Home Novel Keluarga XANDER
XANDER
kamika
25/7/2023 11:34:27
32,736
Kategori: Novel
Genre: Keluarga
Bab 11

Sebatang kayu sebesar lengan yang dilekapkan dengan beberapa batang bar clamps yang berada di atas meja besar itu dibawa dekat kepadanya. Sudah semalaman kayu itu dikepitkan supaya setiap bongkah kayu yang disusun mengikut rekaan bentuk yang diingini melekat kuat sebelum sebatang kayu bercorak terhasil. Kayu yang telah dikepit itu diteliti. Begitu juga dengan corak yang dihasilkan.

Puas.

Rekaan corak yang dilakarkan sebelum ini bagaikan tercetak pada kayu itu pula. Alex menghidupkan table saw. Mahu memotong hujung kayu itu supaya ianya sekata. Sebentar kerjanya sebelum kertas pasir yang dibalut pada seketul bongkah kayu yang lembut digunakan untuk melelaskan lagi kayu bercorak itu. Juga sebentar.

Menghasilkan kayu bercorak itu bukan mudah. Mengambil masa sehingga beberapa hari mengikut bilangan corak yang mahu dibuat. Juga pembuatan yang menelan sedikit kos kerana jenis kayunya lebih banyak menggunakan kayu-kayu yang diimport. Menggunakan rosewood, walnut, cedar, pine dan lain-lain. Sebilangan kayu itu dibeli terus daripada pembekal yang berada di Australia. Ada juga dari dalam negara. Menghasilkan viner mozek yang diinspirasi daripada seni pertukangan kayu Jepun, dia membagikan hasil produk itu kepada dua. Gred A dan B mengikut kualiti kayu yang digunakan sama ada kayu mentah atau sekerap.

Alex meletakkan kayu bercorak bintang lapan bucu yang lebih dikenali sebagai rub al-hizb di atas meja sebelum menuju ke bilik belakang. Melihatkan timbunan fail di sebelah alat pencetak membuatkan beberapa kata kutukan sempat terlahir di dalam diri. Sering benar terlupa untuk mengusulkan pelawaan jawatan itu kepada gadis yang tiba-tiba menjadi penghuni kediamannya itu. Minda spontan merancang. Baiklah. Tengah hari nanti dia berhajat untuk duduk berbincang.

Sebuah lokar besi di tepi meja studi dibuka. Seterika dikeluarkan dan dia kembali ke meja besar di luar. Seterika itu terus disambungkan kepada plug sementara ketam kayu di meja alatan dicapai. Kayu bercorak itu kembali dikepitkan untuk proses mengetam sebelum ianya menjadi venir. Siap sekeping dan venir itu digosok sekali lalu menggunakan seterika yang sudah panas. Ditilik lagi hasilnya. Sangat memuaskan hatinya.

Siap sebatang kayu itu diketam barulah dia mengangkat kepala melihat jam besar di dinding.

Sudah melepasi waktu tengah hari. Kerja ditinggalkan kerana dia mahu ke sebuah kedai makan yang terletak di belakang Warung Ikhwan. Selesai mencuci tangan di bilik air yang berada di belakang bengkel itu dia menutup segala pintu yang ada sebelum menapak melintasi jalan raya di hadapan rumah kedai tersebut.

Usai membeli dia kembali ke rumah kedai dan terus ke tingkat atas. Agaknya sudah menjadi rezekinya dapat menyewa lot hujung itu dengan harga yang berpatutan daripada Nyonya, isteri mendiang Ah Seng yang mempunyai kedai runcit yang senggang tiga buah lot kedai dari bengkelnya.

Tangga paling atas dipanjat. Mengeluh melihat pintu yang ternganga luas sedangkan sudah dipesan beberapa kali supaya pintu itu sentiasa ditutup dan dikunci. Dia melangkah masuk. Ucapan salam yang diberikan tidak kedengaran disambut. Baru setapak melangkah, kepalanya terus tertoleh ke arah tingkap. Satu figura yang sedang duduk di atas kerusi berkaki tinggi itu dengan rambut yang panjang hampir mencecah ke pinggang membuatkan memori lampau kira-kira dua belas tahun yang lalu terbayang diingatan.


