Home Novel Komedi/Romantik Komedi Ustaz Pink
Bab 1 : I Hate You So Much!

DERINGAN penggera telefon bimbit berbunyi nyaring. Lantas mengejutkan Zahra daripada tidurnya. Dengan mata yang separuh celik, teraba-raba tangan dia mencari. 

'Mana pula handphone ni!' gumam Zahra dalam keadaan mamai. Bunyi deringan terus-menerus berdering. Setelah gagal menemuinya, dia hanya membiarkan sahaja. Nanti berhenti jugak. 

Lima belas minit telah berlalu, namun Zahra masih tidak berganjak dari katil. Aduh, sukarnya nak buka mata ini. Terasa ingin terus berbaring di atas tilam yang empuk ini.

“Ya Allah! Anak dara seorang ni. Zahra, bangun! Dah dekat pukul lapan setengah dah ni. Hari ni kan hari pertama kuliah bermula.” Puan Sofea terkejut melihat anaknya yang masih sedap berbaring dengan posisi menelentang di atas katil.

“Alamak ibu! Nape tak kejut awal-awal?!” Terbeliak terus mata Zahra. Membuatkan dia terus segar. Dengar saja pukul lapan setengah pagi, cepat-cepat dia berdesup bangun, mencapai tuala yang tersidai lalu masuk ke dalam bilik air. 

Nasib baik aku ada bilik air sendiri. Tak perlu nak berebut-rebut dengan sesiapa pun. Eh? jap, jap, aku dengan abah dan ibu je yang tinggal dalam rumah ni. Nak berebut dengan sape. Aku seorang je anak abah dan ibu. Eh! Apa yang aku merepek dalam kepala aku ni!

“Dah naik lenguh tangan ibu ketuk pintu bilik. Ha, jangan nak berendam macam tuan puteri pulak. Awak tu suka mandi lama-lama.” Puan Sofea masih membebel lagi di luar pintu bilik air. Dah tahun akhir pun masih tak ubah-ubah lagi. Zahra, Zahra.

“Yelah ibu!” jerit Zahra dari dalam bilik air. Tulah siapa suruh tidur lambat lagi. Gara-gara nak habiskan sebuah novel Zahra sanggup bersengkang mata. Hampir pukul empat pagi baru dia berjaya menghabiskan novel yang bertajuk The Time of My Life. Hasil nukilan Cecelia Ahern. Sebagai peminat nombor satu penulis terkenal Irish ini, Zahra tak mahu ketinggalan untuk mengkhatamkan novel ini walaupun agak ketinggalan.

Keterujaan Zahra bertambah apabila penulis ini baru sahaja menerbitkan novel terbarunya yang bertajuk One Hundred Names. Mesti beli. Tunggu abah bagi duit poket. Memandangkan Zahra je anak tunggal Encik Rahman dan Puan Sofea, segala perbelanjaan studinya ditanggung beres oleh abah kesayangannya. Encik Rahman sendiri juga tak nak anaknya buat pinjaman dengan PTPTN. 

Apa yang pasti P.S. I Love You tetap bertakhta di hati Zahra. Novel pertama Cecelia Ahern.

Selepas hampir sepuluh minit, Zahra keluar dari bilik air dan bersiap ala kadar. Blaus pendek berwarna biru laut yang berlengan pendek disarung ke badan. Dipadankan dengan skinny jeans berona putih. Tudung macam biasa silang kiri dan kanan. Bab belit-belit ni dia memang fail.

Tanpa membuang masa lagi, Zahra terus mengambil beg sandang berserta file berwarna oren dan menuju ke ruang dapur yang berada di tingkat bawah. Peti sejuk dibuka. Susu kotak kegemarannya, Dutch Lady jenis rendah lemak dikeluarkan dan dituangkan sedikit ke dalam gelas yang baru dicapainya. Gulp, gulp,gulp, Zahra meneguknya.

“Budak bertuah ni. Ada ke dia minum sambil berdiri. Berbunyi pula tu. Kalau bakal mak mentua tengok, boleh kena reject ni.” Puan Sofea membebel lagi.

“Alah ibu ni, mama Johan tak kisah kot.” Zahra menjawab. Puan Sofea hanya menggelengkan kepala melihat telatah anaknya yang sungguh memeningkan kepala ini.

“Okeylah ibu, Zahra dah lambat ni. Pergi dulu eyh.” Gelas ditinggalkan dalam singki. Sesudah menyalami tangan dan mencium kedua-dua belah pipi ibunya, Zahra terus keluar dari rumah untuk ke kampus. Kereta Proton Saga FLX berwarna Metallic Coffee Latte kepunyaan Encik Rahman diculik sekejap. Kereta Viva dia dah masuk wad ICU. Lama sangat tak servis. 

