4,196
Kategori:
Genre:
Senarai Bab
Bab 1

5 Julai 2007 – 9.45 minit malam


“Helo” Julia menjawab satu panggilan telefon yang diterimanya.

“Helo Julia!” suara Doktor Fendi kedengaran.

“Oh uncle!”

“Julia apa khabar?”

“Baik. Baru sahaja masuk ke dalam kereta.”

“Kamu ada di mana? Seranas?”

“Oh tidak. Masih lagi di Pasadianka. Baru sahaja keluar dari pejabat”

“Masih di Pasadianka? Eh… bukankah kamu sepatutnya pergi ke konvensyen di Seranas?”

“Tunda minggu depan. Uncle ada di mana sekarang?”

“Ada di rumah. Oh ya! Uncle hendak tanya. Di mana ayah Julia? Uncle cuba hubungi dia. Tetapi tidak dapatlah...”

“Rasanya dia ada di rumah. Sudah cuba hubungi pejabat?”

“Sudah. Tetapi tiada siapa yang mengangkat. Uncle hendak bincangkan sesuatu dengan dia sebenarnya”

“Sudah cuba hubungi telefon bimbitnya?”

“Pun sudah. Tetapi nombornya tiada dalam perkhidmatan”

“Oh ya! Saya rasa itu nombor lama”

"Dia ada nombor baru?"

"Ya. Dia lupa beritahu unclelah tu..."

“Um… patutlah berkali-kali telefon pun tidak dapat”

“Tidak mengapa. Nanti Julia hantarkan nombor telefon baru ayah pada uncle ya!”

“Baiklah Julia. Nanti kamu hantarkan ya. Terima kasih banyak-banyak”

“Boleh. Tiada masalah uncle

“Jadi, kamu dalam perjalanan hendak pulang ke rumahlah sekarang ini?”

“Ya uncle

“Lewatnya kamu pulang….. Sudah malam sekarang ini. Kamu dengan siapa di sana?”

“Seorang diri sahaja.”

“Hati – hati Julia. Sejak akhir-akhir ini, macam-macam kes yang terjadi di Pasadianka”

“Alah…uncle janganlah bimbang. Saya tahu jaga diri”

“Em… baiklah Julia. Uncle hendak sambung kerja. Nanti bila-bila uncle telefon Julia lagi.”

“Okey. Bye”

“Bye”


Ikran – 2008V

Ikran mematah-matahkan jari jemarinya. Dia memandang ke arah langit yang terbentang luas. Daripada Hotel Comodore yang dihinapinya itu, dia dapat melihat suasana malam di Pasadianka yang dihiasi dengan lampu neon yang indah. Hiruk-pikuk kenderaan kedengaran di sana sini. Suasana di kota raya ini jauh berbeza sekali dengan tempat asalnya. Saat itu, dia mengingati wajah yang menjadi sebab dia datang ke situ.

Dia melabuhkan punggungnya ke katil. Lalu, mengambil beg galas berwarna hitam kepunyaannya. Perlahan-lahan, dia membuka zip beg itu. Satu persatu barang dikeluarkan. Radar, pistol laser, radar konsti, kaca mata pengesan dan beberapa alatan lain diperiksanya dengan teliti. Semuanya masih dalam keadaan baik. Cuma ada beberapa alatan sahaja yang perlu dicas. Dia telah menggunakan alatan-alatan itu sebentar tadi dan untuk misi yang seterusnya, dia memerlukan alatan yang mencukupi.

Dia berharap apa yang dirancangnya pada malam itu akan berjaya. Apabila semuanya telah beres, barulah misi hari esok dapat dilaksanakan. Segala-galanya kini terletak di tangannya. Dia tahu esok merupakan hari baru yang lebih mencabar yang perlu ditempuhi. Dia mempunyai satu misi penting yang harus diselesaikan. Misi ini perlu dilakukan segera sebelum musuh menyedari akan kehadirannya di kota metropolitan itu.