Kelopak mata yang berat untuk dibuka itu dipaksakan juga supaya mencelik. Sayup kedengaran suara anak kecil sedang menyanyi di hujung cuping telinga. Pandangan yang kabur tatkala diarahkan ke satu susuk kecil yang sedang duduk membelakanginya di birai katil dengan rambut panjang mengurai hingga ke pinggang dikelipkan beberapa kali. Sejenak, dia terpesona. Melihat kecantikan rambut yang meliuk-liuk itu. Lurus separuh dan kerinting separuh. Rambut yang bersinar, tebal dan hitam.

Dia melirik ke serata ruang di dalam bilik berdinding papan itu pula. Atap zink yang berkarat dengan dua tiga lowongan halus membiaskan terowong cahaya yang jatuh tepat mengenai belakang tubuh budak perempuan itu. Sebuah katil bujang yang digunakan oleh dirinya, sebuah rak pakaian besi tiga tingkat, sebuah gerobok kayu rendah yang buruk melihatkan papan lapis pada sebelah pintunya yang tercabut manakala sebelah lagi senget kerana engselnya telah terkurang dua paku. Satu jalur tali rafia yang terikat selari di tiang penjuru ke penjuru lagi satu dengan sehelai kain pelikat dan tuala tersidai di tali itu. Untuk kegunaan dirinyakah atau kepunyaan tuan bilik yang diduduki?

Dicuba gerakkan kedua kaki. Masih terasa sakit dan berat. Juga tangannya. Setara kesakitan yang dirasakan pada kedua tangan yang telah menahan serangan bertalu-talu itu dari mengenai kepala. Ketika budak perempuan itu berpaling, sebuah senyuman yang lebar dihadiahkan kepadanya. Matanya tertancap pada wajah yang tiada rasa gentar melihat keadaan dirinya ketika itu. Barisan gigi dengan dua batang di bahagian bawah telah rompong itu tidak putus tersenyum. Pipi gebunya naik hinggakan wajah yang bulat itu makin bulat.

"Abang! Dah bangun pun... Dari pagi tadi abang tidur, tau? Puas Atuk kejut tapi tak bangun-bangun. Nanti Juma pergi panggil Atuk. Kejap eh..."

Tingkahnya mesra sekali walaupun pada kali pertama bertemu.


"Abang! Abang!!"

Alex mengelipkan matanya beberapa kali. Tersedar dari dimensi lampau ke masa kini. Dua meter. Agakkan renggang jarak yang membatasi perhubungan tidak dirancang itu. Dikerling sekilas. Tiada lagi wajah bulat dengan pipi gebu itu diganti dengan wajah bujur sireh dengan roman yang entah bagaimana telah pun berjaya menawan hati lelakinya. Hanya satu yang tetap sama pada saat terakhir dia melihat. Rambut itu. Rambut yang bergelombang sederhana kasar bercampur lurus itu masih sama.

"Erm, nah... Makan tengah hari." tutur Alex seraya menghulurkan nasi bungkus di dalam plastik merah itu.

Wajah mesra suatu masa dahulu entah ke mana menyisih. Mungkinkah peredaran waktu dan pertambahan usia menyebabkan pakaian kemesraan itu dibalut rapi untuk tatapan ahli keluarga dan kenalan terdekat sahaja? Dia menghormati. Apa jua perasaan gadis itu terhadapnya akan sentiasa dihormati. Dia harus sentiasa mengingatkan dirinya sendiri. Tujuan asal yang belum berjaya disempurnakan itu perlu dilaksanakan walau dengan apa jua cara. Gadis itu memang patut menjarakkan diri darinya. Selesai tujuannya dia akan pergi.

Perlahan-lahan, isterinya itu mendekati. Mengambil bungkusan dan belum pernah terlupa untuk berterima kasih di saat menerima apa sahaja pemberian daripadanya.