Harap-harap abah tak marah sebab ‘culik’ kereta dia jap. Abah jangan marah ya. Mudah-mudahan perjalananku dan urusanku hari ini dipermudahkan-Nya. Amin. Siap berdoa lagi sebelum start enjin.

Punyalah dia pecut habis. Perjalanan yang sepatutnya mengambil masa hampir tiga puluh minit menjadi lima belas minit. Mampuih kalau abah tau. Boleh kena detention. Sure kena berletiaq dengan abah kalau abah tengok speed meter. Kalah bekas pelumba F1 nombor satu, Michael Schumacher.

Sampai sahaja di kampus Zahra terus mencari parking yang berdekatan dengan dewan kuliah A. Sesekali dia melirik ke arah jam pada dashboard. Alamak! Kuliah dah nak mula dah ni. Habislah aku kalau lecturer tu strict. Dahlah susah nak dapat parking dekat kampus ni. Kena pusing-pusing dulu baru dapat. Kalau ada pun kena jalan jauh. 

Zahra mula membayangkan wajah bengis lecturernya. Dengan perut buncit ke depan sikit. Kepala separuh botak. Mungkin ada misai melentik.

Yes! Dapat juga parking. Ape la aku ni. Bukan nak alhamdulillah. Yes pulak. Zahra mengetuk kepalanya.


KAH! KAH! KAH! Bagaikan hendak terguling di atas lantai, terbahak-bahak Ida mengetawakan Zahra. Air mata pun boleh terkeluar.

“Adoi, nak pecah perut aku gelakkan kau.” Mengekek Ida ketawa.

“Habis dah gelakkan aku?” Apa punya sepupu da. Gelakkan aku sampai macam tu. Tak kesian ke tengok aku dimalukan tadi? Zahra mengetap gigi kegeraman sambil berlalu pergi meninggalkannya.

“Wei, tunggulah aku.” Terkejar-kejar Ida mengejar Zahra sambil ketawa yang masih bersisa.

“Geramnya aku dekat lecturer tu. Memalukan betul!” Laju sahaja Zahra berjalan.

“Kau ni hari pertama kuliah dah buat lawak. Boleh jadi sejarah sampai habis sem. Tak pun sampai habis final year ni.” Termengah-mengah Ida akibat mengejar Zahra tadi.

Nampaknya apa yang berlaku dua jam yang lalu bakal menjadi sejarah dalam hidup kampus Zahra. Waaa... Sedihnyaaa...


Dua jam sebelumnya...

Perlahan-lahan Zahra buka pintu dewan kuliah. Krekkkk... bunyi pintu menyebabkan semua hamba-hamba Allah di dalam terus tertumpu kepada kehadirannya. Dahlah masa tu semua tengah senyap. Oh no, this is very-bery bad.

“Nur Humaira Az-Zahra!” Secara tiba-tiba namanya dilaungkan.

Yes boss!” Dek terkejut Zahra terlepas segala file dan beg sandang. Lalu dia terus berdiri tegak dan membeku. Lagak seperti orang nak menyanyikan lagu Negaraku sahaja. Lepas tu, apalagi, bergema dewan kuliah dengan ketawa yang berdekah-dekah. 

Namun, si pemanggil hanya mendiamkan diri. Matanya merenung tajam menikam mata Zahra. Bersinar-sinar macam burung helang yang sedang bersiap sedia untuk menyambar mangsanya. Malah si pemanggil siap duduk tepi meja lagi. Tangan dah bersilang di dada. Okey, seratus-peratus imaginasi Zahra tentang rupa pensyarahnya salah. Ini pensyarah baru.

“Kenapa lambat? Bangun lambat?” Si pemanggil memerli Zahra. Suaranya kedengaran tegas. Boleh buat setiap pelajarnya kecut perut. Zahra menelan air liur.

“Erm... erm... Ye kot.” Zahra ni bukan jenis simpan-simpan. Jawab saja yang benar tapi suka tambah kot.

“Apa kot-kot. Bangun lambat mana ada kot-kot. I don’t want to hear any excuses anymore. Saya bagi denda.” Selamba si dia memberi kata-kata bak peluru machine gun.

“Huh?” Berkelip-kelip mata Zahra memandangnya. Denda apa pulak ni? Kalo dah lambat nak buat camne. Bukan sengaja pun. Apa punya orang da! Menjengkelkan betul!

“Saya tahu awak tengah kutuk saya.” Si dia menebak pula.

Ish! Ahli nujum pak belalang ke dia ni? Zahra merungut dalam hati.

“Malam ni...”

