4,042
Kategori:
Genre:
Senarai Bab
Bab Enam Belas

 BAB 16

RITA terlentang di atas tilam. Merenung syiling tanpa berkelip. Semua kata-kata Faheem seakan mencairkan isi telinganya. Buah hatinya itu seakan mendesak dia agar bersetuju untuk menjaga mamanya buat sementara. Menabur bakti sebaik mungkin agar dapat menjerat hati kedua orang tua tersayang.

“Jaga mama dia yang sedang sakit tu?” gerutu Rita. Rambutnya dipintal berkali-kali. Wajah kurang senaangnya terserlah.“Eiii, boleh ke aku ni?”

“Aku memanglah nak sentiasa bersama Faheem. Tapi, takkan aku kena jaga mama dia? Hisyh, jadi maidnampak gayanya...” hati Rita berbaur lagi. “Tahu ke aku nak layan orang tua tu? Sabar ke? Mampu ke? Jangan-jangan aku pulak yang kena angin semput. Eiii...dah naik meremang bulu roma aku ni bila fikirkan tentang mama dia tu.”

“Sayang, kan seronok, kalau lbalik, you ada kat rumah l.”Teringatkan kata-kata Faheem membuatkan Rita ingin menerima tawaran tersebut. Apa tidaknya, setiap hari dia akan dapat bertemu dengan buah hati tersayang tanpa sempadan.

Tapi, bila teringatkan dia kurang berminat untuk menjaga orang sakit, Rita tersedak dalam nafas sendiri. Macamana agaknya dia kelak kalau terpaksa menjaga ‘bakal’ mak mentua yang sedang sakit itu. Rita tahu, betapa sukarnya menjaga pesakit terkena serangan angin ahmar kerana banyak sangat cabarannya. Banyak yang mesti dibuat untuk orang sakit begitu. Sedangkan Rita belum tentu mampu menangani semua masalah yang bakal datang. Dia memang tak tahu langsung macamana nak layan orang sakit. Perkara yang amat sukar.

“Hisyh, datuk tu pun satu. Memang dia nak uji aku agaknya. Sebelum jadi menantu, nak tengok kemampuan aku kut.” Duga hati Rita. “So, aku kena buat yang terbaik demi memikat hati bakal ibu dan bapa mentua aku. Walaupun aku kurang mampu dan tak berapa nak suka jadi maid ni, kenalah buat-buat suka...”

Rita cuba tersenyum walau dalam kelat. “Macamana ni?” soal Rita tanpa mampu dijawab sendiri soalannya itu.

Deringan telefon di atas meja solek di kamar itu mengganggu suasana malam Rita. Dia membiarkannya. Malas untuk bangkit dan melayani panggilan itu. Mindanya lebih tertumpu kepada ‘jawatan baru’ yang ditawarkan kepadanya oleh Datuk Nik Rasyid dan juga buah hatinya Faheem.

Deringan itu diam bila tidak dipedulikan. Rita menarik nafas lega. Mindanya terus berbicara tentang apa yang sedang bergelora pada saat itu. Namun, sebentar kemudian, telefon itu menjerit lagi. Memohon Rita agar segera menjawabnya. Suasana bilik riuh kembali dengan deringan itu. Rita menjeling ke arah telefonnya. Geram ada. Marah ada. Bosan ada. Sakit hati ada. Tapi, dia terasa juga ingin tahu siapa pemanggilnya.

Antara ingin dengan tidak, Rita bangun dari katil untuk mendapatkan telefonnya. Rasa malas masih jua menghantui. Apa lagi bila hati asyik memikirkan tentang tawaran buah hati tersayang. Rita seperti kenanaran kini. Hati berbelah bagi.