*************************************

Doktor Adam Raufal baru sahaja memasuki perkarangan Pusat Sains, Teknologi dan Seni Kebangsaan (PRASASTI) yang terletak di Lembayung, Pasadianka dengan menaiki kereta Copra hitamnya. Kemudian dia meletakkannya di kawasan letak kereta yang telah dikhaskan untuknya. Perlahan-lahan dia keluar. Dia berdiri sambil memandang ke arah banggunan PRASASTI yang tersergam indah di hadapannya.

PRASASTI merupakan satu mercu tanda yang penting bagi Pasadianka. Ia mempunyai rekabentuk yang unik. Bentuk bangunannya menyerupai sebuah silinder dan ditutupi dengan sebuah kubah geodesik.

Dibuka pada tahun 1973, pusat ini menyediakan pelbagai jenis bahan pameran yang direka untuk menarik para pengunjung. Selain itu, ia juga dibina bagi menanam minat terhadap sains, teknologi dan seni di kalangan orang ramai.

Setelah berdiri agak lama di situ, Doktor Adam memulakan langkahnya menuju ke pintu masuk utama. Sejurus sahaja melangkahkan kaki ke dalam, Sudin, pegawai keselamatan yang duduk di kaunter maklumat menyapa.

“Kerja lewat malam ini doktor?”

“Ya Sudin. Banyak lagi kerja yang perlu saya selesaikan” jawab Doktor Adam sambil tersenyum mesra.

“Baiklah. Jaga diri baik-baik ya....” pesan Sudin kepada Doktor Adam.

Doktor Adam berlalu meninggalkan Sudin. Dia berjalan menuju ke arah lif. Sejurus sahaja pintu lif terbuka, dia memasuki lif dan menekan butang bernombor tiga di mana terletaknya pejabat pentadbiran, tempat dia bekerja.

Sebaik sahaja sampai di tingkat tiga, dia melangkah perlahan menuju ke pejabat. Dia menghidupkan lampu dan komputernya. Ketika itu, jam sudah pun menunjukkan pukul 10.45 malam.

Doktor Adam segera mengalihkan perhatiannya ke arah komputer. Lantas, dia menggerakkan tetikus dan mengklik ikon yang dinamakan ‘MENGKULA’. Dia membuka fail itu dan membaca semua maklumat-maklumat yang terdapat di dalamnya. Malam itu, dia bercadang untuk mengedit beberapa maklumat yang berkaitan dengan Anugerah Mengkula. Sebagai seorang ketua di jabatan pentadbiran, dia bertanggungjawab untuk menyediakan maklumat yang lengkap tentang Anugerah Mengkula kerana PRASASTI akan mengadakan satu pameran berkenaan dengan Anugerah Mengkula. Anugerah Mengkula ialah anugerah yang diberikan kepada individu ataupun pertubuhan yang telah melakukan penyelidikan, ciptaan dan memberi sumbangan yang besar kepada masyarakat Utopia amnya terutama sekali dalam bidang sains, teknologi dan seni. Doktor Adam Raufal begitu berbesar hati apabila PRASASTI memberinya tanggungjawab untuk menjadi pengelola pameran itu. Oleh yang demikian, dia sentiasa bekerja keras untuk menarik perhatian orang ramai supaya datang ke pameran itu.

Truttt! Trutt! Bunyi telefon bimbitnya itu membuatkan kosentrasinya sedikit terganggu. Dia melihat nombor yang tertera di atas skrin. Daripada nombor itu, dia tahu siapa yang menghubunginya. Dia tidak mahu menjawab panggilan itu kerana dia tahu apa yang dimahukan pemanggil. Lantas, dia menekan butang merah bagi mematikan talian. Dia mengeluh berat. Hatinya runsing. Dia agak bimbang dengan apa yang dikatakan semalam oleh pemanggil itu tadi.

