Home Novel Cinta REEV
Bab 33

33

Rehat tengah hari pada hari Jumaat agak panjang. Tatkala kaum muslimin bergegas ke masjid berhampiran, kaum muslimat pula sibuk merencana aktiviti untuk menghabiskan waktu rehat yang panjang itu. Hari ini Shakira tidak ada dikilang. Gadis itu diminta ke Kota Tinggi untuk melihat jentera baharu yang diguna pakai oleh kilang tersebut. Ketiadaan Shakira tidak membuat aku berasa sendiri. Teman-teman seperti Ida dan Heliza ada mengisi kekosongan sementara itu. Mereka tahu betapa akrabnya hubungan aku dan Shakira meskipun baru dua bulan kami berkawan. Sebentar lagi Ida dan Heliza merancang untuk ke sebuah farmasi kecantikan sambil mencuci mata di bandar Pekan. Mereka berdua mempelawaku untuk ikut serta tetapi, aku menolak. Terik sungguh cuaca pada hari ini. Lebih nyaman sekiranya berada dibawah bumbung kilang sahaja. Joyce dan Rajni awal-awal lagi sudah cabut. Joyce perlu ke sekolah untuk menjemput anaknya yang baru bersekolah rendah. Manakala Rajni sudah tentulah sibuk dengan lunch date bersama kekasih hati. Usai makan tengah hari di kantin aku menuju ke arah surau. Walaupun uzur syarii, aku berhasrat untuk berehat sahaja disitu. Niatku dibatalkan sebaik menjenguk ke dalam surau tersebut. Penuh! Kebanyakan ruang sudah dipelopori oleh angkatan operator. Begitu juga di pondok wakaf. Akhirnya aku membuat keputusan untuk kembali sahaja ke pejabat. Gasaklah. Sorang pun sorang, lah. Asal ada tempat boleh berehat, getus fikiranku. Sambil melenggang, aku melayan perasaan mengantuk yang tiba-tiba hadir. Best jugak kalau dapat lelap ni, fikirku lagi. Mulutku menguap kecil. Seakan mengiyakan pendapatku sebentar tadi. Baru sahaja pintu pejabat mahu ditarik lenganku disauk dari belakang. Aku ditarik dan dibawa ke bilik mesyuarat yang terletak bersebelahan dengan unit pejabat. Aku seperti dipukau. Pegun sahaja tubuhku dibawa kesana kemari tanpa sebarang tindak balas. Malah, peti suaraku seperti dikunci. Satu pekikan halus pun tidak mampu aku keluarkan. Sebaik pintu bilik mesyuarat ditutup rapat, tangan yang memautku sebentar tadi menolakku dengan kasar kehadapan. Aku berpaling. Tersentak melihat wajah individu yang berlaku kasar kepadaku secara tiba-tiba. Tanpa membuang masa, tangan ku angkat tinggi dengan niat untuk menampar si durjana tersebut. Tetapi, tindakan aku mampu dibaca olehnya. Dia menahan dengan memegang kemas pergelangan tanganku. Aku mendengus kasar. Geram diperlakukan dengan sesuka hati. 

"Kurang ajar!! Macam mana kau boleh masuk ke sini? Kali ni, memang aku akan laporkan pada polis. Orang psiko macam kau patut duduk dekat Tanjung Rambutan. Bukan bebas berkeliaran macam ni!" Tuturku dengan nada yang agak tinggi. Kedua biji mataku tajam menatap susuk tinggi dihadapanku ketika ini. Dadaku terumbang-ambing dilanda rasa yang bercampur baur. Ada panik, terkejut, takut, marah, geram dan sebagainya. Semuanya gara-gara kehadiran mengejut lelaki itu. Mr. Reev tersenyum sinis. Sesaat sahaja sejuring senyuman itu melingkari dibibirnya sebelum ianya padam. 

"Budak India yang ganti pak guard tu memang tak boleh diharap." kata Mr. Reev seraya merungkaikan pegangannya. Aku mengusap beberapa kali tangan yang sama yang dikasari oleh lelaki itu. Lirikanku beralih ke sudut yang lain. Tak kuasa aku memandang orang ego macam ni. Sempat mindaku memikir tentang pengawal keselamatan yang sentiasa menjadi pengganti kepada Encik Azizi apabila tiba waktu rehat hari Jumaat. Pemuda itu seorang operator sebenarnya. Namun, entah macam mana dia turut ditawarkan kerja part-time setiap hari Jumaat ketika Encik Azizi mendapat pelepasan untuk solat berjemaah di masjid. 