“Faheem?” terpancul pantas ucapan itu bersama iringan senyum mengulas di bibir saat matanya tertancap pada skrin telefon. Nama Faheem tertera berserta wajahnya sekali. Zaman sudah canggih. Telefon sudah boleh menghubungkan segalanya. Menghubungkan dua hati. Menghubungkan rindu yang menapak. Panggilan itu segera bersambut. Suara itu. Bicara itu. Ucapan itu. Malah, lelaki itu. Adalah impian cintanya. Buah hati pengarang jantungnya. Rita tersenyum segar.

Faheem...! Hati kecilnya bersuara senang. Senyum terus mekar.

Lelaki impian. Lelaki yang diharapkan dapat membahagiakan seluruh ruang hidupnya. Lelaki yang kini sudah menyingkap segenap rasa sayang di kamar hati. Jiwanya sudah mentafsir sejuta harapan terhadap Faheem. Segunung perasaan sudahpun dileburkan terhadap Faheem. Tidak bersisa lagi untuk orang lain. Hanya Faheem yang telah berjaya merampas tunas cinta di hatinya.

Jejaka kacak itu telahpun terpacak di seluruh ruang jiwanya. Faheem bukan sekadar kacak, malah termaktub dalam barisan orang-orang yang beruntung. Orang kaya bila dia mewarisi harta yang bakal dititipkan oleh bapanya kelak. Apa lagi yang Rita kejari selain daripada kekayaan, kemewahan dan kekacakan seorang Faheem.

Rita terus tersenyum senang bila terbayangkan wajah Faheem. Dia terus melayani bicara lelaki itu dengan sikap dan suara manjanya. Hati Faheem terus berbunga ria bila mendengarkan suara manja si gadis cantik pujaan.

DIJA sudah nekad. Dia mengambil keputusan itu demi pelbagai keadaan. Juga demi kebaikan bersama. Lebih penting lagi demi untuk keselamatan dirinya sendiri. Hati semakin berdebar dengan pelbagai ugutan yang diterima. Jadi, dia mesti nekad memilih jalan yang terbaik. Hidup ini mesti diteruskan selagi ada ruang yang disediakan oleh Allah buatnya. Dia mesti kuat untuk kelangsungan hidup. Dia tidak mengalah walaupun apa rintangannya. Berundur bagi Dija bukanlah suatu kekalahan. Tapi demi untuk pertahankan ruang kehidupannya sendiri.

“Kau tinggal je dengan kami, Dija.” Pelawa Marina. Di sisinya Dija sedang membersihkan motornya.

“Yalah, Dija. Kak Sal sedia menerima Dija dengan hati terbuka. Tinggal aje dengan kami.” Kak Sal pula mencelah.

Dija tidak menyahut. Asyik membersihkan motornya. Seolah kata-kata mereka berdua tidak menyentuhi gegendang telinganya. Dengarkah Dija?

“Dija...” panggil Marina. “Dengar tak?”

“Dengar...” selamba jawapan Dija. Matanya masih menyorot pandang terhadap motor kesayangan yang nampak berkilat itu.

“Dah tu, kenapa buat-buat tak dengar...?” cebik Marina.

“Bukan buat-buat tak dengar. Tapi buat-buat tak faham...”

Marina menggeleng. “Macam-macam kau ni...” dia tersengih lebar.

“Dija, tinggallah dengan kami.” Rayu Kak Sal. “Akak risaukan keselamatan Dija. Tinggal sorang tu banyak risikonya. Tak siapa boleh bantu kalau dalam kesusahan.”

“Kalau tinggal beramai pun, dia orang boleh jugak buat jahat, kak.”

“Hidup berteman berbeza dengan hidup sorang, Dija.”

Dija tersengih sambil tangan masih ligat mengesat motosikalnya.

“Dija suka hidup sendirian, kak. Tak menyusahkan orang lain. Tak pula menyakitkan hati orang lain.” Masih selamba Dija bersuara.

“Tapi, hidup sendirian ni banyak jugak risikonya, Dija.”

Dija tersengih cuma.