Isteri. Dia terkedu. Hampir tidak terucap di bibir akan perkataan itu. Pelannya telah berubah seratus peratus. Bukankah tadi dia berhasrat untuk melunaskan matlamatnya dan pergi dari situ. Tetapi, rancangan itu diambil ketika dia hidup bersendirian, bujang. Kini, dia telah pun sah bergelar suami orang. Suami kepada gadis itu pula. Mana mungkin dengan sewenang-wenangnya dia menggalas dan melepas tanggungjawab. Itu bukan sikapnya dan bukan peribadi dirinya yang baharu. Keliru. Juga buntu.

Dia perlu merancang lagi. Tetapi bagaimana? Patutkah dia memulangkan gadis itu kepada keluarganya begitu sahaja? Tetapi apa pula kata Atuk? Orang tua itu bukan sebarangan kenalan. Sanggupkah dia bertindak kejam lagi dengan mempermainkan hidup gadis itu lantas menjatuhkan sekali lagi maruah orang tua itu yang tersedia terconteng dengan kes penangkapan mereka berdua meskipun kes itu berjaya disembunyikan daripada pengetahuan ramai.

Alex menghela nafas yang panjang. Lidah kelu untuk berkata lanjut meski tadi dia telah merencana untuk berbual sedikit dengan gadis itu. Tanpa sebarang bicara dia beredar dan turun ke bengkel. Tempat yang tenang baginya untuk memikir hal-hal ke depan yang makin membingungkan dirinya sendiri.

Dari jauh kedengaran suara Azan berkumandang. Tidak jadi dia hendak menyambung kerja.

Selesai solat barulah dia kembali duduk di meja besar itu. Noise-cancelling headphone yang berada di atas meja dipakai. Kayu sekerap bersaiz kecil dan comel yang merupakan baki daripada kerja pemotongan yang dibuat sebelum ini tersimpan di dalam sebuah kotak sederhana besar dikeluarkan. Suis table saw dihidupkan. Push stick buatan sendiri digunakan untuk menolak bongkah-bongkah tersebut mendekati mata gergaji sebelum ianya terbelah dua. Satu per satu ditolak. Dia tenggelam dalam alunan 25 Minutes dendangan Micheal Learns to Rock sambil bongkah kecil itu terus dimamah oleh mata gergaji yang rakus itu. Hampir separuh kotak menjadi hidangan table saw. Makin tenang fikirannya. Habuk dan kiub kayu kecil ditolak dengan sikat penyapu ke bawah. Enggan dikemaskan lagi.

Kerja-kerja menampal viner masih belum selesai. Rak kayu, kotak barang perhiasan dan beberapa kotak bakul bersaiz mini yang telah siap dihasilkan diletakkan di sebuah para di belakang pintu dibawa ke meja besar. Gam kayu dari dalam laci meja alatan dikeluarkan. Kepingan venir akan digamkan pada kesemua aksesori kelengkapan itu disamping melalui proses sanding dan polish berberapa kali lagi bagi mendapatkan hasil kemasan yang terbaik.

Tak tersedar waktu yang berputar tanpa mundur ke belakang laju bergerak. Dan sebaik ruang minda terkenangkan gadis itu secara automatik dia menunaikan tanggungjawabnya sebagai seorang suami yang wajib memenuhi keperluan seorang isteri.

Suami?

Dia telah menjadi seorang suami! Andai orang kesayangannya itu tahu tentang identiti baharu juga hidupnya yang baharu itu, maukah mereka menerima dirinya kembali? Tidak mampu dia memikir sejauh itu. Alangkah sebelum ini hanya kerana bersuara demi pilihan hati dia telah dibuang, mana mungkin dengan mudah dia diambil kembali. Berbaur perasaan memikirkan penerimaan mereka andai waktu untuk menyampaikan berita besar itu tiba.

Kembali ke tingkat atas posisi isterinya itu masih sama. Alex enggan mengganggu. Diam-diam meletakkan bungkusan yang dibawa ke atas meja kopi lalu berlalu. Biarlah balutan kesedihan yang sedang dibelai oleh gadis itu terzahir sendirian tanpa perlu disebar kepadanya kerana dia juga mengerti akan perasaan itu.

Previous: Bab 10
Next: Bab 12

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.