Doktor Adam mengurut-ngurut kepalanya. Dia menyedut nafasnya dalam-dalam. Sakit kepala selalu menyerangnya sejak akhir-akhir ini. Sejenak dia berfikir tentang apa yang dilakukannya selama ini. Dia telah melakukan satu kesilapan besar. Dia sedar yang perbuatannya itu salah. Walau bagaimanapun dalam keadaan ini dia tiada pilihan lain. Dia memerlukan sesuatu yang boleh membantunya untuk memulihkan semula keadaan. Salah satu caranya adalah dengan menggunakan ‘kesilapan besar’nya itu untuk menyelamatkan orang lain. Dia tidak mahu membuat kesilapan lagi kali ini. Cukuplah kerja ‘gila’ yang dilakukannya selama ini. Perasaan ingin tahu kadang-kadang boleh membunuh! Dan dia sudah mula merasakan kesannya.

**************************************************************

Beberapa bulan yang lalu…

Maria keluar daripada sebuah teksi berwarna kuning yang dinaikinya dari rumah sebentar tadi. Selepas membayar wang tambang kepada pemandu teksi berkenaan, dia bergegas ke perkarangan Fakulti Sains Sosial Universiti Nakhoda Ilusi (UNI) yang Nampak tenang tetapi riuh dengan para pelajar yang hampir sebaya dengannya. Maria melontarkan senyuman ke arah sekumpulan pelajar yang sedang duduk di sebuah kanopi yang terletak di perkarangan fakulti itu. Kehadiran Maria menarik perhatian mereka. Mereka membalas kembali senyuman Maria sambil mengangkat tangan. Sebetulnya Maria tidak kenal dengan mereka. Cuma pernah beberapa kali mereka bertembung. Dari situ, Maria dapat mengecam wajah mereka. Mereka semestinya sekumpulan pelajar tahun pertama yang masih menikmati dunia remaja akhir yang menyeronokkan.

Maria memasuki dewan kuliah. Matanya melilau mencari rakannya Suria. Selalunya, pada waktu begini, dia awal-awal lagi sudah sampai. Tetapi sampai sekarang, masih tidak kelihatan. ‘Di manalah agaknya Suria ini?’ kata Maria di dalam hati. Kuliah akan bermula lebih kurang lima belas minit sahaja lagi, pelajar-pelajar lain semuanya sudah mengambil tempat duduk masing-masing dan memenuhi ruangan bilik kuliah itu. Maria pantas menghantar mesej ringkas kepada Suria.

Di mana? Tak datang kuliah hari ini?

-Maria-

Beberapa minit kemudian, Suria menjawab.

Maaf. Kurang sihat. Tak dapat datang.

-Suria-

Suara para pelajar yang berbual-bual sejak dari tadi bertukar senyap seketika apabila seorang lelaki segak masuk ke dewan kuliah itu. Dia bergaya kemas namun wajahnya sedikit berkedut kerana usianya yang agak lanjut. Dia merupakan seorang pensyarah yang telah lama berkhidmat di Universiti Nakhoda Ilusi. Dia tersenyum ke arah semua pelajar.

“Selamat pagi semua” ucap Profesor Alex kepada semua. Suaranya kedengaran berlainan sedikit hari ini.

“Selamat pagi Prof Alex” jawab semua yang berada di dalam bilik kuliah. Cuba mengajuk cara pelajar sekolah menjawab salam dari guru mereka. Profesor Alex tersenyum sekali lagi. Keletah semua yang berada di dalam kuliahnya itu mencuit hatinya. Profesor Alex memandang ke arah jam tangannya.

“Hari ini saya tidak bercadang untuk bercakap panjang kerana saya hmmm…hmmm….” dia berdehem beberapa kali. Suara kedengaran parau. Tekaknya terasa sedikit perit. “Faham-faham sahajalah ya…. Dan saya pasti awak pun tidak suka nak mendengar syarahan saya awal-awal pagi dengan suara begini. Hari ini, kelas kita akan ditamatkan awal sedikit awal daripada biasa” kata Profesor Alex. Beberapa orang pelajar tersenyum apabila mendengar kata-kata Profesor Alex itu.

