lah katakan.”

Aku terus menuju ke bilik persalinan untuk mengenakan uniform, apron dan topi sebelum memulakan tugas sebentar tadi. Ketika aku sampai di sana, Kak Zaliha sedang bersiap.

“Seronok balik kampung dua hari ni?” tegur Kak Zaliha.

Aku senyum. “Maaflah Kak. Saya tak sempat balik rumah pagi tadi. Dari kampung terus ke kafe. Alhamdulillah...saya rasa bersemangat selepas balik berjumpa dengan nenek kesayangan.”

Kak Zaliha yang telah siap mengenakan uniform itu mendekatiku. Aku tahu daripada caranya itu ada sesuatu yang ingin dikatakanya kepadaku. 

“Emm...akak ada benda nak tanya kau ni?” 

“Apa tu kak?”

“Kau ada masalah dengan Aydin ke? Sejak dua hari ini banyak kali dia datang kafe cari kau. Kesian akak tengok dia...dengan tangan berbalut, naik teksi ke sini untuk bertemu kau. Katanya panggilan dan mesejnya kau tak balas.” 

Aku menggariskan senyuman nipis. “Saya okay aje dengan dia. Tak ada masalah pun.” Aku berselindung.

Kak Zaliha mencebik. “Eleh...kau dengan akak tak payahlah nak berahsia. Akak tengok dari air muka kau dah tahu kau dengan Aydin bermasalah. Gaduh pasal kejadian hari tu ke?” 

Aku melepaskan sebuah keluhan lalu wajah Kak Zaliha aku pandang. “Saya tak ada gaduh pun dengan Aydin...cuma saya kecil hati dengan dia.”

Kak Zaliha semakin berminat dengan ceritaku.

“Saya kecil hati kerana Aydin menceritakan masalah saya dengan Along dan bantuan yang dia hulurkan kepada saya kepada perempuan yang dia minati. Perempuan bernama Rania itu pula berdepan-depan tanya pada saya tentangnya. Malu saya, kak. Saya terkilan.”

Kak Zaliha menggeleng-geleng. “Kenapa Aydin buat macam tu? Akak nampak dia tu macam pendiam...polos...baik orangnya. Mungkin kau salah faham kut, Atilea?”

Aku ada berfikir juga tentang itu beberapa hari ini iaitu mungkin aku telah salah faham dengan Aydin. Aydin yang polos itu mungkin telah terlepas cakap kepada Rania mengenaiku tanpa disengajakan. Namun demi menjaga perasaan sendiri agar tidak terus rapat dengan lelaki itu, aku tetap menangkan pendirianku untuk menjauhinya.

“Saya tak tahulah kak. Yang pasti sekarang ni saya nak cari kerja lain supaya saya dapat bayar balik duit Aydin tu segera,” tambahku.

Berkerut dahi Kak Zaliha mendengarnya. 

“Eh...bukan kau kerja sebagai jurulatih cinta kepada Aydin ke?”

Aku menggeleng. “Sekarang tak lagi. Dia dah jumpa gadis yang diminati dan apa yang perlu dilakukan seterusnya adalah terpulang kepada dia, kak.”

“Tapi tak baik kau tinggalkan dia separuh jalan macam tu? Kan kau dah janji untuk tolong dia sampai dia menemui cinta sejati? Macam mana kalau Rania tu bukan wanita yang ditakdirkan untuk Aydin?” soal Kak Zaliha yang sengaja mahu membuatkan aku berasa bersalah pula.

“Akak ni macam menangkan Aydin je?” ujarku yang berpura-pura merajuk.

Kak Zaliha menepuk bahuku. “Eleh nak merajuk pulak. Akak ni kalau boleh nak menjernihkan air daripada menjadi semakin keruh. Tugas seseorang yang lebih berusia macam akak ini adalah memberi nasihat kepada yang muda macam kau supaya tidak salah membuat perhitungan mahupun keputusan. Ingat Ati...Allah tak suka dengan orang yang berpecah-belah dan bermasam-masam muka  ni. Jadi kalau masalah tu boleh diselesaikan dengan cara baik, cara berhemah...lakukanlah ya.”

Aku diam merenung diri. Aku sempat berfikir yang aku mungkin bersalah kerana terlalu mengikut emosi. Aku tidak mempertimbangkan apa yang masuk ke dalam telingaku terlebih dahulu dengan terus menerpa dan memarahi Aydin tanpa mendengar akan penjelasannya terlebih dahulu. Kini aku tidak boleh menipu diri sendiri lagi bahawa aku sebenarnya lebih terasa setelah munculnya Rania di dalam hidup Aydin dan telah membuatkan aku terpaksa mengundurkan diri daripada menaruh hati pada Aydin. 