"Kenapa datang sini?" tanyaku. Kali ini suaraku perlahan pula. Saat ini baru aku sedar. Andai aku ditangkap basah buat kali kedua, ianya bukan fitnah lagi. Ianya sesuatu yang benar. Kerana, hampir semua pekerja menganggap Mr. Reev adalah teman lelakiku. Aduh! Masak macam ni. 

"Sebab aku tau kau mesti larikan diri. Aku dah bagi tempoh, kan?" kata Mr. Reev seraya menyandarkan tubuh di daun pintu yang bertutup rapat. Aku menjeling dengan ekor mata melihat kedudukannya itu. Macam tau-tau je aku nak loloskan diri. 

"Hari Jumaat akan berakhir tepat jam dua belas malam nanti. Masih ada sebelas jam lagi sebelum tempoh tu tamat. Kau tu yang tak sabar." ujarku sambil berpeluk tubuh. Sungguh, aku tak gemar berada berdekatan lelaki ini. Perlakuan dan gerak gerinya tak dapat diduga. Apatah lagi pandangan tajamnya itu. Oh, hari ni spec hitam tu tak dipakai pula. Aku melirik kearahnya sekilas. Raut wajahnya tampak keletihan. Ada lebam dibawah matanya. Seperti orang tidak cukup rehat sahaja. Gayanya santai. Tshirt putih dan sepasang jeans corak-carik berwarna biru pudar dan sepasang kasut sukan putih. Entah dari mana datangnya lelaki ini, aku kurang pasti. Memang patut aku enggan menurut permintaannya itu. Bimbang pula dengan keselamatan diriku nanti. Entah-entah dijualnya aku dipasaran gelap. Oh, kes pemerdagangan orang merupakan bisnes gelap yang menguntungkan mutakhir ini. Akalku mula ligat mencari alasan yang sesuai. 

"Tengok muka kau pun aku dah boleh baca. Kau dengar sini, Rosy. Rumah Tok Wan kau tepi pantai tu, kan? Esok, kalau kau tak muncul jam sembilan pagi di Terminal Kuantan, aku cari kau di rumah Tok Wan!" gertak Mr. Reev. Wajahnya selamba sahaja. Tiada reaksi marah atau tidak suka. Alamak! Sah, lelaki psiko ni. Nama penuh, tempat kerja... Rumah Tok Wan pun dia tau? Biar betul! Kalau bukan psiko apa lagi? Aku mengamati lelaki itu dalam diam. Tak nampak pun macam orang gila. Gangster? Aku menelan air liur. Mungkinkah...? 

"Jangan buang masa aku dan jangan penatkan otak kau buat overtime. Ini, business card aku. Tak percaya lagi? Kau boleh Google. Dan, simpan baik-baik kad tu..." tutur Mr. Reev seakan tahu kad yang pernah diberikan sebelum ini sudah selamat aku tong sampahkan. Kad yang dihulurkan olehnya aku capai dengan perasaan teragak-agak. Sekali lagi kad kecil itu aku genggam sahaja di dalam penumbukku. Rasanya tak sampai dua saat kad itu juga sudah lunyai. Tak dapat tumbuk orangnya, dapat remukkan kad pun jadilah. 

"Pukul sembilan, aku tak boleh. Awal sangat. Tengahari, lah." Aku cuba membeli waktu sambil akalku ligat mencari jalan keluar. 

"Lewat sangat. Sepuluh!" sahut Mr. Reev pula. Aku pura-pura memikir-mikir. Kepala yang tidak gatal sengaja aku garukan. 

"Erm, sebelas?" 

"OK. Esok tepat jam sepuluh aku tunggu kau di hentias bas Pekan. Jangan fikir kau dapat lari." ujar Mr. Reev lantas beredar dari bilik itu sebelum sempat aku menghalang. Cis! Spesis pelesit ke apa? Datang dan pergi macam tu aje, gumamku perlahan. Aku menarik sebuah kerusi yang kemas bersusun dibawah meja. Saat ini baru aku rasakan betapa lemah dan lelahnya tubuhku. 


Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Kay Zaaraa