Profesor Alex membuka fail yang dibawanya. Lampu bilik kuliah itu ditutup dan skrin LCD dihidupkan. Beberapa gambar terpancar di skrin besar.

“Mungkin, awak semua sudah banyak kali mendengar mengenai sejarah negara kita Ilusi sejak awak berada di bangku sekolah lagi. Dan saya pasti, ada yang sukakan subjek ini dan tidak kurang juga yang lansung tidak meminatinya. Jika awak tanya saya, tentulah saya kata saya suka. Jika tidak, mengapa saya ada di sini.” Profesor Alex memulakan syarahannya dengan jenaka yang spontan. “Tetapi… terus terang saya katakan yang saya tidak berapa suka subjek ini bila peperiksaan tiba” beberapa orang pelajar tergelak kecil mendengar kata-kata Profesor Alex.

“Walau apa pun, sejarah amat penting kerana kita belajar daripada masa silam. Segala apa yang terjadi pada hari ini mempunyai talian dengan apa yang terjadi pada masa lalu. Kita juga adalah produk masa silam kita. Jadi sejarah amat penting kerana ia adalah guru yang paling dekat dengan kita” Profesor Alex meneruskan syarahannya. Kata-kata pensyarahnya itu membuatkan Maria teringat kembali zaman persekolahannya. Subjek sejarah adalah antara subjek yang paling diminatinya kerana ada banyak cerita yang boleh didengar daripada gurunya. Tetapi, seperti Profesor Alex, dia tidak suka menduduki peperiksaan bagi mata pelajaran itu.

Dia masih teringat lagi mengenai fakta-fakta sejarah negaranya yang dipelajarinya dahulu. Mengenai petempatan awal di Pulau Ilusi, kedatangan Harek, seorang tokoh yang telah mengubah Zuria menjadi antara tempat tumpuan dunia, penggabungan Pulau Ilusi dengan Zuria, kemerdekaan Ilusi, pemimpin-pemimpin yang membangunkan Ilusi dan juga beberapa tragedi suka-duka masyarakat dunia. Semuanya masih tersemat di dalam ingatannya.

Topik yang paling digemarinya ialah Harek dan Pengasasan Zuria. Guru yang mengajarnya ketika itu ialah Cikgu Shahril.

“Hari ini kita akan mempelajari satu lagi topik penting dalam sejarah Ilusi. Seperti mana yang kita ketahui, Ilusi dahulunya merupakan sebahagian daripada Zuria. Oleh yang demikian, adalah penting untuk kita mengetahui sejarah kerajaan Zuria. Topik kita hari ini adalah ‘Kedatangan Harek ke Zuria’” Cikgu Shahril memulakan pembelajarannya.

“Pada mulanya Zuria hanyalah sebuah kawasan perkampungan yang diduduki oleh para petani yang menjalankan sistem ekonomi… apa?”

“Sara diri!” Jawab semua pelajar yang berada di dalam kelas itu.

“Bagus! Kemunculan Zuria sebagai empayar bermula dengan penubuhannya oleh Harek iaitu seorang putera raja dari negara Kasturi. Harek mempunyai kaitan kekeluargaan dengan Kerajaan Pasadianka iaitu sebuah kerajaan yang amat besar untuk beberapa abad. Harek dan pengikutnya terpaksa meninggalkan Kasturi yang berada di bawah kekuasaan Pasadianka. Pada tahun 1200, rombongan beliau telah tiba ke Batang Hati yang mana ketika itu berada di bawah kuasa kerajaan Sara-sara.” Cikgu Shahril menunjuk ke arah peta minda yang dilekatkan di atas papan hitam.

