Home Novel Cinta HATIMU MILIKKU
Bab 48


"Aa..ada apa awak call?"

Tanya Dania dengan suara bergetar.Kakinya diundur setapak.


Alvin menarik nafas dalam, cuba meredakan rasa marah.Namun biji matanya masih tidak berganjak menatap wajah Dania.Kemudian Alvin mengalihkan  pandangan ke kolam ikan sebelum bersuara.


"Tak ada apalah.I just want to check.Saya kena balik ke hospital."


Tanpa berpaling, Alvin berlalu meninggalkan Dania yang tidak berganjak.Hanya anak matanya saja yang bergerak menyoroti langkah lelaki itu sehinggalah ngauman enjin lenyap dari pendengaran.


Dania duduk semula di tepi kolam ikan.Batu hiasan kecil yang disusun di sepanjang kolam diambil lalu dilempar satu demi satu ke dalam kolam dengan sekuat hati.Rasa takut yang tadinya sempat menyelimuti kini bertukar menjadi marah.


"Gila ke tiba-tiba balik nak marah orang?Dah tak ada kerja ke?!!"


Dania ketap bibir.Kolam matanya bergenang menahan seribu satu rasa.Entah kenapa dia begitu tersentuh dengan sikap Alvin tadi.Sudahlah marah-marah tak tentu pasal.Langsung tak ada rasa bersalah hatta meminta maaf sekali pun.


'Ini ke cara lelaki ekspresikan rasa sayang dia?Bila nak belai, belai..bila rasa nak marah, marah..'


Satu keluhan berat dilepaskan sebelum berdiri mendongak ke langit.Awan mendung yang berarak sedikit sebanyak menenangkan hatinya yang galau.


Tiba-tiba Dania teringatkan Ayumi.Matanya kembali hangat dengan genangan air mata yang tidak mahu jatuh.Teringin sekali rasanya meluahkan isi hati.Dania tidak mampu menahan sebak tatkala terkenangkan ibu dan ayahnya.Wajahnya ditutup dengan kedua tapak tangan.Air mata yang ditahan merembes jua.Sungguh saat itu dia merasa kesepian dan keseorangan.



*****************************



Jam dinding menunjukkan hampir pukul sembilan malam.Alvin masih leka di ruang pejabat meneliti data-data pesakit.Sekejap matanya menghadap skrin komputer dan sekejap pula matanya ligat menyemak helaian fail.Kelekaannya tergugat apabila Doktor Imran tiba-tiba masuk ke pejabatnya.


"Eh, Vin.Kau tak balik lagi?"

Doktor Imran berdiri tegak di hadapan Alvin dengan beg yang tersandang di bahu.


"Hmm.."

Jawab Alvin acuh tak acuh.Kehadiran Doktor Imran tidak diendah.


"Kalau sebelum ni aku tak heran kau selalu overtime.Tapi sekarang takkan nak terperap jugak kat hospital ni kot."

Usik Doktor Imran.Beg yang hampir melorot dari bahu dibetulkan.


"Kejap lagi aku baliklah..See you tomorrow."

Malas Alvin mahu melayan.Faham benar dia akan maksud Doktor Imran itu.


Selepas mengucapkan selamat tinggal, Doktor Imran berlalu pergi.Alvin menutup fail lalu bersandar malas pada kerusi.Wajah manis Dania terbayang kini.Hampir saja dia terlupa akan isterinya yang 'mungkin' menunggu dia pulang.


'Apa Dania tengah buat sekarang?Dah tidur ke?Dah makan ke belum?Apa dia tunggu aku balik?'


Tubuhnya ditegakkan kembali seraya mengemas fail-fail yang berselerak di atas meja.Komputer dimatikan.Beg kerja dicapai lalu menutup semua suis yang ada.


Sebelum pulang, Alvin sempat singgah di sebuah kedai kek untuk membeli kek coklat lembap kegemaran Dania sebagai tanda permohonan maaf.


Alvin tahu dia salah.Bukan dia tidak cuba untuk menghubungi Dania untuk meminta maaf.Namun egonya yang tinggi menggunung menghalang niat baiknya itu.Terbit jua rasa kesal kerana memperlakukan Dania sebegitu apatah lagi mereka baru saja tinggal bersama.


Tiba-tiba Alvin teringatkan pesanan Puan Saida pada hari dia membawa Dania balik ke rumahnya.


"Ingat Alvin, kalau ibu dapat tau Alvin buli anak ibu ni, siap Alvin."