Salah aku juga telah terbang jauh di dalam perasaan sendiri sedangkan hakikatnya Aydin tidak menyimpan sebarang perasaan istimewa pun terhadapku dan hanya menganggapku sebagai kawan biasa sahaja.

“Tapi kan Ati...akak rasa Si Aydin tu macam ada perasaan aje pada kau? Entah-entah dia suka kat kau tak? Kalau tidak...masakan dia dengan lengan yang berbalut macam tu sanggup datang naik teksi ke sini selama dua hari berturut untuk bertemu dengan kau? Lagi kuat membuktikannya apabila depan mata kami semua dia selamatkan kau daripada ditikam.” Kak Zaliha memberikan pendapatnya.

“Saya dengan dia hanya kawan biasa saja kak. Saya berterima kasih pada Aydin yang telah membahayakan nyawanya untuk saya. Tapi saya tak rasa dia suka pada saya. Saya ni apa yang ada kak? Duit tak ada, harta tak ada...kerja pun biasa-biasa aje. Tak setanding dengan dirinya. Di luar sana lagi banyak gadis yang sesuai dengannya yang menanti,” balasku dalam rasa rendah hati.

Kak Zaliha mengangguk-angguk. “Tapi kalau dah jodoh tak ke mana kan? Ini akak saja cakap aje ya...tak maksud apa-apa pun. Tapi kan...penampilan Aydin sekarang lain betul ya? Berubah 100% menjadi orang lain. Terpaku mata akak ni tengok dia. Kacak bergaya sekarang,” puji Kak Zaliha yang tersenyum-senyum.

Aku senyum. “Nampak tak tangan saya ni ada bakat berubah dirinya. Aydin bagaikan seekor itik bertukar menjadi angsa dengan adanya saya yang membantu dia.”

“Elok lah tu, jadi teruskanlah bantu dia ya,” suruh Kak Zaliha.

Aku menyarung topi ke atas kepala. “Tengoklah macam mana nanti. Saya tak fikir lagi tentang tu. Jom lah kak mulakan kerja,” ajakku yang mula melangkah keluar dari bilik persalinan itu.

Aku menjalankan rutin kerja seperti biasa dengan mengambil dan menghantar pesanan kepada pelanggan. Aku melepaskan keluhan apabila aku terlihat kelibat Aydin yang memasuki kafe itu dan terus menuju ke sebuah meja yang terletak di sebelah dinding. Aku buat-buat tidak nampak akan kehadirannya itu dengan menyibukkan diri mengangat dan membersihkan pinggan dan cawan yang telah digunakan.

Aku meminta Kak Zaliha untuk mengambil pesanan daripada Aydin yang matanya asyik tertumpu ke arahku itu. Pergerakanku menjadi ekoran matanya dan sesekali apabila mata kami bertembung, bibirnya itu mengukir senyuman namun tidak aku endahkan.

“Tak baik kau buat dia macam tu?” bisik Kak Zaliha ketika kami berselisih.

“Saya tengah kerja ni kak.” Aku beralasan.

Kak Zaliha mencebik. “Alah...takkan sekejap pun kau tak boleh singgah tanya khabar dia? Ingat...sebenci mana dan semarah mana pun kau dengan dia...dia dah berkorban untuk kau tau. Tu...nampak tangannya yang masih berbalut tu? Demi tolong siapa dia jadi macam tu?”

Kak Zaliha memang pandai membuatkan aku berasa bersalah. Sebuah keluhan aku lepaskan dari anak tekak yang terasa berat. Aku mahu melangkah mendekati Aydin namun belum sempat aku berbuat demikian, Ikmal lebih pantas mendekatiku.

“Ada apa Aydin berhari-hari datang ke sini?” tanya Ikmal sambil matanya itu bagaikan tidak puas hati sahaja memandang ke arah Aydin.

Aku menelan liur. Sebolehnya aku tidak mahu Ikmal tahu akan hal perselishan aku dengan Aydin. Aku tahu Ikmal pasti akan naik angin apabila mengetahui Aydin telah menceritakan ihsannya yang membantuku kepada Rania sedangkan aku telah menolak pelawaannya untuk menjelaskan hutangku.

“Dia datang makan je kut,” balasku.