Harek berhasrat untuk menguasai Batang Hati. Namun, pada tahun 1202, Harek terpaksa keluar dari Batang Hati kerana ancaman dari pihak Pasadianka yang mempunyai hubungan baik dengan Batang Hati. Sekitar tahun yang sama, Harek bergerak ke barat dan akhirnya mereka sampai ke satu kawasan yang indah dan aman. Penduduk di kawasan tersebut merupakan petani dan Harek bercadang untuk membina petempatan di situ kerana menurut firasatnya, kawasan itu mempunyai potensi untuk maju. Harek menamakan negeri itu Zuria dan bersungguh-sungguh membangunkannya.” terang Cikgu Shahril panjang lebar.

“Baiklah. Kuliah kita tamat hari ini” Profesor Alex menamatkan kuliahnya. Selepas mengucapkan terima kasih kepada para pelajarnya, Profesor Alex segera berkemas. Lampu bilik kuliah dihidupkan. Maria pergi mendapatkan Profesor Alex yang masih lagi berada di podium.

“Ya Maria” kata Profesor Alex sejurus sahaja Maria mendekatinya.

“Prof bawa buku yang saya minta tempohari?” tanya Maria. Wajahnya tersenyum.

“Ada…” Profesor Alex mengambil beberapa buah buku dan fail dari beg gagangnya yang berwarna hitam dan menyerahkannya kepada Maria. “Ini dia buku dan sedikit nota untuk kamu baca”

“Terima kasih Prof” ucap Maria. Dia tersenyum lagi.

“Kamu hendak ke mana selepas ini?”

“Ke kafe. Sebab saya belum sarapan lagi”

“Eh. Kamu belum sarapan lagi?” tanya Profesor Alex. Maria hanya menggelengkan kepala. “Lain kali sarapanlah dulu sebelum datang ke kuliah.”

"Okey Prof..."

“Mmm… saya kena pergi dahulu ya, ada perkara yang perlu saya uruskan”

“Baiklah prof. Jumpa lagi”

******************************************************

Pang!!! Satu bunyi kuat kedengaran. Doktor Adam yang sedang asyik dengan kerjanya terhenti seketika. Bunyi itu benar-benar mengejutkannya. Dia segera membuka laci meja dan mengeluarkan sepucuk pistol. Perlahan-lahan, dia melangkah ke arah pintu pejabatnya. Dia menghendap keluar. Suasana masih seperti tadi. Gelap. Namun, bunyi tapak kaki seseorang yang sedang berjalan kedengaran. Semakin lama, bunyi itu semakin dekat. Jantungnya berdebar-debar. Wajah pemanggil yang tidak dijawabnya tadi terbayang-bayang di fikiran. Apabila bunyi itu semakin dekat dan wajah orang yang menimbulkan rasa cemas di dadanya muncul di pintu, barulah Doktor Adam mampu menarik nafas lega.

“Julia?” tanya Doktor Adam yang kehairanan.

“Hai ayah!” Julia kelihatan selamba dan bersahaja. Wajahnya tersenyum riang.

“Kamu buat apa di sini?”

“Tiada apa-apa. Sahaja datang melawat”

“Lawat ayah pada waktu sekarang? Kamu betul-betul menakutkan ayah tadi”

“Maaflah. Saya tidak bermaksud pun hendak takutkan ayah. Emm… saya terlanggar pintu besi tadi” kata Julia. Dia menarik kerusi dan duduk di tengah-tengah bilik yang luas itu.

“Bukankah kamu sepatutnya berada di Seranas sekarang ini?” soal Doktor Adam. Dia mengambil semula tempatnya di hadapan komputer.

“Saya tidak jadi pergilah ayah. Ada banyak masalah.” Jawab Julia ringkas. “Macam mana dengan pameran itu?” Julia menukar topik.

“Oh! Semuanya ok. Hampir lapan puluh peratus siap”Jelas Doktor Adam.

“Bagaimana dengan projek yang ayah usahakan selama ini?” soal Julia. Soalan Julia itu membuatkan Doktor Adam terdiam seketika. Namun, dia tidak menunjukkan sebarang reaksi.

“Apa yang kamu maksudkan? Sejak bila pula kamu berminat dengan benda-benda begini?”