Alvin melepaskan keluhan berat.Wajahnya diraup berkali-kali.Sedikit pun tiada niat untuk dia menyakiti Dania.Kek yang dibalut cantik di dalam kotak putih di tempat duduk penumpang ditenung lama sebelum memulakan perjalanan.





Sebaik menginjakkan kaki ke dalam rumah, Alvin terus menuju ke dapur untuk menyimpan kek ke dalam peti sejuk.Sempat dia meneguk segelas air sejuk sebelum naik ke tingkat atas.


Dadanya berdebar saat tiba di hadapan bilik tidur utama.Sebaik pintu dikuak, terkejut Alvin apabila mendapati ruang bilik gelap gelita.Automatik tangannya meraba suis lampu di dinding berhampiran pintu.Sekali lagi Alvin terkejut apabila mendapati Dania tiada di situ.


Alvin panik.Laju langkahnya menuju ke bilik air, tetapi hampa.Alvin cuba bertenang.Rambut yang menutupi sebahagian dahi diraup ke belakang dengan mata terpejam sambil sebelah tangan lagi mencekak pinggang.


"Bilik sebelah!Ya, mesti Dania tidur dekat bilik sebelah sebab merajuk dengan aku."


Alvin berdialog dengan diri sendiri.Gayanya sudah seperti seorang penyiasat handal dalam misi menyelesaikan satu kes misteri.Tanpa berlengah lagi, Alvin menapak ke bilik sebelah dengan harapan melangit.


Pintu bilik dibuka dengan berhati-hati.Alvin menarik nafas lega tatkala melihat sekujur tubuh isterinya yang sedang berselimut di atas katil.Setidak-tidaknya Dania masih bersamanya dan tidak bertindak di luar jangkauan.Sempat terfikir kalau-kalau Dania keluar dari rumah tanpa izinnya.


Perlahan Alvin menghampiri Dania yang terlihat sudah lena diulit mimpi.Alvin duduk bertentangan dengan Dania.Terjungkit-jungkit bibirnya saat menjajah seluruh pelusuk wajah polos itu yang hanya disinari cahaya kelam lampu tidur.Alvin terpesona.Badannya dibongkokkan sedikit untuk melihat Dania dengan lebih dekat.


'Sleeping Beauty'


Alvin senyum lagi.Dan tanpa sedar tangannya mengelus lembut rambut Dania.Tersentak dengan sentuhan itu, Dania membuka matanya perlahan.


"Alvin."


Antara dengar dan tidak, Dania menyebut nama itu.Alvin memandang Dania.Tangannya terhenti dari mengelus rambut isterinya.


"Sorry.."


Ujar Alvin perlahan.Bibirnya mengukir senyum manis sambil menatap lembut mata Dania.


Dania bungkam.Dia ingin segera berpaling namun tubuhnya terasa mengeras sewaktu menyedari wajah Alvin hanya beberapa inci saja dari wajahnya.


"Kenapa tidur kat sini?"


Alvin bersuara lagi apabila menyedari Dania hanya diam membalas tatapannya.Hatinya masih galau memikirkan kalau Dania masih marah dengannya.


Cepat-cepat Dania bangun dan menyandarkan tubuhnya ke kepala katil pada saat Alvin kembali menegakkan badannya.


"Saja."


Jawab Dania tanpa memandang Alvin.Kain selimut yang meleret dari tubuh ditarik kembali.Sebenarnya dia kurang selesa saat berdua dengan Alvin di dalam bilik.Masih belum terbiasa rasanya tidur di samping lelaki itu.Seboleh-bolehnya dia akan cuba mencuri peluang untuk tidak tidur sebilik dengan Alvin.Kecut hatinya setiap kali memikirkan hal yang 'bakal terjadi' antara mereka nanti.


"Saya minta maaf pasal siang tadi.Saya terlalu emosi."


Kata Alvin sambil membetulkan sedikit kedudukannya agar lebih dekat dengan Dania.Tangan hangat Dania diraih lalu dibawa ke riba dan diramas lembut.


Dania hanya mampu membiarkan Alvin bermain dengan jari jemarinya.Wajahnya membahang tiba-tiba saat matanya bertembung dengan anak mata Alvin hingga memaksanya menundukkan kepala.


"Awak maafkan saya tak?"


Alvin bertanya pula setelah permohonan maafnya tidak berbalas.Kepalanya direndahkan sedikit untuk melihat ke dalam mata Dania.