“Aku tak rasa macam tu. Dia datang sini kerana nak jumpa kau. Aku terdengar yang Aydin tu mencanang pasal hal dia bayarkan hutang kau pada kawan dia. Betul ke?” tanya Ikmal lagi sambil dia mencekak pinggangnya.

Aku memandang wajah Ikmal dengan rasa terkejut sambil di dalam hati tertanya-tanya bagaimana lelaki itu mengetahui akan hal itu.

“Kenapa kau pandang aku? Kau tertanya-tanya dari mana aku tahu tentang tu? Kak Zaliha cerita pada aku tadi. Geram betul aku rasa dan aku rasa macam nak tumbuk aje muka dia tu,” ujar Ikmal yang jelas nampak bengang.

“Tak ada apalah, Ikmal. Aku akan selesaikan masalah ini dengan Aydin. Aku nak jumpa dia sekejap boleh?” pintaku.

“Kau cakap dekat Aydin, jangan berani buat hal. Aku perhati aje dia sejak tadi,” ugut Ikmal.

Aku meletakkan dulang yang berada di tangan ke atas meja sebelum melangkah mendekati Aydin. Lelak itu menggariskan senyuman apabila dia menyedari aku mendekatinya. Aku menarik kerusi di hadapannya lalu tanpa menunggu lama, aku terus kepada pucuk cerita.

“Ada apa kau cari aku di sini? Kak Zaliha kata pada aku yang kau dah dua hari ke sini? Apa yang penting sangat kau nak cakap pada aku?” soalku dengan nada mendatar.. 

“Atilea...aku nak minta maaf pada kau tentang perkara tempoh hari. Sungguh aku sebenarnya terlepas cakap pada Rania masa dia menelefon aku sebab err...aku menggelabah tak tahu nak cakap apa. Bila dia tanya tentang kau, mulut aku ni tanpa berfikir terus terkeluar tentang masalah kau dengan Along. Aku minta maaf Atilea, aku tahu aku yang salah dalam hal ini,” pinta Aydin dengan nada memujuk.

Aku melepaskan sebuah keluhan. “Dah lah Aydin, benda dah berlaku pun. Aku pun malas nak panjangkan cerita ini. Aku berterima kasih pada kau yang telah membahayakan nyawa untuk aku sampai tercedera. Aku akan ingat jasa kau sampai bila-bila. Tapi terus terang aku katakan yang aku dah tak boleh bantu kau untuk jadi dating coach lagi.”

“Atilea...janganlah sampai macam tu sekali. Aku tahu kau marah tapi janganlah berhenti tolong aku,” pujuk Aydin.

Aku memandang wajah sayu Aydin. “Aydin...aku dah maafkan kau. Tapi aku berasakan yang kau dah tak perlu khidmat aku lagi untuk bantu kau. Kau boleh lakukannya sendiri. Kau boleh pikat Rania kerana aku tengok dia pun suka kat kau.”

Aydin seakan berfikir lama. 

“Aku tahu kau sukakan Rania. Ini peluang kau untuk pikat dia. Tak susah Aydin...kau hanya perlu jadi diri sendiri aje,” tambahku.

“Tapi Rania membuatkan aku terfikirkan sesuatu sejak akhir-akhir ini,” ujar Aydin tiba-tiba yang membuatkan keningku bercantum.

“Maksud kau?”

“Aku perasan Rania mula mendekatiku selepas kau ubah penampilan aku jadi macam ni. Dulu dia sedikit pun tak nampak diri aku.”

Aku mengiyakan di dalam hati kerana aku juga sedikit sebanyak pada awal perubahan penampilan Aydin turut berasakan demikian. Aku tertarik dengan wajah kacak dan penampilan kemasnya. Begitu juga dengan Rania yang menyedari akan kewujudan Aydin setelah aku membuat sedikit ‘magik’ pada diri lelaki itu yang sekaligus membuatkan aura dirinya menyinar.

“Lumrah manusia Aydin. Manusia suka lihat benda yang indah-indah. Terutamanya perempuan memang suka bila tengok lelaki kacak. Aku rasa Rania benar-benar sukakan kau dan aku doakan yang baik-baik untuk kau dengan dia,” ujarku yang membuatkan aku semakin rendah diri.

“Betul ke kau nak berhenti? Gaji kau pun aku tak bayar lagi.” Aydin seakan merayu.

“Kau tolak bayaran upah aku tu dengan duit yang kau dah bayarkan pada Along. Selebihnya aku akan bayar secara ansuran pada kau,” balasku.


Previous: Bab 16

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.