“Bukan pasal minat, tetapi rasanya, sebagai orang yang paling dekat dengan ayah, saya perlu tahu semua itu bukan?”kata Julia sambil tersenyum.

"Lain benar kamu hari ini... Kamu pasti yang kamu tidak apa-apa?" tanya Doktor Adam inginkan kepastian apabila melihat tingkah laku Julia yang begitu berbeza sekali.

“Ayah. Boleh saya bertanya?”

"Ya. Sudah tentu... Apa dia Julia?"

"Boleh saya tahu tentang Kentofes?" Soalan itu membuatkan Doktor Adam terdiam seketika. Dia benar-benar terkejut. Kenapa tiba tiba sahaja Julia bertanya mengenainya? Dan yang penting, bagaimana Julia boleh tahu mengenai sesuatu yang begitu sulit seperti 'Kentofes'?

“Kentofes?”kata Doktor Adam. Cuba sedaya upaya untuk menyembunyikan rasa hairannya.

“Ya. Kentofes...”

“Em…. ayah tidak faham dengan apa yang kamu katakan”

"Arghhh" Julia mengerang. Dia memejamkan matanya. Dia mengetap bibir seperti sedang menahan kesakitan.

“Julia, kamu okey?” tanya Doktor Adam.

“Ayah faham apa yang aku maksudkan bukan!” kata Julia.

"Julia... Tolong jangan buat ayah takut..."

Julia tiba-tiba bertindak kasar. Dia seperti hilang arah. Dia bangun dari kerusi dan menolak Doktor Adam sehingga jatuh ke lantai.

“Kenapa dengan kamu Julia?!!”

“Kau faham apa yang aku maksudkan bukan!” Matanya merenung tajam Doktor Adam yang masih terbaring di atas lantai.

“Julia! Kenapa dengan kamu sebenarnya?!”

“Jangan banyak cakap lagi Adam! Baik kau beritahu aku tentang segala-galanya yang kau simpan selama ini!” wanita itu bertindak dengan lebih agresif, dia mencabut wayar telefon yang terletak di atas meja tulis itu dan menjerut leher Doktor Adam.

“Sekarang kau mahu bercakap mengenai Kentofes dan projek itu atau pun tidak?”

“Be.. belum tiba masanya lagi...” suara Doktor Adam terputus-putus akibat jerutan itu.

“Seeeeeeekaaranngg” suara wanita itu tiba-tiba berubah garau. Matanya mengeluarkan cahaya berwarna merah.

“Kau..kau..bukan Julia! Kau…. Kau budak suruhan…….”

Bang!!! Doktor Adam tidak sempat menghabiskan kata-katanya.

************************************************

“Aku ada idea bernas yang ingin aku kongsikan dengan mereka malam ini.” Kata Fendi kepada rakan karibnya Adam. Mereka berdua sedang menikmati sarapan pagi bersama di balkoni rumah sewa mereka.

“Apa idea kau itu? Pasti ianya menarik bukan?”

“Ini bukan idea aku seorang sahaja. Ini adalah buah fikiran aku dan Sarah. Aku ingin mencipta sesuatu yang boleh digunakan sebagai ganti kepada organ-organ semulajadi yang sudah rosak dan tidak mempunyai harapan untuk pulih.” Terang Fendi dengan penuh semangat.

“Menarik idea kau itu.”

“Bukan itu sahaja, kalau kena caranya. Ia berupaya untuk meningkatkan keupayaan semulajadi manusia. Lihat ini, aku namakannya Dunnorage.” Fendi mengeluarkan satu alat kecil berbentuk kotak daripada beg gagangnya yang berwarna oren.

“Dunnorage? Apa fungsinya?” tanya Adam. Dia mengambil alat itu daripada tangan Fendi. Alat itu dibelek-beleknya.

