Home Novelet Fantasi Endraloka
Endraloka
Hanamori
5/10/2017 21:50:28
3,840
Kategori: Novelet
Genre: Fantasi
Senarai Bab
Bab 1

Firaz mendongak memandang ke dada langit, cuaca cukup cerah.Kelihatan burung riang bertari di langit. Awan berarak perlahan di tiup bayu lembut. Tapi semua itu tidak penting buat Firaz, apa yang lebih penting baginya kini adalah mengisi perutnya yang berada di ambang kebuluran. Firaz duduk berteleku, mengenangkan nasibnya yang malang.

 

Dua tahun yang lalu, dia cumalah seorang pemuda kampung naif yang begitu teruja tiba di kota Fionre ini. Impiannya sedari kecil lagi ingin menjadi salah seorang ahli gilda. Gilda merupakan agensi laskar upahan yangmendapat kebenaran beroperasi oleh pihak pemerintah.

 

Tergambar di fikirannya dia akan menjadi ahli gilda yang ternama. Dia akan dapat mengumpul duit dengan banyak apabila dia menerima duit upah hasil dari melaksanakan tugasan yang diberikan oleh pelanggan. Duit yang terkumpul itu akan dikirimkan olehnya ke kampung halaman buat nenek dan ibunya,supaya keduanya tidak lagi hidup dalam kesusahan.

 

Namun, segala harapan itu berkecai apabila dia gagal untuk mendapatkan lencana ahli Gilda.

 

"Ini semua disebabkan pemeriksa yang semuanya korup,minta dirasuah, tak ada duit, tak boleh lulus, aku mana ada banyak duit, terpaksa aku buat kerja keji, celaka!"bentak Firaz seraya menyepak batu kecil yang ada di depannya.

 

Batu itu terpelanting lalu mengena kepala seorang lelaki botak yang sedang asyik menikmati air tuak di sebuah warung. Air tuak yang diminumnya tersembur keluar dari mulut, lalu menyimbah temannya yang bermisai lentik di hadapan.

 

Lelaki botak dan temannya itu segera bangun dan merenung Firaz dengan wajah yang membengis. Mereka berdua keluar dari warung dan bergegas menghala ke arah Firaz.

 

Firaz tertelan air liur apabila melihatkan tubuh kekar dua lelaki itu. Jika dibandingkan dengan dirinya, umpama langit dengan bumi.

 

"Bahaya ni, kalau dibantai oleh mereka nescaya badanku akan patah riuk, kalau bernasib lebih malang, aku akan terus dihantar ke dalam kubur"  fikirnya sendirian tatkala dia perlahan-lahan berundur untuk membuka langkah melarikan diri.

 

Dua lelaki sasa itu melangkah merapatinya dengan lebih pantas. Muka mereka merah padam. Ketika itu Firaz terlihat lencana harimau emas tersemat pada dada baju dirah kedua-dua lelaki itu.

 

"Arghh! Orang kenamaan Namron pula, malang betul nasibku" rungut Firaz setelah menyedari keadaannya semakin gawat.

 

Melihatkan keadaan semakin meruncing,  Firaz tanpa berlengah lagi terus berlari kencang melewati lorong kelam itu. Beberapa kali dia hampir tersungkur akibat tersepak serpihan kotak kayu yang bersepah di sepanjang lorong itu.

 

Tiba-tiba lariannya terhenti,  kemaraannya dihalang oleh lelaki bermisa lentik tadi. Segera Firaz berpaling ke belakang. Hanya si botak sahaja yang mendatanginya dari arah itu.

 

"Aduh! Terkepung pula, macam mana si misai ni boleh potong laluanku," Firaz merungut sendirian.

 

"Hei budak! berani kau cari masalah dengan kami,"ujar lelaki botak itu, penumbuknya dikepal kemas dan dihentaknya ke telapak tangan sebelah lagi beberapa kali.

 

"Nampaknya, nyawa kau terpaksalah kami rentap sekejap lagi." sahut lelaki bermisai itu pula sambil tersenyum sinis.

 

Keringat mula mengalir pada dahi Firaz. Dia bukan berdepan dengan orang biasa tetapi kenamaan Namron atau lebih menakutkan mereka mungkin kesatria dari Namron. Kesatria Namron terkenal dengan kekuatan dan kemahiran ilmu bertempur, bertembung dengan mereka di dalam medan pertarungan adalah suatu musibah.

 

Kaki Firaz mula menggeletar ketakutan, dia harus melepaskan diri. Jika tidak mahu hidupnya berakhir di lorong kotor itu.

 

Lelaki botak itu menghayun buku limanya dengan pantas kearah Firaz. Namun, serangan itu mudah di baca oleh Firaz, dia segera mengelak.