“Memanglah Dija ni teringin sangat nak hidup berteman, kak. Tapi macam yang pernah Dija cakap tu laa..Dija ni boleh bawa masalah dengan penyakit Dija ni. Kalau Dija buka sarung tangan dan sarung kaki ni kan susah? Jadi, tu laa sebabnya Dija lagi suka hidup sendirian. Biar tak menyusahkan orang lain.”

“Aku rasa, taklah sampai boleh berjangkit penyakit kau tu, Dija. Tengok, dah berapa bulan kita kerja bersama-sama, tak adapun penyakit kau tu singgah pada kami.” Balas Marina. Dia kurang senang dengan alasan Dija.

“Sebab aku dah tutup habis kaki tangan dan badan aku.” Jawab Dija. Matanya dialih ke arah Marina.

“Akak pun rasa macam Rina jugak. Tak berjangkitpun penyakit Dija tu.”

“Hisyh, akak ni. Doktor cakap kalau tak ditutup penyakit ni boleh berjangkit. Pandai-pandai pulak akak dan Rina ni buat rumusan sendiri.” Dija buat muka.

“Aku tak percayalah selagi aku tak berjangkit dengan penyakit kau ni, Dija.”

Dija mengangkat muka. Kemudian menggeleng. “Hissyh, kau ni Rina. Jangan tak percaya. Kalau dah berjangkit, susah kau nanti.”

Marina menjuih bibir. “Susah aku nak percaya dengan cakap-cakap kau ni. Sebab Allah dah cakap, tak ada penyakit yang berjangkit...”

Dija buat muka. Seolahnya malas untuk melayan Marina.

“Kak Sal tak kisah, kalau Dija nak tinggal dengan kami. Kak Sal tak takut dengan penyakit Dija tu.” Yakin benar Kak Sal dengan pendiriannya.

“Tak boleh, Kak Sal. Dija tak nak orang lain tau penyakit Dija. Malu nanti.”

Kak Sal dan Marina saling berpandangan.

“Hari ni, akak dan Rina tak tengok penyakit Dija. Kalau dah tinggal bersama nanti, tentu akak berdua akan tengok. Masa tu, mungkin akak berdua tak lalu nak makan bersama Dija nanti. Masa tu jugak, Dija tentu sedih dan makin rendah diri. Rasa bersalah dan tak tau nak cakap apa lagi.”

Kak Sal dan Marina masih tidak bersuara.

“Dija nak berkawan dengan Kak Sal dan Rina masa kerja aje. Sebab kita tak bergaul serumah. Dija pun tak nak orang lain tengok diri Dija, kak.” Dija merenung wajah Kak Sal. “Dija malu bila rahsia Dija terbuka bila tinggal serumah. Kalau kita bergaul kat sini, pekung buruk tu tak terbuka, kak!”

Marina terus diam. Hanya merenung wajah Dija yang sedikit keruh.

“Kak Sal faham, dik...” Kak Sal mengangguk sambil merenung wajah Dija.

“Dija ni kak, sudahlah miskin kedana. Kulit hitam legam. Buruk rupa. Berpenyakit pula. Macamanalah orang tak benci?” kendur suara Dija.

Kak Sal menggeleng lagi. “Kita orang tak pernah bencikan Dija.”

“Terima kasih, kak. Tulah buat Dija sayang sangat dengan kakak dan Rina. Hanya kakak berdua kawan yang Dija sayang. Kakak berdua jugak yang sayang Dija. Dija rasa sayang nak berhenti kerja.”

“Ha, baik kau jangan berhenti kerja, Dija...” cadang Marina, yakin.

“Tapi, malaun penyangak tu dah ugut aku. Kalau aku terus bekerja di syarikat Datuk Nik Rasyid tu boleh nahas aku nanti.”

WAJAH Marina mulai terpamer rasa geram.

“Kalaulah aku tahu siapa malaun tu, nahas dia...” Marina mengepal penumbuk.