“Dunnorage mempunyai fungsi yang sama seperti otak. Alat yang kelihatan seperti kotak ini berfungsi untuk menyimpan memori dan mengawal tindakan dan imbangan badan. Ini adalah alat yang paling rumit untuk disiapkan dan alatan ini perlu digunakan bersama-sama dengan Memors”

“Apa pula itu Memors?”

“Satu alat yang digunakan untuk menyedut memori daripada organ asal iaitu otak. Sekiranya memori tidak dimasukkan ke dalamnya. Mereka yang menggunakan Dunnorage akan jadi seperti bayi yang baru dilahirkan.”

“Wow! Ini sesuatu yang menakjubkan! Aku pasti mereka akan menyukai idea yang bakal kau bentangkan ini.” Kata Adam memuji. Dia nyata kagum dengan idea Fendi itu.

“Tidak sabar rasanya untuk tunjukkan semua ini kepada mereka!”

“Kau nampaknya begitu teruja sekali Fendi.”

“Tentulah Adam. Aku sudah lama memikirkan mengenainya. Sejak lima tahun dahulu lagi”

“Kau tidak perlu khuatir Fendi. Aku akan sentiasa menyokong kau”

“Terima kasih Adam. Kau tidak pernah menghampakan aku. Oh ya! Kau hendak ikut aku ke sana malam ini?”

“Boleh juga. Lagi pun, aku memang tidak ada apa-apa rancangan”

“Bagus. Ada baiknya kau ikut aku malam ini. Kau pun sudah lama tidak ke sana”

********************************************************

Ikran-2008V

Ikran mundar-mandir di dalam bilik. Sukar baginya untuk duduk bersahaja. Dia memikirkan tentang Maya. Takut kalau-kalau sesuatu berlaku kepada Maya. Dia bimbang, kalau-kalau musuhnya dapat menghidu kehadiran Maya di Pasadianka, sudah pasti dia akan menghapuskan Maya pada saat itu juga.

Jam menunjukkan pukul 2.15 minit pagi. Maya sepatutnya sudah pulang setengah jam yang lalu. ‘Di manakah dia?’ soal Ikran bersendirian.

Tuk! Tuk ! Tuk!

“Maya?” kata Ikran selepas dia mendengar bunyi ketukan pada pintu bilik.

“Ya Ikran, ini Maya” Jawab Maya dari luar. Suaranya bergetar. Ikran dengan segera membuka pintu dan menyuruh Maya supaya segera masuk. Ikran menjengah ke luar. Dia menoleh ke kiri dan ke kanan. Cuba memastikan tiada sesiapa yang lalu – lalang di situ.

“Bagaimana?” soal Ikran kepada ‘kupu-kupu’ kesayangannya itu.

“Aku sudah bereskan dia” jawab Maya. Matanya berkelip-kelip. Dia meletakkan badannya yang keletihan itu di atas katil.

“Kau berjaya masuk ke sana?” soal Ikran. Dia benar-benar ingin tahu.

“Ya” ringkas jawapan Maya.

“Kau pasti tiada siapa yang akan mengesan kau?”

Ikran bertanya lagi. Dia mahukan kepastian. Dia tidak mahu segalanya terbongkar.

“Ya aku pasti, dia telah pun aku hapuskan.” Jawab Maya dengan yakin.

“Bagus. Bagus” Ikran mengusap-usap kepala Maya.

“Jadi, apa rancangan kita yang seterusnya? Berapa ramai lagi yang perlu kita buru?”

“Kita rehat dahulu, kita tentukan dahulu di mana mereka semua berada. Ada dua puluh satu sasaran yang perlu dihapuskan. Kita baru sahaja menghapuskan tiga sasaran. Ini bermakna kita ada lagi sembilan belas sasaran” terang Ikran yang mula mencongak dan merancang.

“Okey, kalau begitu aku berehat dahulu. Terlalu banyak tenaga yang aku gunakan tadi. Kau fikirkanlah apa yang patut” kata Maya. Dia memejamkan mata dan meregangkan otot tubuhnya yang keletihan.

“Baiklah Maya. Berehatlah...” Kata Ikran.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.