Home Novel Keluarga Takkan Putus Air DIpenggal
Takkan Putus Air DIpenggal
Ahmad Pierrot
6/1/2018 22:35:00
2,960
Kategori: Novel
Genre: Keluarga
Senarai Bab
Bab 3

3



Beberapa bulan selepas itu.


Siew, Fahmi dan Aina berdiri tercegat di hadapan rumah Jebat yang pintunya tertutup rapat. Pagi Sabtu itu, kumpulan Siew sudah merancang untuk mengadakan satu sesi ulangkaji di rumah Arif yang kebetulan berada di dalam taman yang sama dengan rumah Jebat.


“ Macam orang tak ada pun. Aina, betul ke ini rumah dia?”, Rambut Siew diikat tocang kerana dia sudah mula kepanasan. Matahari semakin merembang, jadi mereka berteduh di bawah sebuah pokok mangga di hadapan rumah Jebat.


“ No 3, Lorong Indah. Betullah ni. Mesti ada orang, sebab ada kereta. Kalau silap pun, salahkan si Arif lah, orang suruh ikut tak nak. Pemalas.”, ngomel Aina sambil menggunakan hujung tudung birunya untuk mengelap peluh di dahi. Mata bulatnya memandang Fahmi yang sedang duduk di atas basikal untuk dijadikan sasaran ngomelannya lagi.


“ Yang kau Fahmi, kau bukannya ahli kumpulan kami pun. Apa hal kau ikut sekali? Dengan rambut berkilatnya.”, habis dengan rambut Fahmi yang tidak bersalah pun menjadi mangsa. Walaupun pada hari cuti, rambutnya yang disapukan gel tersisir kemas dan berkilat di bawah sinar matahari.


“ Eh, apa salah rambut aku? Aku kan ketua kelas. Cikgu dah cakap kan, kita kena sama-sama dibantu kawan kita.”, Fahmi membuka tongkat basikalnya dan melintas jalan ke rumah Jebat.


“ Masalahnya, kalau dibantu, dia yang tak nak, nak buat apa lagi.”, Siew mendengus geram dan menyertai Fahmi yang sedang memberi salam. Aina menyandarkan basikalnya di sebelah pokok mangga itu dan menghela nafas penat. Ini bukanlah kali pertama Siew bersungguh ingin mengajak Jebat untuk belajar sekali, cuma ini kali pertama mereka datang terus ke rumahnya.


Sepanjang tiga bulan Jebat berada di dalam kumpulan Siew, dia tidak sekali pun pernah menyertai sesi ulangkaji mereka. Tidak cukup dengan itu, kerja rumahnya sering kali tidak siap. Hampir setiap waktu subjek, Jebat sama ada akan berdiri di luar kelas atau berdiri di atas kerusi sepanjang waktu kelas kerana didenda. Siew dan rakan kumpulannya yang lain sehinggakan membenarkan dia untuk meniru kerja sekolah mereka, tetapi tetap dia menolak.


Entah apa masalahnya.


“ Assalamualaikummmm, Jebattt, Jebattt. Ini aku, Fahmi, Siew dengan Aina datang.”, tiada sahutan. Fahmi cuba mengintai dari celah-celah pagar tetapi Siew menarik telinganya dan menggeleng.


“ Sakitlah!”

“ Tak elok intai-intai rumah orang lah.”


“ Yalah, aku tak intai dah. Assalamualaikumm, Jebattt, Jeb--”, pintu rumah dibuka dan Jebat menyambut mereka dengan senyuman yang kelat. Dia memakai selipar dan bertemu dengan mereka tanpa membuka pintu pagar. Fahmi memerhatikan saja tingkah lakunya yang menoleh ke belakang beberapa kali sepanjang berbicara dengan mereka.


“ Ha, ada pun kau. Jom ah belajar sekali, mak Arif siap sediakan bihun sup untuk kita.”, Siew mengajak. Dia menanti jika Jebat ingin mengajak mereka ke dalam rumah dahulu. Kalau dapat air kosong seteguk pun dah puas dengan cuaca sebegini. Tetapi tiada tanda-tanda Jebat akan membuka pintu pagar dan dia terus memandang ke bawah dengan muka yang bersalah. Aina pula sudah dapat mengagak apa yang bakal dikatakannya dan mendengus geram.


“ Aku minta maaf sangat, memang aku tak dapat nak pergi..”

“ Alah, sekejap pun tak boleh?”

“ Memang tak boleh.. Maaf Siew.”

“ Setengah jam?”

“ Tak boleh, maaf..”

“ Ermm 15 minit?”

“ Memang tak boleh.”


“ Datang minum air pun tak boleh?”, dahi Jebat berkerut memikirkan kemungkinan itu. Setakat minum air, mungkin dia akan sempat balik sebelum ayahnya bangun tidur tetapi..


“ Aku takut ayah aku--”


“ Dahlah Siew! Kan aku cakap dah tak guna pun kita datang pujuk dia ni lagi. Buang masa tahu tak.” Aina membentak geram dan melintas jalan untuk mengambil basikalnya. Siew masih belum mahu mengalah. Dia tunduk dan bertentang mata dengan Jebat yang terus memandang ke bawah.