“Hah! Malam ni! Awak nak buat apa dekat saya?!” Laju Zahra mencelah. Macam-macam kemungkinan yang buruk muncul di benaknya.

Let me finish my words first, Miss Nur Humaira Az-Zahra.” Geram dengan Zahra yang tiba-tiba mencelah, dia sebut nama penuh Zahra lagi. Kuat pula tu. Bergema dewan kuliah. Muka Zahra semakin bertukar rona. Malu semalu-malunya. Zahra ketuk kepalanya sendiri. Itulah lain kali dengar dulu sampai habis. Orang tua-tua cakap jangan mencelah bila orang lain sedang bercakap. Kan dah kena.

“Balik rumah, malam nanti saya nak awak buat solat sunat taubat.” Terang-terang si dia memberi arahan. Masih lagi kedengaran ketawa-ketawa kecil daripada rakan sekuliah.

“Nape pulak? Saya tak buat dosa pun.” Tiba-tiba kena buat solat sunat taubat pulak. Tak betul ke apa? Poyo!

“Hah! Menjawab! Tak buat dosa awak cakap? Awak tak hormati masa awak sendiri. Masa yang Allah berikan.” Serius si dia menegur. Ekspresi wajahnya kelihatan bersahaja.

Berlagak macam ustaz pulak dia ni!

Belum sempat Zahra menjawab si dia menyambung lagi. “Lagipun saya rasa pagi tadi ada kemungkinan awak terskip solat subuh.” Sinis sahaja bunyinya. Sarkastik betul punya ayat.

Disebabkan rasa marah yang amat membuak-buak dengan penyataan tersebut, lantas Zahra terjerit. “Saya tengah ‘cuti’ laaa!”

Senyap. Suddenly everyone was so quite. Seolah-olah sedang berada di dalam dewan peperiksaan. Hanya kedengaran bunyi penghawa dingin yang sedang berfungsi menyejukkan segenap ruang di dewan kuliah.

Oh... my... god! Abah! Ibu! Aku cakap apa tadi? Zahra ketap bibir. Semua yang ada terdiam untuk sesaat. Terkejut dengan apa yang terkeluar daripada mulut Zahra. Kemudian apa lagi, terburai terus ketawa mereka. Berdekah-dekah. Ye, semua. Yang tak biasa dengar suara pun boleh terkeluar suara sebab bagi dia orang Zahra dah buat lawak tahap gaban. Maha dewa punya lawak. Masing-masing seronok mengetawakannya.

“Ops, nampaknya tak bolehlah nak buat solat sunat taubat malam ni. Takpe-takpe. Dah habis ‘cuti’ nanti jangan lupa buat. Awak boleh tipu saya. Tapi Allah tahu.” Dia menyambung bicaranya lagi sambil menggelengkan kepalanya lambat-lambat. Diiringi bersama dengan ketawa kecil. Belum pernah lagi dia bertemu dengan perempuan seperti Zahra.

Zahra dah buat muka seperti nak menangis. Malunya. Merah padam mukanya. Rasanya ketebalan muka dia dah bertambah beberapa inci ketika itu. Terasa ingin mengghaibkan diri. Alangkah bagus sekiranya Doraemon ada. Boleh minta time machine.

“Awak boleh duduk sekarang,” arah si dia.

Ko tak cakap pun aku tahu lah! Lagi satu, ko ingat ko tu Ustaz Don ke! Kutuk Zahra puas-puas dalam hati. Ditambah dengan sumpah seranah. Geramnyaaa!!! Macam mana Zahra yang bukan kaki tengok ceramah agama ni boleh kenal Ustaz Don Daniyal Don Biyajid? Semuanya sebab ibunya selalu mengikuti rancangan 30 Minit Ustaz Don di saluran TV Al-Hijrah. For sure habis Zahra kenal ustaz yang berumur dua puluh sembilan tahun tu.

“Oh ya, tambah istighfar sekali. Lima ratus kali sebab awak kutuk saya dalam hati,” tambahnya lagi dengan ‘senyuman yang amat manis’. Mengalahkan manis gula.

Zahra melopong. Rahang jatuh ke bawah. Aduh! Kena tambah istighfar sekali. Tanpa melengahkan masa lagi, cepat-cepat Zahra mengutip barang-barang yang bertaburan. Ida dari tadi sudah tersengih-sengih, melambaikan tangannya ke arah Zahra. Begitulah al-kisah kejadian pagi tadi. Harunya...


SAMPAI sahaja di kafe yang terletak di Desasiswa Indah Kembara, mereka terus mendapatkan tempat yang agak terlindung. Malu punya fasal lor. Rata-rata ramai pelajar gemar bersantapan di kafe itu. Sebab sedap dan murah. Sesuai untuk pelajar seperti mereka.