 

Tidak habis di situ sahaja, Firaz diserang pula oleh lelaki bermisai lentik. Namun, Firaz bukanlah selemah yang disangka dua lelaki itu,dia bergerak lincah menghindari tiap terjahan serangan. Tubuhnya kelihatan begitu ringan, seakan bertari di atas angin.

 

Namun tanpa diduga, nasib tidak menyebelahinya apabila kakinya tersadung serpihan kotak kayu dan menyebabkan dia terjatuh. Melihatkan keadaan itu, dua lelaki itu segera bertindak membuat serangan secara serentak ke arah Firaz.

Firaz tidak sempat berbuat apa-apa lagi. Dia benar-benar berada di dalam keadaan tersepit sekarang.

 

BOOMMM!

 

Bunyi letupan bergema, cahaya putih menerangi lorong gelapitu. Dua lelaki itu terundur ke belakang, mereka melindungi mata mereka dengan lengan masing-masing. Cahaya putih yang terpancar secara tiba-tiba itu cukup menyilaukan.

 

Beberapa tika kemudian, cahaya putih yang benderang itu mula menghilang.

 

"Tak guna!" bentak lelaki botak itu apabila dia menyedari Firaz tiada lagi di sekitar lorong itu. Matanya yang berurat merah melilau mencari kelibat Firaz, nafasnya tercungap menahan amarah.

 

"Jargindaz!" lelaki bermisai itu memaut bahu lelaki botak itu. Lelaki botak itu segera berpaling memandang temannya.

 

"Budak itu dah curi uncang duit, lencana emas dan senjata kita." beritahu lelaki bermisai lentik itu.

 

Segera lelaki botak itu memeriksa barangannya, memang benar segalanya sudah tiada. Menyedari hal itu, lelaki bernama Jargindaz itu bertambah berang, dia tidak dapat lagi menahan amarah lalu dilepaskannyatumbukan bertubi-tubi ke dinding bangunan sebuah sebuah kedai.

 

"Goshma, kita perlu cari sampai dapat budak itu,setelah dapat dia, biar aku hancurkan muka budak itu selumat-lumatnya"Jargindaz mengetap gigi, amarahnya bertukar kesumat setelah maruahnya dipermainkan sedemikian.

*****

 

Firaz duduk bersandar di dinding cerobong asap batu sebuah bengkel kayu usang. Bengkel kayu sudah tidak digunakan lagi, mungkin tuan empunya bengkel itu sudah meninggal dunia atau mungkin bengkel itu sengaja ditinggalkan. Biarlah, walau apa pun sebab bengkel kayu itu ditinggalkan, Firaz tetap berterima kasih kepada tuannya. Sekurangnya dia ada tempat untuk berteduh dari hujan dan panas.

 

"Hish! lama betul budak ni beli makanan, aku sudah lapar ni" rungut Firaz. Dia bangun dan melompat turun daripada bumbung bengkel kayu itu. Dia kemudiannya mengumpul kayu untuk menyalakan unggun api,sementara menunggu makanannya tiba dia boleh menjerang air dan membancuh kopidahulu.

 

Sedang dia terkial-kial cuba untuk menghidupkan api, seorang gadis yang umurnya sekitar belasan tahun tiba bersama karungan jerami ditangannya. Gadis remaja itu bergaya seperti budak lelaki dari segipemakaiannya dan rambutnya. Firaz merenung tajam memandangnya lalu dibalasnyadengan segihan sahaja.

 

"Kau pergi mana Niela? lama sangat," tanya Firaz seraya mencampak beberapa ranting kayu ke dalam unggun api yang baru dia hidupkan.

 

"Aku pergi beli makananlah tuan, lagipun tadi tuan juga yang suruh aku agih makanan pada orang miskin dulu sebelum balik." jawab Niela sambil meletakkan karungan jerami berisi makanan di atas kotak kayu yang dijadikan mereka sebagai meja.

 

"Ya? aku ada suruh ya?" soal Firaz seraya tergaru kepala. "Biarlah, hulurkan aku makanan lekas, aku kelaparan ini"

 

Niela segera menghulurkan karungan jerami kepada Firaz. SegeraFiraz mengambil karungan itu dan dibukanya tali jerami yang menjerut karungan itu. Aroma wangi nasi lemak mula menyerbu ke dalam rongga hidungnya.

 

"Wah! kau beli nasi lemak? mahal ni, banyak sangatkah hasil jualan barang yang kita curi tadi?" tanya Firaz seraya mengeluarkan sebungkus nasi lemak lalu dihulurnya kepada Niela.

 

"Banyak jugalah, aku beli nasi lemak untuk kita berdua sahaja, untuk orang-orang miskin aku belikan roti sahaja dan ini lebihnya." balas Niela seraya menghulurkan uncang berisi duit.

 

Firaz mengangguk beberapa kali dan mengambil uncang berisi duit itu. " Untuk kau?"

