Titisanhujan masih
berjatuhan.Bumi yang disirami
hujan mulai membasah dan menakung air di tempat yang berlopak. Segala puji bagi
ALLAH yang telah menurunkan air hujan sebagai satu nikmat untuk sekalian
makhluknya.
Bunyi ketukan di
pintu yang bertalu-talu mengejutkan Umar yang sedang lena. Dia memaksakan kaki
turun daripada katil lalu melangkah ke pintu dan membuka kuncinya apabila
ketukan di pintu semakin kuat disulam bunyi hujan. Dia terkejut apabila melihat
titisan hujan di luar rumah yang lebat.
“Umar, Eryna
kemalangan,” beritahu Faizul sebaik sahaja Umar membuka pintu.
Umar terkasima
seketika. Matanya bulat memandang Faizul yang bergerak masuk ke dalam bilik.
Dadanya berdebar-debar. Dia bungkam seketika dan tidak mampu untuk bersuara
serta bertanya.
“Tadi, aku
terserempak dengan Haris. Dia yang bertembung dengan kemalangan tu sewaktu nak
ke kampus.Eryna terlanggar tiang eletrik. Remuk teruk juga keretanya,” cerita
Faizul. Dia bercerita sambil tangannya tergawang-gawang.Nada suaranya agak kuat.
“Haa! Bila? Di
mana? Dia cedera teruk tak?”Setelah bertenang beberapa ketika barulah Umar dapat bertanya. Rasa
bersalah semakin melebar di hatinya. Di matanya terbayangkan wajah Eryna
Natasha yang muram sewaktu dia menolak pelawaan gadis itu.
“Tak taulah.
Hmm... nanti kita pergi tengok dia di hospital. Tunggu aku mandi dulu,” cadang
Faizul lalu duduk di katilnya sambil membuka lembaran akhbar hari itu.
“Cepatlah pergi
mandi. Balik nanti pun boleh baca surat khabar!” desak Umar. Dia bagaikan tidak
sabar untuk ke hospital. “Orang tua-tua kata, tak baik melengah-lengahkan niat
yang baik. Terjadi sesuatu kepada Eryna nanti, kau juga yang terkilan!” Dengan
suara lembut Umar memujuk.
“Heh! Heh! Aku
terkilan ke, kau yang terkilan,” usik Faizul lantas bangun dari kerusi, lalu
memukul Umar dengan hujung akhbar yang dilipat. “Jomlah… tak payah mandi. Aku
pun dah mandi sebelum keluar tadi. Baru sejam. Masih wangi lagi ni,” katanya
sambil menghalakan hidung ke ketiaknya sambil menghidu-hidu.
“Jomlah! Aku
nampak keresahan di mata kau,” ujarnya sambil memeluk mesra bahu Umar.
ErynaNatasha tersenyum
lebar sebaik sahaja melihat susuk tubuh Umar mendatanginya. Rajuknya seolah
terpujuk. Kehadiran pemuda itu membawa seribu pengertian yang amat indah untuk
dirinya.Di hatinya bagai tersiram titisan hujan di saat bumi ketandusan dan kering
kontang.
Umar duduk di
sisi katil sambil memerhatikan gadis itu yang menyandarkan belakangnya pada
bantal. Senyuman penuh ketulusan dilontarkan sambil matanya merenung ke mata
gadis itu.
“Rin, hmm...
bagaimana sekarang? Macam mana Rin boleh terlanggar tiang eletrik pula ni?”
soal Umar, memecah kebisuan. Matanya tajam merenung wajah Eryna Natasha yang
masih lagi murung. Namun, bibirnya cuba mengukir senyuman walaupun agak hambar.
Bola mata Umar berligar lagi mencari kelibat Faizul. Faizul lesap entah ke
mana. Katanya tadi ke kantin hospital mencari minuman untuk menghilangkan
kehausan. Mungkin dia sengaja memberi peluang untuk Umar dan Eryna Natasha
berdua-duaan.
“Rin, maafkan
saya. Saya berasa bersalah,” kata Umar dengan nada sesal. Dia merapatkan
kerusinya ke katil Eryna Natasha.
Eryna Natasha
cuba menggerakkan tubuhnya supaya dapat bersandar di kepala katil. Mujur
kecederaan yang dialami tidak parah. Selain dahinya terhantuk ke stering,
lengannya luka kerana terkena kaca daripada cermin kereta yang berderai.
Pinggang serta pinggulnya terasa sengal kerana terhentak dengan kuat sewaktu
kereta yang dipandunya menghentam tiang eletrik dan dia terpaksa membrek secara
mengejut.
“Tunggu... saya
bantu Rin,” ujar Umar sambil membetulkan kedudukan bantal di belakang gadis
itu.
“Terima kasih.
Maaf, menyusahkan Umar,” jawab Eryna Natasha dengan lembut.
“Rin, sekali
lagi saya minta maaf!Saya rasa bersalah,” beritahu Umar lagi. Lagi sekali mata Umar merenung ke dalam
mata Eryna Natasha dengan tajam.