“Kau nak makan apa? Aku belanja.” Ida menawarkan diri. Tengok sepupunya monyok semacam, dia pun naik kesian.

“Aku tak ada seleralah nak makan. Kau jelah yang makan.” Disebabkan insiden ‘menarik’ pagi tadi serta-merta selera makannya mati walaupun perut berkeroncong hebat minta diisi.

“Aku tapau untuk kau. Mana tau selera kau dah up balik nanti.”

Hmm...” Nak jawab pun tak ada mood. Zahra hanya menongkat dagu pada meja.

Sambil menunggu Ida, Zahra cuba untuk menghubungi Johan, tunangnya. Zahra mula mengenali Johan masa dia dengan Ida sambung belajar dekat Matrikulasi Perak yang terletak di Gopeng. Masa tu Johan merupakan fasilitator untuk minggu orientasi. Senior Zahra la kiranya ni. Pada mulanya mereka berkawan saja melalui gadget telekomunikasi. Kalau ada peluang mereka akan berjumpa. Tambahan, Johan ni rajin juga turun ke Ipoh untuk bertemu dengan Zahra.

Mereka start bercouple masa Zahra menjejakkan kaki ke menara gading. Bukan main gembira Zahra masa dia dapat tawaran ke sana. Universiti yang sama dengan Johan iaitu USM. Tak ketinggalan Ida juga. Pada masa tu Johan dah second year dalam jurusan Applied Science major dalam Biotechnology. Zahra pula ambil degree dalam jurusan Accounting

Walaupun berlainan jurusan, mereka selalu menghabiskan masa untuk studi bersama-sama. Zahra sering kali terhibur dengan perlakuannya yang pandai berkata-kata dan peramah. Johan ni dikira berani juga. Graduate je terus dia jumpa dengan kedua-dua ibu bapa Zahra. Nak tunjuk gentleman la katakan.

Setelah mendapat kata sepakat kedua-dua belah pihak akhirnya mereka berdua ditunangkan. Memandangkan Zahra nak sambung buat full time master, Zahra tangguhkan dahulu perkahwinan yang sepatutnya berlangsung sejurus selepas dia habis degree. Dia sudah berjanji pada diri sendiri untuk berbakti kepada kedua-dua ibu bapanya. Nak belajar seboleh-bolehnya sampai PhD. 

Nak tak nak, Johan terpaksa bersetuju walaupun pada mulanya dia agak keberatan. Sekarang ini dia sedang bekerja dengan salah sebuah syarikat bioteknologi yang terkemuka di Kuala Lumpur.

Balik semula kepada keadaan semasa, dari tadi Zahra cuba menghubungi Johan namun satu pun tidak terjawab. Agaknya dia tengah busy dengan kerja dia kot. Kata-kata yang hanya diluahkan dalam hati bagi menyedapkan hati. Telefon bimbit berjenama LG Optimus Hub E510 dimasukkan semula ke dalam beg. Lamanya Ida. Tanam padi ke?

Ida muncul semula dan terus duduk di hadapan Zahra seraya meletakkan dua plastik berisi polisterin di atas meja. “Nah, aku tapaukan satu nasi berlauk untuk kau.”

“Eh? Bukan kau nak makan kat sini ke?” Pelik apabila melihat Ida pun tapau untuk diri sendiri.

“Malaslah nak makan sorang-sorang. Nanti kau tengok je,” ujar Ida.

“Kita nak ke mana ni?” Ida bersuara lagi setelah melihat Zahra masih membisu.

“Aku nak balik sambung tidur.” Sebuah keluhan dilepaskan. Berharap apa yang berlaku pagi tadi hanyalah khayalan atau mimpi. Seumur hidupnya, itulah pertama kali dia dimalukan. Betapa sakitnya hati apabila terkenangkan peristiwa pagi tadi.

“Elok juga untuk kau. Mana tahu, lepas kau bangun nanti, cool down sikit.” Ida tahu kemarahan Zahra masih belum reda, walaupun sudah tiada tanda-tanda marah pada riak wajah Zahra. 

Zahra mengeluh lagi. 

Mereka mula mengatur langkah untuk ke destinasi masing-masing. Zahra pulang ke rumah. Ida pula balik ke biliknya di Desasiswa Tekun. Rancangan untuk keluar bershopping dan menonton wayang yang diatur semalam terpaksa dibatalkan. What a bad day for me today... Zahra mengeluh lagi.


p/s: Edit sikit dari first posting tadi. Sorry kalau tak nampak menarik. Insya-Allah saya akan cuba baiki lagi. Sebarang komen amat dihargai^-^/

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Pistacia Vera