Dengan nama Allah, aku berlindung daripada segala kecelaan.
Berikan aku kekuatan untuk terus menghapus kelemahan, dan keberanian untuk
menangkis segala ketakutan.
Syukur aku masih teguh berdiri. Menunaikan segala yang
dihajati.
Tika mulut tidak putus meratib Asma’ yang Esa, jari ralit
menari menyusun aksara. Tika jasad merasa lelahnya penat, jiwa terus teguh
merangkul erat. Tika fikiran melayang di awangan, aku terus tolaknya kejauhan
dan toleh pada impian.
Ya! Impian.
Impian aku ini bukan lah sebarang impian yang akan hanya
tinggal kenangan. Bukan juga impian serupa mainan. Aku telah lakarkannya di
atas sebuah permaidani hijau yang tenang, untuk direalisasikan bersama
kebahagiaan dan bukannya dihancuri oleh kejahilan.
“Wahai diri yang lemah! Kenapa impian kau tinggi sangat?
Kapal terbang yang disangka besar dan kuat macam MH370 itu pun boleh hilang
tanpa alamat. Inikan pula diri kau yang serupa macam lalang. Ringan dan tak
tentu hala gelabahnya bila angin serang. Kuat ke nak capai impian ekstrem kau
tu? Hahaha!”
Wahai ‘musuh rapat’ yang paling aku hormati. Dengar apa yang
aku nak bicarakan. Aku bina impian ini bukan atas dasar nafsu semata, tapi aku
bina atas dasar aku sebagai hamba-Nya. Aku cipta impian ini bukan sekadar
menjadi tempelan sahaja, tapi akulah yang akan menjadi watak utamanya. Aku
bukan sekadar mengikat impian aku di kaki kayu yang reput, tapi aku berpaksikan
pada Pencipta agar ikatannya terus kekal berpaut.
Terjeda lama…
Kuatkah aku? Mampukah aku?
Aku pejamkan bebola mata aku serapat-rapatnya. Sehingga aku
terasa hangatnya mengalir manik jernih cuba untuk terus memahami. Aku rasa
gelap segelapnya. Terus cuba untuk mencari cahaya. Lalu satu suara datang
mengetuk gegendang telingaku, satu tangan halus mulus menggenggam erat
tanganku. "Mengapa engkau menangis wahai diri?" Sepenuh hati aku
adukan. "Aku mahu berjalan, tapi sepertinya aku tidak kuat, tidak ada
cahaya sudi suluhkan."
Lalu tangan itu terus erat menggenggamku lembut lalu
berkata, "Bagaimana cahaya boleh menerangkan, jika mata kau pejamkan.”
Lantas aku tersedar dari jeda yang lama. Kelopak mataku basah entah bila ia
merembes keluar. Allah… sungguh ia bukan semudah yang disangka. Tapi aku yakin
aku kuat untuk lalui sehingga berjaya. Gelap itu aku rasa, bukan kerana
hilangnya cahaya, rupanya aku yang terlupa membuka mata, tidak merasai dengan
sepenuh jiwa.
Syukur...senyum panjang.
Terima kasih wahai semangat kerana engkau teguh kuat melawan
‘musuh rapat’. Ternyata musuh rapat itu adalah bayangan diri engkau sendiri.
Musuh yang paling ketat dalam diri.
Jangan sesekali berpaling dari Tuhan, meski engkau banyak
melupakan.
Tinggalkan segala ketakutan, teruskan berjalan menuju
impian.
Dengan disaksikan Tuhan, Pemilik sebenar impian.