Home Novel Cinta Cinta Tanpa Noktah
Cinta Tanpa Noktah
Cik Tasneem
1/1/2024 21:03:22
5,314
Kategori: Novel
Genre: Cinta
BAB 4

MINYAK wangi dari jenama kegemaran disemburkan ke seluruh tubuh sasanya. Semerbak bau haruman penuh maskulin itu memenuhi ruang kamar miliknya. 


Berpuas hati dengan penampilannya yang sudah segak bergaya, langkah Taufiq atur laju berlalu meninggalkan kamar miliknya. Dituruni anak tangga dengan penuh berhati-hati. Kaki dihalakan ke ruang makan. 


"Good morning mama, papa." 


Penuh ceria Taufiq menyapa. Bibir tak lekang mempamerkan senyuman manis buat Encik Karim dan Puan Mariani. 


"Morning, Fiq. Hari ni kamu dah start kerja di tempat baru ke?" soal Encik Karim. Penampilan Taufiq dikerling atas bawah. 


Teh O panas dicicip perlahan sebelum pertanyaan Encik Karim di jawab. "Ya, pa. Hari ni secara rasminya Fiq akan bekerja di tempat baru. Tak sabar pula rasanya," ujarnya penuh teruja.


"Amboi! Lain macam je mama tengok kamu ni, Fiq. Excited betul. Ada apa-apa yang istimewa ke dekat tempat kerja baru kamu tu?" Puan Mariani yang diam mula menyoal penuh curiga. Wajah cerah Taufiq direnung dalam-dalam. 


Kepala digeleng laju. "Eh! Mama ni ke situ pula. Tempat kerja baru Fiq tu tak ada apa yang istimewa pun, mama. Sama je macam office lama. Kalau berbeza sekalipun hanyalah environment dan staf-staf dekat sana. Fiq ni cuma berpindah dari bekerja di anak syarikat lama ke syarikat induk. Asasnya Fiq masih lagi bekerja dengan syarikat yang sama," terang Taufiq panjang lebar. 


"Ya, mama tahu tu. Tempat baru persekitarannya juga baru. Kamu juga mesti akan bekerja dan berjumpa dengan orang-orang baru. Jadi sambil-sambil tu bolehlah cuci mata, kan? Bak kata orang sambil menyelam boleh minum air, kan?" kening dijongketkan. Bibir dah tersungging dengan senyuman penuh makna. 


Bebola mata dijulingkan ke atas. Taufiq dah macam boleh hidu apa yang bakal Puan Mariani bahas sekejap saja lagi. 


"Fiq tak ada masa lah nak menyelam sambil minum air macam yang mama cakapkan tu. Tujuan Fiq pergi sana adalah untuk bekerja. Cari rezeki yang halal. Bukannya sebab nak menggatal atau nak mengurat mana-mana perempuan." 


"Papa setuju dengan kamu, Taufiq. Bagi pendapat papa lah buat masa ni ada baiknya kamu fokus dulu dengan kerja kamu. Kamu pun baru aje dinaikkan pangkat mesti akan ada banyak perkara yang perlu kamu uruskan. Soal jodoh tu jangan difikirkan sangat. Bila tiba masanya nanti pasti dia akan datang sama ada cepat ataupun lambat," celah Encik Karim yang sedari tadi hanya menjadi pendengar perbualan isteri dan anaknya itu. 


"Eh! Saya tak setuju dengan statement abang tu. Soal jodoh ni kita kena usaha bukan tunggu aje macam bulan jatuh ke riba. Memang betul jodoh, ajal dan maut ni semuanya dah ditetapkan di Luh Mahfuz tapi sebagai manusia kita juga kena usaha untuk mendapatkan jodoh yang baik dan sesuai untuk kita. Saya sebenarnya takkan kisah soal jodoh si Fiq ni kalau dia masih lagi muda remaja. Tapi abang, anak awak ni usianya dah lanjut. Dah 35 tahun. Takkanlah nak dibiarkan aje jadi bujang terlajak. Sepatutnya usia-usia macam Fiq ni dah kahwin dan ada keluarga sendiri."