"Ya..ya..saya tak ambil hati pun.Dahlah awak pergilah mandi.Busuk tau tak?Saya nak tidur."


Dania menarik tangannya dari gengggaman Alvin lalu kembali berbaring membelakangi suaminya.Sedikit pun dia tidak memandang wajah lelaki itu.Dania pejam mata dan berharap agar Alvin segera keluar dari situ.Tidak sanggup lagi rasanya menahan getar di dada.


Tersentak Alvin dengan tindakkan Dania itu.


'Busuk ke?'


Alvin mencium kemeja putih yang dipakainya berkali-kali.Haruman minyak wangi maskulin masih saja tersisa.Kepala disengetkan dengan bibir sedikit terbuka, seakan sedang berfikir lalu kembali menumpukan perhatian kepada Dania yang diam tidak berkutik.


"Ok, sayang.Saya mandi dulu.Kejap lagi saya datang."


Dania langsung membuka mata dan menoleh ke arah Alvin.Berderau darahnya mendengarkan kata-kata itu.


'Kalau dia tidur kat sini, apa guna aku lari dari dia?Sama jugak!'


Sempat lagi Dania berkira-kira sendiri.


"Awak tidur jelah kat sana.Saya boleh tidur sini sorang-sorang!"


Kata-kata Dania mematikan langkah Alvin di pintu.Dia kembali mendekati isterinya.


"Awak tak takut ke tidur sorang-sorang?"


Laju soalan itu meluncur dari mulut Alvin.Keningnya terjongket menunggu jawapan Dania.


Dania yang masih berbaring kini kembali menegakkan badan.Hampir tergelak dia mendengar soalan Alvin yang kebudak-budakkan itu.


'Dia ingat aku ni budak kecik ke?'


Sedaya upaya dia cuba menahan diri dari tersenyum apalagi menyedari raut wajah Alvin yang serius.


"Tak."


Jawab Dania bersahaja lalu kembali merebahkan badan.Mulutnya ditekup dengan selimut menahan tawa.Geli geliman hatinya apabila memikirkan yang Alvin sengaja mencari alasan untuk tidur bersamanya.




"Hai..apalah nasib.."


Alvin berbicara sendiri sambil sebelah tangannya diletakkan di atas dahi dalam posisi terbalik.Dari tadi matanya masih degil untuk terpejam.Berkali-kali dia memandang jam di dinding.


"Tak boleh jadi ni."


Alvin bangun dari pembaringan.Selimut tebal yang membaluti separuh tubuh diselak rakus.Dia nekad untuk ke bilik Dania.Sedari tadi otaknya hanya memikirkan Dania hinggakan tidak dapat melelapkan mata.Keletihan bekerja seharian juga bagaikan tidak terasa.


Pintu bilik Dania dikuak perlahan lalu ditutup kembali.Terjengket jengket Alvin mendekati tempat tidur Dania layak seorang pencuri.Setelah memastikan yang Dania benar-benar sudah lena, Alvin lantas mengambil tempat di sebelah isterinya.Kebetulan pada saat itu Dania berbaring terlentang.Dapatlah dia melihat wajah itu sepuasnya sebelum melelapkan mata.


Matanya tertumpu kepada seulas bibir Dania yang tertutup rapat.Alvin senyum nakal.Ingin sekali bibir itu disentuh.Satu keluhan dilepaskan.Alvin sedar, bukan mudah untuk Dania menerimanya sepenuh hati.Apatah lagi menyerahkan segala-galanya sebagai seorang isteri.


Alvin pejam mata.


'Cinta bukan untuk dipaksa.Tapi kau kena percaya yang kau mampu buat dia jatuh cinta dengan kau.This is all about time, Alvin.Kau hanya perlu berusaha dan selebihnya serah pada Yang Maha Kuasa.'


Alvin buka mata apabila terasa ada sesuatu menyentuh dadanya.Terlalu asyik bermonolog dalam hati sampaikan tidak sedar yang isterinya sudah berubah posisi.Dania kini sudah mengiring ke arahnya.Jarak mereka yang terlalu dekat menyebabkan tangan Dania menyentuh dada Alvin.


Alvin senyum leret.Pantas tangannya melekap ke pinggang ramping Dania.Tubuh Dania dipeluk erat lalu diusap lembut.Sesekali dia mengintai wajah Dania yang tenggelam di dadanya.Alvin senyum puas setelah pasti isterinya masih lena.Dan beberapa ketika kemudian, Alvin turut tertidur pulas.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Ain Arumi