Eryna Natasha
melarikan anak matanya daripada renungan Umar dan menyembunyikan rasa tidak
selesanya kerana direnungi begitu.
“It’s okay.
Bukan salah, Umar. Salah Rin. Rin yang cuai pandu kereta. Fikiran entah ke
mana. Dahlah. Lupakan. Jangan menyalahkan diri sendiri lagi. Tak baik,” ungkap
Eryna Natasha lembut dan perlahan. “Segala yang berlaku sudah ditakdirkan
TUHAN.” Sambungnya lagi. Dia menindih belakang tangan Umar dengan telapak
tangannya sambil matanya merenung ke wajah lelaki itu, dan bibirnya tersenyum.
Berderau darah
Umar dengan perlakuan Eryna Natasha itu. Debaran jiwanya seolah meruntuhkan
seluruh hatinya.
“Kalau nak
temankan Rin bersiar... tunggu bila Rin dah sihat, ya,” kata Umar, cuba
bergurau untuk memujuk hati gadis itu.
Eryna Natasha
mengeleng dan ketawa dengan gurauan itu.
Tiba-tiba
terdengar pengumuman yang waktu melawat sudah tamat.
“Eh, mana Faizul
ni? Waktu melawat pun dah tamat.” Umar berkata sendirian sambil matanya
meninjau ke pintu masuk wad itu. “Rin, saya beredar dulu,” ujarnya.
“Terima kasih,”
kata Eryna Natasha.
Tiba-tiba mata
pemuda itu terpandang ke arah dinding di belakang kepala katil yang melekatkan
kertas maklumat pesakit. Tarikh masuk. Umur. Nombor katil. Nama. Lagi sekali
Umar seakan terpukau apabila melihatkan nama yang tertera ialah Rina Melati.
“Rin... nama
sebenar Rina Melati ke?” Tanpa berselindung lagi, Umar terus menyoal.
Eryna Natasha
sedikit terkejut dengan pertanyaan itu.
Umar terus
memerhatikan wajah Eryna Natasha dengan ekor matanya.Seribu satu persoalan timbul di benaknya.
“Rina Melati?
Err... kenapa?” soal Eryna Natasha pula.
Dia diam sejenak
sebelum melontarkan pandangan ke wajah Umar sekali lagi. Pertanyaan Umar
menuntut kejujuran daripadanya. Dia berasa serba salah seketika.
“Agaknya nama
pesakit sebelum Rin. Nurse belum tukar lagi. Tadi, sebelum Umar datang,
Rin di katil yang lain...hujung sana,” katanya dengan tenang. Wajahnya selamba.
Mungkin itulah jawapan yang terbaik buat ketika itu. “Umar kenal dengan dia
ke?”
Umar hanya
mengeleng. Matanya merenung bibir Eryna Natasha. Mirip benar bibir itu dengan
bibir Rina Melati. Bukankah Rina Melati pernah duduk hampir dengannya di dalam
keretapi? Pada kesempatan itu, dia sempat mencuri pandang pada ulas bibir gadis
itu agak lama, dan memahatkannya di dalam ingatan. “Saya bertemu dengannya
dalam keretapi sewaktu pertama kali naik keretapi. Cerita lama,” ceritanya
perlahan. Di matanya teringatkan Rina Melati yang bayangannya masih terpahat di
hatinya.
“You fall in
love with her?” Eryna Natasha menyoal lagi sambil tersenyum lebar.
Umar turut
tersenyum. Tidak tahu untuk menjawab apa. Yang dia tahu, sejak hari itu dia
tidak pernah melupakan gadis yang bernama Rina Melati. Rina Melati,
jarang-jarang orang menggunakan nama itu. Mungkin di Malaysia ini hanya gadis
itu yang menggunakan nama seperti itu.
“Namanya yang
istimewa membuatkan saya selalu terkenang,” ujarnya. Sebenarnya dia telah jatuh
hati kepada gadis yang bernama Rina Melati. Jika boleh diistilahkan sebagai
cinta pandang pertama, itulah cintanya. Namun, tidak mungkin dia dapat
menggapai cintanya itu kerana Rina Melati entah di mana beradanya.
“Maafkan saya
kerana menyoal yang bukan-bukan,” kata Umar sambil tersenyum malu. Bukan
sekadar namanya sahaja yang membuat hatinya terkenang, namun wajah gadis itu
yang menawan seolah menjadi igauannya.
“It’s okay.
Terima kasih sekali lagi kerana melawat Rin,” kata Eryna Natasha.Kata-katanya diiringi dengan senyuman
manis yang tidak lekang dari bibirnya. Wajah Umar direnung berkali-kali. Berat
hatinya untuk membenarkan Umar pergi dari sisinya.
“Harap-harap suatu hari
nanti Umar akan bertemu semula dengan gadis itu. Rina Melati! Hmm... sedap
namanya.” Dia seolah bercakap dengan dirinya sendiri.
Umar melemparkan
senyuman kepada gadis itu sebelum beredar dari situ.