“ Cuba cerita dekat kami, kalau ada masalah kami boleh tolong. Kan Fahmi kan?”, Fahmi lantas mengangguk laju. Riak muka Jebat berubah. Dia sudah tidak tersenyum kelat lagi dan mula menjauhkan diri dari pagar rumahnya.


“ Tolong? Aku tak rasa kalian akan mampu tolong aku.”, lalu, Jebat membelakangkan mereka dan terus melangkah masuk ke dalam rumah tanpa berkata apa lagi. Fahmi mencekak pinggang memandang Siew dengan wajah yang risau.


“ Aku ada silap cakap ke?”, Siew duduk mencangkung dengan wajah yang bingung.


“ Tak pun.”, Fahmi menghulurkan tangan untuk membantu Siew yang kerunsingan berdiri semula. Mereka mengambil basikal masing-masing dan masih memikirkan apa yang Jebat katakan tadi. Aina sudah pergi dahulu ke rumah Arif meninggalkan mereka berdua.


“ Sekarang macam mana, Siew? Takkan nak biar.”, Fahmi meraup mukanya. Tak sangka, di umur sebegini dia sudah diuji dengan ujian sebagai seorang ketua. Cepat tualah nampaknya. Baru minggu lepas ibunya mencabut seurai uban dari rambutnya.


“ Macam mana lagi, kena bagi tahu Cikgu Awang lah.”




Isnin.


Cikgu Awang meletakkan buku rekod perjumpaan kumpulan Rambutan ke atas mejanya. Dia memusingkan kerusinya untuk berhadapan dengan Fatih yang berdiri di sebelah mejanya. Budak bersongkok itu lansung tidak berani untuk bertentang mata dengannya.


“ Cakap betul-betul Fatih. Cempaka cakap tarikh sekian-sekian kamu tak buat perjumpaan pun. Jadi kenapa tulis jugak dalam buku ni?”, Cikgu Awangmembuka muka surat yang dimaksudkan dan menunjukkannya kepada Fatih yang terus berdiam diri. Buku limanya yang menggenggam seluar dengan kuat sudah mula pucat.


“ Fatih, kalau ikutkan, cikgu tak boleh denda kamu atas kesalahan apa-apa pun. Jadi cuba kamu cerita benda yang betul.”, Cikgu Awang bersandar di kerusinya dan menggunakan nada yang lebih lembut. Senyap sebentar dan hanya bunyi kipas yang kedengaran. Memandangkan sekarang waktu rehat, kebanyakan guru berada di kantin dan bilik guru kosong. Hanya ada Cikgu Awang dan beberapa lagi guru yang duduk jauh dari tempatnya. Fatih mengetap bibir dan akhirnya bersuara.


“ Y-ya, saya memang sengaja tambah..”

“ Kenapa Fatih?”

“ Sebab saya nak kumpulan saya menang..”


Cikgu Awang menghela nafas kesal. Ini bukan apa yang dia inginkan terjadi. Kumpulan-kumpulan kecil itu dibentuk supaya mereka dapat membantu sesama mereka tetapi lain pula jadinya. Hadiah misteri itu hanyalah sebagai dorongan tambahan, bukan tujuan utama mereka. Dia menyerahkan kepada Fatih buku rekod perjumpaan mereka kembali.


“ Jangan buat lagi lepas ni. Kamu pangkah besar-besar yang mana kamu tak buat perjumpaan. Dah, kamu boleh balik kelas.”


“ Cikgu! Cikgu! Salam Sejahtera. Eh Fatih.” Siew menjenguk di muka pintu bilik guru. Fatih yang sudah bergenang air mata seraya mengambil buku rekod perjumpaannya dan terus berlalu pergi selepas bersalaman dengan Cikgu Awang. 


“ Kenapa dengan Fatih tu Cikgu?”

“ Tak ada apalah, ha kenapa kamu nak jumpa cikgu ni?”


“ Pasal Jebat, cikgu.”, Siew jujur berbicara dengan wajah yang kesal. Cikgu Awang mengangguk faham dengan dahi yang berkerut. Sudah beberapa kali Siew dan ahli kumpulannya menceritakan masalah mereka dengan Jebat yang tidak mahu memberi kerjasama.


“ Memang lepas kamu pujuk bersungguh pun, dia masih tak nak pergi?”, Siew mengangguk lemah. Ini antara sebab lain kumpulan-kumpulan kecil itu dibentuk,  supaya mereka semua punya peluang untuk bermain bersama-sama. Cikgu Awang sangat pasti yang sesi ulang kaji mereka hanya 15 minit dan lagi 45 minit mereka bermain. Jika tidak mengecapi kegembiraan di zaman kanak-kanak, bila lagi?


“ Dia cakap yang kami tak mampu nak tolong dia.”

“ Tak apa, Siew. Terima kasih ya kamu ambil berat pasal ahli kumpulan kamu.”

“ Jadi apa cikgu nak buat sekarang?”


Cikgu Awang bermain dengan kumis janggutnya dan berfikir sejenak. Dia kira ada masalah yang lebih mendalam lagi dan siasatan perlu dilakukan.


“ Kamu tenang, cikgu akan uruskan perkara ni, okay?”



Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Ahmad Pierrot