Keluhan Taufiq hela perlahan. "Fiq tahu mama risaukan tentang Fiq yang masih lagi bujang dan tak kahwin-kahwin. Tapi mama, buat masa sekarang ni dalam otak Fiq ni memang tak ada terlintas lagi nak kahwin ataupun nak menamatkan zaman bujang Fiq. Fiq selesa dengan hidup Fiq. Lagipun sebagai anak Fiq masih belum puas lagi untuk bahagiakan mama dan papa. Please, bagi peluang untuk Fiq berbakti kepada mama dan papa dulu."


Bagi Taufiq, sebagai anak dia masih belum cukup puas lagi untuk berbakti dan bertanggungjawab kepada mama dan papanya itu. Jadi selagi ada peluang Taufiq tak mahu melepaskannya kerana dia tahu kunci untuk dia ke syurga adalah terletak pada redanya mama dan papanya. 


"Tapi mama nak cucu. Cucu dari keturunan kamu sendiri. Mama sebenarnya cemburu bila tengok kawan-kawan mama semuanya dah ada cucu. Bila berjumpa masing-masing seronok bercerita fasal menantulah, fasal cuculah. Mama pula cuma mampu dengar aje. Kadang-kadang tu sakit hati juga bila ada diantara mereka yang perli-perli mama. Tapi apa yang mama boleh buat selain daripada hanya diam tanpa mampu balas apa-apa," wajah sedih ditayang. 


Sakit juga hati Puan Mariani bila ada diantara rakan-rakannya yang sering memerli dia yang masih tidak mempunyai menantu dan cucu. 


"Salah awk juga, Ani. Dah berbuih mulut abang ni pesan pada awak supaya jauhkan diri daripada berkawan atau berhubungan dengan orang macam kawan-kawan awak tu. Kawan-kawan awak tu semuanya toksik. Tapi awak langsung tak nak dengar. Masih lagi suka dan degil nak berkawan dengan orang-orang macam mereka tu semua," kepala digeleng perlahan.


"Eh! Abang ni mulalah tu nak buruk-burukkan kawan-kawan saya pula, kan? Saya tak salahkan dia orang. Apa yang dia orang cakapkan tu ada betulnya juga. Kita ni dah nak masuk 50 tahun, abang. Tapi sorang cucu pun tak ada lagi. Agaknya anak abang ni nak tunggu kita pejam mata dulu kut barulah dia ada rasa nak kahwin," tercebik-cebik bibir tuanya mempamerkan riak sayu. 


Keluhan Taufiq hela perlahan. Tahulah Taufiq sekejap lagi pasti drama air mata akan bermula. Macamlah dia tak kenal perangai Puan Mariani ni macam mana. 


"Mama, Fiq bukan tak nak kahwin. Fiq pun nak hidup macam orang lain. Ada isteri, ada anak dan ada keluarga sendiri. Cuma buat masa sekarang mungkin jodoh Fiq masih belum sampai lagi. Mama dengan papa doakan jelah yang baik-baik. Mana tahu berkat doa mama dengan papa tahun ni juga Fiq kahwin," sengihan kerang busuk dilorekkan. 


"Soal tu kamu tak perlulah bimbang. Papa dan mama memang akan sentiasa doakan kamu. In Sha Allah, papa yakin satu hari nanti kamu pasti akan bertemu juga dengan jodoh yang baik-baik," ujar Encik Karim. 


"Doa tu doa juga. Tapi doa juga haruslah seiring dengan usaha. Kamu dah 35 tahun, Fiq. Kamu dah tak boleh nak main-main lagi. Sekarang ni dah sampai masanya untuk kamu fikirkan soal kehidupan kamu. Kamu dah ada kerjaya yang bagus. Dari segi kewangan juga mama yakin dah cukup kukuh untuk kamu kahwin dan bina sebuah keluarga," penuh tegas Puan Mariani berbicara. 


"Ya, mama. Mama tak payahlah bimbang. In Sha Allah, sampai masanya nanti kahwinlah Fiq. Mama doakan jelah yang baik-baik, ya."


Kalau ditanya Taufiq sama juga seperti orang lain. Dia juga mahu mempunyai isteri, anak-anak dan sebuah keluarga kecil. Tapi apakan daya jodohnya masih belum kunjung tiba. 


Nak kahwin ni bukan macam beli ikan dipasar. Tinggal pilih dan bawa balik. Perkahwinan adalah sebuah amanah yang harus dipikul dengan penuh rasa bertanggungjawab. 

Previous: BAB 3
Next: BAB 5

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Cik Tasneem