 

"Aku dah ambil, tuan" Niela tersengih, awal-awal lagi dia sudah ambil bahagian dia rupanya.

 

Niela duduk bertenggek di atas batu di sebelah kiri Firaz. Dia membuka bungkusan nasi lemak itu. "Tuan kenapa kau bahayakan diri kau tadi?" tanyanya kepada Firaz sebelum dia menyuap nasi lemak ke dalam mulutnya.

 

"Bahaya? apa maksud kau bahaya?" Firaz berpura-pura tidak mengerti.

 

"Kalau aku tidak datang tadi mungkin kau akan mati." jawab Niela, suaranya merendah dan kedengaran bergetaran."Jika kau mati siapa yang akan jaga aku, siapa yang akan beri makanan pada anak-anak miskin itu"

 

Firaz tertawa mendengar bicara Niela. "aku takakan mati, jika kau tidak datang sekalipun tadi, aku akan dapat selamatkandiri, aku sengaja nak uji kekuatan orang-orang dari Namron" ujar Firaz seraya menepuk belakang Niela dan membuatkan Niela turut tertawa.

 

"Makanlah! jangan nak rosakkan selera aku nak makan ini, dengan ayat sedih kau."

 

"Baik tuan, lagipun kau adalah raja pencuri di sini mana mungkin kau tertewas dengan mudah." balas Niela dengan riang, dia begitu mengidolakan Firaz,  Dia terus sahaja menyambung menyuap makanan ke dalam mulut. Hatinya ceria semula, hati gadis remaja itu mudah sahaja dihiburkan kembali.

 

"Tahu pun kau."Firaz tersenyum memandang Niela. Begitu indah menjadi anak remaja seperti Niela, walau mereka hidup dalam kedaifan dan dicengkam kemiskinan hati mereka mudah diriangkan. Hal demikian kadangkala membuatkan Firaz berasa iri hati dengan Niela. Dia temukan Niela sedang terlantar sakit di lorong kelam setahun lalu, tiada siapa yang pedulikan anak yatim itu, pada ketika itulah dia terpaksa mencuri untuk mendapatkan duit demi membeli ubatan Niela. Kesudahannya sehingga kini dia melakukan pekerjaan itu dan gelaran raja pencuri itu melekat padanya.

 

Di era penjajahan Namron ke atas Endraloka ini, kehidupan masyarakat di sini semakin tersepit. Cukai dikenakan oleh pihak pemerintah terlalu tinggi, harga barangan menjadi terlalu mahal, golongan bangsawan mengambil kesempatan dan akhirnya yang menjadi mangsa sebenarnya adalah golongan miskin. Rasuah di sini sana dan korupsi menjadi pekara biasa,realitinya di kota ini tidak seindah yang diceritakan oleh nenek dan ibunya yang menetap di sini ketika zaman pemerintahan Raja Zabarjad 16 tahun dahulu.Ketika itu dia baru berusia 4 tahun, tiada satu pun memori keindahan kota ini yang dia mampu ingat, yang hanya lekat diingatannya cuma memori perih menjadipelarian perang. Mereka terpaksa lari keluar dari kota dan hidup diperkampungan puak bunian di dalam hutan.

 

"Tuan! kenapa kau berhenti makan? rasanya tidak kena dengan selera kau?" soal Niela membuatkan lamunan Firaz terhenti.

 

"Tak adalah, aku baru teringat aku terlupa beli bekalan air daun ketrum."balas Firaz, menyembunyikan lara di hatinya.

 

"Tuan jangan khuatir, biar aku belikan untuk tuan sekejap lagi." Niela menyengih seraya menjempol ibu jarinya ke atas.

 

"Huh! kau lupakah? kau tu bawah umur, mereka tidak akan jualkan kepada kau," Firaz menunjal perlahan kepala Niela. Gadis itu baru berusia 14 tahun, mana mungkin ada alkemis yang berani menjual barangan kawalan sebegitu kepadanya. Menjadi kesalahan besar munurut undang-undang kota, jika menjual barangan kawalan kepada remaja berumur bawah 17 tahun.

 

Niela hanya ketawa seraya menggosok kepalanya yang ditunjal Firaz."Tuan, tapi bahayalah kau pergi semula ke kota, tentu sihir pukau yang kau kenakan pada mereka masih belum menjadi, kau kata, beberapa jam barulah sihir pukau itu menjadi. Mereka berdua tentu masih belum lupakan rupa kau, Tuan."

 

"Janganlah kau risau sangat Niela, aku boleh menyamar, pakai jambang palsu, tentu tiada siapa yang akan kenali aku" ujar Firaz penuh keyakinan. Niela hanya mengangguk, anak matanya yang berwana hazel itu bersinar sedang bibirnya melakar senyuman.

 

 

 

 

 

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Hanamori