Dija tersengih sambil mengangkat kening. “Berani ke kau ni Rina. Jangan-jangan cakap belakang aje macam ni. Kalau dah malaun penyangak tu datang, kau yang cabut dulu. Ha, tinggallah aku jugak terpacak kat sini.”

“Tak ada macam tu. Aku mesti nak pertahankan sahabat aku. Aku takkan biarkan dia apa-apakan kau , Dija. Sumpah!”

“Kak Sal memang percaya dengan Rina. Dia sayangkan sahabat seperti sayangkan nyawa sendiri, Dija. Dah lama akak berkawan dengan Rina, tak pernahpun aka lihat dia tu pentingkan diri sendiri.” Sokong Kak Sal.

Dija mengangguk. “Rina, terima kasih atas semuanya tu. Tapi, terus terang aku nak cakap dengan kau, aku tak boleh nak tinggal bersama kau dan Kak Sal. Aku memang tak sanggup orang lain tengok keadaan diri aku. Biarlah aku rahsiakan semuanya tu, agar persahabatan kita tetap terjalin seperti ni.”

Marina dan Kak Sal saling berpandangan.

“Nak malu apa dengan kami, Dija?” soal Kak Sal.

“Banyak perkara yang memalukan Dija, kak...”

“Hisysh, kau ni Dija. Apa yang nak kau malukan? Kami ni pun bukanlah sempurna sangat...” Marina mencelah.

“Memanglah tak ada manusia yang sempurna dalam dunia ni. Tapi, kau orang kira beruntung laa.” Dija memerah kain yang digunakan untuk membersihkan motor kesayangannya. “Aku ni bukan setakat tak sempurna malah, hina dina. Buruk rupa buruk segalanya. “

Marina dan Kak Sal menggeleng.

“Tulah pasal, aku dah buat keputusan. Aku nak bersihkan motor ni biar berkilat. Kemudian, aku nak serahkan balik kepada datuk.”

“Haah?” Marina terkejut. Kak Sal juga.

“Gila ke apa kau ni, Dija?”

“Aku nak letak jawatan di syarikat datuk dan nak cari kerja lain yang mungkin lebih sesuai dengan aku. Takpun, aku balik kampung aje. Senang sikit hati mak bapa aku kat sana tu. Taklah kena fikirkan tentang keselamatan aku kat sini.”

“Hisyh, kau jangan jadi bodohlah Dija. Takkan kerana ugutan tu, kau dah mengaku kalah?” soal Marina.

“Memanglah aku kena mengalah. Kalau tak, aku dalam bahaya, Rina.” Balas Dija. “Aku ni muda lagi. Rasanya masih belum mahu mati, tau.”

“Tapi, Dija...” Kak Sal cuba bersuara.

“Kak Sal...” Dija terus memotong cakap Kak Sal. “Dija dah nekad dah. Motor ni kena kembalikan kepada datuk. Dija kena pergi dari sini.”

“Dija...” Marina segera memegang lengan Dija. “Tolonglah...”

“Rina, walaupun aku tak berada di sini, kau jangan risau. Kalau rindu aku mesti pergi cari kau. Percayalah pada aku...” Dija tersengih melebar.

“Tapi...”wajah Marina nampak keruh.

“Alaah, jangan kau nak sedih. Rina. Aku ni belum mati laa. Kalau mati sekalipun, kau jangan menangis untuk aku, tau...”

“Hisyh...” Marina menepuk bahu Dija. “Kau cakap tu jangan ikut sedap mulut Dija. Bab mati ni jangan dibuat mainan.”

“Eleey, tak cakappun, boleh mati jugak. Tapi, orang yang bijak akan selalu ingat kepada mati, tau...” Dija terus tersengih lebar.

“Ha, nak cakap kau tu bijak laa?” Marina seperti mahu mencekik leher Dija, geram dengan keletah Dija yang tak pernah mahu mengalah bila bercakap.

“Memanglah aku ni bijak..” Dija tersengih nakal.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh