Bab 2
Keperluan Atau Kehendak
Manusia dilahirkan tanpa apa-apa.Ketika kita bayi kita tidak pandai meminta segala kesenangan atau keperluan barangan. Semuanya hanya berdasarkan fitrah dan naluri semata-mata.Bayi akan menangis bila lapar atau kesejukan.
Semua keperluan untuk seorang bayi disediakan oleh ibu bapanya. Bayi tidak minta dipakaikan dengan pakaian yang berjenama. Memadai dengan pakaian membalut tubuh yang melindungi diri dari kesejukan.
Begitu juga dengan keperluan untuk menyusu. Bayi tidak meminta disusukan dengan jenama susu jenama luar negara. Memadai menyusukan bayi dengan susu ibu.
Apabila kita semakin meningkat usia dan mula mengenal dunia kita akan didedahkan dengan pelbagai pilihan. Ada pakaian yang murah, ada yang mahal. Ada restoran yang mahal ada gerai tepi jalan yang murah. Ada kenderaan mewah, ada kenderaan yang sederhana.
Sesiapa yang pernah belajar teori ekonomi asas tentu pernah dengar konsep keperluan (needs) dan kehendak (wants).
Keperluan boleh ditakrifkan sebagai sesuatu yang kita perlu ada untuk hidup. Kehendak pula adalah sesuatu yang boleh meningkatkan kualiti hidup tetapi tanpa adanya barangan kehendak pun kita masih boleh hidup. Sebagai contoh manusia perlu makan untuk hidup. Makanan adalah keperluan. Makan di restoran yang mahal adalah kehendak.Begitu juga dengan pakaian. Berpakaian adalah keperluan.Selain dari melindungi diri dari kesejukan atau sebarang keadaan cuaca , berpakaian juga sebagai syarat memenuhi tuntutan agama yang memerlukan kita semua menutup aurat. Berpakaian berjenama yang biasanya lebih mahal adalah kehendak.
Kerap kali kita dengar ramai orang yang menghadapi masalah kewangan berpunca antara sebab ialah gagal membezakan antara keperluan dan kehendak. Ramai orang tidak dapat membezakan antara keperluan dan kehendak. Bagi mereka semua adalah keperluan yang perlu ada. Akibatnya, mereka membeli sesuatu yang bukan pun sangat diperlukan sehingga ada yang sanggup berhutang. Apabila hutang menjadi terlalu banyak kita akan terperangkap dalam kitaran hutang yang tak berkesudahan.
Sebagai pengamal ilmu kewangan dengan pengalaman hampir 30 tahun saya ingin berkongsi pandangan dengan pembaca kenapa fenomena berhutang tanpa had berlaku di kalangan masyarakat kita dan apakah cara untuk mengelakkkan diri dari terperangkap dalam kitaran hutang ini.
Mengikut kajian, otak manusia dibahagikan kepada dua , iaitu sebelah kiri dan sebelah kanan. Otak sebelah kiri mengawal sebelah kanan anggota badan sementara otak sebelah kanan mengawal anggota badan sebelah kiri. Otak sebelah kiri juga mengawal fungsi lojik dan pemikiran matematik. Otak sebelah kanan pula mengawal emosi dan kreativiti.
Orang yang terdidik dalam bidang seperti matematik, perakaunan, kewangan dan kejuruteraan secara umumnya menggunakan kekuatan otak sebelah kiri dalam membuat keputusan manakala mereka yang terlibat dalam bidang seni kreatif seperti pelukis, pencipta lagu dan penulis novel menggunakan otak sebelah kanan dengan lebih banyak.
Dalam membuat keputusan setiap orang akan dipengaruhi oleh kedua-dua belah otak, kiri dan kanan. Bagi mereka yang otak kirinya lebih dominan mereka akan banyak menggunakan akal dan lojik dalam membuat keputusan. Bagi mereka yang otak sebelah kanan lebih dominan mereka akan banyak dipengaruhi oleh emosi dan gerak hati.
Pengiklan dan penjual barangan menggunakan pengetahuan tentang fungsi otak kiri dan kanan manusia untuk mengiklankan barangan atau perkhidmatan mereka. Walaupun otak sebelah kiri yang rasional biasanya berhujah dengan menggunakan fakta namun kerap kali faktor emosi akan lebih kuat dalam mempengaruhi seseorang di dalam membuat keputusan.
Pengiklan akan menggunakan tarikan emosi yang jauh lebih berkesan berbanding dengan hujah yang lojik.Sebagai contoh, iklan kereta lebih memaparkan gambaran wanita cantik atau pemuda tampan yang berdiri di sebelah kereta yang diiklankan untuk menarik perhatian pembeli. Walaupun ada penerangan spesifikasi enjin dan sebagainya yang mungkin menarik perhatian kepada pembeli yang ingin melihat fakta tetapi aspek itu jarang diketengahkan secara lebih meluas.
Begitu juga dengan iklan pakaian.Iklan yang menunjukkan gaya model yang berperawakan menarik tetapi tidak pula dinyatakan aspek teknikal seperti jenis kain dan sebagainya.
Adakah salah untuk kita membeli sesuatu yang berjenama walaupun harganya agak mahal? Jawapannya tidak salah asalkan kita MAMPU. Kemampuan membeli atau berbelanja itulah yang perlu kita fokuskan.
Sebaiknya kita perlu merancang pembelian. Jangan berbelanja tanpa merancang atau impulse buying. Merancang pembelian seeloknya ditulis, bukannya cuma di dalam minda. Saya beri contoh untuk kita membina bangunan atau rumah, kita perlu sediakan pelan. Berdasarkan pelan yang disediakan oleh arkitek barulah kontraktor atau juruukur bahan boleh menganggar kos pembinaan dan hal –hal berkaitan.
Konsep yang sama juga sepatutnya digunakan di dalam merancang perbelanjaan.Semuanya harus dalam bentuk bertulis supaya kita mudah nampak dan boleh membuat anggaran yang lebih tepat tentang perbelanjaan yang perlu dikeluarkan.
Saya berikan contoh perancangan untuk membeli kereta. Biasanya orang muda yang baru memulakan kerjaya, antara pembelian berskala besar yang pertama kali selepas memulakan kerjaya ialah membeli kereta.
Fikiran rasioanl atau otak kiri akan menyenaraikan sebab-sebab kereta diperlukan. Otak kiri juga akanmemberitahu kereta yang sesuai dengan pendapatan, bayaran bulanan yang mampu dibayar, belanja minyak dan lain-lain perbelanjaan yang berkaitan dengan pemiikan kereta.
Fikiran emosi atau otak kanan pula akan melihat perkara-perkara seperti model kereta yang menarik minat,persepsi masyarakat yang dikaitkan dengan jenis kenderaan yang dipandu dan aspek-aspek lain berkaitan dengan imej.
Kerap kali berlaku, dua hujah dari otak kiri dan otak kanan akan bercanggah dan bertentangan. Kalau inginkan kereta mewah yang membawa imej positif kepada pemandu, harganya mungkin mahal. Kalau inginkan kereta yang jimat minyak dan harganya murah mungkin tidak membawa imej positif yang diinginkan oleh pembeli.
Di sini perlunya disiplin diri dan pemikiran rasional mengatasi emosi. Berdasarkan pengalaman saya sendiri membeli kereta dari zaman muda dahulu hingga sekarang saya dapat kumpulkan antara kesilapan pembeli kereta.
Biasanya pembeli jarang mencatatkan secara terperinci setiap perbelanjaan yang terlibat apabila memiliki kereta. Pembeli biasanya hanya melihat kemampuan mereka membayar ansuran bulanan untuk membayar pinjaman kenderaan. Mereka gagal mengambil kira kos tersembunyi seperti minyak, servis, cukai jalan, tayar , bayaran tol dan pelbagai bayaran yang dikaitkan dengan pemilikan kenderaan.Sepatutnya setiap sen perbelanjaan yang akan kita bayar apabila kita miliki kenderaan perlu diambil kira.
Selain dari kos tersembunyi pembeli kereta juga biasanya jarang mengambil kira perubahan pola perbelanjaan di masa akan datang. Katalah ketika membeli kereta seseorang itu masih belum berkahwin dan berusia pertengahan 20an. Katalah usia ketika membeli kereta 25 tahun.Jika dia mengambil pinjaman kenderaan dengan tempoh pembayaran balik 7 tahun, bermakna dia akan menghabiskan pinjaman pada usia 32 tahun.
Dalam tempoh 7 tahun pelbagai perkara dalam hidup akan berlaku. Dia akan berkahwin. Setahun atau dua tahun kemudian dia akan mendapat anak. Memulakan hidup berkeluarga memerlukan belanja yang besar. Semua itu perlu diambil kira didalam membuat keputusan pembelian.
Satu petua yang patut diingat sebelum membeli sesuatu harta atau asset kita perlu mengkaji samada asset yang dibeli itu akan bertambah nilainya dimasa akan datang atau semakin turun nilainya. Jika sesuatu asset yang kemungkinan besar akan turun nilainya di masa akan datang memadailah untuk kita membeli sekadar memenuhi keperluan harian sahaja. Contoh asset yang akan turun nilainya di masa akan datang adalah seperti kereta dan telefon tangan.Secara umumnya barangan digital seperti telefon bimbit atau televisyen akan turun nilai dengan cepat disebabkan perubahan teknologi yang begitu pesat.Antara aset yang akan meningkat harga di masa akan datang adalah rumah dan hartanah.
Kita perlu bijak di dalam membuat keputusan dan tidak mudah dipengaruhi oleh iklan yang pelbagai yang sentiasa menggoda pancaindera kita sepanjang masa.
Cuba pembaca perhatikan dan lakukan kajian yang mudah. Setiap kali kita melangkah keluar dari rumah perhatikan berapa banyak papan iklan atau kain pemidang (banner) yang menyuruh kita membeli barangan atau perkhidmatan mereka. Cuba pembaca cari pula berapa banyak papan iklan atau kain pemidang(banner) yang menggalakkan kita melaburatau menyimpan. Begitulah kuatnya pengaruh pengiklanan yang sentiasa mencari jalan untuk memisahkan kita dengan wang dari poket kita.
Kalau pembaca rasa nak berpisah dengan wang pembaca yang didapati dari hasil titik peluh pembaca ingatlah lagu‘Jangan pisahkan ‘ nyanyian Ella dan Daddy Dores yang begitu popular satu ketika dulu.